Home Cerpen Seram/Misteri KISAH SERAM MALAM JUMAAT: POTRET LAMA
KISAH SERAM MALAM JUMAAT: POTRET LAMA
Fazrin Fauzi
19/5/2016 11:39:38
11,463
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri
Beli Sekarang

POTRET LAMA

Jangan sentuh apa-apa. Kalian hanya dibenarkan untuk melihat sahaja.”

Ungkapan ini sering bermain di minda Isyana apabila melihat Afiq dan Haris yang asyik bercanda tawa“ sejak tadi. Malah, mereka langsung tidak memberi perhatian disaat penjaga banglo, Encik Hamdi memberi sedikit peringatan ringkas.

“Hisy... cantik betul banglo ni!” Puji Afiq sambil memetik sekuntum bunga pohon kemboja yang ditanam berhadapan banglo putih yang dibina pada tahun 1857 tersebut.

“Kau ni tak dengar ke apa yang Encik Hamdi pesan tadi? Jangan sentuh apa-apa.” Getus Isyana. Mahu saja dia mencubit telinga Afiq.

Afiq dan Haris saling berpandangan antara satu sama lain sambil bergelak tawa. Mereka langsung tidak ambil kisah dengan apa yang dipesan Encik Hamdi. Bagi mereka, peringatan itu tidak memberi sebarang makna yang perlu dipatuhi.

Pintu utama banglo putih itu dikuak dengan perlahan sebaik Isyana membuka selak pintunya menggunakan kunci yang dibekalkan Encik Hamdi. Hampir seluruh ruang di dalam banglo itu dilitupi dengan kain putih. Habuk-habuk mula berterbangan sebaik angin bertiup masuk.

Tanpa sebarang kata, Afiq dan Haris segera menapak masuk serentak meninggalkan Isyana di belakang. Isyana masih terkebil-kebil memandang susun atur gaya inggeris di dalam banglo tersebut. Susunannya mirip dengan gambaran yang bermain di dalam mimpinya tempoh hari.

**

“Macam mana aku boleh ada di sini?” Hairan Isyana sambil menggaru kepalanya.

Dia mula mendekati sebuah potret lama yang tergantung rapi dinding ruang tamu. Jari-jemari runcingnya mula mengusap potret itu dengan perlahan. Ternyata ianya dilukis di atas kain kanvas. Potret itu memaparkan seorang lelaki dewasa yang duduk di atas kerusi malas sambil wajahnya menghadap ke arah lain. Tetapi, apa yang bermain difikirannya adalah warna lukisan tersebut. Warnanya seolah-olah pucat. Langsung tiada tarikan.

“Grr...”

Suatu bunyi ganjil menjengah ke ruang telinga Isyana. Dia menoleh wajahnya memandang sekeliling. Namun, tidak ada yang mencurigakan. Kelibat manusia langsung tidak dilihatnya sejak pertama kali dia menjejakkan kaki di dalam banglo tersebut.

“Grr...”

Sekali lagi bunyi ganjil itu muncul. Kali ini disertakan juga dengan bunyi seringai yang garang. Isyana segera menoleh ke belakang dengan pantas. Apa yang dilihatnya adalah satu susuk makhluk hitam berbulu yang sedang memerhatinya dengan pandangan yang begitu tajam.

Isyana mengerakkan tubuhnya ke belakang dengan perlahan-lahan sebelum dia ingin melarikan diri. Mulutnya seolah-olah terkunci. Tiada yang mampu keluar melalui ruang mulutnya disaat makhluk itu muncul dengan tiba-tiba.

“Jangan ganggu aku...” Desis Isyana di dalam hatinya.

Malang tidak berbau, Isyana telah terpijak sesuatu yang berbentuk seakan-akan sfera di atas lantai. Tidak semena-mena Isyana jatuh tersembam di hadapan lembaga hitam itu. Dia terkesima seraya melihat raut wajah makhluk berbulu yang seakan beruang itu yang sangat pelik. Tidak seperti beruang-beruang yang pernah dilihatnya di kaca televisyenselama ini.

Belum sempat dia bangkit, objek yang berbentuk seakan-akan sfera itu bergolek ke arah Isyana. Dia mengamati objek itu dengan terperinci di bahagian belakang. Sebaik bahagian depan terkalih dengan sendirinya, dada Isyana berdegup kencang seperti mahu meletup.

“Teng...korak!” Jerkah Isyana kerana begitu kaget.

**

“Hoi... kau mengelamun apa, Isyana?” Soal Haris sebaik terlihat Isyana yang sedang berdiri pegun di muka pintu.

Mata Isyana berkelip-kelip pantas sebaik Haris menegurnya. Dia menggenyeh kedua belah matanya dengan tapak tangan. Dia tahu dia baru sahaja tersedar daripada lamunan. Namun, apa yang menjadi persoalan saat ini adalah, kenapa banglo putih ini mirip dengan gambaran banglo yang menjengah ke dalam mimpinya beberapa hari yang lalu.

“Kau ni, kita datang nak kaji sejarah tentang pembinaan banglo ini. Bukan nak tengok kau mengelamun.” Sakat Afiq sambil tertawa terbahak-bahak.

Isyana hanya memandang Afiq bagai tiada perasaan. Dia segera menyusun langkah ke ruang tamu banglo tersebut. Diamatinya segenap ruang tamu itu sambil mengingati kembali gambaran di dalam mimpinya. Cuma yang membezakannya, hampir semua peralatan dan perkakas ditutup dengan kain putih.

Jika diikutkan hati, mahu saja Isyana menanggalkan kain putih itu namun peringatan yang disampaikan Encik Hamdi sentiasa bermain di kotak mindanya. Mungkin ada sebab kenapa Encik Hamdi memberi peringatan seperti itu.

“Empuk betul sofa ni.” Ujar Afiq seraya melompat-lompat di atas sofa merah buatan luar negara itu.

“Afiq!” Herdik Isyana sambil menjegilkan matanya pada Afiq.

Sementara itu, Haris dilihat sedang berjalan perlahan mendekati penjuru ruang tamu. Tiba tiba sahaja langkah kakinya terhenti. Dia memalingkan wajahnya menghadap pada sebuah potret yang masih diselubungi kain putih. Serta-merta tangan kanannya menarik jatuh kain itu dan dicampaknya ke atas lantai.

“Haris...” Desah Isyana. Kedua belah matanya terlopong kala melihat gambar potret itu.

Gambarnya mirip seperti di dalam mimpi Isyana. Dia mulai getar. Lidahnya terkelu bukan kepalang. Tetapi cuma ada sedikit kelainan yang kelihatan begitu jelas sekali. Tompokkan merah pudar dilihat memenuhi di ruangan bawah potret. Sepertinya tompokkan yang terhasil daripada titisan darah.

“Wow... barang baik ni.” Afiq segera mendekati potret itu. Dia mengamatinya dengan penuh keterujaan.

“Kalau jual niconfirm kaya, Afiq.” Jawab Haris sambil memeluk bahu Afiq.

“Ada harga ke?” Tanya Afiq sambil tersenyum. Dia mula berminat dengan cadangan Haris.

“Tak silap aku, ratus ribu jugalah. Kau tengok seni lukisannya. Perfecto!” Tambah Haris lagi.

Isyana yang mendengari perbualan mereka mula tidak senang. Lekas dia mendapatkan mereka di penjuru ruang tamu.

“Kita datang sini untuk siapkan tugasan. Bukan borak kosong macam kau orang ni!” Berang Isyana sambil menjeling pada Afiq dan Haris.

Relaxlah. Orang cakap, sambil menyelam minum air.” Seloroh Afiq sambil mentertawakan Isyana. Lekas potret itu diambilnya lalu dimasukkan ke dalam beg galasnya.

Isyana tidak mampu untuk berkata apa-apa. Mulutnya terkatup rapat. Sebaliknya dia hanya mampu menadah tangan di dalam hati supaya mereka semua selamat daripada segala kejadian yang tidak diingini. Risau juga jika kelibat makhluk berbuludi dalam mimpinya itu mula munculkan diri.

“Haris mana?” Soal Isyana sambil melingas pada Afiq.

Sekelip mata sahaja, Haris telah hilang daripada pandangan mata mereka. Suasana di dalam banglo tersebut juga bertukar menjadi suram. Cahaya matahari yang menerobos masuk melalui celahan tingkap mula pudar hingga akhirnya menjadi kelam. Afiq dan Isyana saling bertukar pandangan. Jauh dilubuk hati Isyana sudah merasakan akan ada sesuatu kejadian yang buruk bakal berlaku.

“Jom kita cari Haris dulu.” Ajak Afiq sambil menggamit pada Isyana.

Isyana hanya mengangguk tanda setuju.

Belum sempat Isyana dan Afiq berganjak dari ruang tamu, suatu angin kuat menyelinap masuk melalui ruangan tingkap yang sedikit terbuka. Hampir saja mereka berdua ditimpa sebuah jam antik besar yang berada betul-betul dihadapan tingkap tersebut. Segera Isyana dan Afiq mendaki anak tangga ke tingkat atas sejurus beg galasnya yang berisi potret lama itu digalas rapi.

Belum sempat anak tangga terakhir dipijak Isyana dan Afiq, satu lembaga hitam berbulu lebat muncul di hadapan mereka. Bebola matanya tersembul keluar. Gigi taringnya yang besar dipenuhi dengan cecair merah pekat.

Tidak semena-mena kaki kanan Isyana tergeleceh di anak tangga terakhir. Dia rebah hingga terguling-guling menuruni anak tangga. Afiq yang tidak sempat menyelamatkan Isyana daripada rebah segera berlari turun. Namun, pergerakannya terbatas tatkala lembaga hitam berbulu itu juga turut mengejarnya.

“Jangan lari... kau milikku.”

**

“Aku dimana ni?” Soal Haris terpinga-pinga.

Haris berada di dalam satu ruang yang sempit. Hampir saja dia sesak nafas kerana ruang itu terlalu padat baginya. Pergerakkannya juga terbatas. Dia hanya mampu berbaring pegun sambil kedua belah tangannya ditekup di atas dada.

Haris juga sedang berusaha untuk melepaskan diri. Tetapi tangannya seolah-oleh diikat oleh sesuatu. Dia mula mengerang untuk dilepaskan. Namun, suaranya tidak mampu menembusi ruang yang sempit tersebut. Haris akur. Dia mula ingatkan TUHAN kala itu.

“Ya ALLAH. Selamatkanlah aku!” Pinta Haris di dalam hati.

Tiba-tiba sahaja ruang sempit itu mula terlerai dengan sendirinya. Haris segera bingkas bangun. Tangannya yang dirasakan seolah-olah diikat itu sudah beransur bebas. Dia memerhati semula pada ruang sempit itu. Ternyata ianya adalah sebuah keranda katolik yang kelihatan begitu lusuh.

Haris menoleh wajahnya memandang sekeliling. Alangkah tergamamnya diapada saat itu lantaran berada di tanah perkuburan agama kristian yang belum pernah dilihatnya. Menggigil kedua belah kaki Haris sebaik matanya menancap ke arah kayu berbentuk ‘t’ yang dipacak melata di atas tanah. Langit yang gelap mempengaruhi suasana di tanah perkuburan itu. Makin lama makin dilihat begitu suram.

“Grr...”

Haris lekas memaling wajahnya ke arah pohon teja usang. Tidak semena-mena asap kabus putih memenuhi kawasan itu diselang-seli dengan bunyi seringai. Haris memerhati ke arah pohon teja itu dengan terperinci. Belum pun sempat matanya dikerlip, satu susuk tubuh lelaki tiba-tiba muncul seraya berjalan menghampiripohon teja itu.

Lantas lelaki misteri itu meletakkan sebuah bingkai gambar yang terpapar potret lama di atas rumput kering. Lalu dia mengeluarkan sebilah pisau rambo bergigi tajam dan terus membenamkan mata pisau itu ke dalam perutnya.

Lelaki misteri itu meronta-ronta sendirian seraya menekup perutnya untuk menahan sakit. Namun, ditolaknya lagi hulu pisau itu hingga menembusi tubuh belakangnya. Darah pekat memercik-mercik keluar dengan laju hingga membasahi baju yang dipakainya. Kemudian, menitis sedikit demi sedikit di atas bingkai potret itu.

“Aaa..aku dd..dah tunaikan ppper..permintaanmu. Ambillah dar..darahku.” Tutur lelaki misteri itu termengah-mengah.

Sepantas kilat lelaki itu terus rebah betul-betul di atas bingkai potret itu. Haris yang melihat kejadian itu terkesima buat seketika. Mahu saja dia mendapatkan lelaki misteri itu namun ada sesuatu yang membuatkan hasratnya terhalang. Lembaga hitam berbulu yang muncul sejurus lelaki misteri itu tersungkur.

Lembaga hitam berbulu itu menyeringai sendirian sebelum dia mendekati lelaki misteri tersebut. Dipandangnya tubuh lelaki itu yang lencun berlumuran dengan darah. Lekas lembaga hitam berbulu itu membuka mulutnya dengan luas. Serta-merta lidahnya terbit sepanjang enam kaki laluterus menjilat cecair merah pekat itu hingga licin.

“Allahuakhbar!” Tempik Haris sekuatnya.

**

“Isyana, Isyana...”

Afiq menggoncang tubuh Isyana yang masih terbaring kaku. Darah yang mengalir di kepalanya hampir saja kering kerana sudah lama mereka terbaring di atas lantai. Sebaik goncangan Afiq makin kuat, Isyana mula membuka kedua belah matanya dengan perlahan. Lalu terkebil-kebil memandang wajah Afiq yang dipenuhi dengan lebam.

“Ddd...dah jumpa Haris?” Tanya Isyana. Biarpun keadaannya terlalu lemah, dia tetap memaksa dirinya untuk bersuara.

Afiq menggelengkan kepalanya dari kiri ke kanan. Lantas dia memapah Isyana ke ruang tamu dan terus merebahkan Isyana di atas sofa. Dia melihat wajah Isyana yang sedang menahan sakit. Entah mengapa perasaan serba salah mula menyemai dibenaknya. Belum sempat dia menghenyak pinggul di sebelah Isyana, bunyi kuakkan pintu yang deras kedengaran dengan begitu jelas.

“Siapa tu?” Afiq bingkas mengatur langkah ke arah pintu masuk banglo tersebut.

Dia memerhati daun pintu itu dengan teliti. Langsung tiada kesan pergerakan keluar masuk yang terjadi. Keadaannya sama sahaja seperti tadi semasa mereka mula menapak masuk ke dalam banglo itu. Perasaannya ketika itu sangat berdebar-debar. Dadanya bagai dipalu kuat. Lekas dia menyusun langkah ke ruang tamu semula. Dimindanya hanya memikirkan tentang Haris. Entah kemana dia menghilangkan diri.

Tidak semena-mena sekali lagi susuk lembaga hitam berbulu itu muncul di hadapannya. Kali ini bebola matanya tidak tersembul keluar. Tetapi, bersinar-sinar bak biji saga merah. Afiq tergamam disaat makhluk itu menunding kuku runcing lagi tajam itu dilehernya. Dia tidak mampu berbuat apa-apa lantaran kedua belah kakinya seolah-olah dipaku kemas. Afiq memejamkan kedua belah mata. Dia tidak sanggup melihat dirinya dikorbankan oleh makhluk tersebut.

“Afiq! Lepaskan beg kau.” Tiba-tiba sahaja Haris muncul dibelakangnya sambil menarik-narik beg galas Afiq yang tersimpannya potret lama itu.

Afiq segera meloloskan beg itu pada Haris. Tanpa berlengah masa, Haris terus mencapai beg tersebut dengan pantas. Dia bingkas berlari dengan laju ke arah ruang tamu tanpa menghiraukan makhluk berbulu yang mula mengejarnya. Alangkah malang nasibnya kala kakinya tersadung dek bucu meja kopi yang berada di ruang tamu. Beg yang terkandungnya potret lama itu terlepas dari genggaman tangannya.

“Ya ALLAH!” Getus Haris sebaik makhluk berbulu itu sudah menghampiri dengan beg tersebut.

Isyana yang baru sahaja tersedar bingkas bangkit dari sofa. Walaupun kepalanya terasa begitu berat, diterkamnya beg itu dengan pantas. Lekas Isyana menghampiri dinding dimana tempat asalnya potret lama itu. Tanpa sebarang bicara, dia meletakkan semula gambar potret itu dengan menyangkut gelung besi kecil dibahagian belakang potret tersebut dengan cangkuk besi yang terpaku di permukaan dinding.

“Jangan lari... kau milikku.”

**

“Afiq! Kau kenapa ni?” Soal Isyana seraya meneliti raut wajah Afiq yang begitu gelisah.

Isyana dan Haris mentertawakan Afiq usai taklimat ringkas Encik Hamdi bertemu tanda noktah. Bebola mata Encik Hamdi juga terkebil-kebil memandang pada Afiq yang baru tersedar daripada lamunan panjang. Hujung bibirnya juga terjongket sedikit sejurus Haris menepuk bahu kanan Afiq beberapa kali.

“Saudara. Kamu okey tak?” Tanya Encik Hamdi sebelum dia menyerahkan segugus kunci pada Isyana.

Wajah pucat lesi Afiq mula menimbulkan tanda tanya. Isyana segera menyerahkan gugusan kunci itu pada Haris sebelum dia merapati tubuh Afiq yang masih berdiri pegun di hadapan banglo putih tersebut.

“Afiq, kau kenapa ni? Tadi kau yang excitedsangat nak datang sini.” Ujar Isyana sambil menatap dalam wajah Afiq.

“Aku rasa kita kena cancel. Aku nak balik. Aku nak kau orang juga balik. Tempat ini tak selamat.” Desah Afiq seperti diserang histeria.

“Mana kau tahu tak selamat? Kita baru aje sampai. Tengok, Encik Hamdi baru aje datang nak serahkan kunci tu.” Haris menuding jari pada Encik Hamdi yang berada di bawah pohon kemboja.

Afiq mengerling pada wajah Encik Hamdi. Dia terkesima lantaran Encik Hamdi mengukir senyuman sinis yang mempunyai makna tersembunyi. Serta-merta wajah Afiq dipenuhi dengan peluh. Langit di atas juga tiba-tiba bertukar warna sebaik Afiq menoleh wajahnya ke arah banglo putih itu. Tiupan angin juga semakin kuat hingga memukul-mukul tubuh Afiq untuk maju ke depan pintu banglo tersebut.

“Percayalah. Ada sesuatu di dalam banglo putih ini yang membuatkan kita tak selamat!” Herdik Afiq pada Haris dan Isyana. Dia terus menarik lengan mereka berdua supaya mengikut perintahnya.

Haris dan Isyana menukar pandangan antara satu sama lain sebelum mengekori Afiq dari belakang. Sebaik mereka tiba di kereta, sekali lagi Afiq menoleh wajahnya ke arah pohon kemboja dimana tempat Encik Hamdi berdiri sebentar tadi. Malangnya dia sudah lenyap.

“Kenapa muka kau sama dengan gambar lelaki dalam potret lama tu?” Desis Afiq didalam hati sejurus dia merebahkan pinggul di tempat duduk pemandu.

“Eh! Kunci tu kau dah serah balik tak?” Rungut Isyana pada Haris.

Haris segera menyeluk tangannya dalam kocek. Malangnya kunci tersebut tidak ada di dalam kocek seluarnya. Tetapi ada sesuatu yang menggantikan kunci itu. Lekas Haris mengeluarkan ia.

“Tulang?!” Tempik Isyana dengan lantang. Lantas dia menghenyakkan pinggulnnya di tempat duduk belakang.

Tulang putih yang bersaiz kecil itu dilemparnya Haris ke luar tingkap sebelum kereta yang dipandu Afiq menyusur keluar dari laman banglo putih itu.

“Jangan lari... kau milikku!”

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.