Home Cerpen Kanak-kanak Hantu Sampah
Hantu Sampah
16/8/2015 00:47:37
1,862
Kategori: Cerpen
Genre: Kanak-kanak


Iman menjerit.

Semua terkejut. Ibu berlari-lari mendapatkan Iman. Abah juga. Haikal dan Alif semacam terpinga-pinga.

“Kenapa Iman?” Ibu memeluk Iman. Ibu memeriksa seluruh tubuh Iman. Tiada apa-apa yang tidak elok. Luka misalnya.

“Apa yang dah berlaku Iman?” soal abah pula.

“Itu...” Iman menunjuk ke arah longgokan sampah yang berterabur.

“Isk, siapa pula yang sepah-sepahkan sampah ini? Ibu buat muka geram. Ibu macam mahu marah. Iyalah, nanti ibu yang kena kemas.

“Haikal ... Alif ... kamu berduakah yang sepah-sepahkan sampah ini?” soal abah, mencerlung ke arah mereka berdua, bercekak pinggang menunggu jawapan daripada dua anak lelakinya itu.

“Bukanlah abah. Bukan kami yang buat begitu.”

“Yalah abah, kenapa pula kami nak sepah-sepahkan sampah?”Alif menambah,menguatkan jawapan abangnya itu.

Abah macam tidak puas hati dengan jawapan mereka. Tapi belum sempat abah menyambung cakap,Iman terlebih dahulu berkata. “Ini kerja hantu, ibu ... abah.”

Ibu, abah, Haikal dan Alif tergamam.

Hantu!

“Ya... hantu.Hantu sampah....”.

***

“Memang salah Iman. Iman yang tidak masukkan sampah ke dalam tong sampah dengan betul. Iman juga tinggalkan bekas makanan bersepah-sepah.” Iman bercerita perkara yang telah dilakukan.

“Perbuatan Iman itu salah. Iman kena masukkan sampah ke dalam tong sampah.Iman juga tak boleh sepah-sepahkan bekas makanan di merata-rata tempat. Iman kena buang dalam tong sampah,” nasihat abah.

Ibu menyampuk. “Tapi semua itu tidak memungkinkan adanya hantu sampah.”

Ibu terasa lucu apabila Iman menerangkan kepada mereka bahawa dia bermimpi hantu sampah datang dalam mimpinya dan marah-marah atas perbuatannya membuang sampah di merata-rata tempat. Sebab itulah apabila Iman nampak sampah berterabur di kawasan dapur, Iman terus teringatkan hantu sampah yang dimimpinya.

Lucu keletah Iman Nur yang berusia empat tahun itu. Namun, ibu dan abah tidak menzahirkan kelucuan tersebut. Bimbang Iman terasa dan merajuk.

“Adik, mana ada hantu pada zaman moden ini. Hantu pun dah malas nak kacau orang.” Haikal yang daripada tadi kelihatan menahan tawa mengusik Iman. Ibu meletakkan jari ke mulut, tanda menyuruh Haikal diam.

“Kalau abang tak percaya tak mengapalah. Nanti hantu sampah akan tangkap abang sebab hari itu Iman nampak abang buah sampah di merata-rata tempat,” tutur Iman.

Haikal terdiam. Ah, nampaknya perbuatannya sudah direpot kepada ibu.

Ibu menjeling penuh makna kepada Haikal. Haikal sengih-sengih. Begitu juga Alif. Sengih juga.

“Beginilah, apa kata kita mengintip hantu sampah yang sepah-sepahkan sampah dalam rumah kita. Ah, Haikal malam ini kamu kawal sekeliling rumah.”Abah memberikan cadangan dan langsung memberikan arahan kepada Haikal.

“Err... “Haikal tergagap-gagap. “Mak, Haikal takutlah.”

“Eh, tadi bukankah kamu yang kata zaman ini tiada hantu.” Ibu memerli.

“Adoi!” Haikal menepuk dahinya.

***

Malam.

Kira-kira pukul satu pagi. Mereka di ruang tamu.

Ibu dan abah menemani Haikal dan Iman. Alif tidur. Mereka sengaja tidak mengejutkannya.

Berkali-kali Haikal memujuk. Takut benar dia apabila diberi arahan untuk mengintip hantu oleh abahnya.

Kerana kasihan, ibunya mengajak mereka sekeluarga untuk menemani Haikal. Lagipun ibu tahu abah hanya bergurau.

KRENGGGG!!!!

TAMMM!!!

Bunyi benda jatuh.

Haikal memandang ibu. Ibu memandang abah. Iman sudah memegang erat lengan ibu.

“Biar abah tengok.” Abah beraksi berani.

“Abah ... ambil ini.” Haikal menghulurkan penyapu.

Abah melihat Haikal lama. Namun, penyapu yang diberi Haikal diambilnya.

Abah perlahan-lahan menuju ke dapur. Kelibat abah beransur hilang.

“Hantu!!!!” jerit abah.

Ibu panik. Ibu segera berlari ke dapur, mahu menolong abah.

Haikal dan Iman mengikut. Rasa takut dibuang. Abah perlu diselamatkan.

“Mana abang...” tanya ibu.

“Itu .... Hantu kucing .... Abah menunjuk ke arah seekor kucing hitam yang menyelongkar tong sampah. Kucing itu lintang pukang lari.

Abah ketawa.

Ibu mengurut dada.

“Abang ni main-main pula.”

“Rupa-rupanya sampah kita disepah-sepahkan oleh kucing....” Abah membuat kesimpulan. Tiada hantu sampah. Yang ada kucing yang menyelongkar sampah.

“Tapi bagaimana pula kucing boleh masuk ke dalam rumah kita?” tanya Haikal.

“Itu ...” Abah menunjuk ke arah tingkap yang tidak ditutup rapat.

“Aduh ... ibu lupa rapatkan tingkap itu.” Ibu mengakui kesalahannya.

“Jadi tak adalah hantu sampah ya.” Iman bertanya, sambing memandang ibu dan abah.

“Ya ... tak ada,” jawab abah, yakin.

“Ha...bukankah abang sudah beritahu. Mana ada hantu dalam zaman facebook whatsApp ni.” Haikal begitu tegas suaranya. Pendapatnya sebelum ini ternyata benar.

Iman mencebikkan bibir.

Ibu mencelah. “Walaupun tak ada hantu tetapi kita dapat satu pengajaran yang berguna. Jangan buang sampah di merata-rata tempat. Buang sampah dalam tempat yang disediakan,” nasihat ibu.

Iman dan Haikal mengangguk.

Peristiwa ini bukan hal hantu. Ini hal kebersihan yang perlu dijaga.

“Jadi tak ada hantulah ya. Adoi, Iman pun dah mengantuk. Iman nak tidur.”

Pang!!!

Tiba-tiba satu bunyi kuat kedengaran.

“Ibu ... hantu... hantu...” jerit Haikal.

“Eh, nanti dulu... nanti dulu... abah terjatuhkan pinggan,” jerit abah sambil memanggil mereka semua.

“Adui... abah ini...” Iman menggeleng-geleng kepala.

“Terkejut saya. Haikal pun satu... kenapalah menjerit begitu.” Ibu geramkan Haikal.

“Sudahlah... jom kita tidur, biar abah yang kemaskan.” Arah ibu.

“Adoi ... tolonglah... abah takut. Abah takut hantu sampah,” jerit abah.

Semua orang buat tidak tahu. Mereka tahu abah hanya main-main.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.