Home Novel Cinta Dia Mimpi Indahku
Dia Mimpi Indahku
Rozita Abd. Wahab
21/5/2014 23:51:44
45,334
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab : 11

RIFHAN dan Hafsyam melangkah masuk ke dalam rumah sebaik salam mereka dijawab Haji Ahmad. Hanya orang tua itu yang berada di ruang tamu.

“Ayah sihat?” Rifhan segera bersalaman dengan ayahnya, diikuti suaminya.

“Alhamdulillah sihat...”

“Sunyi saja, tak ada orang ke?” tanya Rifhan sambil melabuhkan punggungnya di atas sofa.

“Ibu kamu ke rumah kenduri kahwin anak kawannya. Nita biasalah... hujung minggu macam ni mana tau lekat di rumah. Ila pun keluar. Zira baru naik ke atas,” jawab Haji Ahmad. Sebentar tadi Azira duduk di ruang tamu, menemaninya menonton televisyen tetapi anak gadisnya itu bergegas naik ke atas sebaik sahaja mendengar suara Rifhan memberi salam.

“Hmm... dah lama jugak Zira tak datang ke rumah.” Rifhan sudah berdiri, berura-ura mahu menemui adiknya. Sudah berkali-kali juga dia menghubungi telefon bimbit Azira tetapi tidak dijawab.

Rifhan menoleh ke arah Hafsyam yang duduk di sisi ayahnya.

“Syam nak minum?” tanya Rifhan. Ibu tidak ada di rumah, bolehlah dia masuk ke dapur dan menyediakan minuman untuk Hafsyam dan ayahnya.

“Nantilah,” jawab Hafsyam. Tidak selesa pula dia berada di rumah itu. Sememangnya dia agak keberatan hendak bertandang ke rumah mertuanya itu. Berkali-kali Rifhan mengajak barulah dia memberi persetujuan. Mendengar ayahnya menyebut nama Azira sebentar tadi hatinya mula terasa tidak enak.

“Han nak tengok Zira dululah.” Rifhan meneruskan langkahnya, mendaki anak tangga untuk ke tingkat atas.

Hafsyam menelan liur. Pahit dan payau rasanya, ada debar yang semakin terasa. Jantungnya mula berdegup kencang.

“Syam!”

Pantas Hafsyam menoleh ke arah ayah mertuanya.

“Syam tak sihat ke?” tanya Haji Ahmad. Wajah Hafsyam kelihatan pucat. Sejak melangkah masuk ke dalam rumah tadi lagi, menantunya kelihatan tidak selesa. Mungkin juga Hafsyam bimbang hendak berhadapan dengan ibu mertuanya. Haji Ahmad tertawa kecil. Simpati pada Hafsyam dan Rifhan. Kehadiran mereka ke rumah itu seperti tidak dialu-alukan oleh isterinya. Ada saja yang tidak kena apabila anak dan menantunya berkunjung ke rumah itu.

“Tak ada apa, ayah. Penat sikit saja,” jawab Hafsyam tanpa memandang ke arah ayah mertuanya. Bimbang andai lelaki separuh abad itu dapat menebak apa yang ada di hatinya ketika itu.

Rifhan mengetuk pintu bilik, kemudian menolaknya perlahan. Tentunya Azira berada di dalam bilik itu kerana dia mendengar suara radio dimainkan. Terukir senyuman di bibir Rifhan sebaik sahaja melihat Azira sedang tidur di atas katil. Mungkin adiknya itu kepenatan kerana setiap hari menghadiri kuliah dan hujung minggu digunakan untuk merehatkan dirinya. Dia duduk di birai katil.

“Betul ke Zira tidur ni? Tadi ayah kata Zira kat bawah,” duga Rifhan. Sengaja hendak melihat reaksi si adik.

Azira masih tidak bereaksi, seolah-olah dia benar-benar sudah terlena. Rifhan masih menanti, mengharapkan Azira menoleh ke arahnya. Sudah agak lama dia tidak bertemu dengan Azira, adiknya juga tidak menghubungi telefon bimbitnya. Setiap kali dia cuba menghubungi Azira, telefon Azira pula tidak dapat dihubungi. Terselit juga tanda tanya di hati, sama ada dia telah melukakan hati Azira atau tidak.

“Akak ada sakitkan hati Zira ke?” tanya Rifhan. Tubuh Azira diperhatikan dari belakang namun Azira masih juga tidak bereaksi. “Zira tak sihat?” Bimbang pula dia dengan keadaan Azira, diam membisu sedangkan Azira bukanlah orang yang pendiam. Ada saja cerita yang hendak dikongsi bersama setiap kali mereka bertemu.

Dia menyentuh bahu Azira tetapi Azira masih begitu juga lalu Rifhan lekapkan telapak tangan di dahi Rifhan. Biasa sahaja, tidak panas. Itu bermakna Azira sihat. Mungkin ada sesuatu yang mengganggu Azira hingga adiknya itu enggan berbicara dengannya tapi apa pula kesalahannya. Tidak pula dia tahu jika dia telah menyakiti hati Azira.

Lambat-lambat Rifhan bangun dari birai katil. Biarlah... mungkin Azira ingin bersendirian dan tidak mahu diganggu. Mungkin juga Azira kepenatan dan ingin berehat sahaja. Dia melangkah ke arah pintu yang sedia terbuka, ditoleh sekali ke arah Azira yang masih terbaring di atas katil. Masih mengharapkan Azira menoleh ke arahnya tetapi ternyata penantian dan harapan itu sia-sia sahaja, Azira masih tidak bergerak.

Dia melangkah keluar dari bilik tersebut. Daun pintu dirapatkan. Terusik juga hatinya dengan perlakuan Azira. Hati tertanya-tanya juga apa yang terlah berlaku. Rifhan mengatur langkah, menuruni anak tangga ke tingkat bawah.

“Zirabuat apa?” tanya Haji Ahmad sebaik sahaja melihat Rifhan melangkah ke ruang tamu.

Rifhan hanya menjongketkan bahu. “Tidur,” jawabnya, pendek.

“Eh... baru tadi Zira sembang dengan ayah kat sini. Baru saja dia naik atas. Takkan dah tidur?”

Rifhan menghela nafas. Wajah ayah direnung seketika. Kata-kata ayah mengundang persoalan di fikirannya. Benarkah Azira tidur atau ada perkara lain yang membuatkan Azira enggan berbual dengannya.

“Entah... panggil banyak kali pun dia tak gerak. Agaknya Zira penat sangat,” ujarnya sekadar hendak menyejukkan hati sendiri.

Rifhan menoleh ke arah Hafsyam. Wajah suaminya direnung seketika, bagaikan ada yang tidak kena dengan suaminya. Duduknya kelihatan tidak selesa.

“Syam okey ke?” tanya Rifhan sambil merenung wajah suaminya namun Hafsyam tidak bereaksi. Hanya matanya terpaku ke arah kaca televisyen yang terpasang. “Syam!” Dia memanggil. Suaminya masih begitu juga lalu Rifhan melangkah ke arah Hafsyam. “Syam!”

Kali ini Hafsyam menoleh ke arah Rifhan. Merenung wajah isterinya dengan penuh tanda tanya.

“Kenapa pandang Syam macam tu?”

Rifhan tertawa kecil. Sah, Hafsyam tidak mendengar apa yang dikatakannya tadi.

“Syam ni berangankan apa? Han panggil pun tak dengar.”

Hafsyam tersengih. Sememangnya dia tidak mendengar Rifhan memanggilnya. Dia asyik merenung skrin televisyen tetapi sebenarnya fikirannya tidak tertumpu pada apa yang sedang ditayangkan.

“Syam nak minum?” tanya Rifhan.

“Boleh juga.”

Rifhan mengatur langkah ke dapur untuk menyediakan minuman untuk Hafsyam dan ayahnya. Rumah itu rumahnya juga tapi kehadirannya tidak dialu-alukan oleh ibu. Hari ini dia bebas untuk bergerak di dalam rumah itu kerana ibu tidak ada di rumah.

AZIRA seka air mata di pipi. Hatinya cukup tersentuh dengan kesungguhan Rifhan yang cuba untuk berbicara dengannya sebentar tadi tapi dia pula terus membekukan diri. Tidak sanggup rasanya hendak berhadapan dengn Rifhan, apatah lagi hendak berbicara dengan Rifhan. Kakak kesayangannya itu yang menjadi tempat dia mencurah rasa dan berkongsi masalah tapi apa yang telah berlaku membuatkan dia dihambat rasa bersalah. Mana mungkin dia dapat berbicara dengan Rifhan dan memandang wajah Rifhan.

Entah sampai bila dia hendak mengelakkan diri dari Rifhan. Suatu hari nanti dia terpaksa juga berhadapan dengan Rifhan dan abang iparnya. Dia perlu berhadapan dengan kenyataan yang amat menyakitkan itu.

Dia bangun dan duduk bersandar pada dinding. Kedua-dua belah kaki ditarik rapat ke dada. Masih berbaki air mata yang mengalir di pipi. Hidup harus diteruskan biarpun apa yang telah berlaku amat menyakitkan hati dan fikirannya.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.