BAB 18

Johar yang sedang memandu kereta perhatikan saja ulah majikannya di kerusi belakang melalui cermin pandang belakang. Entah kenapa, hatinya gusar melihat wajah itu.

Kuat sungguh manusia bernama Tengku Zakry ini. Serangan datang dari pelbagai penjuru namun dengan tenang dia dapat menangkis segala tujahan tersebut. Namun, kadang kala ia turut memakan diri.

Buktinya, sekarang.

Kerana projek pembinaan sekolah islamik moden yang masih dalam pembinaan diasak oleh para lembaga pengarah, Tengku Zakry terpaksa bersengkang mata mencari solusi terbaik demi meyakinkan mereka semua.

Demi kelangsungan projek, dia terpaksa hadap perangai Tuan Ahmad. Pak Arab itu bukannya senang untuk diambil hati. Berhari-hari jugalah majikannya terpaksa memerah otak merangka strategi terbaik bagi memujuk Tuan Ahmad agar melabur dalam projek tersebut.

Namun, walaupun hasilnya semua kerja berjaya dibereskan, tetapi efeknya hinggap di badan Tengku Zakry. Bayangkanlah tiga hari majikannya itu tidak tidur, lepas tu semalam kena serang pula dengan penyakit misteri.

Sumpah hatinya begitu takut melihat keadaan itu. Sepanjang dia bekerja sebagai pembantu peribadi Tengku Zakry, dia tak pernah melihat keadaan itu berlaku kepada majikannya. Yalah, Tengku Zakry jenis berahsia orangnya.

Rasa-rasanya kalau dia tidak ikut majikannya itu ke pondok semalam, pasti rahsia tersebut kekal kemas. Pasti dia takkan tahu menahu pasal hal itu. Haih, kesian sungguh nasib Tengku Zakry.

"Tuan pasti ke tak nak ke hospital?" tegur Johar.

"Tak nak. Aku nak balik." Lemah suara Tengku Zakry menjawab. Hampir tidak kedengaran.

Jawapan daripada majikannya diangguk perlahan. Hailah Tengku... nampak pucat macam tu sekali pun tak nak serah diri kepada doktor lagi ke? Bukannya dia tak tahu yang majikannya sedang demam sekarang.

Masuk hari ini, sudah empat hari Tengku Zakry tidak rehat. Kerjanya setinggi gunung. Bebannya seberat isi bumi. Mana mungkin lelaki itu mampu bertahan tambah pula apabila terpaksa berjuang nyawa semalam. Haih...

Tidak berapa lama kemudian, kereta yang dipandunya memasuki pagar rumah agam milik majikannya. Setelah memberhentikan kereta di garaj, cepat-cepat dia keluar dari kereta lalu membukakan pintu kereta untuk Zakry.

"Tuan, kita dah sampai," beritahu Johar. Namun, tiada balasan mahupun pergerakan daripada Zakry.

"Tuan?" Johar menjengulkan kepala ke dalam.

"Tuan!" tempiknya nyaring. Oh, ya Allah! Apa dia perlu buat?

Matanya melilau ke sekeliling lalu tanpa berfikir panjang, segera dia menjerit-jerit memanggil Pak Yanto dan Ibu Yanti. Loceng rumah juga ditekan bertalu-talu sebagai isyarat kecemasan. Sumpah dia buntu sekarang!

"Apa-apaansih kamu?" Ibu Yanti membuka pintu dengan muka tak puas hati. Habis terkeluar bahasa ibundanya. Kerjanya memasak di dapur terganggu.

"Tt... tuan." Tergagap-gagap Johar mengkhabarkan berita.

"Apaan?" Ibu Yanti bercekak pinggang.

Eh, ini anak! Pagi tadi semasa singgah di rumah ini untuk menghantar Zakry, elok saja perangainya. Kini, eh lain pula. Ada apa sebenarnya ni?

"Ya Allah. Allahu. Tuan muda!" Suara nyaring Pak Yanto terus menerbangkan geram di hati Ibu Yanti.

"Kenapa dengan tuan muda?" Sudip di tangannya pantas diberi kepada Johar.

"Lagi pengsan, buk!" jawab Pak Yanto sambil berusaha memapah keluar Zakry dari kereta.

"Astaghfirullah. Lailahaillallah. Johar, tunggu apa lagi? Bantuin Pak Yanto!" Segera Ibu Yanti mengarahkan Johar yang masih terpaku di muka pintu sedang tangannya sibuk menggagau apron. Hei, telefon! Di mana engkau?

Setelah telefonnya berjaya dicapai, pantas tangannya mendail nombor telefon doktor peribadi keluarga tersebut. Dalam sibuknya dia bercakap dengan si doktor, kalut juga dia mengarahkan itu ini kepada Pak Yanto dan Johar supaya berhati-hati membawa naik Zakry ke bilik.

"Ya, terima kasih tuan doktor," ucap Ibu Yanti.

Dia memutuskan panggilan lalu segera mengorak langkah ke tangga. Namun, belum pun kakinya mendaki anak tangga, telinganya terlebih dahulu menangkap bunyi enjin kereta memasuki perkarangan rumah agam itu.

"Assalamualaikum..." ucap si tetamu.

"Pak ustaz!" seru Ibu Yanti.

"Kenapa kalut-kalut ni, ibu? Tengku ada?" Ustaz Ilyas mengerutkan muka.

"Mari masuk. Cepat!" Tanpa mempedulikan soalan Ustaz Ilyas, terus saja dia menyuruh sang ustaz naik ke atas.

Melihatkan situasi itu, Ustaz Ilyas segera faham yang sesuatu tak elok berlaku kepada anak muda itu. Itulah sebabnya juga dia terus ke sini sebaik sahaja kapal terbang yang dinaikinya mendarat. Dia sudah ke syarikat tadi tapi staf di situ kata Tengku Zakry pulang awal.

"Tengku?" Ustaz Ilyas meraih pergelangan tangan Zakry lalu membaca gerak nadi.

"Siapa yang ada dengan Tengku semalam?" tanyanya pula.

"Sa... saya!" Johar mengangkat tangan.

"Apa yang berlaku?" soal Ustaz Ilyas.

Johar kemudiannya menceritakan semua yang terjadi dari awal sampai akhir apa yang berlaku sejak mereka memulakan perjalanan ke pondok, rawatan Islam, sampailah ke bahagian majikannya pengsan di dalam kereta tadi.

"Mungkin, Kiyai Rahman dari pondok tu boleh usaha untuk sembuhkan Tengku," komennya setelah lama terdiam.

"Ibu santau dalam diri Tengku sangat kuat. Saya boleh usaha untuk ringankan kesakitan dia je, selebihnya tu saya belum cukup ilmu," ujarnya pula.

"Nak buang santau jenis ni bukannya mudah. Tengku sendiri kena betul-betul yakin dengan kuasa Allah melebihi segala-galanya," tambahnya pula.

"Pak Kiyai mungkin ada ikhtiar. Saya kenal kiyai tu. Dia memang perawat perubatan Islam. Dengan izin Allah, dah ramai orang sembuh," beritahunya pula.

Matanya kemudian dibawa kerling ke arah Zakry. Kesian betul anak muda ini. Kesakitan itu penghapus dosa. Mungkin, santau yang dihantar oleh bomoh Siam kepadanya merupakan kifarah dosa atas perbuatannya menganiaya isteri sendiri.

"Dah panggil Doktor Hamid?" tanyanya pula.

"Assalamualaikum." Tanpa sempat Ibu Yanti menjawab, Dr. Hamid muncul di muka pintu bersama dengan seorang jururawat.

"Waalaikumussalam." Mereka semua membuka ruang kepada Dr. Hamid memeriksa keadaan Zakry.

Setelah beberapa ketika, doktor tua itu selesai jua memberikan rawatan. Sambil membetulkan cermin matanya, dia berpaling menghadap semua orang yang sabar menunggu berita daripadanya.

"Saya dah beri injection dan IV drip. Dalam beberapa jam lagi, demam dia insya-Allah kebah," beritahunya.

"Cuma satu je saya nak pesan." Dr. Hamid berjeda.

"Buatlah macam mana pun, saya nak budak ni rehat. Kesian sangat tubuh dia. Tak cukup tidur, stres, kurang air...." Ceramahnya panjang berjela.

"Tapi itulah, saya tak yakin pun dia akan dengar kata," keluhnya pula.

Keluhannya terus disambut dengan sengihan oleh semua orang yang ada. Siapa je tak kenal dengan Tengku Zakry Zuhair bin Tan Sri Tengku Muda? Workaholic tak boleh bawa bincang langsung selepas papanya meninggal dunia.

Semua ini berlaku kerana dia ada tugas besar selamatkan syarikat peninggalan papanya daripada dirampas oleh Tengku Jusa. Bapa saudaranya itu memang mata duitan dan musuh dalam selimut.

"Tak apalah tuan doktor. Kami semua akan usaha untuk jaga tuan muda dengan baik lagi lepas ni." Ibu Yanti akhirnya bersuara.

"Okeylah," akur Dr. Hamid.

"Ana, mari pergi. Kita ada patient lain lagi lepas ni," suruhnya pula kepada si jururawat.

"Terima kasih, tuan doktor," sengih Ibu Yanti.

Namun, sengihannya terus sirna sebaik sahaja bebola matanya menangkap kehadiran seorang wanita berambut pendek berpakaian pejabat berdiri di muka pintu bilik. Di tangan wanita itu, ada sebuah fail berkulit keras.

"Err... siapa kamu?" tanya Ibu Yanti. Tak ada adab betul budak ini. Sudahlah masuk ke rumah orang tak bagi salam, tahu-tahu je muncul di muka pintu!

"Nicha," senyum wanita muda itu.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.