Daftar   |      Log Masuk   |   Lupa Kata Laluan
Home Novel Cinta DIA DOKTOR HATIKU
DIA DOKTOR HATIKU
26/5/2014 08:16:51
37,616
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 17

Imran mengadap komputer riba yang baru sahaja dibelinya. Lebih berbaloi beli dua biji sekali gus dengan harga yang tidak dapat ditolak. Ia keperluan buat seorang pelajar. Satu untuk gadis kesayangan dan satu lagi untuk diri sendiri. Sengaja tidak diletakkan sebarang nama di kotak komputer tersebut, agar tidak dicurigai niat murninya oleh Lydia. Dia hanya mahu menggembirakan gadis itu.

Komputer riba ditutup. Dia keluar dari Cyber Café setelah puas melayari internet. Destinasi seterusnya ialah merasai sendiri kemeriahan Pesta Pulau Pinang. Suasananya cukup padat dengan peniaga yang sibuk berjualan pelbagai barangan dan juga macam-macam aktiviti menarik.

Tiba-tiba dia melihat pergaduhan kecil berlaku di gerai yang paling hujung sekali. Tidak terhenti setakat itu, kedua-dua lelaki tersebut sudah mula menarik-narik baju dan mengacukan penumbuk masing-masing.

Walaupun mereka bukan pelajar, hatinya tetap merasakan ia satu tanggungjawab sosial untuk meleraikan pergaduhan tersebut. Imran berlari pantas untuk menenangkan keadaan. Tetapi ia makin tegang dengan salah seorang daripada mereka menggunakan sebilah pisau lipat yang berkilat tajam matanya.

“Sudah! Apa yang kamu gaduhkan?” Imran cuba menyuraikan keadaan yang agak panas. Orang ramai mula mengeremuni mereka. Kedua-dua lelaki terbabit masih tidak mahu mengalah malahan lelaki yang memegang pisau itu sudah mula mengacukan pisau ke arah lawannya.

Imran mahu mematahkan lelaki yang memegang pisau itu. Dia menggunakan segala ilmu taekwando yang ada dengan memaut kaki lelaki tersebut, berjaya. Lelaki tersebut jatuh ke tanah, tetapi dia bangkit semula dengan perasaan yang tidak puas hati. Ada orang ketiga yang masuk campur.

“Abang, kita selesaikan perkara ini baik-baik. Letakkan pisau tu dan kita bincang!” pujuk Imran, meredakan ketegangan antara dua lelaki yang berusia 30-an tersebut. Lelaki itu mula meletakkan pisau di atas meja. Keadaan beransur-ansur tenang. Tetapi ejekan daripada salah seorang pekedai lain membuatkan hatinya kembali membuak marah. Dia mengambil pisau untuk menerkam lelaki yang mengejeknya tadi.

Pantas Imran memegang tangan lelaki tersebut. Nasibnya malang setelah pisau itu sendiri menikam ke arah lengannya. Darah pekat merah membasahi jalan tar. Bau hanyir bercampur dengan air ikan yang tumpah akibat pergelutan tadi. Keadaan semakin bingit dengan pekikan orang ramai. Imran sendiri sudah tidak sedar dengan apa yang berlaku.

Matanya dibuka perlahan-lahan. Hanya dinding putih yang berada di hadapannya sekarang. Tiada siapa pun berada bersamanya kini. Jiwa dirundung kesedihan. Bukan kerana menyesal atas tindakannya tadi, tapi alangkah indahnya jika seseorang dapat menemaninya melalui kedukaan begini.

Tetapi itu hanyalah anganan yang tidak mungkin menjadi kenyataan. Hanya dia sahaja yang berilusi. Sedangkan orang yang dimimpi selama ini tidak memandangnya walaupun sebelah mata. Imran tidak mahu menangisi apa yang berlaku. Dia kembali melihat lengannya yang berbalut. Masih terasa ngilu pisau yang menoreh kulitnya. Nasib baiklah hanya lengan yang cedera. Jika bahagian badan lain? Entahlah, sudah tentu dia akan koma sekali lagi.

“Awak dah sedar?” Satu suara lembut menyentuh cuping telinganya. Dia berpaling ke arah suara itu. Serasa tidak percaya, gadis yang diminatinya selama ini kini sedang menjaganya?

“Awak kat sini ke? Jaga saya?” tanyanya terkejut. Terasa mahu mengangkat tangan tetapi dia masih cedera.

“Tak! Sekadar bersama seorang teman di kala susah,” jawab gadis itu lagi dengan wajah sedikit kelat.

Imran tahu si gadis masih menaruh syak wasangka terhadap dirinya. “Terima kasih kerana datang melawat saya… Lydia.” Sakit terasa hilang dengan kedatangan gadis idamannya.

“Jangan berterima kasih dengan saya. Saya sekadar menjalankan tanggungjawab sebagai seorang kenalan. Awak masih sakit. Jangan banyak cakap ya,” pinta Lydia. “Awak nak suruh saya telefon emak dan ayah awak ke?”

“Tak perlu. Biarlah mereka tak tahu tentang kejadian ini. Saya tak nak mereka sedih.”

“Dalam keadaan begini pun, awak masih fikirkan orang lain?” soal Lydia. Dia tidak memahami sikap lelaki yang kononnya mahu menjadi penyelamat ini.

“Awak rasa terpaksa menemani saya di sini ke?” Soalan tidak dijawab. Sebaliknya Imran bertanya kembali kepada gadis itu. Dia mengambil nafas sekejap. Melayani fikiran sambil cuba membaca riak wajah gadis yang sukar ditelah perasaannya ini. Lydia mengangkat wajah dan memandang tepat ke dalam anak matanya. Sungguh indah. Dia sungguh-sungguh merindui gadis di depannya ini.

“Imran!” jerit Lydia. Dia melarikan pandangan tersebut ke bawah. Tidak sanggup bertentang mata dengan lelaki yang penuh pesona ini. Dia takut hatinya tidak kuat untuk menolak gelodak asmara yang makin bergelora di tangkai jiwanya.

“Ya, saya…” balas Imran sedikit terkejut. Namun, dia tetap kelihatan tenang menangani mood tidak stabil gadis di hadapannya.

“Kenapa awak terbabit dalam pergaduhan di pesta tu? Mereka bukannya pelajar. Kejadian pun di luar kampus. Awak tak perlu babitkan diri. Nyawa awak hampir melayang tau tak?” soal Lydia bertubi-tubi.

“Takkan saya nak pandang aje mereka bertikam?” Imran bersuara perlahan, menahan sakit di lengannya. Mungkin kesan ubat bius sudah hampir habis. “Saya cuma nak tolong leraikan mereka daripada bergaduh. Tak sangka jadi macam ni,” sambung Imran lagi sambil tersenyum tipis pada Lydia yang memandangnya dengan muka tidak puas hati.

“Tapi mereka jauh lebih tua daripada awak! Takkan awak tak fikir campur tangan ini hanya buatkan keadaan bertambah buruk?” balas Lydia masih tidak puas hati dengan penjelasan Imran yang lebih mementingkan orang lain daripada diri sendiri.

“Tapi sekurang-kurangnya saya berjaya hentikan mereka dari bergaduh kan?”

“Ya! Mereka tak jadi bertikam sebab mangsanya ialah awak sendiri…” Lydia bersuara geram. “Kenapa awak selalu beranggapan yang awak ada kuasa luar biasa untuk menolong orang lain?”

Imran tidak menjawab, tekaknya terasa haus lalu memuncungkan mulutnya ke arah botol minuman yang terletak nun di atas meja. Lydia yang melihat Imran bersusah payah bangun cuba membetulkan posisi duduk Imran. Dia menuang air ke dalam gelas dan menyuakannya kepada lelaki yang beranduh itu.

“Terima kasih.” Seronoknya dapat melepaskan dahaga, tekaknya terasa lega.

“Kawan awak yang ramai-ramai tu kat mana?” soalan lagi.

Imran menghembuskan nafas. Cuba menahan denyutan yang datang sekejap-kejap membuatkan dia tidak selesa.

“Nak saya panggilkan nurse?” Terasa bersalah pula melihat reaksi Imran yang kurang upaya. Kenapalah mulutnya tidak henti bertanya itu dan ini?

Imran menggeleng kepala. “No, thanks.”

“Maaf. Mungkin saya patut datang lain kali.” Lydia bangun, namun lengannya sempat dipegang oleh Imran yang memaksanya duduk kembali. Mukanya merona merah. Spontan Imran melepaskan pegangannya. Kali ini duduknya agak jauh supaya Imran tidak mengambil peluang memegangnya lagi. Benci!

“Awak tanya apa tadi?”

Imran tersenyum tipis membuatkan Lydia rasa resah. Kenapalah perasaan ini datang bersilih ganti? Sekejap benci, sekejap perasaan lain pula menjengah kalbu. Pelik.

“Lupakan aje soalan itu,” kata Lydia. Tiada guna bertekak berkenaan soalan yang Imran sendiri pun tidak mampu menjawabnya. Mana mungkin Imran tahu kenapa rakannya tidak datang. Dia kan kat hospital.

“Mereka ada hal lain kot. Lagipun sekarang assignment tengah banyak. Tak apa, awak ada di sini pun satu rahmat bagi saya.”

“Bukan saya yang sepatutnya di sini. Awak kan ramai kawan.”

Imran tersenyum, walaupun Lydia melayannya dengan kata-kata sarkastik, dia yakin ini adalah titik permulaan yang baik dalam sebuah perhubungan. “Awak ada kelas petang ni?”

Giliran Imran pula menyoal membuatkan Lydia terkebil-kebil. Perlu ke tahu jadual kelasnya? Lelaki ini bertambah pelik nampaknya.

“Takda… kenapa?”

“Boleh temankan saya makan tengah hari? Macam susah pula nak suap sendiri. Kalau awak ada… boleh suapkan?” Imran menjeling manja ke arah Lydia.

“Awak ni dah kenapa? Suruhlah rakan-rakan perempuan awak yang ramai tu suapkan. Mana mereka? Sorang pun tak nampak?” Lydia membeliakkan mata. Melontarkan kata-kata sindiran dengan maksud yang tersirat.

“Mereka ada kelas. Sebab tu saya minta tolong awak. Itu pun kalau awak sudi.”

“Jadi, awak perlukan saya ketika awak tiada kawan berfoya-foya di sisi? Begitu?” Bulat mata Lydia memandang Imran. Kurang ajar bunyinya, namun terpaksa dilakukan kerana Imran seperti mempergunakannya.

“Kenapa awak nak marah-marah? Bukan ke kawan sepatutnya disisi saat susah dan senang? Awak di hadapan saya sekarang? Salah ke saya minta tolong?” pinta Imran penuh mengharap.

Lydia merengus perlahan. Tapi, betul cakap Imran. ‘Kenapa aku marah-marah dia? Sepatutnya aku bantu dia. Jika tak dapat bantu, tolong jangan sakitkan hati orang boleh tak?’ Dia memarahi dirinya sendiri.

“Tengoklah dulu macam mana petang ni.” Nada suaranya agak kendur. “Cuma saya nak tanya awak satu soalan…” Lydia cuba menduga.

Imran sudah dapat merasakan bakal muncul satu masalah baru dalam kehidupannya sekejap lagi. Dia hanya membatukan diri, membiarkan Lydia menguasai bicara.

“Awak tercedera kerana menolong orang. Tapi saya lagi terluka kerana ada orang yang beri bantuan tanpa hiraukan perasaan saya langsung!”

“Apa yang awak cakap ni?” sangkal Imran.

“Tak payah berpura-pura Imran! Komputer itu awak yang punya, kan?” Imran tercengang-cengang. Tidak sangka yang rahsianya terdedah jua walaupun tanpa sebarang bukti. “Saya akan pulangkannya sebab saya pun akan beli komputer dengan duit saya sendiri. Saya tak perlukan simpati sesiapa pun!” Puas hati Lydia setelah meluahkan apa yang terbuku di hati.

“Saya menolong kerana ikhlas.”

“Tak perlu! Saya tak perlukan semua tu!” Lydia mengalihkan pandangannya ke arah bertentangan dari Imran. Dia tidak mahu terlalu kasihan dengan pemuda ini.

“Tapi Lydia…”

Bicara Imran terhenti. Seorang gadis cantik membuka pintu dan terus meluru ke arah Imran. Gadis itu terus duduk di birai katil tanpa menyedari kehadiran Lydia di situ.

“Abang…What’s wrong with you?” sapa gadis itu lagi sambil mengelus-ngelus rambut Imran.

Lydia hanya memerhati. Dia ingin untuk keluar sahaja dari bilik tersebut, tetapi kakinya bagai terlekat di wad 303 itu. Cantiknya gadis yang berpakaian agak mendedahkan dengan tiub dan jeans separas lutut itu. Perawakan seperti anak orang kaya. Pastinya menghairahkan hati lelaki yang memandang walaupun orang itu hampir kehilangan nyawa. Hatinya bagai bersetuju dengan keputusan yang diambil sebentar tadi. Ya! Imran memang seorang kasanova. Semua lelaki memang tidak boleh dipercayai.

“Takda apa… cuma luka sikit dekat lengan ni,” jawab Imran perlahan. Matanya masih memandang ke arah Lydia.

Lydia merasakan dirinya tidak diperlukan lagi. Dia mula melangkah untuk keluar dari situ.

“Eh! Ada orang di sini?” Gadis itu berpaling ke belakang setelah menyedari derapan kasut. “Hai...” sapanya penuh mesra.

Lydia hanya tersenyum tipis dan mengangguk. Dia hanya mahu cepat-cepat sahaja berlalu dari situ.

“You Lydia, kan?”

Pertanyaan itu membuatkan langkah Lydia terhenti. Dari mana gadis comel ini tahu namanya? Mengapa gadis itu kelihatan selamba aje? Diamatinya wajah gadis itu. Barulah dia sedari ada persamaan iras antara Imran dan gadis itu. Jangan-jangan mereka ni adik-beradik?

“Saya Yana, adik Imran,” ujarnya lagi sambil menghulurkan tangan. “Kak Lydia dah nak balik ke?”

“Ya...” Itu sahaja yang mampu diucapkan ketika ini. Dia betul-betul tergamam. Kak Lydia? Entah apa yang diceritakan oleh Imran mengenai dirinya. Semua cerita kampus dikongsi bersama adiknya? Tak pandai menyimpan rahsia langsung! getus hatinya.

“Terima kasih kerana jaga Abang Imran. Yana pun tak boleh lama sebab ada ujian kat sekolah. Dapat berita ni pun dari kawan baik abang Imran. Yana terus ambil flight datang sini.” Panjang lebar sahaja penerangan gadis petah ini.

Lydia merasakan ini masa yang tepat untuk berlalu dari situ. Dia sudah tidak betah lagi untuk berada dalam situasi yang mengelirukan.

“Maaf. Saya pun ada hal. Saya pergi dulu ya!” Lydia mengangguk dan terus pergi dari situ.

Keliru dan simpati bercampur aduk membuatkan dia tidak mahu lagi memikirkan lagi tentang lelaki yang seorang ini. Kepalanya penuh sesak dengan persoalan demi persoalan.

‘Ah! Kenapa aku memeningkan kepalaku dengan insiden seperti ini? Aku sudah lari daripada matlamat asal. Kalaulah arwah ayah dan emak tahu mengenai perkara ini, sudah tentu mereka sedih. Noktah! Lelaki sudah tidak ada dalam kamus hidupnya walaupun lelaki sebaik Imran.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.