Home Cerpen Cinta DOAKU ENGKAU BAHAGIA
DOAKU ENGKAU BAHAGIA
Mohd Faiz R
16/7/2018 20:59:10
2,854
Kategori: Cerpen
Genre: Cinta

PARA penonton sudah siap-siap duduk memenuhi ruang teater yang besar dan indah. Perhiasan bak istana, bagai golongan kerabat diraja yang mahu menontonnya dahulu kala. Persembahan sudah masuk hari yang ketiga. Semakin hari semakin penuh audiens. Kata mereka yang telah hadir, persembahan teater ini sangat menyentuh. Penuh dan hangat dengan perasaan. Kisah cinta yang tidak menjemukan. Bukan picisan. Sutradaranya merakamkan pelbagai elemen dan persoalan; melalui latar masyarakat yang berevolusi bangsanya selari dengan zaman. Hasil tularan buah mulut orang ramai menjadikan teater ini dipenuhi oleh orang-orang yang menghargai dan menyokong karya-karya yang baik dan berpotensi.

Sedikit riuh-rendah oleh para hadirin, kerana persembahan belum dimulakan. Lampu-lampu limpah masih menerangi ruang teater yang gah. Mereka memperkatakan rencaman perkara; tentang keadaan semasa masing-masing. Ada juga yang sudah menilai akan teater itu. Yang datang juga bukan calang-calang orang. Sebilangannya adalah rakan karyawan. Sebilangan lagi adalah pengkritik dan penganalisa persembahan; wartawan. Ada yang hadir untuk mempelajari selok-belok seni persembahan dan lakonan teater dengan lebih mendalam. Selain untuk menenang dan menghiburkan hati dan pemikiran.

Para pelakon teater sudah bersiap sedia menjalankan tugas mereka, setelah latihan dilakukan dengan gigih berulangkali. Begitu juga dengan pengarahnya, kerana pada penghujung persembahan itu nanti, beliau sendiri yang akan menyampaikan sebuah lagu penutup.

Lampu terang-benderang perlahan menyusul suram. Lama-kelamaan terus kelam. Hanya cahaya pada pentas utama yang terpancar; cerah dengan perhiasan latar tempat yang digubah sehingga nampak hidup. Kedengaran suara latar yang bermonolog sendiri. Sebuah dedikasi dan gubahan untuk kenangan kisah cintanya, tanda persembahan sudah bermula;

“Setelah sekian lama, adakah engkau masih teringatkan aku? Atau engkau sudah sangat berubah. Sehingga engkau terus menafikan. Namun aku sangat berharap supaya suara hatiku dapat engkau rasa dan dengar. Betapa kita sudah sangat asing terpisah. Mencari bahagia dan kejayaan dengan cara dan hasil usaha sendiri. Betapa kecewa dan kesalnya. Sudah tidak sama bahagia yang engkau cari, dan bahagia yang aku harapkan. Tidak mengapalah. Semoga kita diberi petunjuk. Biar aku gubah kenangan yang bagiku berharga ini, untuk tatapan dibuat pengajaran.”

“Sara, kau mesti tengok ni. Harap kau suka.” Kata Raisa. Dia yang syorkan kawannya untuk memanfaatkan aktiviti liburan malam di hujung minggu, dengan menonton teater.

“Cerita yang lewah-lewah macam ni?” soal Sahara yang skeptik. Wajahnya hampir mengekspresikan jemu.

“Tak. Aku yakin kau akan belajar sesuatu. Percayalah.” Raisa meyakinkan. “Lagipun tak susah untuk dihadam. Jadi, jangan risau.” Sambungnya lagi.

“Aku bukan orang-orang seni macam engkau. Nak faham cerita dengan ...”

“Shh!” terus Raisa memintas kata-kata yang membingitkan naluri seninya itu. Sahara akur, lalu terdiam dan menonton. “Tiket aku yang sponsor.” Sambung Raisa lagi. Mengingatkan Sahara supaya menurut sahaja kehendak rakan baik yang dikenalnya sewaktu pengajian mereka di universiti. “Oh ya, lagipun watak heroin sama nama dengan engkau—Sahara. Kebetulan sangat.”

Sahara diam sahaja. Hanya bersabar dengan kerenah sahabatnya. Namun, mereka berdua tetap terpukau dengan gaya persembahan yang energetik dan penuh dengan rencaman sketsa kehidupan. 

Dipamerkan watak sepasang kekasih. Melalui detik-detik cinta yang sedang memekar. Pengarahnya bukan sekadar menghasilkan karya bersifat monotasi, tetapi mempamerkan iktibar dan dianalisa terhadap masyarakat yang beradaptasi seiring perkembangan zaman. Di akhbar-akhbar tempatan; ruangan hiburan, pengarah itu ada menjawab pertanyaan wartawan. “Kisah cinta memang tidak akan dapat lari dari konflik. Maka, inilah yang cuba saya ketengahkan. Sebuah kisah cinta yang diduga dengan urbanisasi dan modernisasi semasa yang telah mencabar falsafah dalam berpendirian; yang diwakili oleh dua insan.” Ditanya lagi; apakah signifikasinya kisah seperti ini diketengahkan yang di mana plot cerita sudah agak klise. Dijawabnya dengan memberikan sudut pandangan yang berbeza. “Betapa pembawaan kemelayuan itu sudah banyak berubah. Dari segi adab, bahasa dan interaksi sosial. Inilah yang cuba saya sedari.”

Tatkala watak-watak memeriahkan babak dengan elemen humor dan ceria, para penonton dibuai gembira dan terhibur. Tatkala babak bertukar duka, penonton yang hadir juga turut berperasaan hiba.

“Temani saya.” Kata Aduka. Sengaja dipilih nama itu bagi melambangkan sisi peribadi Sang Lelaki yang masih memegang tradisi, namun terasimilasi dengan arus perubahan semasa.

“Bukan saya sudah disebelah?” Soal Sang Kekasih berwatak Sahara, seorang perempuan moden yang bercita-cita tinggi dan sangat komited untuk menggapai impiannya. Sedikit kontradik dengan budaya santun dan ketimuran perempuan melayu dahulukala yang disanjung.

“Bukan itu yang saya maksudkan.” Aduka berdialog lagi.

“Habis?” Soal Sahara. Setelah agak lama memikirkan, barulah dia mengerti. Lalu dijawab, “selalu...” kedua-dua mereka saling tersenyum.

Namun dugaan tetap juga datang. Krisis ekonomi semasa membuatkan Aduka kehilangan pekerjaan. Kerana majikan harus mengurangkan kos sumber tenaga manusia yang kurang mendatangkan keuntungan. Membuatkan Aduka terpaksa pergi jauh dari Sahara. Terpisah dalam jangkamasa yang lama. Namun begitu, mereka tetap saling berhubungan antara satu sama lain dengan kecanggihan dan kepintaran teknologi komunikasi. Masa pun terus berlalu. Belum juga Aduka mendapat pekerjaan yang baharu. Dirinya bertambah depressi kerana memikirkan kewangan yang semakin berkurangan. Ada juga Sahara memberi kata semangat. Untuk terus yakin, bahawa cinta mereka tetap mampu untuk disatukan satu masa nanti. Dugaan itu terus menguji ketelusan cinta mereka.

Kesetiaan Sahara sangat Aduka hargai. Mereka telah berpisah hampir beratus batu jauhnya. Lama-kelamaan, kesabaran Sahara sudah beransur sirna. Dia bagai merasa tertipu. Dia memilih untuk mengikuti kemahuannya sendiri daripada empati terhadap nasib Aduka. Pertunangan mereka sudah tertangguh. Sahara tidak sanggup perkahwinannya terkorban.

Babak terfokus pada sudut pandangan Aduka pula. Betapa dia rasa bersalah dan tertekan. Dalam masa sama, dia menghargai kesetiaan Sahara yang saban hari tetap menemani. Lagu dimainkan sebagai selingan. Bait-bait irama ‘Fatwa Pujangga’ dinyanyikan.

Kesedihan Aduka itu digambarkan melalui lagu. Entah mengapa, Sahara yang sedari tadi menonton, tiba-tiba galau dan sebak. Kerana serupa jalan cerita dengan nasib cintanya, berbelas tahun dulu. Raisa pula bagaikan connoisseur yang menganalisa, menghayati, dan menghargai akan kekayaan elemen seni yang terkandung. Jiwanya sangat terinspirasi dan kagum.

Waktu terus berputar. Perpisahan sudah hampir seusia percintaan mereka; melebihi setahun. Masing-masing menetap di negeri kelahiran yang jauh. Sekalipun kerap berhubungan dengan teknologi pintar, namun sedikit sebanyak tetap menampakkan hubungan yang beransur renggang. Dari kejauhan itu, Sahara menghubungi Aduka.

“Sudah setahun tidak berjumpa. Ada apa-apa berita gembira?”

Aduka menafikan.

“Habis bagaimana?” soal Sahara lagi.

Aduka terdiam kesal. Dia berharap, kekasihnya tetap yakin pada takdir.

Keadaan Sahara yang jauh dari Aduka telah menjadikan dirinya bebas berusaha mencapai cita-cita. Dia sudah kembali bergaul bersama rakan-rakan niaganya. Siang dan malam mengadakan mesyuarat dan perjumpaan tidak kira sejantina mahupun berlawanan. Sahara sudah sangat bebas hidup di ibu kota. Kisah cinta yang hampa dilupakan untuk sementara waktu. Dia hanya mementingkan misi, visi dan impiannya.

Melihat pergaulan Sahara yang sangat terbuka membuatkan Aduka kurang senang. 

“Esok saya akan sambung lagi kerja-kerja membuat laporan. Sangat sibuk. Mungkin akan bermalam lagi di pejabat dengan rakan kerja.” Kata Sahara melalui telefon.

“Mak dan ayah tidak risau?” Soal Aduka.

Sahara menafikan, katanya ibubapa memahami.

“Saya tidak berapa setuju. Saya harap awak dapat melakukan kerja mengikut waktu pejabat.” Aduka memberi pandangan.

Sahara membantah. Dia tidak mahu urusan cita-citanya diganggugugat. Bukan cinta lagi yang menjadi keutamaan, tetapi kerjanya yang dianggap jauh lebih realistik dan berbaloi untuk dikejar.

“Maaf, saya perlu menyiapkan laporan dengan cepat. Awak? Apa yang selama ini awak buat? Emak selalu bertanya hal kita, tapi awak terus berdiam diri. Saya tertekan!” bentak Sahara.

Aduka tidak menafikan. Dia juga kesal dan kasihan akan nasib kekasihnya.

“Ada. Saya sedang gigih menulis.” Kata Aduka, menjawab sebahagian persoalan Sahara.

“Menulis?” pintas Sahara dengan nada melecehkan. “Bolehkah hidup selesa dengan hanya menjadi penulis? Nasib juga tidak menentu!” sambungnya lagi. Dia juga tidak bersetuju dan meremahkan kebolehan dan semangat Aduka menjadi seorang penulis.

Aduka tetap tenang. Tetapi terkilan, Sahara sudah tidak seperti dahulu yang selalu menyokongnya.

“Awak tidak percaya dengan cita-cita saya?”

Dengan nada yang masih perih, Sahara menjawab, “Aduka, jadilah realistik. Banyak lagi kerja yang lebih terjamin.”

Persembahan teater bertambah tegang. Para penonton turut merasai konflik yang berlaku. Sehinggalah akhirnya mereka memutuskan untuk tidak saling bertegur lagi. Perhubungan yang dahulunya mesra, bertukar dingin dan terasing. Sahara tersentak menonton dan terus tergamam. Sekali lagi, sungguh serupa situasi itu dengan kisah cintanya dulu.

Persembahan sudah hampir ke penghujung. Hidup Aduka dan Sahara sudah jauh terpisah. Sahara hanya bersungguh dan komited dengan dunianya. Boleh hidup selesa, memiliki wang sendiri dan boleh membantu keluarga. Pada babak yang lain pula, digambarkan Aduka yang hanya sendirian hidup bersama keluarga. Adakalanya, terkenang dan merindui kekasihnya. Dia terus gigih menulis. Namun, tidak sedikit hasil penulisannya ditolak oleh rumah-rumah penerbitan. Walaupun begitu, tidak mematahkan semangatnya. Aduka tetap terus menulis sehinggalah kemahirannya berkembang. Kelunakan seni dan bahasa di dalam jiwanya kian mampan.

“Adakah engkau fikir, orang yang berjiwa kesenian itu akan terus tewas dengan rintihan. Malah, orang-orang seperti inilah yang menghargai derita. Setiap sengsara dan kesedihan yang diterima, digubahnya menjadi persembahan yang mengindah bak khazanah-khazanah syurgawi; untuk tatapan jiwa-jiwa insan, lalu mengagumi ... dan menginsafi.” Suara latar bermonolog, memberitahu akan apa yang Aduka sedang nukilkan di atas mejanya.

Sekalipun pengakhiran kisah, mereka terus berpisah. Namun, sutradara itu bijak memberikan kehidupan yang saksama untuk kedua-dua watak dalam meneruskan kehidupan mereka.

Sahara yang sedari tadi khali menonton, hampir-hampir menitis airmata. Teater yang tanpa sengaja dihayatinya itu membuatkan dia terkenang Aziz; insan yang sangat dicintainya, berbelas tahun lampau. Apakah khabarnya dia? Tiba-tiba perasaan rindunya hadir.

Pada akhir persembahan, pengarah teater tampil ditengah-tengah pentas sambil mendendangkan lagu ‘Kenang Daku Dalam Doamu’. Para penonton memberikan tepukan gemuruh. Ada sebahagiannya bangun dan berdiri—begitu juga Sahara—tanda menghargai dan mengagumi.

“Sungguh jauh dikau pergi, berpisah untuk selamanya

Tiada lagi senyum mesra dan gurau senda ...”

“... Tapi dik kau jangan lupa, kenang daku dalam doamu

Itu yang ku pinta, dari dulu, sewaktu bertemu.”

Suasana teater diselubungi rasa pilu, namun tetap hangat dengan kekayaan perasaan; keindahan kesenian. Ada yang menjerit memanggil nama sutradara itu. Aziz! Ajis! Aziz!!

Sahara semakin menahan keperitan rasa. Jiwanya sudah menghujan dengan ratapan. Masih juga dia menyimpan perasaan. Sekalipun telah lama melupakan dan membawa haluan sendiri yang jauh. 

Sekalipun lagu yang dinyanyikan itu penuh hiba, tetap juga bibir Aziz mengukir senyuman rasa bahagia, kerana sudah seharusnyalah perasaan bahagia yang perlu dipertontonkan.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.