Daftar   |      Log Masuk   |   Lupa Kata Laluan
Home Novel Cinta Kasihnya DIA
Kasihnya DIA
5/2/2014 16:20:49
4,765
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 6

Titisanhujan masih berjatuhan.Bumi yang disirami hujan mulai membasah dan menakung air di tempat yang berlopak. Segala puji bagi ALLAH yang telah menurunkan air hujan sebagai satu nikmat untuk sekalian makhluknya.

Bunyi ketukan di pintu yang bertalu-talu mengejutkan Umar yang sedang lena. Dia memaksakan kaki turun daripada katil lalu melangkah ke pintu dan membuka kuncinya apabila ketukan di pintu semakin kuat disulam bunyi hujan. Dia terkejut apabila melihat titisan hujan di luar rumah yang lebat.

“Umar, Eryna kemalangan,” beritahu Faizul sebaik sahaja Umar membuka pintu.

Umar terkasima seketika. Matanya bulat memandang Faizul yang bergerak masuk ke dalam bilik. Dadanya berdebar-debar. Dia bungkam seketika dan tidak mampu untuk bersuara serta bertanya.

“Tadi, aku terserempak dengan Haris. Dia yang bertembung dengan kemalangan tu sewaktu nak ke kampus.Eryna terlanggar tiang eletrik. Remuk teruk juga keretanya,” cerita Faizul. Dia bercerita sambil tangannya tergawang-gawang.Nada suaranya agak kuat.

“Haa! Bila? Di mana? Dia cedera teruk tak?”Setelah bertenang beberapa ketika barulah Umar dapat bertanya. Rasa bersalah semakin melebar di hatinya. Di matanya terbayangkan wajah Eryna Natasha yang muram sewaktu dia menolak pelawaan gadis itu.

“Tak taulah. Hmm... nanti kita pergi tengok dia di hospital. Tunggu aku mandi dulu,” cadang Faizul lalu duduk di katilnya sambil membuka lembaran akhbar hari itu.

“Cepatlah pergi mandi. Balik nanti pun boleh baca surat khabar!” desak Umar. Dia bagaikan tidak sabar untuk ke hospital. “Orang tua-tua kata, tak baik melengah-lengahkan niat yang baik. Terjadi sesuatu kepada Eryna nanti, kau juga yang terkilan!” Dengan suara lembut Umar memujuk.

“Heh! Heh! Aku terkilan ke, kau yang terkilan,” usik Faizul lantas bangun dari kerusi, lalu memukul Umar dengan hujung akhbar yang dilipat. “Jomlah… tak payah mandi. Aku pun dah mandi sebelum keluar tadi. Baru sejam. Masih wangi lagi ni,” katanya sambil menghalakan hidung ke ketiaknya sambil menghidu-hidu.

“Jomlah! Aku nampak keresahan di mata kau,” ujarnya sambil memeluk mesra bahu Umar.

ErynaNatasha tersenyum lebar sebaik sahaja melihat susuk tubuh Umar mendatanginya. Rajuknya seolah terpujuk. Kehadiran pemuda itu membawa seribu pengertian yang amat indah untuk dirinya.Di hatinya bagai tersiram titisan hujan di saat bumi ketandusan dan kering kontang.

Umar duduk di sisi katil sambil memerhatikan gadis itu yang menyandarkan belakangnya pada bantal. Senyuman penuh ketulusan dilontarkan sambil matanya merenung ke mata gadis itu.

“Rin, hmm... bagaimana sekarang? Macam mana Rin boleh terlanggar tiang eletrik pula ni?” soal Umar, memecah kebisuan. Matanya tajam merenung wajah Eryna Natasha yang masih lagi murung. Namun, bibirnya cuba mengukir senyuman walaupun agak hambar. Bola mata Umar berligar lagi mencari kelibat Faizul. Faizul lesap entah ke mana. Katanya tadi ke kantin hospital mencari minuman untuk menghilangkan kehausan. Mungkin dia sengaja memberi peluang untuk Umar dan Eryna Natasha berdua-duaan.

“Rin, maafkan saya. Saya berasa bersalah,” kata Umar dengan nada sesal. Dia merapatkan kerusinya ke katil Eryna Natasha.

Eryna Natasha cuba menggerakkan tubuhnya supaya dapat bersandar di kepala katil. Mujur kecederaan yang dialami tidak parah. Selain dahinya terhantuk ke stering, lengannya luka kerana terkena kaca daripada cermin kereta yang berderai. Pinggang serta pinggulnya terasa sengal kerana terhentak dengan kuat sewaktu kereta yang dipandunya menghentam tiang eletrik dan dia terpaksa membrek secara mengejut.

“Tunggu... saya bantu Rin,” ujar Umar sambil membetulkan kedudukan bantal di belakang gadis itu.

“Terima kasih. Maaf, menyusahkan Umar,” jawab Eryna Natasha dengan lembut.

“Rin, sekali lagi saya minta maaf!Saya rasa bersalah,” beritahu Umar lagi. Lagi sekali mata Umar merenung ke dalam mata Eryna Natasha dengan tajam.

Eryna Natasha melarikan anak matanya daripada renungan Umar dan menyembunyikan rasa tidak selesanya kerana direnungi begitu.

It’s okay. Bukan salah, Umar. Salah Rin. Rin yang cuai pandu kereta. Fikiran entah ke mana. Dahlah. Lupakan. Jangan menyalahkan diri sendiri lagi. Tak baik,” ungkap Eryna Natasha lembut dan perlahan. “Segala yang berlaku sudah ditakdirkan TUHAN.” Sambungnya lagi. Dia menindih belakang tangan Umar dengan telapak tangannya sambil matanya merenung ke wajah lelaki itu, dan bibirnya tersenyum.

Berderau darah Umar dengan perlakuan Eryna Natasha itu. Debaran jiwanya seolah meruntuhkan seluruh hatinya.

“Kalau nak temankan Rin bersiar... tunggu bila Rin dah sihat, ya,” kata Umar, cuba bergurau untuk memujuk hati gadis itu.

Eryna Natasha mengeleng dan ketawa dengan gurauan itu.

Tiba-tiba terdengar pengumuman yang waktu melawat sudah tamat.

“Eh, mana Faizul ni? Waktu melawat pun dah tamat.” Umar berkata sendirian sambil matanya meninjau ke pintu masuk wad itu. “Rin, saya beredar dulu,” ujarnya.

“Terima kasih,” kata Eryna Natasha.

Tiba-tiba mata pemuda itu terpandang ke arah dinding di belakang kepala katil yang melekatkan kertas maklumat pesakit. Tarikh masuk. Umur. Nombor katil. Nama. Lagi sekali Umar seakan terpukau apabila melihatkan nama yang tertera ialah Rina Melati.

“Rin... nama sebenar Rina Melati ke?” Tanpa berselindung lagi, Umar terus menyoal.

Eryna Natasha sedikit terkejut dengan pertanyaan itu.

Umar terus memerhatikan wajah Eryna Natasha dengan ekor matanya.Seribu satu persoalan timbul di benaknya.

“Rina Melati? Err... kenapa?” soal Eryna Natasha pula. Dia diam sejenak sebelum melontarkan pandangan ke wajah Umar sekali lagi. Pertanyaan Umar menuntut kejujuran daripadanya. Dia berasa serba salah seketika.

“Agaknya nama pesakit sebelum Rin. Nurse belum tukar lagi. Tadi, sebelum Umar datang, Rin di katil yang lain...hujung sana,” katanya dengan tenang. Wajahnya selamba. Mungkin itulah jawapan yang terbaik buat ketika itu. “Umar kenal dengan dia ke?”

Umar hanya mengeleng. Matanya merenung bibir Eryna Natasha. Mirip benar bibir itu dengan bibir Rina Melati. Bukankah Rina Melati pernah duduk hampir dengannya di dalam keretapi? Pada kesempatan itu, dia sempat mencuri pandang pada ulas bibir gadis itu agak lama, dan memahatkannya di dalam ingatan. “Saya bertemu dengannya dalam keretapi sewaktu pertama kali naik keretapi. Cerita lama,” ceritanya perlahan. Di matanya teringatkan Rina Melati yang bayangannya masih terpahat di hatinya.

You fall in love with her?” Eryna Natasha menyoal lagi sambil tersenyum lebar.

Umar turut tersenyum. Tidak tahu untuk menjawab apa. Yang dia tahu, sejak hari itu dia tidak pernah melupakan gadis yang bernama Rina Melati. Rina Melati, jarang-jarang orang menggunakan nama itu. Mungkin di Malaysia ini hanya gadis itu yang menggunakan nama seperti itu.

“Namanya yang istimewa membuatkan saya selalu terkenang,” ujarnya. Sebenarnya dia telah jatuh hati kepada gadis yang bernama Rina Melati. Jika boleh diistilahkan sebagai cinta pandang pertama, itulah cintanya. Namun, tidak mungkin dia dapat menggapai cintanya itu kerana Rina Melati entah di mana beradanya.

“Maafkan saya kerana menyoal yang bukan-bukan,” kata Umar sambil tersenyum malu. Bukan sekadar namanya sahaja yang membuat hatinya terkenang, namun wajah gadis itu yang menawan seolah menjadi igauannya.

It’s okay. Terima kasih sekali lagi kerana melawat Rin,” kata Eryna Natasha.Kata-katanya diiringi dengan senyuman manis yang tidak lekang dari bibirnya. Wajah Umar direnung berkali-kali. Berat hatinya untuk membenarkan Umar pergi dari sisinya. 

“Harap-harap suatu hari nanti Umar akan bertemu semula dengan gadis itu. Rina Melati! Hmm... sedap namanya.” Dia seolah bercakap dengan dirinya sendiri.

Umar melemparkan senyuman kepada gadis itu sebelum beredar dari situ.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.