Home Cerpen Umum Lakaran itu
Lakaran itu
Nur Amirah Ishak
31/8/2017 00:42:30
1,626
Kategori: Cerpen
Genre: Umum

“Rumah mana pula yang nak dicat hari ni?”

            Segala lamunan termati serta-merta.  Rusyaidi  termangu cuba menyusun jawapan dalam fikirannya.

            “Belajar tinggi-tinggi, tapi kenapa pilih nak buat kerja macam ni? Kelulusan kamu tu boleh bawa kamu pergi jauh dan boleh kerja hebat macam anak jiran kita tu,” sambung Faizah tanpa menunggusebarang jawapan daripada anaknya itu.

            Rusyaidi bangkit perlahan-lahan mengubah posisi baringnya. Isu yang sama lagi dibangkitkan oleh ibunya. Kenapa mahu bandingkan dirinya dengan anak jiran pula? Tahap pemikiran dan gaya hidup masing-masing berbeza, tidak boleh pukul rata membuat perbandingan.

            “Umi tahu minat Adi kan? Adi seronok buat kerja Adi sekarang ni di samping dapat mengasah lagi bakat yang Adi miliki. Mana tahu, suatu hari nanti, Adi mampu bawa bakat Adi ni jauh terbang dan harumkan nama Umi, nama Adi, dan nama keluarga kita. Janganlah bandingkan Adi dengan Jenot tu. Jenot tu bukannya sama aliran belajar dengan Adi. Dia ada minat dan keinginan dia sendiri, tak boleh samakan kami membabi buta je.”

            “Haaa menjawab! Umi tegur sikit je,kamu menjawab bukan main panjang lebar,” Faizah masam mencuka.

            “Adi bukan suka-suka jawab. Adi tak kisah pun Umi nak tegur, tapi Adi harap, Umi bersabar banyak-banyak dengan Adi. Adi suka melukis. Selain daripada melukis atas kertas dan kanvas, Adi nak buat kelainan dengan melukis di dinding pula. Adi minta maaf ya Umi jika jawapan Adi tadi buat Umi terasa hati,” Rusyaidi cuba memujuk sebaik sahaja melihat wajah ibunya berubah kelam.

            “Adi tak penat ke? Apa yang Adi nak capai sebenarnya?” terasa terpujuk, nada Faizah kembali lembut.

            Rusyaidi tersenyum lebar mendengar persoalan ibunya itu. Apa ya, yang aku mahukan?

            “Cat bilik orang dan rumah orang memang penat ibu, tapi, Adi rasa puas setelah lihat hasilnya. Meskipun tak banyak yang Adi peroleh daripada kerja ni, Adi yakin satu masa nanti, orang kat luar sana, berjuta-juta kilometer dari sini pun akan terpikat dengan penangan bakat melukis yang Allah berikan ini. Ini sahaja yang Adi suka buat. Umi doakanya semuanya berjalan dengan lancar, dan yang paling penting, Umi reda. Kalau Umi reda dengan Adi, Allah jua pasti reda dengan Adi.”

 

Uncle, bilik tidur yang hujung tu dah siap. Esok, saya datang lagi untuk buat last touch up.”

            Rusyaidi mengelap peluh yang mengalir di dahi.

            “Banyak cantik ini bilik! Anak aku mesti suka nanti. Terima kasih banyaklah Adi,” tampak jelas keriangan di raut wajah Uncle Lim. Lafaz syukur dipanjatkan dalam hati tanda terima kasih pada Tuhan yang memberikannya kudrat menyiapkantugas ini.

            “Sebelum saya balik ni, saya nak minta izin tangkap gambar bilik ini boleh, Uncle?

            Uncle Lim mengerutkan dahinya.

            “Saya nak update akaun Instagram dan Facebook saya. Nak simpan sebagai memori dalam dunia maya,” pantas Rusyaidi menerangkan tujuannya meminta izin tadi sebaik sahaja Uncle Lim berkerut seribu. Setiap kali dia selesai melukis, baik di atas kertas, kanvas atau di dinding, Rusyaidi pasti akan menangkap gambar dan kemudian memuat naik ke dalam akaun Instagram serta Facebook. Bukan sahaja sebagai simpanan memori, tetapi ini juga salah satu inisiatif untuk mempromosikan hasil kerjanya itu. Mana tahu jika ada rezeki, ada yang berminat dengan lukisan-lukisannya, bolehlah kembangkan hasil jualan nanti. Bak kata pepatah, sambil menyelam minum air.

            “Ooo, baik-baik. Tangkaplah, aku izinkan. Nanti kalau ada kawan aku nak cat rumah atau kedai, aku telefon sama kamu. Cantik lukis macam ni, orang Cina kata banyak ‘ong’ tau!” ketawa mereka memecahkan sunyi.

 

Sebulan lamanya Adi memerap di dalam rumah. Seusai solat subuh dia akan keluar ke pangkin sambil termenung. Pukul 8.30 pagi, dia akan masuk ke dalam untuk bersarapan dan kemudiannya memerap di dalam bilik dan hanya menapak keluar bila tiba waktu solat serta makan.

            Kelakuan Rusyaidi meresahkan jiwa Faizah. Dia tahu anaknya sedang sibuk menyiapkan lukisan-lukisan di dalam bilik, tetapi, keadaan Rusyaidi yang sedikit tidak terurus dan banyak mendiamkan diri sangat membimbangkannya.

            “Adi, boleh Umi masuk?” Faizah meminta izin setelah mengetuk pintu bilik sebanyak tiga kali.

            “Masuk je Umi,” Rusyaidi mengemaskan ruang hadapan katil bagi membolehkan ibunya duduk di situ.

            “Adi okey? Umi tengok dah sebulan Adi terperap je dalam bilik. Pagi-pagi termenung kat luar sana tu. Adi kena sampuk ke? Bilik ni dah macam tongkang pecah Umi tengok. Adi ada masalah ke? ”tangannya mengusap lembut pipi Rusyaidi, penuh dengan kasih sayang.

            Rusyaidi ketawa kecil. “Ad ibaik-baik aje Umi. Sebulan ni Adi tak ada job cat rumah, bilik atau kedai. Jadi, Adi teruskan melukis kanvas kecil. Pagi-pagi termenung tu bukan kena sampuk tapi salah satu terapi untuk tenangkan minda Adi ni. Menghadap lukisan ni pun kadang-kala boleh pecahkan kepala. Dan, bilik ni memang berselerak sikit sebab ini sahaja ruang yang Adi boleh manfaatkan untuk menyiapkan tempahan yang ada.”

            “Tempahan?” Faizah terkebil-kebil.

            Rusyaidi tersenyum manis. “Umi ingat Uncle Lim?”

            Faizah pantas mengangguk.

            “Kan Adi pernah cat dua bilik dia. Kawan dia ada datang rumah dia dan tertarik dengan lukisan mural bilik tu. Uncle Lim berikan nombor Adi padanya. Semua lukisan-lukisan ni adalah tempahan daripadanya. Mahu diletakkan di rumah dan di pejabat. Konsep pun berbeza-beza tapi syukur semuanya masih dalam skop konsep yang selalu Adi tekankan.”

            Faizah menarik nafas lega. Melihat ruang bilik Rusyaidi yang kecil itu membuatkan hatinya sedikit hiba. Apa lagi yang boleh dia bantu agar anaknya dapat melakukan kerjanya dengan selesa?

            Perbualan mereka terhenti seketika. Deringan telefon bimbit Rusyaidi adalah puncanya. Terkial-kial dia mencari telefonnya itu dalam lambakan kanvas yang ada. Faizah turut sama bangun dan mencari-cari bunyi itu.

            “Assalamualaikum Ya Sheikh!” Rusyaidi memulakan bicara. Terpampang nama sahabat baiknya, Saif, yang selalu digelar Sheikh, asbab jubah dan kopiah yang selalu dia pakai.

            “Waalaikumussalam. Janganlah panggilaku Sheikh. Naik segan aku.”

            Rusyaidi mengekek geli hati. “Mana tahu betul-betul kau jadi Sheikh. Orang tua-tua cakap, kata-kata itu ibarat doa. Aku doakan kau ni.”

            “Banyaklah kau punya doa. Adi! Aku nak tanya ni, kau ada baca e-mel tak hari ni?”

            Rusyaidi bersandar di kaki ibunya. Faizah masih lagi setia duduk di sisi katil.

            “Aku sibuk sangat hari ni nak siapkan tempahan. Ada apa-apa yang menarik ke?”

            Kedengaran Saif berdehem beberapa kali. “Kau tak baca jugalah komen pada status yang kau update pagi tadi? Tentang latar belakang sawah padi lepas tu kau lukis potret melalui pemandangan tu.”

            Rusyaidi mengangguk tanda dia mengerti lukisan yang dimaksudkan itu. “Kenapa?”

            “Ada orang komen kat status kau tu. Lain kali bacalah! Orang tu kata dia nak e-mel kau nak tawarkan kau lukis mural di Arkib Perdana tu. Tak silap aku sempena Hari Pahlawan tahun depan. Aku ingatkan kau dah baca komen tu. Aku telefon ni pun sebabnya nak korek cerita ni. Tapi nampak gayanya, aku yang korek sendiri cerita dan cerita pada kau!”

            Rusyaidi mendiamkan diri seketika.Terus dia matikan panggilan Saif.

            “Adi! Adi! Sampai hati kau off terus panggilan aku,” Saif melihat beberapa kali skrin telefon bimbitnya setelah mendapati Rusyaidi diam secara tiba-tiba.

 

Lima pasukan badan beruniform seramai 20 orang setiap pasukan sudah siap sedia berbaris di hadapan para pengunjung dan tetamu kehormat yang hadir bagi menyaksikan perarakan Hari Pahlawan serta pelancaran Arkib Perdana. Arkib Perdana merupakan pusat galeri yang mengumpulkan artifak peninggalan sejarah baik di dalam jua di luar negara. Pembinaan Arkib Perdana setinggi tiga tingkat ini memakan masa hampir tiga tahun bagi menyempurnakan struktur binaan yang mampu memberikan segala kemudahan yang terbaik buat para pengunjung.

            Kawasan arkib ini terbahagi kepada beberapa segmen di setiap tingkat mengikut jenis artifak yang ditemui serta negeri dan negara yang terlibat. Di ruang legar Arkib Perdana ini menempatkan tiga cabang segmen untuk para pengunjung bersantai-santai di taman yang tersedia khas itu. Segmen-segmen inilah telah diamanahkan kepada Rusyaidi untuk mencantikkan dan menghidupkan kawasan itu seolah-olah para pengunjung benar-benar dibawa ke dunia lampau bagi menghayati nilai sejarah yang dipamerkan. Bukan itu sahaja, hasil lukisan Rusyaidi juga dicetak pada T-shirt dan cenderahati yang dijual di galeri Arkib Perdana itu.

            Rusyaidi telah dipinang oleh salah seorang pegawai yang menguruskan projek Arkib Perdana ini dan telah mengikat perjanjian setelah perbincangan dijalankan di antara dua belah pihak. Konsep yang ingin diterapkan, tempoh masa yang diberikan, dan segala kelengkapan yang diperlukan bagi menyiapkan lukisan mural ini, kesemuanya telah dibincangkan dengan begitu terperinci sekali.

            Rusyaidi menyahut cabaran dengan menerima tawaran yang diberikan walaupun setelah dinasihat oleh ibunya sendiri untuk dia berfikir sehabis baik sebelum menerimanya. Faizah melihat tugasan yang diberikan ini sangat mencabar. Amanah yang perlu dipikul terasa berat. Dia khuatir anaknya tidak boleh menjaga diri sebaiknya dan tidak dapat menyiapkan projek ini.

            “Umi, peluang tak datang dua kali tau. Adi nak cabar diri Adi sendiri. Adi nak buktikan pada diri Adi dan orang lain, dengan hobi dan minat sahaja kita boleh pergi jauh. Mungkin inilah masanya. Adi nak Umi doakan Adi, ya. Yang selebihnya kita serahkan pada Allah.”

            Dua das tembakan dilepaskan. Petanda penamat bagi sesi perbarisan dan pelancaran majlis. Para pengunjung yang hadir dibenarkan untuk berlegar-legar di kawasan Arkib Perdana dan sekitarnya, seraya merasmikan pusat sejarah itu.

            “Siapalah yang lukis semua ni? Macam berada kat zaman Jepun.”

            Rusyaidi menoleh ke kiri. Seorang remaja lelaki menyentuh dinding yang terlakar potret tentera Jepun di sebalik pemandangan kampung itu.

            “Adik suka mural ni?”

            Remaja tersebut memandang Rusyaidi lantas mengangguk.

            “Cantik lukisan ni. Mesti susah nak buat. Saya bercita-cita nak jadi kartunis. Tapi susahlah abang, walaupun saya minat melukis, ramai orang tak sokong minat saya ni. Mereka suruh saya belajar undang-undang ke, doktor ke. Boleh pergi jauh. Setakat melukis, tak boleh pergi mana pun. Dah nak putus asa dah ni. Tapi bila tengok lukisan ni, terfikir juga, macam manalah orang boleh buat sampai tahap begini. Berjaya hasilkan lukisan awesome macam ni.”

            Rusyaidi tersenyum manis. Dia melangkah mendekati remaja itu.

            “Abang ada baca status orang yang buat lukisan ni. Adik nak tahu dia tulis apa?”

            Remaja itu turut mengukirkan senyuman. Berminat mahu tahu selanjutnya.

            "Milikilah jiwa yang merdeka. Merdeka daripada kepompong tidak yakin diri sendiri serta kepompong sekeliling yang boleh meruntuhkan rasa diri. Menginsafi asal usul diri agar tidak tersasar dari matlamat hidup yang sebenar. Jangan biarkan diri terus terkunci dengan rasa takut yang membelenggu diri. Kita lebih hebat dari apa yang kita sangka kita akan jadi.”

            Rusyaidi menyerahkan sebatang pen pada remaja itu.

            “Jangan pernah takut dengan bakat dan minat yang ada. Teruskan melukis ya adik. Adik boleh jadi lebih hebat daripada pelukis mural ini.”

           

      

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Nur Amirah Ishak