Home Cerpen Thriller/Aksi JIN GALAH 0.4: SRIKANDI
JIN GALAH 0.4: SRIKANDI
Amiene Rev
21/6/2015 00:45:47
3,048
Kategori: Cerpen
Genre: Thriller/Aksi

JIN GALAH 0.4: SRIKANDI

Penulis: Amiene Rev

Blog: http://dukeamienerev.blogspot.com

NOTA: Karya kelima dalam koleksi cerpen Jin Galah.


Makhluk-makhluk hijau yang dipanggil sebagai Jin Galah telah berjaya mengepung seorang gadis. Gadis itu walau bagaimana pun kelihatan sangat tenang. Dia berpakaian serba hitam, seperti pakaian seorang pelumba motosikal di gelanggang Grand Prix. Rambutnya pendek, setakat paras leher.

“Aumm!!!” Seekor Jin Galah Hijau yang paling besar, cuba menakut-nakutkan gadis itu. Gadis itu tersenyum pahit.

“Hari ini, bukan kalian yang memburu aku, tetapi aku yang memburu kalian.” Begitu tenang dan angkuh, lagak gadis berusia sekitar 20 tahun itu.

Kata-kata gadis itu membuatkan Jin Galah Hijau tersebut berang, lalu dia menghayunkan tangannya dari atas ke bawah, cuba menghempap gadis tersebut dengan tangannya. Gadis itu melompat setinggi 10 meter ke belakang sebelum membuat satu balik kuang. Gayanya tidak ubah seperti seorang pakar akrobatik. Makhluk-makhluk hijau itu terperanjat. Belum pernah mereka berdepan dengan manusia sehebat ini.

“Aumm!!!” Jin Galah Hijau itu pun mengajak kesemua rakan sepasukannya untuk menyerang gadis tersebut.

“Ha! Ha! Ha! Ha!” Gadis itu ketawa dan dengan pantas dan bersahaja. Dia telah berjaya mengelak serangan makhluk-makhluk dari angkasa lepas itu.

Babak pertarungan antara seorang gadis misteri dengan sekumpulan Jin Galah itu berterusan selama beberapa minit. Kemudian gadis itu melompat kira-kira 10 meter jauhnya, dan membelakangi kesemua makhluk setinggi bangunan dua hingga tiga tingkat itu.

“Aku sudah bosan. Kalian semua terlalu lembab! Barangkali aku patut pergi mencari Jin Galah Kesatria itu. Kononnya dia sangat handal!” ujarnya sambil membelakangi kesemua makhluk-makhluk ganas itu. Angkuh. Keyakinannya untuk menang, sangat terserlah. Dia telah menguasai pertarungan ini.

Seekor Jin Galah Hijau cuba menerkam gadis itu. Gadis itu pun meluruskan tangan kanannya ke langit. Anehnya, tangan itu berubah menjadi sebilah pedang yang amat panjang dan tajam. Gadis itu melompat ke belakang sambil memutarkan badannya beberapa kali. Tangan seperti pedang itu pun berputar-putar seperti bilah helikopter, memotong kedua-dua lengan Jin Galah Hijau itu dengan mudah. Jin Galah itu terpinga-pinga, lalu meraung kesakitan. Gadis itu tidak memberi peluang kepada Jin Galah itu untuk terus menyerang. Dia melompat ke paras tengkuk Jin Galah yang malang itu, lalu memotong kepalanya dengan mudah.

Jin Galah itu lantas tumbang ke tanah. Gadis itu pun mendarat di atas badan bangkai raksasa itu. Jin Galah-Jin Galah yang lain saling pandang-memandang. Mereka tidak pernah tahu wujudnya gadis seperti ini.

“Dengar kata, kamu semua ini suka memburu manusia. Sekarang siapa buru siapa?” Gadis itu tersenyum, sengaja menaikkan darah makhluk-makhluk raksasa itu. Dia merenung tajam ke arah makhluk-makhluk ganas itu.

Kesemua Jin Galah itu pun mengaum serentak, lalu menyerbu ke arah gadis itu. Gadis itu ketawa, sambil mendepakan kedua-dua belah tangannya ke samping. Kali ini, tangan kirinya juga turut berubah menjadi sebilah pedang panjang yang tajam. Kedua-dua bilah pedang itu bersinar-sinar seperti sudah bersedia untuk meragut nyawa.

“Kalian semua tak sayangkan nyawa!” Anak mata gadis itu pun memancarkan cahaya perak. Gadis itu tunduk dan meluru ke arah makhluk-makhluk ganas itu, sambil mengheret kedua-dua belah tangannya yang berbentuk pedang yang terhunus ke belakang. Dia mendekati kumpulan Jin Galah Hijau itu. Kemudian, dia pun memenggal anggota-anggota badan setiap Jin Galah yang didekatinya. Anggota tubuh badan raksasa-raksasa tersebut pun gugur dan bergolek ke tanah. Sekali-sekala gadis itu membuat balik kuang, dan sekali-sekala dia memutarkan badannya. Gadis itu melibas pedang-pedang yang terbentuk daripada tangannya ke arah anggota-anggota badan makhluk-makhluk ganas itu. Kelima-lima Jin Galah Hijau pun tumbang. Kepala, lengan dan kaki mereka telah bercerai dari badan.

Gadis itu mendarat dan berdiri tegak di tengah-tengah bangkai-bangkai raksasa itu, dengan kedua-dua bilah pedang di lengan kanan dan lengan kirinya perlahan-lahan memendek, kembali bertukar menjadi tangan manusia. Anehnya, gadis itu langsung tidak menunjukkan apa-apa tanda kepenatan. Staminanya mengagumkan.

Anak mata gadis itu kembali normal. Hitam. Kemudian, sebuah helikopter terbang menghampiri gadis tersebut. Gadis tersebut mendongak ke atas. Dia melompat masuk ke dalam helikopter itu. Sungguh cekap dan mahir. Kekuatannya tidak menyerupai manusia normal.

=O=

Helikopter itu meluncur laju meninggalkan tempat itu. Di dalam helikopter itu terdapat seorang lelaki berusia dalam lingkungan 40 tahun, dan gadis misteri itu tadi. Lelaki itu berpakaian serba hitam.

“Enam ekor Jin Galah telah aku hapuskan hari ini.” Gadis itu menjawab dengan muka tidak berperasaan.

“Bagus! Spesies?” Lelaki itu ketawa. Satu lagi pencapaian mengagumkan.

“Hijau. Mereka sangat lemah.”

“Lain kali, kita cari spesies Hitam,” cadang lelaki misteri itu tadi.

“Tuan, aku ingin berdepan dengan spesies Kesatria.” Ternyata gadis itu amat angkuh. “Lebih banyak data tentang Jin Galah untuk direkodkan.”

“Spesies itu sukar ditemui.”

Setakat ini, manusia sudah berdepan dengan Jin Galah Hitam, Jin Galah Hijau dan Jin Galah Putih. Namun berdasarkan perbualan mereka, ternyata terdapat satu lagi spesies Jin Galah yang dipanggil Kesatria. Jin Galah Kesatria.

“Ha! Ha! Ha! Bagus. Bagus, kau memang seperti apa yang aku harapkan, Srikandi. Tidak sia-sia aku mencipta engkau.” Lelaki itu tampak gembira.

Srikandi, nama gadis tersebut. Srikandi bukan manusia. Dia adalah sebuah animatronik. Robot yang memiliki sifat dan pemikiran yang mirip manusia. Lelaki itu pula adalah Dr. Razi, seorang genius dalam dunia robotik. Lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan SPM ketika berusia 13 tahun, dan melanjutkan pengajian dalam bidang robotik dan juga sains komputer. Pada usia 17 tahun, dia mendapat Ph.D dalam bidang robotik. Pelbagai anugerah telah dicapainya. Sekelip mata, dia berubah menjadi salah seorang manusia terkaya di muka bumi.

Srikandi diprogramkan dengan kemahiran seni bela diri. Selain itu, dia juga dibekalkan dengan kemahiran melakukan provokasi. Gunanya untuk mengganggu emosi lawan. Hakikatnya, Srikandi adalah mesin yang tidak berperasaan. Dr. Razi telah memasukkan beberapa program supaya Srikandi kelihatan seperti manusia hidup. Program emosi.

“Tuan, kami mengesan sekumpulan manusia sedang dalam bahaya. Perlukah kita bantu?” Salah seorang juruterbang helikopter berpaling ke belakang.

“Status?”

“Sembilan orang manusia dikejar seekor Jin Galah Hitam. Kami juga berjaya mengesan seekor Jin Galah Perisik di kalangan manusia itu.” Nampaknya helikopter itu mampu mengesan kedudukan Jin Galah.

“Srikandi... tugas kedua kamu untuk hari ini.”

Srikandi merenung Dr. Razi dengan wajah tidak berperasaan. Matanya tiba-tiba memancarkan cahaya perak. Srikandi tersenyum. Sukar dijelaskan sama ada Srikandi benar-benar faham, kenapa dia harus tersenyum. Emosinya cuma terbentuk daripada perisian yang telah diprogramkan.

=O=

Di sebuah padang, Syamsul dan lapan orang lagi manusia berlari dengan begitu laju. Kira-kira beberapa puluh meter di belakang mereka, kelihatan seekor Jin Galah berwarna hitam. Langkahnya agak tempang. Mukanya kelihatan sangat bengis.

“Cepat-cepat!” Manusia-manusia itu saling memberi dorongan sesama mereka untuk terus berlari.

Syamsul sedar akan bunyi helikopter di atasnya. Syamsul mendongak sambil berlari. Tiba-tiba kakinya tersadung, lalu terjatuh.

Belum sempat dia bangkit dari jatuhnya, Jin Galah Hitam telah tiba dan cuba menerkamnya. Pada saat yang mencemaskan itu, tiba-tiba kelihatan satu lembaga hitam terjun dari helikopter itu dan menendang kepala Jin Galah Hitam itu. Jin Galah Hitam itu hilang keseimbangan badannya, lalu tumbang ke tanah. Bergegar permukaan bumi. Rupa-rupanya, lembaga hitam itu adalah seorang gadis. Srikandi. Sebuah animatronik.

“Terima kasih!” Syamsul kagum. Gadis ini sangat handal dan berani.

“Kamu semua, cepat beredar dari sini!” Mata gadis itu bersinar-sinar dengan cahaya perak. Gerun Syamsul melihatnya.

Syamsul sudah penat berlari. Dia berharap agar ada air untuk diminum. Melihatkan gadis itu, Syamsul mula teringatkan anak gadisnya, Isma yang baru berusia 13 tahun. Sudah lama dia tidak melihatnya. Sudah hampir dua minggu, Syamsul menjadi buruan Jin Galah. Dia bersembunyi dari satu tempat ke satu tempat, semakin jauh dari tempat tinggalnya sebelum dia menemui sekumpulan manusia yang terselamat.

Auman Jin Galah Hitam itu mematikan lamunan Syamsul. Jin Galah Hitam itu cuba menyambar gadis itu dengan tangannya. Gerakan tangan raksasa itu amat pantas tetapi gadis itu lebih pantas mengelak. Tiba-tiba tangan kanannya berubah menjadi sebilah pedang.

“Wow!” Mata Syamsul terbeliak menyaksikan peristiwa luar biasa itu.

Kumpulan manusia yang lain juga terpegun menyaksikan keanehan gadis tersebut. Mulut mereka terlopong. Mereka lupa kehadiran sebuah helikopter di atas kepala mereka.

Gadis itu membongkok sebelum menebas kedua-dua belah kaki Jin Galah Hitam itu. Jin Galah Hitam itu meraung kesakitan. Sepantas itu juga, raksasa itu tumbang ke tanah. Permukaan bumi bergegar lagi. Makhluk hitam itu menongkat dengan kedua-dua belah tangannya lalu cuba menyambar Srikandi. Srikandi mengelak sambil tersenyum. Dia menunggu masa yang sesuai untuk mencantas kedua-dua lengan Jin Galah Hitam itu.

Zas! Zas! Srikandi begitu cekap memenggal kedua-dua belah lengan raksasa itu. Kedua-dua belah lengan Jin Galah yang baru sahaja diputuskan itu pun berputar-putar sebelum jatuh bergolek ke tanah. Jin Galah Hitam itu sudah dilumpuhkan dalam masa kurang daripada dua minit. Gadis itu berdiri di samping Jin Galah Hitam itu.

“Aku tak mahu lihat kau menderita lagi.” Selepas menuturkan kata-kata itu, Srikandi pun memenggal kepala Jin Galah Hitam itu. Kemudian, kedua-dua bilah pedang itu pun menyusut dan digantikan dengan tangan biasa. Sekalian manusia yang ada di situ, bersorak menyaksikan kemenangan itu.

“Siapakah kamu ini?” Syamsul berjalan ke arah gadis itu.

Gadis itu tidak menjawab. Tangan kirinya menekan telinga kirinya. Seperti sedang menerima satu panggilan. Barangkali orang di dalam helikopter itu yang sedang menghubunginya. Syamsul tetap menunggu jawapan daripada gadis itu.

“Aku? Aku penyelamat kamu.” Gadis itu merenung Syamsul dengan muka yang tidak berperasaan.

“Terima kasih. Terima kasih.” Syamsul mati akal melihat kecantikan wajah gadis itu. Dia teringatkan isterinya pula. Damia.

“Kamu terus menuju ke Selatan. Di sana ada kem tentera.” Gadis itu mendongak ke arah helikopter. Dia menapak beberapa langkah mendekati helikopter itu sebelum melompat masuk ke dalamnya.

Manusia-manusia yang lain terpegun. Handalnya gadis ini. Helikopter itu pun beredar pergi.

=O=

“Aku tidak pernah melihat manusia seperti itu!” Kamaruddin berlari mendekati Syamsul. “Kau tak apa-apa?”

Syamsul sekadar menunjukkan isyarat ibu jari. Dia sudah lesu berlari tidak berhenti-henti sejak tadi.

“Dia suruh kita menuju ke Selatan. Katanya ada kem tentera di sana.”

Kesemua manusia yang ada di situ mula saling pandang-memandang.

“Kita pergi?”

“Lebih baik kita pergi. Gadis itu pun sudah selamatkan kita tadi. Dia pasti berniat baik.”

“Tapi lihat tangannya tadi. Kekuatannya tadi, entah-entah...”

“Ya, aku tahu itu bukan kebolehan yang manusia biasa seperti kita mampu lakukan. Baik kita pergi ke kem tentera itu untuk mendapatkan jawapan yang lebih tepat.”

Syamsul mendongak ke langit. Helikopter itu tidak menuju ke Selatan seperti yang diharapkan. Mungkin penyelamat mereka itu masih ada misi yang lain. Syamsul bersangka baik terhadap gadis itu.

=O=

“Kenapa Tuan tak benarkan aku bunuh Jin Galah Perisik itu tadi?” Srikandi memandang ke arah Dr. Razi.

Dr. Razi mengerut dahinya. Diam seketika.

“Aku mahu lihat sejauh mana kebijaksanaan Jin Galah Perisik itu. Biarkan mereka semua ke kem. Kita akan kutip data daripada subjek kita itu secara senyap-senyap.”

Srikandi merenung Dr. Razi agak lama, sebelum mengalihkan pandangannya ke luar helikopter, menikmati suasana serba mendung dan gelap itu. Matanya tiba-tiba memancarkan sinar perak.

Helikopter itu terus menjelajah di udara. Hala tujunya masih tidak diketahui.

BACA KARYA KEEMPAT JIN GALAH: Cerpen Jin Galah 0.3: RINDU

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.