Home Novel Cinta The Story of Us
The Story of Us
Hasz Ninie
26/3/2019 22:04:26
13,334
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 10

MALAM ini, sekali lagi aku nampak dia sedang melukis sesuatu pada kanvas. Pintu sentiasa terbuka. Aku hairan juga. Adakah dia sememangnya membiarkan pintu terbuka untuk menarik keinginanku untuk menjengah? Mulalah aku berfikir yang bukan-bukan. Mungkin dia sedang cuba mendapatkan perhatian aku. Maklumlah dia mahu memiliki hati aku maka dia haruslah bekerja keras. 

“Kau memang suka melukis?” Aku menegur dia di muka pintu. Gerakan tangannya pada kanvas terhenti. 

“Aku tak pernah suka melukis tapi inilah satu-satunya peninggalan arwah mama.” Dengan tenang dia menjawab.

Aku menjadi berminat ingin tahu. Apa kaitannya dengan lukisan itu dengan arwah mamanya? Pastinya ada sesuatu yang bermakna tentang kedua-duanya.

“Bilik ni arwah mama punya. Hampir setiap hari mama menghabiskan masanya di bilik ni. Papa tahu arwah mama sukakan seni dan papa wujudkan bilik ni untuk arwah mama. Walaupun mama dah tak ada, aku nak bilik ni sentiasa ‘hidup’. Sebab itulah aku sambung minat arwah mama.” Ghaz Lutfi membuka cerita. Dia menoleh kepadaku. Senyuman tawar dilemparkan kepadaku. Senyuman yang tidak sama dengan yang sebelumnya. Pastinya dia tidak mahu berbicara mengenai arwah mamanya dan aku juga tidak mahu dia meneruskannya kalau dia tidak selesa untuk bercakap tentang seorang perempuan yang telah meninggalkannya.

“Kau sambung minat arwah mama kau tapi kau terus boleh melukis? Wah, kau memang berbakat.” Pujian aku datangnya dari hati. Aku tidak berpura-pura. 

“Aku pun bukannya pandai melukis pada mulanya. Aku belajar dan belajar sampailah aku pandai. Kalau aku tak latih diri aku, manalah aku reti nak lukis macam arwah mama.” Dia merendah diri.

Aku meliarkan pandangan. Bilik ini penuh dengan hasil lukisan dia dan juga arwah mamanya. Sejuk mata memandang lukisan di bilik ini. Penuh dengan warna-warninya. Tidaklah suram bilik ini.

“Sampai bila kau nak tercegat kat situ aje? Kat sana tu ada kerusi. Kau duduklah kat situ. Dan pintu tu kau biarkan terbuka luas. Tak adalah orang fikir yang bukan-bukan pasal kita.” Jarinya ditunjukkan ke arah sebuah kerusi kayu yang terletak di satu sudut. Aku tidak melengahkan masa. Laju kaki aku menapak dan mendapatkan tempat di kerusi yang dimaksudkan. Kebetulan adanya kanvas yang tersandar pada dinding. Aku capai dan perhatikan lukisannya. Sebuah pemandangan di taman bunga.

“Siapa yang lukis gambar ni?” Aku terus bertanya kepada dia.

Dia pandang sekilas sebelum mengalihkan fokusnya pada kanvas di hadapannya.

“Arwah mama yang lukis. Kalau dah cantik macam tu, memang taklah aku yang lukis.” Jawapannya bersahaja.

“Cantik.” Aku memuji pendek. 

“Ada apa-apa kau nak tahu pasal aku?” Ghaz Lutfi menumpahkan pandangannya ke segenap wajahku. Topik perbualan tidak lagi berkisar mengenai arwah mamanya. Sebaliknya dia lebih berminat untuk berbicara mengenai kami.

“Apa yang aku perlu tahu pasal kau?” Aku bermain soalan, langsung tidak menjawab pertanyaannya. Kanvas tadi aku letakkan di tempat asalnya.

“Kau tak nak tahu ke dengan siapa kau akan berkahwin. Yang akan berkongsi hidup dengan kau. Kau tak lupa, kan? Kau pernah cakap aku ni lelaki bahaya.” Dia sengaja membangkitkan perihal itu padahal aku sudah melupakan semua itu. 

“Kau dah tegaskan yang kau tak bahaya. Jadi, aku pilih untuk percayakan cakap kau. Kalau betul kau lelaki yang tak patut aku dekati, kau mesti dah buat apa-apa pada aku, kan?” 

“Aku tak sekejam tu.” 

“Ya. Sebab itulah aku tak cakap kau lelaki bahaya lagi.”

“Emmm.”

“Tapi kau sangat misteri, Ghaz Lutfi.” Aku menyebut nama penuhnya.

“Misteri macam mana?” 

“Entahlah. Aku pun tak tahu macam mana aku nak cakap. Kau nampak dingin tapi…” Ayatku tidak bersambung.

“Tapi hati aku baik?” Dia menebak. 

Aku tidak mengiakan. Tidak juga menafikan. Persepsi aku mengenai dirinya mungkin saja salah. Tetapi mengenangkan dia pernah menyelamatkan aku, aku fikir dia mestilah lelaki yang baik. Arwah ayah sendiri cakap dia tidak akan pernah memperjudikan nasibku. Dan dengan mengamanahkan aku kepada Ghaz Lutfi, aku tahu arwah ayah percayakan anak kepada Luf Harith ini. Maka, aku juga perlu meletakkan kepercayaan aku padanya. Allah sudah mengaturkan segalanya untuk aku. Apa yang aku harus buat adalah dengan menerima.

“Terserah apa yang kau nak fikirkan tentang aku. Tapi aku bukan lelaki bahaya dan tak semestinya aku lelaki baik macam ustaz. Kau selamat selagi kau ada dengan aku. Selagi Allah bagi kekuatan, selagi itulah aku akan cuba manfaatkan kekuatan itu untuk melindungi orang-orang yang dekat dengan aku.” Dia menegaskan. Risau aku akan menuduh dia yang bukan-bukan barangkali.

“Kenapa kau masih mahu terima aku sebagai isteri kau? Kita tak pernah kenal antara satu sama lain. Kau tak teringin ke nak kahwin dengan perempuan yang kau cinta?” Akhirnya aku mampu bertanya tentang perkara itu. Sudah berhari-hari aku tinggal di vila ini, aku tidak berkesempatan untuk bertanya kepadanya. Dengan mudahnya dia menerima amanah arwah ayah untuk mengahwiniku. Dia tidak membantah jauh sekali menolak. Kalau lelaki lain, mungkin sudah lama mereka memberontak. Tidak cinta terus mahu menikah. 

“Kalau aku bercinta tapi hubungan tak kekal tak ada gunanya juga, kan?” 

“Tapi kau berhak tentukan pasangan hidup kau. Ini soal masa depan kau. Sebab kau nak kahwin nanti bukan untuk sehari dua aje. Untuk selama-lamanya. Kau tak boleh main-main pasal kahwin ni.” 

Aku bukan mahu memaksa dia untuk membatalkan perkahwinan aku dengan dia. Aku cuma tidak mahu dia menyesal pada kemudian harinya. Berkahwin dengan seorang perempuan yang diamanahkan melalui sepucuk surat tanpa kenal isi hatinya, mampukah dia menerima kekurangannya? Dan perempuan itu ialah aku. Sejujurnya aku juga bukan perempuan yang baik. Terlalu banyak kekurangan yang aku ada. 

“Jodoh itu rahsia Allah, Ayesha. Aku serahkan semuanya kepada Allah. Dia lebih tahu apa yang terbaik untuk hamba-Nya. Kalau Dia dah tetapkan kau jodoh aku, tak kesahlah macam mana kau muncul dalam hidup aku, kau tetap akan jadi isteri aku, bukan? Beribu batu kita terpisah, Dia pasti akan pertemukan kita juga. Itulah yang dikatakan jodoh.” Tenang sahaja dia menuturkan bicara. Langsung tidak nampak sebarang keraguan di sebalik kata-katanya. Dia sudah nekad dengan keputusannya. Usaha untuk memujuk dia menarik balik keputusannya juga sudah gagal. 

“Aku yakin Allah memang ada rancangan untuk kita. Biarlah kita tak bercinta. Lagipun, dalam Islam pun tak ada menyuruh kita bercinta sebelum kahwin, kan? Dan bagi aku bercinta lepas kahwin barulah ada kemanisannya,” tambahnya.

Aku menyepi tanpa bicara. Tiada respon. Jodoh? Berjodohkah aku dengan dia? 

“Kau nak belajar gunakan berus?” 

Terbidik-bidik mata aku dek soalannya itu. “Belajar guna berus? Budak kecil pun tahu guna berus…” 

Tawa maskulinnya terlepas. Tercuit hatiku apabila mendengar tawanya itu. Mendamaikan dan menyenangkan di telingaku. 

“Yeah, you’re right. Budak kecil pun reti guna berus ni. Maksud aku kat sini, kau nak belajar lukis sesuatu pada kanvas? Sebab aku nampak kau macam berminat aje.” Dia menayangkan berus yang dipegangnya di hadapanku.

Aku senyum. “Berminat tapi tak reti…”

“Tak retilah kena belajar.”

“Kau nak ajar aku?” 

Dia mengangguk.

“Lain kali ajelah, Ghaz. Keadaan sekarang tak sesuai untuk kita. Kita belum berkahwin dan aku nak jaga batas antara kau dan aku selagi aku tak jadi isteri kau,” ujarku, menolak dengan lembut. 

Dia mengerti dan tidak mendesak. 

“Yalah. Aku tak cakap pun nak ajar kau sekarang.”

Aku membiarkan dia menyambung aktivitinya itu sementara aku melihat apa yang dilukisnya dari jauh.


NAMPAK sahaja kelibat aku yang sedang menghidangkan sarapan pagi di meja makan, Ghaz Lutfi menghampiri meja makan.

“Kenapa kau masih tak bersiap? Kau tak kerja ke hari ni?” soalnya agak hairan apabila aku masih berpenampilan biasa. Sekadar baju T berlengan panjang dipadankan dengan skirt kembang labuh.

“Aku dah berhenti kerja, Ghaz.” Aku tidak berselindung daripada perkara sebenar. Semalam merupakan hari terakhir aku bekerja. Agak berat hati juga majikan aku mahu melepaskan aku tetapi aku sudah mencapai kata putus. Zana dan yang lain pun tidak menjangka akan keputusan aku namun mereka sentiasa mendoakan aku. Hanya Zana sahaja yang tahu mengapa aku berhenti kerja. Kalau boleh, aku tidak mahu yang lain tahu. Biarlah ianya menjadi rahsia di antara aku dan Zana.

Sara yang sudah duduk di kerusi menganggukkan kepala. Keputusan aku berhenti kerja sudah dimaklumkan kepada Sara dan dia tidak kesah langsung. Tetapi aku belum memberitahu Luf Harith dan Ghaz Lutfi mengenai perkara itu. 

“Huh? Kenapa? Aku tak pernah minta kau berhenti kerja, Ayesha.” Dia kedengaran tidak puas hati dengan keputusan yang aku ambil. 

“Ya, aku tahu kau tak minta aku berhenti kerja. Kau tak pernah paksa pun. Tapi aku yang rela hati berhenti kerja. Sebab aku nak jaga papa. Nak jaga keluarga ni.”

“Ayesha…”

“Aku nak panggil papa.” Aku mencuba mengelak daripada ‘disoal siasat’ oleh dia. Aku tidak nampak keputusan aku berhenti kerja adalah satu kesalahan. Bukannya aku buat perkara tidak baik. Aku hanya berhenti kerja saja untuk menumpukan seluruh perhatian aku terhadap keluarga baru aku ini. Kenapa dia seolah-olah dia tidak suka dengan keputusan yang aku buat dan mahu mencari punca untuk bergaduh denganku?

“Ayesha…” 

Panggilannya tidak bersahut kerana aku sudah mengatur langkah ke bilik Luf Harith yang kini berpindah ke tingkat bawah. Pada mulanya dia tidak mahu namun aku berterusan memujuknya. Sudahnya, dia mengalah sahaja. Membantah pun tiada gunanya kerana aku akan memastikan dia akur dengan keputusan aku.

“Ayesha.” 

Dia masih tidak berpuas hati lalu membuntuti aku dari belakang. Aku matikan langkah dan membalikkan tubuh, menghadapnya.  

“Kau nak apa lagi, Ghaz?” 

“Kau sepatutnya berbincang dengan aku dulu pasal tu.” Wajahnya kelihatan tegang dan aku tahu dia sedang menahan marah. 

“Nak bincang apa lagi?” Aku hampir meninggikan suara. 

“Ayesha, aku tak pernah cuba aturkan hidup kau. Kalau kau masih nak bekerja, aku tak halang. Kan aku dah cakap sebelum ni.”

“Kau cakap kau tak aturkan hidup aku? Masalahnya sebaik aje kau datang selamatkan aku, kau dah cuba atur hidup aku dengan paksa aku jadi isteri kau,” bidasku. Dada aku menyirap dengan emosi tegang apabila teringatkan apa yang berlaku ke atasku beberapa hari yang lalu. Kononnya tidak mahu mengatur hidupku tetapi dia tetap juga membawa aku ke vila ini walaupun aku tidak rela. Bukankah tindakannya itu menunjukkan dia sememangnya mempunyai keinginan untuk mengatur hidupku? Dan sekarang dia menafikan bahawa hidupku diatur olehnya? Lucunya.

“Kau…” Wajahnya bertukar merah. 

“Apa masalahnya aku berhenti kerja? Salah ke aku buat macam tu sebab nak jaga kau? Nak jaga papa dan Sara?” 

Aku tidak mengerti mengapa dia marahkan aku. Apa yang aku buat bukannya melanggar kesalahan apa-apa pun. Yang dia hendak melenting kenapa? Bukankah dia lebih suka aku ada di rumah, melayani dia sewajarnya?

“Argh!”

Ghaz Lutfi berlalu pergi tanpa sempat aku menghalang. Aku tercengang bersama riak wajah yang keruh. Dah kenapa dengan lelaki ini? Benda kecil pun dia hendak besarkan. Macamlah aku buat benda tidak elok. Tidak rugi apa-apa pun aku berhenti kerja. Mood dia tidak baik agaknya dan aku pula dijadikan tempat untuk dia lepaskan geram.

“Kenapa dengan along tu?” Sara datang ke arahku. 

“Entahlah apa kena dengan along Sara tu. Tiba-tiba nak marahkan akak. Akak berhenti kerja aje pun tapi marahnya dia kepada akak macam akak dah hilangkan dokumen penting dia.” Aku mencemikkan bibir. Tidak masuk akal langsung. 

“Along mungkin salahkan diri dia sebab Kak Ayesha berhenti kerja. Dia sebolehnya tak nak kawal hidup Kak Ayesha.” Gadis di sebelahku ini mengatakan pandangannya yang aku rasakan ada juga logiknya. Ghaz Lutfi tidak mahu aku salahkan dia atas keputusan yang aku ambil memandangkan aku dibawa masuk ke dalam vila di luar kemahuanku. Tetapi aku memang tidak menyalahkan dia pun. Apabila aku menimbang baik dan buruk keputusan aku, aku yakin aku sudah membuat pilihan yang tepat. 

“Macam tu pula?” Semakin aku tidak faham dengan perangai orang-orang di dalam vila ini.

“Kak Ayesha, biarkanlah along tu. Mungkin dia tertekan dengan kerja kat pejabat. Itu yang dia beremosi sikit sampai marahkan Kak Ayesha.” Sara mengusap bahuku, cuba memujuk. Aku dapat merasakan hatiku yang membara sudah kembali sejuk. 

“Yalah kut.” Aku mengiakan sahaja.

“Along tu kalau dia marah kejap aje. Nanti dia sejuk baliklah. Kalau Kak Ayesha nak pujuk dia, Sara ada idea.” Sara memetik jari.

“Apa dia?” Memandangkan Sara ialah adik kepada Ghaz Lutfi, sudah pasti dia tahu caranya untuk memujuk lelaki itu.

Sara mendekatkan bibirnya ke telingaku. Mata aku membulat. Senang sangat hendak memujuk Ghaz Lutfi rupa-rupanya.

“Seriuslah, Sara?” Aku bagaikan tidak percaya. 

“Seriuslah!” 

Aku memeluk tubuh. Perangai macam budak-budak. Hendak pujuk kena bagi aiskrim pula.

“Biar Sara yang panggilkan papa. Kalau Kak Ayesha yang panggilkan, papa pula susah hati bila tengok wajah Kak Ayesha ni.” Sara menolak aku perlahan agar beredar ke dapur. 

“Betul ke ni?” Aku meminta kepastian.

Sara mengangkat ibu jari.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Hasz Ninie