Home Novel Cinta Bayangan Semalam
Bayangan Semalam
Ardeena Safiyya
22/1/2021 09:52:42
9,446
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 5

Jam sudah menunjukkan angka lima. Kini, masa untuk Aina Afifah pulang daripada pejabat kecil yang dimiliki oleh Kak Izzah yang agak garang itu. Gila kerja namanya!

"Akak, Aina balik dulu ye." Aina meminta diri sebelum meninggalkan Izzah sendiri di premis itu.

Izzah sekadar mengangguk sekali, lalu membiarkan pekerjanya pergi. Bukan tidak biasa seorang diri di dalam pejabat ini, bukan ada makhluk halus yang akan mengganggu pun.

Aina meneruskan langkahnya ke perhentian bas yang berada tidak jauh daripada tempat kerjanya. Bukan Aina tidak tahu untuk memandu kereta, tetapi kereta siapa pula yang ingin dipandunya? Gajinya belum cukup lagi untuk membeli sebuah kereta.

Setakat ini, biarlah bas menjadi pengangkutan utamanya. Takkan mahu menumpang dengan Haris, segan pula tambahan dia dan lelaki itu masih belum ada hubungan apa-apa. Jangan kata sudah berkahwin, bertunang pun belum.

Gadis kecil molek itu melabuhkan tubuhnya ke atas tempat duduk yang diperbuat daripada besi, khas untuk menunggu ketibaan bas.

Bunyi guruh mula berdentum di langit yang tadinya cerah, kini bertukar gelap menandakan hujan bakal turun sebentar lagi.

Perasaan risau mula terbit di hati kecil Aina, memikirkan adakah dirinya akan selamat pulang ke rumah. Dengan bas yang tidak muncul-muncul kelibatnya lagi, entah sampai bila dirinya perlu menunggu di tempat ini.

Perlukah dirinya untuk menempah grab? Ataupun terus tunggu sahaja di sini sehingga bas tiba?

Air hujan rintik-rintik mula membasahi kawasan yang tidak berbumbung. Semakin lama, semakin lebat pula. Begitu juga Aina, semakin 'lebat' kerisauan di dalam hatinya, bagai hujan lebat yang turun tanpa henti.

Dum!

Bunyi guruh menggegarkan suasana. Agak bahaya untuk Aina terus duduk di kawasan yang tidak berdinding seperti di perhentian bas ini, tidak selamat. Boleh sahaja dirinya disambar oleh petir, jika nasibnya malang.

"Ya Allah, selamatkanlah aku..." doanya di dalam hati.

Apa yang mampu dilakukan oleh wanita muda itu, hanya berdoa dan mengalunkan zikir di dalam hati. Hendak berjalan kaki, lagilah bahaya. Tambahan pula, tiada payung yang dibawa oleh dirinya.

Hendak menempah grab pula, kena memuat turun aplikasi tersebut terlebih dahulu. Di perhentian bas yang suram ini, manalah ada line yang kuat untuk memuat turun aplikasi tersebut dengan segera. Silap-silap, bas yang sampai dahulu.





KEDUA-DUA pasang mata milik Haris Mirza ditumpukan ke atas jalan raya yang agak licin ketika ini. Hujan lebat yang membasahi bumi, membuatkan jalan licin dan kereta sukar dikawal, mudah untuk terbabas.

Di kala petang yang hujan ini, tiba-tiba sahaja ibu kepada lelaki itu meminta sesuatu. Laksa Kedah.

Mudah sahaja untuk mencari makanan tersebut di bandar ini, merata-rata dijual di tepi jalan. Malang sekali hari ini hujan turun dengan lebat, tiada kelibat penjaja-penjaja tepi jalan kelihatan.

Mahu tidak mahu, mereka perlu pergi ke kedai makan yang berada di hadapan tempat kerja Aina. Kedai itu, sentiasa dibuka walaupun hujan panas, hanya tutup pada hari Jumaat sahaja. Segala jenis menu ada, dari makanan negeri Utara hinggalah ke Selatan.

Kedai itu juga, sudah biasa dikunjungi oleh Haris sendiri sebagai seorang penghantar makanan. Kebanyakan penduduk di sini memilih untuk membeli di restoran itu, tidak kiralah datang sendiri ataupun melalui penghantaran. Kalau berterusan dalam tempoh lima tahun lagi, boleh kaya raya tuan kedai itu!

Haris ditemani oleh kakaknya, Husna. Hanya Husna yang tahu akan selera ibunya, jadi Haris memutuskan untuk membawa kakaknya sekali. Kakaknya berusia lebih tiga tahun daripadanya, bermakna Husna berumur 26 tahun. Itu pun, masih single dan tidak mempunyai kekasih, tunang mahupun suami.

Eh, single bukan bermakna tidak laku! Cuma jodoh sahaja belum sampai. Husna seringkali diketawakan kerana masih kekal dara sehingga hari ini. Berbeza dengan kawan-kawannya, masing-masing sudah mempunyai suami dan tunang.

Kereta itu memacu sederhana laju di atas jalan raya. Hendak laju sangat pun tidak boleh, bahaya! Nanti tidak pasal-pasal majlis perkahwinan bertukar majlis kenduri arwah!

Atau kata mudahnya, menempah maut sendiri.

"Kak Una, tengok tu. Ada budak dekat bus stop tu. Kesian dia." Jari telunjuk Haris dihalakan ke sebuah pondok perhentian bas. Dari jauh, kelihatan seorang wanita kecil molek sedang mundar mandir di kawasan berbumbung itu. Dua kali tengok, seperti makhluk halus pun ada!

"Budak? Kau yakin ke tu budak, Ris? Macam..." Kata-kata Husna terhenti di situ. Entah apa yang berada di bayangan Husna, sehingga dirinya memikirkan 'budak' yang dimaksudkan Haris ialah entiti halus yang muncul ketika hujan turun.

"Husnuzon, boleh tak? Kak Una ni pun satu lah, penakut benar!" Haris meneruskan pemanduannya menuju ke perhentian bas tersebut. Entah mengapa, dirinya memang sejak kecil mudah kasihan kepada orang. Tidak mahu melihat orang lain dalam kesusahan, itulah sifat murni yang ada di dalam diri Haris.

"Kau lelaki, akak perempuan. Fahamlah sikit," sinis Husna. Perangai adik beradik ini, sudah seperti langit dan bumi. Haris perangainya mudah mesra dan berani manakala Husna pula, hanya mesra dengan orang yang sudah dikenalinya dan penakut. Persamaan mereka, kedua-duanya baik hati.

"Huh." Kereta yang dipandu Haris berhenti tidak jauh daripada perhentian bas itu. Haris keluar dari kereta dengan sekaki payung, menuju ke arah gadis tersebut.

"Elok-elok!" pesan Husna dari jauh, biarpun adiknya tidak lagi mendengarnya.

Haris terus melangkah perlahan-lahan ke tempat berbumbung tersebut. Jalan dan lantai agak licin, mudah sekali untuk jatuh tergelincir dan cedera anggota badan.

"Adik..."

Cuba ditegurnya si gadis manis yang belum kelihatan muka. Gadis itu langsung tidak memandang Haris, apatah lagi menolehnya. Siapa tidak takut, tiba-tiba sahaja lelaki yang tidak dikenali datang menegur? Risau sekiranya lelaki itu berniat jahat di kala hujan lebat ini.

Tiada jawapan.

Aina cuba untuk tidak memandang lelaki yang menegurnya itu. Suara lelaki itu seperti dikenali, tetapi tidak mungkin itu Haris. Kalau benar itu Haris, mengapa dipanggil dirinya 'adik'?

Hatinya semakin resah gelisah. Entah apa yang lelaki ini mahukan pun dirinya tidak tahu. Manalah tahu, lelaki ini berniat jahat? Hati orang, tidak boleh ditebak.

'Siapa lelaki ni, apa dia nak?' bisik Hati Aina. Segala jenis doa dan ayat suci Al-Quran dialunkan di dalam hati, berdoa agar dirinya tidak diapa-apakan oleh lelaki itu.

"Awak ni ... Aina Afifah!"

Aina menoleh memandang lelaki itu apabila namanya diseru. Kali ini, kedua-duanya terkejut hingga hendak pitam. Pertemuan apakah ini?

"Awak!" Aina menolak badan lelaki itu. Buat takut sahaja, rupanya si Haris yang mahu mempermainkannya!

"Aina, awak buat apa kat sini? Dari jauh, nampak macam makhluk tahu tak!" Haris menggelengkan kepalanya. Tidak jadi mahu marah teman wanitanya ini, kasihan pula.

"Memanglah saya makhluk. Awak pun makhluk."

"Aina...." Haris menahan geramnya. Geram-geram pun, suka juga.

"Eh, betul apa?" Aina memeluk tubuhnya. Geram sungguh dengan pertemuan yang tidak disengajakan ini. Ya, tahu mereka sudah kenal lama, tetapi tidak perlu sampai begini, buat malu sahaja.

"Jom baliklah. Saya tanya ni, awak buat apa kat sini? Tak risau ke, anak dara sorang-sorang kat luar ni?" Kalau diikutkan perasaan, ingin sahaja ditariknya tangan bakal isterinya itu untuk dibawa pulang.

"Saya ... baru balik kerja lah awak." Wanita muda itu tersenyum hambar. Jika difikir balik, apa salahnya hendak menumpang kereta lelaki ini berbanding menunggu bas yang belum sampai-sampai lagi sehingga kini. Sekali-sekala, tidak apa kan?

"Baru balik kerja? Ni awak tunggu siapa ni? Adik awak? Kawan?" Haris menggaru kepalanya yang tidak gatal. Hendak marah pun, tidak guna dan hanya memburukkan suasana. Risau nanti, menjadi masalah kepada hubungan mereka pula. Tahulah Aina bukan orang yang kuat merajuk, tetapi kesabaran pun ada batasnya.

"Tunggu bas," jawab Aina tenang.

"Dahlah, awak balik dengan saya jelah." Aina mengikuti jejak Haris dari belakang, menuju ke keretanya. Mahu tidak mahu, tumpang sahajalah kereta lelaki ini. Haris memayung Aina, manakala dirinya dibiarkan basah lencun ditimpa hujan.

Kelihatan di dalam kereta tersebut, ada seorang wanita yang duduk di kusyen penumpang hadapan. Perasaan curiga mula mengganggu benak fikiran Aina Afifah.

Siapa wanita itu?

Haris curang dengannya?

Aina cuba menenangkan dirinya daripada berfikiran buruk lagi. Siapa wanita itu, nanti dirinya akan tahu. Tidak berani untuk menyoalkan kepada Haris, risau lelaki itu akan naik angin lagi.

Pintu penumpang belakang dibuka oleh Haris. Perlahan-lahan Aina yang kesejukan masuk ke dalam kenderaan tersebut. Bau pewangi dari kenderaan itu menusuk ke hidung Aina, menandakan Haris ini seorang yang pembersih juga.

Tanpa kata, Haris terus meletakkan payung dan masuk semula ke tempat duduk pemandu. Tiga orang di dalam kenderaan itu saling tidak bersuara, disebabkan kekok sesama sendiri.

Husna mengerling wanita yang dipungut adiknya. Entah mengapa, kasihan pula dengan si gadis itu. Kesejukan dam bajunya sedikit basah. Dingin mana pun sikap Husna, di hati perempuannya pasti terselit sifat kasihan terhadap orang lain.

Perjalanan diteruskan ke kedai laksa Kedah yang diinginkan ibu mereka. Aina masih tertanya-tanya, siapa sebenarnya wanita yang duduk di kerusi penumpang hadapan ini?

Adakah dia teman wanita Haris? Entah, dirinya langsung tidak tahu. Kelihatan wanita itu lebih tua daripadanya, boleh jadi juga ahli keluarga ataupun penumpang grab. Lelaki ini bukan boleh dijangka, macam-macam kerja pun dibuatnya demi menghalalkan cinta mereka.

Kalau benar dia ialah penumpang grab, mengapa pula perlu duduk di kerusi hadapan? Bukankah biasanya penumpang wanita akan duduk di belakang, bertujuan untuk menjaga ikhtilat antara ajnabi?

Pelik, pelik, pelik.

Sudah Aina, jangan mahu cemburu buta. Kelak, diri sendiri yang merana dek cemburu yang tidak tentu pasal ini. 

Kaku dan sepi. Hanya tubuh badan yang melakukan pergerakan, mereka keluar daripada kereta. Sudah melihat dua orang itu keluar, takkan pula Aina tidak mahu keluar sekali.

Kedai Makan Cik Janda - One Stop Centre.

"Ha .... Haris .... Kenapa kita datang sini?" Dengan gagap, Aina memberanikan diri untuk bertanya. Tidak dihiraukan wanita yang berjalan di sebelah lelaki itu lagi.

Jeda. Tiada jawapan dari mulut lelaki itu. Hanya langkah sahaja yang bertapak, sebaliknya mulut kaku dan bisu. Aina pula, masih menunggu jawapan daripada lelaki itu meskipun agak mustahil dijawabnya.

Entah mengapa, beku sungguh sikap lelaki itu hari ini. Bukankah Haris, terkenal dengan sikap ramah mesranya? Adakah kerana mood lelaki itu yang tidak baik hari ini? Tengah hari tadi, elok sahaja.

"Kak, Laksa Kedah satu bungkus."

Haris memesan makanan itu dengan hanya menyebutnya. Tiada menu lagi diperlukan, sudah dihafalnya setiap juadah yang dijual di restoran ini.

Sementara menunggu hidangan disiapkan, mereka bertiga duduk di kerusi di sebuah meja yang bersaiz untuk empat orang. Haris duduk bertentangan dengan kakaknya, manakala Aina duduk di sebelah kakak Haris yang masih tidak dikenalinya itu.

"Awak, awak marah saya ke?"

Aina menghembuskan nafasnya perlahan. Berharap adanya jawapan dari lelaki yang bersikap dingin pada hari ini itu. 

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Ardeena Safiyya