Daftar   |      Log Masuk   |   Terlupa password
Home Cerpen Thriller/Aksi Antologi Jiwa Kacau - Gaun Berdarah : Hujan Rintik-rintik, Angin Bergelora
Antologi Jiwa Kacau - Gaun Berdarah : Hujan Rintik-rintik, Angin Bergelora
SYASYA BELLYNA
23/12/2013 22:00:58
2,807
Kategori: Cerpen
Genre: Thriller/Aksi
Beli Sekarang

SEKUMPULAN anggota polis memenuhi halaman rumah besar milik Ashikin dan Mansor. Penduduk berdekatan juga ada di situ sebagai pemerhati. Walaupun hujan lebat, mereka masih di situ untuk menyaksikan dua mayat yang diusung ke dalam ambulance. Mereka juga menjadi saksi kesedihan Ashikin. Janda muda itu menangis teresak-esak dibawah hujan. Walaupun dipujuk anggota polis wanita, Ashikin keras kepala. Sebolehnya dia mahu menatap wajah sang suami buat kali terakhir.

“Abang… abang… jangan tinggalkan Ashikin. Ashikin dah tak ada sesiapa kat dunia ni melainkan abang. Bangunlah bang,” rayu Ashikin.

Penduduk setempat yang memerhati, simpati padanya. Tapi apalah yang mereka boleh bantu. Sudah takdirnya begitu. Hanya doa mengiringi arwah dan semoga Ashikin tabah.

Tiba-tiba, sebuah kereta mewah berhenti di tepi jalan. Muhammad keluar dari perut kereta dan berlari ke arah mayat anaknya.

“Mansor! Mansor! Ya ALLAH… Apa dah jadi dengan kau ni?” Muhammad, bapa saudara merangkap bapa mentua Ashikin. Beberapa orang anggota polis memujuk Muhammad agar memberi laluan kepada mereka. Dua tubuh kaku itu harus dibawa ke hospital.

Muhammad menoleh ke kanan. Menantunya sedang menangis.

“Ashikin! Apa yang terjadi? Macam mana anak aku boleh mati?” soal Muhammad. Air mukanya keruh.

Ashikin mendongak muka. Raut wajah Muhammad direnung seketika. “Daddy… Ashikin tak tergamak menceritakan hal sebenar.”

“Apa yang dah terjadi?” gesa Muhammad. Sepasang matanya tertangkap ke arah luka besar di dahi Ashikin.

“Encik, bawa bersabar. Jangan desak saksi kami. Encik boleh ke hospital sementara pihak hospital melakukan bedah siasat pada mangsa.”

Muhammad tidak mempedulikan kata-kata anggota polis itu. Dia memegang bahu Ashikin dan memaksa wanita itu menceritakan hal sebenar.

“Cakap kat aku! Kenapa anak aku mati?!”

“Daddy….” Hanya itu yang lahir dari mulut Ashikin.

Ashikin terus menangis. Melihat kesedihan Muhammad, bertambahlah lemah jiwa wanitanya. Pak ciknya membesarkan Ashikin dengan penuh kasih sayang selepas ibu bapanya terlibat dalam kemalangan jalan raya. Muhammad menjaga harta benda Ashikin selaku peguam sehingga umurnya dewasa. Selepas itu datang lamaran dari Muhammad untuk anaknya, Mansor. Ashikin menerima kerana rasa terhutang budi. Dan sepanjang perkhawinannya, Ashikin rasa bahagia. Mansor sangat menyayanginya.

“Anak encik dibunuh dengan kejam.” Seorang daripada anggota polis yang berkumpul di sekeliling mereka bersuara.

“Dibunuh? Oleh siapa?” Soalan itu diajukan pada Ashikin.

Muhammad menunggu jawapan. Dia benar-benar inginkan penjelasan segera.

“Abang Mansor ada perempuan simpanan. Perempuan tu yang bunuh abang Mansor dan cuba mencederakan Ashikin,” jawap Ashikin jujur. Polis yang mengesahkan wanita yang mati bersama Mansor adalah kekasih gelap lelaki itu.

Muhammad tercengang. Dia terkejut.

“Jangan nak memburukkan nama anak aku. Sejahat-jahat Mansor, dia tak akan curang pada isterinya. Okey, kalau dia curang pun, pasti salahnya datang dari kau.”

“Daddy! Ashikin jenis manusia yang setia. Abang Mansor selalu kata Ashikin wanita yang sempurna. Walaupun abang Mansor curang, Ashikin masih sayangkan dia. Masih cintakan dia. Daddy tak tahu hal sebenar, jadi daddy nak salahkan Ashikin pula.” Ashikin sakit hati.

Muhammad mendiamkan diri. Dia merenung Ashikin seketika sebelum beredar pergi. Ambulance yang membawa mayat anaknya telah bergerak menuju hospital.

“Akak!” Suara garau seorang lelaki membuatkan Ashikin menoleh ke kanan. Lelaki itu segera menyalami Ashikin. “Muiz dapat panggilan dari daddy yang abang dah meninggal dunia. Kebetulan Muiz dalam perjalanan ke Johor atas urusan, jadi Muiz ke Linggi, nak jumpa akak. Apa yang dah jadi ni kak?”

Ashikin merenung lama wajah Muiz. Sudah lima tahun berlalu sejak kali terakhir bertemu. Semasa Ashikin berkhawin dengan Mansor, Muiz tidak dapat hadir. Sekarang adiknya bekerja sebagai peguam. Sama seperti bapa mentuanya. Ashikin juga tahu, Mansor dan Muiz tidak rapat.

“Akak duduk dulu.” Muiz mengiringi Ashikin ke ambulance. Dia segera mengambil sehelai kain kering yang berada di atas kerusi ambulance. Wajah Ashikin yang ditutupi air hujan dilap dengan berhati-hati.

Wajah Muiz dan Mansor ada persamaan. Cuma Muiz nampak lebih muda. Mungkin usianya lebih kurang saja dengan Ashikin.

“Subuh tadi Ashikin bertolak ke lapangan terbang dari rumah. Waktu pagi Ashikin perlu berada di Kuala Lumpur untuk bermesyuarat. Tapi, dipertengahan jalan, Ashikin baru teringat. Ada barang tertinggal di rumah. Ashikin patah balik. Bila Ashikin keluar dari kereta, Ashikin dengar abang Mansor menjerit-jerit. Lepas tu muncul satu perempuan dengan sebilah pisau. Ashikin terkejut. Ashikin nak tengok abang Mansor kat bilik tapi perempuan tu sangat menakutkan. Dia kejar tapi Ashikin berjaya melarikan diri. Ashikin tersandung dan kepala terhentak batu. Sedar aje dari pengsan, Ashikin dalam dakapan seorang anggota polis wanita. Polis tu beritahu Ashikin, abang Mansor dah mati dan perempuan gila tu bunuh diri.” Ashikin segera memeluk Muiz dan menangis. Muiz terus menenangkan Ashikin. Ditepuk-tepuk belakang badan Ashikin.

“Abang Mansor curang....” Tangisan Ashikin berlanjutan.

“Sabar kak… sabar.” Muiz mengusap kepala Ashikin untuk menenangkan kakak iparnya. Dia percayakan Ashikin.

Titik pandang Muiz beralih pada rumah besar itu. Rumah itu sudah hilang serinya sebagaimana kebahagiaan Ashikin semakin pudar kerana kecurangan Mansor dan tragedi yang mengejutkan. Muiz bimbang, tragedi itu mungkin akan memburukkan keadaan Ashikin.

“Puan Ashikin, kami akan hantar puan ke hospital. Rumah ni puan tinggalkan pada kami.”

Ashikin tidak memberi reaksi. Dia tenggelam dalam kehibaan.

Muiz memimpin Ashikin masuk ke dalam perut ambulance. Dia segera dibawa ke hospital untuk rawatan dan pihak polis akan melakukan siasatan selepas Ashikin dirawat.


Dua hari berlalu.

“Terima kasih puan atas kerjasama. Kami pergi dulu. Puan berehatlah.” Dua orang anggota polis beredar.

Muiz dan Ashikin saling berpandangan.

“Daddy tak nak melawat Ashikin?”

“Mungkin bukan sekarang. Daddy masih bersedih. Maklumlah, abang Mansor tu anak kesayangan daddy. Susah sikit nak terima kenyataan. Akak dah okey?”

Ashikin mengeluh. “Muiz pun tahu, kan. Kalau ada peluang, rasa nak meraung di depan jasad abang Mansor.”

Muiz angguk tanda memahami. “Tabahlah kak. Muiz akan sentiasa sokong akak.”

Ashikin hanya memandang Muiz.

“Akak, selama ni akak tak tahu ke yang abang Mansor tu ada perempuan simpanan? Akak tak perasan ke kelakuan aneh dia atau abang Mansor memang pandai sembunyikan hal tu dari akak?”

Ashikin menggeleng. “Ashikin percayakan abang Mansor. Tidak pernah wujud keraguan terhadap dia sampailah pada hari kejadian. Baru akak tahu siapa perempuan tu. Entah kenapa perempuan tu bunuh abang Mansor….” Fikiran Ashikin kusut.

Muiz mengeluh. “Macam manalah boleh jadi begini….” Muiz melepaskan pandangan ke luar. Panorama petang yang mendamaikan tidak mampu menenangkan hati yang bergelora.

Ashikin melihat tangannya. Masih terasa sengal. Dia teringatkan peristiwa malam itu.


Hari Kejadian,


NOTA: Dapatkan buku Antologi Jiwa Kacau dua di PBAKL2014 dan dikedai-kedai buku berdekatan untuk membaca sambungannya. :)

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.