Home Cerpen Seram/Misteri ANTOLOGI JIWA KACAU : 3 PAGI
ANTOLOGI JIWA KACAU : 3 PAGI
Dhieya Adlynna
11/4/2013 21:48:59
12,188
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri
Beli Sekarang

Tia yang sedang menyiapkan tugasan yang diberikan pensyarahnya, benar-benar terleka. Sehinggakan dia langsung tidak menyedari angka yang sedang ditunjukkan oleh jarum jam pada ketika itu. Yang dia tahu, dia perlu menyiapkan tugasan itu pada malam ini juga. 

Malam itu, dia melakukan tugasannya sambil ditemani dengan lagu-lagu yang dimainkan oleh pemain mp3 miliknya. Sesekali, kepalanya bergerak ke kiri dan kanan sambil mengikuti rentak lagu yang sedang dimainkan. Dengan cara itu sahaja, dia dapat menghilangkan rasa mengantuknya.

“Sikit lagi, siaplah ni,” ujarnya pula.

Tia yang mahu menyambung tugasannya, tersentak apabila pemain mp3 yang disumbat pada telinganya tiba-tiba saja ada bunyi pelik. Terus tangannya membetulkan earphone yang digunakannya. Mana tau, kot-kot earphone tu tidak disambung pada pemain mp3 dengan elok.

Lagu yang dimainkan oleh mp3nya kembali dimainkan dengan elok. Tiada lagi bunyi pelik yang didengarnya buat seketika tadi. Pelik! Gumamnya sendiri.

Baru saja Tia mahu menyambung kerjanya, sekali lagi telinganya terdengar bunyi pelik. Sekali dengar, macam bunyi ada gangguan frekuensi. Frekuensi?

Pelik! Dia bukannya mendengar radio, jadi kenapa pula ada gangguan frekuensi? Terus anak matanya terarah pada pemain mp3nya. Mahu memastikan yang dia memang mendengar koleksi lagu yang ada di dalam pemain mp3 dan bukannya radio.

Kenapa pula dengan mp3 ni? Dah rosak ke?

Malas berfikir panjang, anak mata Tia terus terarah pada skrin komputer ribanya kembali. Mahu menyambung tugasannya yang terhenti buat seketika tadi. Dia mahu cepat-cepat siap sebelum tibanya waktu itu.

Seketika kemudian, Tia terdiam. Waktu itu? Bunyi pelik? Jangan-jangan...

Tanpa membuang masa, anak mata Tia terus mencari jam yang berada di skrin komputer ribanya. Ti..tiga pagi? Anak matanya membulat. Sungguh! Dia langsung tidak menyangka waktu sekarang sudah hampir pada waktu itu. Dia telan liurnya dengan begitu payah sekali. Tanpa dia sedar, peluh dingin juga sudah mula kelihatan pada wajahnya.

Baru sekarang dia terasa menyesal kerana terlalu asyik dalam menyiapkan tugasannya sebentar tadi. Bertambah menyesal apabila bayang teman serumahnya langsung tidak kelihatan pada waktu ini.

Mana pulak perginya si Mimi ni? Tak kan waktu macam ni tak balik lagi?

Terus Tia menggapai telefon tangannya yang berada di sebelah komputer ribanya. Dengan tangan yang mula menggigil, dia mula mencari nama Mimi dan tidak lupa untuk menekan butang hijau.

“Mimi!” jerit Tia saat telinganya mendengar suara Mimi bersambut di hujung sana.

“Tia! Apa ni? Sakitlah telinga aku!” jerit Mimi pula dari hujung sana. Telefon yang berada di telinganya sebentar tadi, sempat dijarakkan. Spontan jarinya mula mengorek lubang telinganya.

“Mimi! Kau kat mana ni?” suara Tia kedengaran lagi.

“Dalam bas.”

“Bas?” soal Tia yang agak terkejut dengan jawapan yang baru diberikan oleh rakannya itu.

“Yalah! Kenapa?”

“Kau jauh lagi ke? Bila nak sampai umah ni?”

Wajah Mimi mula berkerut tebal. “Kau cakap apa ni? Lupa ke yang aku ada kem 3 hari ni?”

“Kau...kau cakap apa ni Mimi? Jangan mainkan aku!”

“Betullah. Kan minggu lepas lagi aku cakap kat kau yang aku ada kem 3 hari.”

“Tapi...bukan esok ke kem kau tu mula?”

“Esok apanya? Hari ni lah.”

Jawapan yang baru diberikan oleh Mimi itu, bagaikan satu batu besar yang jatuh di atas kepalanya. Tiba-tiba sahaja dia terasa lemah. Peluh yang tadinya kelihatan pada wajahnya, sudah semakin banyak. Jantungnya juga sudah berdegup laju. Seketika kemudian, dia terasa bulu romanya tegak berdiri. Dalam kepayahan, Tia telan liurnya.

“Ke..kenapa kau tak ingatkan aku?” soal Tia dalam suara yang terketar-ketar. Perasaan takutnya semakin kuat dirasai apabila mengenangkan yang dia terpaksa mengharungi malam ini seorang diri. Tiada Mimi di sisinya untuk malam ini.

“Kau ni kenapa?” soal Mimi yang mula merasa pelik dengan gelagat Tia itu. Seketika kemudian, dia teringat sesuatu. Terus anak matanya melihat jam yang tertera pada telefon tangannya itu. 3 pagi? Ya ALLAH, Tia....

“Tia! Jangan cakap pada aku yang kau sekarang ada kat rumah tu?” tanya Mimi.

“Mimi....” panggil Tia pula. Hanya itu sahaja yang mampu dilakukannya. Dia sudah tidak berani untuk mengangkat wajahnya

“Ya ALLAH, Tia! Kau buat apa kat sana sorang-sorang? Dah tu, kenapa kau tak tidur awal?” Bebel Mimi apabila yakin yang Tia memang berada di rumah sewa mereka yang disewa tiga minggu yang lalu.

“Manalah aku tau yang kau tak ada kat rumah malam ni. Aku ingatkan kem kau mula esok,” bela Tia pula.

Kalau dia tahu yang Mimi tiada di rumah, awal-awal lagi dia sudah cabut ke rumah sewa kawannya yang lain. Biarlah sesak macam sardin daripada terpaksa tinggal seorang diri di sini.

“Dah! Tak payah cakap banyak. Paksa diri kau untuk tidur,” arah Mimi pula.

Paksa diri untuk tidur?

“Ingat senang ke nak paksa tidur dalam keadaan macam ni?” soal Tia. Suaranya masih lagi terketar-ketar. Tangannya juga sudah menggigil apabila bunyi gangguan frekuensi yang didengarinya sebentar pada mp3, kedengaran lagi.

Mimi terus menampar dahinya. Kalau dia pun, tentu payah nak paksa diri tidur dalam keadaan diganggu begitu.

“Ya tak ya jugak kan? Kau...kat mana ni?”

Tengok saja bulu romanya yang tegak berdiri, Tia yakin yang malam penuh mencabarnya sudah pun bermula. Ya ALLAH! Boleh ke aku mengharungi malam ini seorang diri?

“Aku..kat ruang tamu, tadi tengah buat tugasan.”

Mulut Mimi melopong.

“Ruang tamu? Kau dah gila?” tekannya kuat.

“Aku tak sedar yang waktu berlalu dengan pantas. Tengok-tengok saja, dah pukul tiga...”

“Dah tu! Kau buat apa kat situ? Cepatlah lari masuk dalam bilik. Duk diam-diam kat sana. Tutup mata! Tutup telinga!” suara Mimi yang memberi arahan kedengaran lagi.

“Aku takut...”

“Dia...dia dah ada kat situ?”

Tia diam. Langsung tidak menjawab pertanyaan rakannya itu. Wajahnya masih lagi ditundukkan. Langsung dia tidak berani untuk memandang kiri dan kanan. Lihat sahaja bulu romanya yang tegak berdiri dan ditambah dengan rasa sejuk dengan tiba-tiba pun, dia sudah dapat agak. Dia sudah tahu yang dirinya sekarang tidak keseorangan.



Tiga minggu sebelumnya

Kak Ton yang terdengar bunyi bising di sebelah rumahnya, terus membuka pintu rumahnya.

“Penyewa baru?” soal Kak Ton saat anak matanya bersatu dengan anak mata seorang perempuan muda yang mungkin sebaya dengan anaknya.

Mimi yang sedang mengangkat kotak tersentak. Dia menoleh untuk melihat empunya suara yang menegurnya. Dia menghadiahkan senyuman pada wanita itu. Terus dia meletakkan kotak yang berada di tangannya. Langkahnya terus di atur ke arah wanita itu.

“Ya saya. Baru masuk hari ni. Nama saya Mimi dan itu kawan serumah saya, Tia.” Terus Mimi memperkenalkan dirinya dan Tia yang akan menyewa di situ. Pesan mak, dengan jiran haruslah berbuat baik. Jangan sombong.

Tia yang dengar namanya disebut oleh Mimi, turut merapati jiran baru mereka. Salam perkenalan turut diberikan pada wanita itu.

Kak Ton hanya mengangguk. Dia tahu, rumah itu pasti akan mendapat penyewa baru. Maklum sajalah, di dalam kota sebegini mana ada orang mahu tolak bayar sewanya yang murah. Tapi, mereka tak tahu. Rumah itu punya ceritanya sendiri dan disebabkan itulah penyewa di rumah itu hanya mampu bertahan tiga bulan sahaja. Dan kemudian, keluar dan diganti pula dengan penyewa lain.

“Panggil Kak Ton saja,” beritahu Kak Ton sambil anak matanya terarah pada nombor rumah 333.

“Kak Ton dah lama tinggal kat sini?” tanya Tia sekadar berbasa basi.

“Boleh tahanlah. Kamu...menyewa berdua saja?”

“Haah, berdua saja. Kami ni belajar lagi kak. Tak selesa tinggal kat rumah sewa lama sebab tu carik rumah sewa lain,” cerita Mimi dengan panjang lebar tanpa dipinta oleh Kak Ton.

Kak Ton terdiam. Dalam diam, dia cuba memikirkan cara yang sesuai untuk memberitahu penyewa tersebut akan rahsia yang ada di rumah sewa itu. Bimbang jika tersilap cakap, akan membuatkan mereka takut tak tentu hala pula. Ataupun, mungkin juga tidak dipercayai. Kalau tidak diberitahu, bimbang ada perkara lain pula yang berlaku pada mereka.

“Kak Ton cuma nak pesan. Sembahyang jangan tinggal. Amalkan mengaji selalu, kalau malam Jumaat, lagi elok kalau baca surah Yassin,” pesan Kak Ton.

Mimi dan Tia yang mendengarnya, sudah saling berbalas pandangan. Itu baru hari pertama, dah kena ceramah free, gumam Mimi pula.

“Kak Ton masuk dulu. Oh, ya! Kalau boleh tidur awal. Tak elok kalau amalkan tidur lewat selalu. Terutamanya, sebelum jam 3 pagi,” sempat lagi Kak Ton memberi pesanan terakhir sebelum dia melangkah memasuki rumahnya kembali.

Semakin tebal kerutan di wajah Mimi dan Tia yang langsung tidak kata-kata Kak Ton. Tidur awal? Mustahillah! Assignment melambak!

“Jomlah masuk!” ajak Tia pula. Sudah tidak betah berada di situ. Ditambah pula dengan perangai pelik yang ditunjukkan oleh jiran mereka.

Senja pada hari itu, Tia yang sedang asyik membasahkan tubuhnya setelah penat mengemas rumah sewa mereka tersentak. Terus dia menutup paip air hujan.

Tuk! Tuk! Tuk! Bunyi ketukan pada bilik air itu kedengaran lagi.

“Kejaplah Mimi! Tengah mandi ni,” sahut Tia pula. Tanpa menantikan balasan daripada Mimi, dia terus membuka kembali paip hujan itu.

Apalah Mimi ni, tak menyempat langsung. Orang nak mandi pun tak senang, omel Tia.

Tuk! Tuk! Tuk! Bunyi yang sama kedengaran lagi. Tia mendengus geram.

“Kejaplah Mimi!” jeritnya lagi. Tanpa mempedulikan Mimi yang mengetuk pintu, Tia meneruskan urusannya untuk mandi setelah penat mengemas rumah sewa mereka pada hari itu.

Usai mandi, Tia melangkah keluar dari bilik. Terus anak matanya meliar mencari Mimi.

“Mimi! Bangunlah! Tadi beria sangat nak masuk tandas sampaikan aku nak mandi pun tak senang,” kejut Tia lagi diikuti dengan omelannya saat anak matanya melihat Mimi yang sedang lena itu.

Mimi menggeliat malas.

“Tak ada kerjanya aku nak kacau kau mandi. Membuta lagi baik,” sahut Mimi sebelum bangkit dan menggapai tualanya. Lalu, langkahnya diatur menuju ke arah tandas.

Tanpa Mimi sedar, kata-katanya sebentar tadi membuatkan Tia diam membisu. Akalnya mula memikirkan bunyi ketukan yang dia dengar sebentar tadi.

Bukan Mimi yang ketuk pintu? Dah tu, siapa? Tiba-tiba sahaja dia terasa seram sejuk apabila memikirkan akalnya mula memikirkan yang bukan-bukan. Seketika kemudian, dia menggelengkan kepalanya.

Hish! Aku salah dengar kot, bisik hatinya lagi. Sengaja dia berkata begitu. Tidak mahu akalnya terus membuat kesimpulan yang bukan-bukan.

Malam itu, mereka berdua mengambil keputusan untuk membuat tugasan yang diberikan oleh pensyarah mereka di ruang tamu sahaja. Maklum sajalah, bilik mereka kecil saja. Mana ada ruang lagi untuk membuat kerja mereka. Telinga masing-masing disumbat dengan earphone. Hanya dendangan lagu dan secawan air nescafe yang mampu membuatkan mereka berdua mampu untuk berjaga pada malam itu.

Seketika kemudian, Mimi menggeliat malas sambil kedua-dua tangannya di angkat ke atas. Pinggangnya mula terasa sakit gara-gara terlalu lama menghadap skrin komputer ribanya. Terus dia merebahkan badannya, bantal kecil yang berada tidak jauh darinya terus ditarik agar dapat membuat alas kepalanya. Seketika kemudian, matanya juga di pejam rapat.

Rehatlah kejap. Kejap lagi, sambung balik, bisik Mimi.

Seketika kemudian, anak mata Mimi terbuka luas. Bunyi pelik yang didengarinya dari earphone mengganggunya.

Pelik! Bunyinya macam frekuensi radio yang teralih, sedangkan dia tidak mendengar radio tetapi lagi yang dimainkan di komputer ribanya. Spontan tangannya menarik earphone dari terus menyumbat telinganya.

“Kenapa?” tanya Tia yang seakan melihat gerak-gerinya sebentar tadi.

“Entah! Earphone aku rosak kot.”

“Aku punya pun sama,” sahut Tia pula. Entah kenapa, ada bunyi gangguan frekuensi pula.

“Rosak macam mana?” spontan soalan itu terpacul dari mulut kedua-duanya.

“Entah! Ada bunyi pelik. Macam gangguan frekuensi yang kita dengar kat radio,” balas Tia.

“Samalah dengan aku punya. Padahal, aku dengar lagu dari laptop kot.”

Seketika kemudian, mereka berdua mendiamkan diri. Sangka mereka, semuanya kebetulan sahaja. Malas berfikir panjang, Tia meneruskan tugasan yang terhenti sebentar tadi. Manakala Mimi, masih lagi terbaring di situ.

Mimi yang baru sahaja memejamkan matanya, terus membuka anak matanya buat kali kedua. Dia yang terbaring, mengangkat sedikit kepala dan lehernya. Gayanya itu, tak ubah seperti aksi gimnastik. Bezanya, badannya tidaklah terlalu lembut seperti mereka. Entah kenapa, dia terasa seperti nampak ada sesuatu yang melintasi belakangnya sebentar tadi. Kosong! Tiada apa-apa di situ.

“Kau kenapa? Tak sakit leher ke?” tegur Tia pula. Pelik melihat aksi rakannya itu.

Mimi tersengih. Seketika kemudian, dia bangkit dari perbaringannya. Dia mahu meneruskan tugasannya pula. Sempat dia menjeling jam yang sudah pun menunjukkan pukul 3 pagi.

Satu keluhan dilepaskan. Agaknya, pukul berapa baru siap ni? Keluhnya lagi.




Hari ke-3

Mimi mendengus kuat. Dia belum puas mandi, si Tia ni sudah mengetuk pintu. Kot ya pun, tak boleh sabar kejap ke?

Tuk! Tuk! Tuk! Bunyi ketukan pada pintu tandasnya kedengaran lagi.

“Tia! Sabarlah kejap! Aku nak mandi ni!” jerit Mimi pula. Naik geram dia dengan kerenah Tia yang tak henti-henti mengetuk pintu tandasnya.

“Hah! Pergilah masuk! Tadi kemain lagi nak masuk. Macam dah tak boleh tahan,” omel Mimi saat melihat wajah Tia yang sedang melayan cerita di komputer ribanya.

Tia memandang Mimi dengan terkebil-kebil. “Masuk mana?” soalnya bodoh.

“Tandaslah! Tadi kau ketuk pintu rasa macam nak pecah pintu tu.”

“Mimi..bukan aku yang ketuk pintu tu,” ujar Tia teragak-agak. Dia sudah mula rasa lain macam.

“Kau jangan nak kelentong akulah Tia. Dalam rumah ni mana ada orang lain? Kau dengan aku saja yang tinggal sini,” balas Mimi pula. Terus dia meninggalkan Tia sendirian di ruang tamu.

Betul ke dalam rumah ni ada kita dua, Mimi? Aku...aku tak rasa macam tu...bisik hati Tia pula.

Mimi yang mahu bersiap, mendengus kuat. Tadi si Tia yang mengganggunya mandi. Sekarang jiran kat atas pulak. Tak habis-habis dengan main gulinya. Langsung tak fikir akan jirannya kat bawah ni, komen Mimi geram.

Ting! Ting! Ting....! Bunyi yang sama kedengaran buat kali kedua. Mimi melangkah keluar, mahu mencari si Tia.

“Kau dengar tak?” tanya pada Tia.

“Dengar apa?”

“Orang atas tu dah melampau betul. Asyik main guli je,” omel Mimi pula. Geram betul dia dengan sikap selamba jirannya itu. Yang nak buat kacau tak kira waktu. Itu tak masuk yang main guli pukul 1 pagi. Waktu orang nak tidur, waktu tulah jugak dia nak mainnya.

“Oh, bunyi guli tu pernahlah dengar. Kuatkan bunyi tu? Nak-nak lagi kalau malam macam ni. Lagi jelas bunyi guli tu,” sahut Tia pula.

“Aku tak kira! Kalau dia main lagi, esok aku nak jumpa dengan tuan rumah tu. Nak cakap dengan dia,” putus Mimi yang geram. Sudahlah tadi mandinya diganggu Tia dan sekarang jirannya di atas pula turut mengganggunya. Memang tak boleh tengok orang senanglah!



Hari ke 13

Mimi yang tadinya lena, mula bergerak perlahan-lahan. Entah mengapa dia merasakan suhu di dalam biliknya itu sejuk lain macam. Terus saja tangannya tercari-cari selimut yang biasanya dicampak ke tepi. Maklum sajalah, malam sentiasa rasa panas jadi selimut memang tak guna langsunglah.

Mimi tersentak. Tiba-tiba sahaja dia terasa ada sesuatu yang meniup-niup di tepi telinga kirinya. Terus dia membuka matanya. Kosong! Tidak ada Tia di situ. Segera dia menoleh ke kanannya pula. Dilihatnya, Tia lena di situ.

Tadi tu apa? Sedangkan Tia lena di sebelah kanannya. Argh! Perasaan aku saja kot, putus hati Mimi pula. Sudah malas berteka-teki dalam waktu macam ni. Seketika kemudian, dia menjeling pada tingkap di biliknya. Tak hujan? Tapi, kenapa rasa sejuk lain macam?

Sempat pula Mimi menjeling pada jam yang berada di telefon tangannya. Emm, baru pukul 3 pagi. Lambat lagi paginya, keluhnya perlahan. Seketika kemudian, dia bangkit lalu mengatur langkah menuju ke arah pintu bilik. Niatnya untuk ke tandas.

Baru sahaja pintu biliknya, dibuka dia sudah tergamam. Matanya yang tadinya separuh terbuka, sudah dibukanya seluas yang mungkin. Dengan payah, dia telan liur. Tadi..tadi tu...bayang apa? Tak! Dia tak salah lihat! Dia memang nampak bayang. Seperti orang...?

Dengan perasaan berbelah bagi, Mimi kuatkan semangatnya untuk melihat bayang apakah yang dilihatnya sebentar tadi. Nak kata si Tia, memang tak masuk akallah! Sebab baru sekejap tadi dia melihat rakannya itu lena di sebelahnya.

Berbekalkan sisa semangat yang dia ada, dia mengatur langkah ke arah ruang tamu. Pantas suis lampu ditekan. Kosong! Tiada apa-apa. Tapi, bayang apa yang dilihatnya tadi? Dia yakin yang bayang dilihatnya sebentar tadi melangkah ke arah ruang tamu itu. 

Tadi tu...aku salah silap ke? Pantas, dia menggosok kedua-dua matanya. Mungkin disebabkan mamainya yang masih ada, sehinggakan melihat benda yang langsung tidak ada di situ. Yakin yang ruang tamu itu kosong, dia kembali mengatur langkah menuju tandas.

Kaki Mimi terhenti di hadapan biliknya. Telinganya seperti terdengar sesuatu.

Ting! Ting! Ting....!

Bunyi guli yang didengarinya tempoh hari kembali kedengaran. Diikuti pula dengan bunyi guli yang sedang bergolek jauh. Puk! Ada sesuatu menyentuh kakinya. Jantungnya mula berdegup dengan kencang. Peluh mula kelihatan di gigi rambutnya. Bulu romanya juga sudah tegak berdiri. Tanpa Mimi sedari, tubuhnya sudah menggigil. Dengan teragak-agak, dia turut mengalihkan pandangannya di kakinya. Mahu melihat benda apa yang terkena kakinya itu.

Gu...guli? Mimi telan liur. Bunyi guli yang dia dengar tadi...datang dari..ruang tamu..ruang tamu rumah sewanya sendiri? Bukan jiran di atas? Dengan berbekalkan sisa kekuatan yang dimilikinya, dia mengalihkan pandangannya pada ruang tamu.

Anak mata Mimi membulat apabila melihat lembaga yang duduk mencangkung di ruang tamu. Kelihatan jelas sekali kerana dia terlupa untuk menekan suis lampu sebentar tadi. Tubuh Mimi semakin kuat menggigil. Mahu menjerit memanggil nama Tia, suaranya seperti tersekat pada kerongkong. 

Seketika kemudian, lembaga itu perlahan-lahan bangun dan berdiri tegak. Namun, wajahnya ditundukkan dan rambutnya yang panjang menutup raut wajahnya.

Jantung Mimi semakin berdegup kencang. Dia nak lari, tapi tubuhnya bagaikan kaku di situ. Mahu menjerit, suaranya tidak keluar. Mimi buntu! Saat itu, mahu sahaja dia pitam tak sedarkan diri. Setidaknya, dia langsung tidak perlu berhadapan dengan lembaga itu.

“Mimi? Kau buat apa berdiri kat situ?” tegur Tia yang mahu ke bilik air, terkejut melihat rakannya itu berdiri di hadapan bilik. Wajahnya pula, sudah basah lencun dengan peluh.

Dengar sahaja suara Tia, lembaga tadi sudah menghilang entah ke mana. Saat itulah juga, Mimi terasa yang dia baru dapat bernafas. Seketika kemudian, dia jatuh terduduk di situ. Lembaga dan guli yang dilihatnya sebentar tadi sudah hilang entah ke mana.

“Mimi? Kau kenapa?” soal Tia yang sudah pun mendapatkan Mimi yang jatuh terduduk di situ.



***************




Apakah nasib Mimi dan Tia? Bunyi apa yang selalu menganggu mereka berdua? Jangan lupa untuk dapatkan "Antalogi Jiwa Kacau : Gaun Berdarah" yang sudah terbit di pasaran untuk mengetahui kesudahan cerita ini. 

http://mall.karangkraf.com/webshaper/store/viewProd.asp?pkProductItem=3781

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.