Home Cerpen Keluarga Jiwa Yang Tenang Permai
Jiwa Yang Tenang Permai
Haikal Rider
18/7/2018 19:28:16
3,581
Kategori: Cerpen
Genre: Keluarga

Di sebuah kampung yang aman permai. Tinggallah sepasang suami isteri yang agak lanjut usianya, dianggarkan dalam lingkungan 70 tahun. Mereka hidup bahagia walaupun tinggal di dalam rumah yang sangat usang. Mereka sentiasa percaya bahawa kehidupan ini ada pasang surutnya. Sikap mereka yang seperti biar buruk kain dipakai, asalkan pandai mengambil hati, membuatkan mereka sentiasa disayangi oleh orang kampung. Mereka dikenali sebagai Pak Mat dan Mak Sal. Juga, suami isteri ini dianggap sebagai insan yang sangat istimewa dengan ketabahan mereka. Mereka tidak dikurniakan seorang pun anak sepanjang perkahwinan, namun tidaklah mematahkan semangat mereka untuk sentiasa tenang dengan segala ketentuan daripada Allah.


Dahulunya, Mak Sal juga pernah merasai saat-saat indah seperti ibu yang lain iaitu mengandung anak pertama, namun gagal di tengah jalan kerana kandungannya gugur setelah Mak Sal terjatuh ketika mengangkat baju di ampaian. Terdengarnya Pak Mat tentang berita itu ketika berada di kebun, terus dia terkejar-kejar pulang ke rumah bagaikan tidak cukup tanah untuk melihat keadaan isterinya. Pak Mat sudah beberapa kali menasihati Mak Sal supaya jangan buat kerja yang berat buat sementara waktu ini tapi kata Mak Sal, dia tak mahu menyusahkan Pak Mat setelah penat seharian bekerja di kebun. Syukur kerana Mak Sal tidak mengalami sebarang luka yang teruk namun Mak Bidan mengatakan bahawa kandungan di dalam perutnya tidak dapat diselamatkan, tetapi mereka tetap tenang menerima takdir.

Sementara Pak Mat bekerja di kebun untuk menanggung perbelanjaan seharian dan mencari nafkah, Mak Sal juga turut membantu mengurangkan beban suaminya dengan mengambil tempahan menjahit baju kurung. Mak Sal pernah berpesan kepada orang kampung, "Hidup berumah tangga ini, perlulah berat sama dipikul, ringan sama dijinjing, barulah bahagia berpanjangan." Mereka berdua bagai beliung dengan asahan kerana sentiasa setia bersama walau diuji dengan berbagai bentuk ujian sepanjang perkahwinan. Kesyukuran mereka atas segala apa yang ada, membuatkan kehidupan mereka sentiasa dimurahkan rezeki.

Pernah ketika dahulu, saat Pak Mat sedang membersihkan kawasan di kebun sambil menebas rumput-rumput yang sudah menjadi semak-samun, terdapatnya paku yang tajam dan karat tersembunyi disebalik kawasan itu. Tanpa disedarinya dan sedang berkaki ayam, Pak Mat pun telah terpijak paku itu. Sakit yang dirasainya seperti tercucuk sumpit yang berbisa. Dengan tenang sambil menahan sakit, Pak Mat pun membalut kakinya itu dengan kain dan terus terhincut-hincut pulang ke rumah. Puas dipujuk oleh Mak Sal supaya pergi ke hospital untuk dirawat tapi Pak Mat tetap tak mahu pergi. Katanya luka itu tidaklah begitu besar, pasti akan sembuh juga.

Malangnya, disebabkan Pak Mat tak mahu pergi ke hospital, lukanya itu mula mengalami pendarahan yang banyak sehingga dia terpaksa dibawakan juga ke hospital oleh Hamdan, salah seorang pemuda kampung. Syukur kerana luka Pak Mat itu tidaklah begitu serius. Dia boleh terus bekerja seperti biasa, tetapi harus berehat terlebih dahulu sehingga sembuh. Kata doktor, jika tidak dirawat dan dibiarkan begitu saja, mungkin kuman akan membiak di dalam darah dan kemungkinan kakinya terpaksa dipotong. Satu pengajaran buat Pak Mat supaya jangan selalu ambil mudah atas sesuatu perkara.


Banyak lagi dugaan yang telah mereka tempuh, tetapi mereka tetap teguhkan ketenangan di dalam jiwa untuk menghadapi segalanya. Semakin tenang mereka mengharungi ujian hidup, semakin ramai yang sudi menyayangi diri mereka. Tidak pernah bekalan makanan mereka berkurang kerana orang kampung sentiasa memberikan sumbangan barangan dapur setiap minggu. Disamping itu, Pak Mat dan Mak Sal juga selalu memberikan kata-kata pesanan yang sangat berguna kepada orang kampung. Salah satunya, "Jangan bersedih hati saat diri diduga kerana setiap yang berlaku di dunia ini hanyalah ujian semata-mata untuk menguji ketabahan dan kecekalan hati kita supaya menjadi hamba Allah yang cekal." Setiap kata-kata daripada mereka, mampu memberi pencerahan kepada sesiapa sahaja. Begitulah kehidupan Pak Mat dan Mak Sal, sepasang suami isteri yang sentiasa tenang di kampung yang permai

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.