Home Cerpen Alternatif PERNAHKAH KAU BERMIMPI SEKETIKA
PERNAHKAH KAU BERMIMPI SEKETIKA
Alfian Mender
16/10/2017 21:39:00
3,701
Kategori: Cerpen
Genre: Alternatif


Hai! Semua.

Nama aku Luk Luk.

Yup. El-Yu-Kay. Kuasa dua. Nama penuh Luk Luk Binti Ali. Tak glamour langsung. Entah apa yang parents aku fikir time bubuh nama tu. Tapi aku paling suka dengan nama Kim, di antara berpuluh-puluh nama yang menjadi trademark ku.

Bukan Kim Kim, bukan Kim Chi apatah lagi Kim Jong-Un. KimK pun bukan. Just Kim. For Kimberly. Sempena nama Kimberly Madison, aktivis hak asasi manusia dari UK.

Saat ini, aku masih menunggu. Menunggu bilakah bantuan akan tiba membawaku balik. Dan menunggu bilakah sang utusan akan datang membawaku pergi. Terasa seperti berbulan lamanya berada di alam nan asing ini. Walhal, baru beberapa minit aku ditinggalkan tersadai sendirian di dunia itu, dengan sisa-sisa nafas yang masih berbaki. Masih sempatkah untuk aku bertemu dengan si dia?


**********

Demonstrasi Pro - Palestin di hadapan Bangunan Lembaga Tabung Haji baru sahaja berakhir. Marjan berehat kepenatan di bawah sepohon pokok api-api yang rendang. Matanya tiba-tiba tertarik pada sebuah motor yang berhenti di halaman bangunan itu. Dia memerhatikan gerak-geri mat motor yang turun dari motor itu. Memakai baju T-shirt putih longgar dengan seluar jeans separas lutut dan kasut sneakers bertali kemas. Imej bunga carnation dengan caption Your Mother Is A Woman” yang terpampang menghiasi T-shirt itu mencuri perhatian Marjan.

“Apalah kerja mat motor ni di sini. Demo dah habis. Ini bukan demo hak asasi wanita, ini demo membela hak asasi warga Palestin,” kata Marjan sendirian.

Marjan sedikit terkejut sebaik sahaja mat motor itu membuka helmetnya. Wajah menawan di sebalik helmet itu tiba-tiba membuat jantungnya berdegup pantas. Rambutnya dipotong pendek ala Sofea Jane dalam filem “Cinta kita”, dan di cuping telinga kirinya, ada subang kecil yang menghiasi. “Macam pernah tengok. Mungkin pelakon.” Marjan membuat andaian.

Marjan ingin menyambung semula rehatnya tetapi terhalang apabila melihat gadis itu melangkah perlahan menuju ke arahnya. Hatinya mula tertanya-tanya.

“Assalamualaikum, kak,” sapanya.

“Waalaikumussalam. Ya dik….” jawab Marjan, sambil membetulkan lipatan tudungnya yang labuh hingga ke paras pinggang.

Ketika itu, debaran jantung Marjan bertambah kuat. Dia tidak menyangka akan ditegur oleh seorang gadis secantik itu. Marjan menyambut salam yang dihulur oleh si gadis. Jarang dia bersemuka dengan gadis dengan penampilan sebegitu di depan matanya. Mungkin ini satu permulaan baru baginya. Gadis itu kemudian duduk bertentangan dengan Marjan dan mereka mula berbicara.

“Nama saya Luk Luk. Tapi akak boleh panggil saya Kim,” mula bicaranya. Setelah memperkenalkan diri dan mula merasa selesa di antara satu sama lain, mereka mula membincangkan pelbagai topik semasa di samping mengetahui latar belakang masing-masing. Sehinggalah pada satu tahap, bila dia mula menyentuh topik agama.

“Kenapa tiba tiba Kim ingin mendalami Islam?” tanya Marjan semakin ingin mendekati.

“Saya ingin bertaubat, kak.” ujar Kim perlahan.

“Taubat?”

“Ya, taubat. Saya dah sedar dengan dosa-dosa saya. Saya ingin kembali mendekatkan diri kepada Allah dan mengenali Rasulullah secara dekat…” ujarnya bersungguh-sungguh.

“Apa yang Kim dah buat?” tanyanya lagi, lembut.

Mendengar pertanyaan itu, Kim segera menundukkan pandangannya ke bawah.

“Saya lesbian, kak.” jawab Kim, membuat pengakuan.

“L…e…s...b...i…a…n...?” balas Marjan, terputus-putus. Ada sebahagian dalam dirinya yang seakan - akan hidup kembali apabila mendengar perkataan itu. 


**********

Republic Lessy

Miss Teaq : Maaf cakaplah, tapi gua tak layan minah-minah kampung macam lu ni.

Hawa7 : Saya hanya nak berkawan dengan awak.

Miss Teaq : Tapi gua tak suka cara lu nasihat gua itu ini. Macamlah lu tu perfect sangat.

Hawa7 : Ok, kalau awak tak suka dengan apa yang saya katakan tadi, saya minta maaf.

Miss Teaq : Ini bukan pertama kali lu nasihat-nasihat gua macam ni, gua dah naik menyampah tau tak.

Hawa7 : Kalau saya boleh berubah, mengapa tidak kamu?

Miss Teaq : See? Betul kan apa gua cakap? Macam ni lah, sebelum gua block lu, lebih baik lu berhenti chat dengan guaBetter lu cermin balik diri lu tu. Cara penampilan lu tu pun dah macam hantu bungkus gua tengok. Chow!


Dia sedih.

Bukan sekali dua dirinya ditolak sebegitu. Rata-rata user dalam laman chat itu hanya memandang penampilan semata-mata. Salahkah jika kita saling ingat mengingatkan? Seperti insan lain, dia juga punya hak untuk dicintai dan mencintai.

Dan seperti ciptaan tuhan yang lain, wujudnya dia di dunia ini adalah untuk mematuhi hukum ketidaksempurnaan makhluk yang semestinya wajib berbeza dengan kesempurnaan Sang Pencipta itu sendiri. Istilah kesempurnaan tidak mempunyai sebarang erti tanpa istilah ketidaksempurnaan. Dan dirinya adalah sebahagian dari elemen ketidaksempurnaan yang wajib wujud untuk menyempurnakan makna kesempurnaan itu.

Tapi tidak! Masyarakat malah mengharapkan dunia ideal serba sempurna yang tidak mungkin tercapai di alam maya ini. Komuniti lessy yang seharusnya saling bantu-membantu memperbaiki persepsi kesempurnaan hasil idea masyarakat luar komuniti, malah turut sama berkongsi idea kesempurnaan seperti mereka.

Dia memandang cermin. 

Kulit wajahnya hitam. Mukanya lebar, bersegi. Keningnya lebat, bercantum sedikit di tengah. Dahinya tertonjol ke depan.Terdapat banyak lopak-lopak kecil di bahagian pipi dan dahinya, bukti jerawat batu pernah menghiasi daerah tersebut suatu masa dulu. Hidungnya mancung, tetapi terlalu mancung sehingga kelihatan seperti paruh burung enggang jika dilihat dari sisi. Dagunya pula lonjong, mungkin akibat tarikan kuat bidan kampung sewaktu menyambut kelahirannya yang songsang. Dan di sekitar bahagian atas bibirnya pula, bulu-bulu halus tumbuh meliar.

“Tak cukup macho ke rupa aku ni?” bisiknya sendiri, cuba menghiburkan hati.


**********

Seperti yang dijanjikan, Kim datang ke kediaman Marjan seminggu selepas pertemuan pertama mereka. Rumah pangsa yang didiaminya cukup sederhana, tapi meriah dengan pelbagai seni reka kraftangan buatan tangan yang indah. Pertama kali melangkah masuk ke dalamnya, Marjan meneliti penampilan Kim dari atas hingga ke bawah. Matanya segera tertumpu pada daerah dada.

“Lebih elok kiranya bahagian tu tertutup,” katanya masih memandang lurah di tengah-tengah dada Kim. “Takut jadi tumpuan mata lelaki yang bernafsu jahat.”

Tersipu-sipu, Kim segera menutup bahagian yang terdedah itu dengan kedua tapak tangannya. Ini adalah pertama kali dia ditegur sebegitu sejak sekian lama. Semuanya berpunca gara-gara bajunya yang semakin longgar selepas dia berjaya membuat transformasi diri. Seimbas lalu dia teringat wajah si dia yang telah memaksanya melakukan perubahan drastik sebegitu.

Marjan kemudian menghulurkan sepasang baju kurung kepada Kim.

“Hijau zamrud, macam mana akak tahu warna favourite saya ni?” katanya, dengan senyum lebar.

“Akak selalu tengok Kim pakai baju warna ni,” balas Marjan lembut. “Cubalah.”

Kim menanggalkan pakaiannya satu per satu hingga hanya pakaian dalam yang tertinggal. Marjan terus memerhatikan. Kurus, tapi masih menarik, bisiknya. 


**********

Facebook

1 unread message

Klik.

Lestari : Thanks, sebab approved.

Dealova : My pleasure.

Lestari : Cute D dalam profile picture tu. Eh! Boleh saya panggil D?

Dealova : Thanks, no problem. Boleh tengok picture you pulak?

Lestari : Ini account baru. Account lama dah kena hacked. Nanti bila tiba masanya, saya akan upload picture baru.

Dealova : Hmmm... nak tanya sikit. Mana dapat account FB saya ni?

Lestari : Nama D ada dalam friendlist kawan saya.

Dealova : Ooo...

Lestari : Boleh kita berkawan?

Dealova : Dah accept pun... hahaha... nanti kita pm lagi, ok. Bye.

Lestari : Ok, bye.

2 Notifications


Dia gembira.

Penantiannya selama hampir 2 minggu akhirnya berakhir apabila dia diterima sebagai rakan FB insan yang kini menjadi idola hatinya. Memang akaun kedua Facebooknya ini dicipta khusus untuk si dia dan insan-insan sepertinya. Dan ini hanyalah permulaan untuk dia mula mengenali semula dunia indah golongan terpilih seperti dirinya.

Dia memandang cermin. Masih ada harapan untuk diriku, getus hatinya. Hidup tidak selalunya mendung. Adakalanya hujan perlu turun untuk membenarkan pelangi muncul. Begitu indah aturan ciptaan Tuhan. Semuanya dalam keseimbangan, bisiknya lagi.


**********

Hari ini Marjan ingin mengajar Kim selok-belok agama yang sudah lama ditinggalkannya. Sejak terjebak dalam dunia lesbian, Kim sudah tidak pernah mengerjakan solat. Bila ditanya, dia hanya boleh membaca Al-Fatihah, sedangkan bacaan-bacaan lain dalam solat sudah pudar dari ingatannya. Berpuasa Ramadhan pun hanya jika bersama rakan-rakan lessynya yang masih patuh pada sebahagian ajaran agama.

Kim tampak lebih ayu kali ini bila mengenakan baju kurung putih. Seputih hatinya yang ingin kembali ke pangkuan rahmat Tuhan. Dia membawa bersama kain telekung yang baru dibelinya semalam. Hanya Marjan yang menjadi harapannya untuk dia kembali mengenal dirinya, kembali mengenal Tuhan.

Selesai mengerjakan solat Zuhur berjemaah, Marjan mengajar Kim membaca Al-Quran. Agak bagus bacaannya untuk seseorang yang sudah begitu jauh terpesong dari jalan agama.

Banyak kisah hidup mereka yang dikongsi bersama. Marjan adalah bendahari NGO ‘Justice For Palestine’ yang bermatlamat mengumpul dana untuk membawa kes-kes pelanggaran hak asasi manusia oleh Israel ke mahkamah pengadilan antarabangsa. Sementara Kim pula adalah setiausaha gerakan ‘Persatuan Wanita Insaf’ yang memperjuangkan isu-isu keganasan rumahtangga, disamping menjadi admin untuk Facebook group ‘The Other Eve’ yang berorientasikan homoseksualism.

Melalui Facebook, Kim mengenali Marjan sebagai figura tempatan yang lantang bersuara. Malah dia juga adalah salah seorang daripada berpuluh-puluh ribuan followers Marjan dalam media sosial itu.

Satu ketika Marjan memandang dalam-dalam akan wajah Kim. Agak berbeza sedikit dari profil wajahnya yang terdahulu. Ada sesuatu yang bermain dalam fikirannya bila melihat wajah itu. Perlahan-lahan dia mengangkat tangannya, lalu menyentuh pipi gadis itu. Kim sedikit tersentak, lantas tangan itu dialihkan ke telinga kanannya.

“Lebih elok kalau telinga yang ni pun diletakkan subang sekali. Barulah sempurna,” katanya.


**********

Facebook

notifications

Lestari likes your profile picture.

Lestari likes your profile picture.

Lestari likes your cover photo.

Lestari likes your status.

Lestari likes your cover photo.

Lestari likes your profile picture.

Dealova tersenyum sendiri. Dia sedar akan dirinya. Punya ramai followers. Peminatnya datang dari segenap strata masyarakat. Lelaki dan perempuan, straight dan gaybutch dan femmeIslamist dan sekular. Dia menerima semuanya tanpa diskriminasi. Semua manusia adalah sama selagi warna darahnya sama, begitu prinsipnya.

1 notification

Lestari commented on your profile picture


**********

Kim melangkah masuk ke Kelas Seni Kraftangan Dear Lover untuk berjumpa dengan pemiliknya. Dia juga ingin belajar cabang seni yang sinonim dengan sifat feminin sebagai geraklaku simbolik yang dia sudah meninggalkan dunia lama. Marjan tersenyum menyambutnya.

Mereka berborak diiringi tawa riang tujuh orang pekerja kurang upaya di situ yang cuba mengajar Kim langkah demi langkah seni kait-mengait.

“Ada sesuatu yang akak nak tunjukkan,”

“Ini dia.”

“Adik angkat akak... ” katanya sambil menghulur sekeping foto.

Kim mengambil foto tersebut. Memang tampan. Dan yang lebih penting, kata Marjan, adalah usahanya untuk mencari calon isteri sebelum mencecah usia 40 tahun. Tak banyak yang Marjan ceritakan perihal lelaki dalam foto tersebut, selain dari kisah mereka melakukan aktiviti sukarela bersama dengan MERCY Malaysia di Palestin suatu masa dulu. Dan yang lebih utama lagi, kata Marjan, nama Kim sudahpun diusulkan kepada tuan empunya foto.

“Entahlah, kak.” ringkas jawapan Kim.

Masih belum terlintas untuk hatinya dimiliki oleh sesiapa. Jelas terbayang dalam ingatannya, saat cintanya ditolak mentah-mentah melalui pesanan-pesanan ringkas dalam media sosial. Ditolak kerana keadaan fizikalnya yang pada ketika itu cukup mengharukan. Dia cuba menghalang perasaan itu dari muncul kembali, perasaan yang telah mencetuskan revolusi dalam dirinya sehingga membuatkan dia terjebak dalam kancah kesongsangan.


**********

Facebook

Lestari : Salam

Lestari : Saya nak buat satu pengakuan.

Lestari : Saya sayangkan awak. 

Lestari : Saya rasa tak boleh hidup tanpa awak.

Lestari : Awaklah orang pertama yang dapat menerima saya seadanya.

Lestari : Saya betul-betul sayangkan awak.

Lestari : Maafkan saya sekali lagi.

Klik.


Dia resah.

Bimbang jika D menolak cintanya. Bimbang jika D memutuskan hubungan dengannya. Dia sudah tidak boleh lagi menyimpan perasaan sayang yang semakin hari, semakin menebal. Semakin disimpan, semakin parah perasaannya. Kali pertama bertentang mata dengan D, timbul semacam rasa ingin memiliki dalam dirinya. Bukankah manusia itu diciptakan berpasang-pasangan?

Dia memandang cermin. Dia sedar akan dirinya. Ibarat langit dengan bumi. Tapi bukankah langit dan bumi juga saling memerlukan? Dari langit turunnya hujan yang menghidupkan bumi, dan air dari bumi menciptakan awan mendung di langit yang melengkapkan kitaran kehidupan. Tidak ada satu pun ciptaan Tuhan yang sia-sia. Bahkan setiap satunya saling melengkapkan di antara satu sama lain. Cuma manusia yang buta mata hati untuk memahami.

"Pernahkah kau bermimpi, seketika..." bisiknya perlahan.


**********

Facebook

Mister CSI : Salam, Kak Jan. Akak sihat? Nak minta tolong sikit. Boleh akak bagi nombor handphone Kim?

Marjan Jalil : Waalaikumussalam. Sihat, Alhamdulillah. 012 –7130992. Macam mana? Ok?

Mister CSI : Comel... Macam teletabis hijau...

Mereka hanya berhubung melalui telefon dan media sosial. Bertukar-tukar foto dan pendapat dalam pelbagai isu semasa. Kim masih belum berani bertentang mata dengan lelaki yang berpotensi menjadi bakal suaminya itu. Dia mulai mengenali lelaki itu sedikit demi sedikit. Tak banyak, sebab dia hanya akan menceritakan perihal dirinya dengan lebih lanjut bila mereka sudah bersua muka. Dari perasaan ingin tahu, bertukar menjadi perasaan suka. Dan dari perasaan suka, berputik rasa... “cinta? Adakah aku dilamun... ?” bisik hatinya, seakan-akan tidak percaya.

Selain Marjan, timbul pengharapan dalam hatinya agar lelaki itulah yang seterusnya akan menjadi tali penyambung untuk dia kembali ke jalan yang diredhai.


**********

Dia meletakkan sehelai selendang putih di atas kepala si gadis. Perlahan-lahan tangan kanan gadis itu diangkat, lalu diletakkan di atas tapak tangan kirinya. Jari manis si dara kemudian dibelai-belai lembut ibarat bertemu sang kekasih yang ingin melangkah pergi buat selamanya.

“Ibarat puteri salju...” mula bicaranya.

“Jari ini kelak akan tersarung satu tanda, yang akan mengikat dua hati menjadi satu,”

“... mengikat hati Adam dan Hawa.”

“Bukan Wawa, dan bukan Haha...” sambungnya lagi.

Si gadis tergelak sendirian mendengar ayat terakhir itu. Ada kelucuan yang terselit.

“Setiap pasangan harus sepadan. Ibarat pipit sama pipit, dan enggang sama enggang sama berterbangan. Supaya masyarakat kelak tidak mentertawakan.”

Tawanya terhenti serta-merta. Kini giliran dia pula membelai wajah yang ada di hadapannya itu.

Betapa kecantikan luaran tidak pernah dapat menggambarkan kecantikan dalaman seorang insan. Hanya Tuhan yang mampu membalas segala jasamu, Kak Marjan.” bisik hati Kim, cuba menghapuskan airmata insan itu.


Dengarlah bisikan hati

Untukmu yang tersayang

Tiada perpisahan yang akan terjadi


**********

Facebook

7 unread messages

72 notifications

Dealova : Let me be frank. I don’t love you. EVER. I don’t even know who you are. You are more like a stalker to me, than a friend. Saya tak pernah tengok picture you. The real you. You hanya post gambar-gambar bunga. Like, hello! What does that even mean? You cuma ada 25 orang friends dalam list. Very suspicious. Saya rasa you yang tak jujur. Saya rasa you ada multiple accounts, tapi you guna account ni just untuk stalk saya, kan? CreepyAnd for your info, I’m getting married soon. WITH A MAN!

Klik.

Block

Klik.


Dia kecewa.

Salahkah untuk berkongsi kasih? Jika seorang lelaki boleh dikongsimilik oleh 2 malah 4 orang wanita pada masa yang sama, mengapa tidak wanita? Bukankah lebih baik sekiranya seorang lelaki dikongsimilik di antara wanita dan sesama lelaki? Tanpa perebutan dan persaingan dalam rumahtangga?

Ternyata dia hanya bertepuk sebelah tangan. Ternyata apa yang diperkatakan oleh orang-orang di sekelilingnya adalah benar belaka. Dia sedar, si cantik wujud sebab wujudnya si hodoh seperti dirinya. Dia tidak layak untuk bercinta apatah lagi untuk dicintai. Bahkan mungkin dia sudah tidak layak untuk hidup.

Atau mungkin...

Dia memandang cermin. Melihat refleksinya. Kebaikan hanya boleh dirasai bila kejahatan memanifestasikan kewujudannya. Fikirannya menerawang jauh. Ini soal hidup atau mati. Soal aku atau dia.

"... berada di tempatku," bisiknya.


**********

Ada satu peringkat dalam diri setiap manusia bila batas-batas kesabaran dalam diri terpaksa dilangkaui. Saiz badannya yang naik mendadak selepas kematian ibu bapanya, menjadikannya topik umpatan yang seronok untuk dibincangkan oleh rakan-rakannya sendiri.

Kononnya, raut wajahnya yang cute tidak sepadan dengan bentuk badannya yang seperti buah pear. Kononnya lagi, sebab utama Habil tidak dapat menerimanya adalah kerana saiz badannya yang tidak seimbang dengan saiz mukanya. Tapi kini, dia boleh berbangga dengan hasil usahanya. Popularitinya terbukti dengan bilangan followers dalam Facebook dan Instagramnya. Tapi yang anehnya, perubahan drastik bentuk badannya turut disertai dengan perubahan drastik seleranya.

Seleranya terhadap batang berjuntai dan bentuk bersegi-segi.


“Quisomodo, si pemukul loceng gereja”.

Gelaran yang diberikan bila dia mula ditugaskan membunyikan loceng waktu rehat di sekolah convent suatu masa dulu.

“Beauty and the beast”.

Bila dia dilihat berjalan bergandingan dengan manusia yang normal fizikalnya.

“Overdose”.

Bisik rakan-rakannya di kelas biologi bila perubahan struktur mukanya tidak sepadan dengan perubahan hormon remaja perempuan yang lain.

Dia akur dengan populariti dirinya. Pasti ada keindahan dalam setiap ketidaksempurnaan, katanya menyakinkan diri. Namun, dia tidak menyedari pada waktu itu, bahawa kata-katanya itu tidak lebih dari sekadar kata-kata penyedap hati.

Dua orang wanita popular, tapi dalam dua bentuk yang berbeza. Seorang memilih, seorang lagi menjadi insan terpilih. 

Begitu takdirnya.


**********

Sudah lama dia menyimpan hasrat untuk bertanya soalan itu. Cuma dia masih menunggu masa yang sesuai. Tapi entah mengapa, mulutnya menjadi begitu cabul pada hari itu.

“Kak, mengapa akak belum kahwin?”

“Akak lawa apa. Hidung pun dah macam Karisma Kapoor. Memilih sangat kot... “ sambungnya tergelak sedikit.

Epal merah dalam genggamannya terlepas. Terkejut dengan kebiadapan kata-kata yang keluar dari mulut itu. Dia bingkas bangun lalu berdiri memandang cermin. Dia meraba-raba wajahnya. Dahi, hidung, pipi, dagu dan setiap ceruk dan sudut pada raut wajah itu. Betapa buruknya makhluk ciptaan Tuhan ini, bisiknya. Lipatan kain tudung di pelipis kepalanya ditarik ke depan, menyembunyikan lagi wajahnya yang sudah sedia tertutup sepertiga.

Kain yang banyak jasanya merahsiakan kecacatan congenital sangkar tulang rusuknya dan dadanya yang leper.

Merahsiakan kecacatan orientasi seksualnya.

Merahsiakan takdirnya daripada pengetahuan orang lain.

Betapa malangnya makhluk ciptaan Tuhan ini, jerit hatinya lagi.

Perasaannya bercampur baur. Fikirannya berkecamuk. Terperangkap di antara penolakan berbisa yang diterimanya malam tadi dan soalan berbaur penghinaan yang baru diterimanya tadi. Dan apabila kotak amarah yang tersimpan lebih 40 tahun dibuka, maka sang pembisik pun mula mengukir senyuman. Dia segera meninggalkan tempat itu, meninggalkan Kim dan pekerja-pekerja Dear Lover, terpinga-pinga.


Kuasa mulut seorang perempuan.


**********

Lama dia menghilang. Tiada berita. Tanpa khabar. Telefonnya tidak diangkat. SMS tidak dijawab. Rumahnya kosong dan pekerja-pekerjanya tidak tahu ke mana dia pergi.

Dia merenung kain shawl warna hijau zamrud yang tergantung di birai katil. Besok adalah permulaan baru bagi dirinya. Dia ingin tampil dengan imej baru bila bersua buat pertama kali dengan jejaka yang berpotensi menjadi imamnya. Shawl itu kelak akan dipadankan dengan baju kurung moden warna kuning cair, hasil jahitan tangan Kak Marjan sendiri. Biarlah titik mula dia menuju ke alam rumahtangga dimulakan dengan keberkatan, pesanan Kak Marjan masih jelas dalam ingatannya.

Ya Allah, peliharalah Kak Marjan dari segala bahaya dan bisikan-bisikan hati manusia yang ingin berbuat jahat kepadanya...” doa Kim sebelum beradu ke alam mimpi. Belum sempat dia melelapkan mata, telefon bimbitnya berdering.

“Kak Marjan!”

Doanya termakbul. Tapi dia lupa untuk mendoakan dirinya sendiri.

 

Pernahkah kau bermimpi seketika

berada di tempatku?


**********

Deep Web Internet

Sebelum ini, dia tidak pernah tahu akan kewujudan entiti maya ini. Enjin carian internet bukan konvensyenal yang menyimpan seribu satu rahsia hitam dan kesongsangan minda manusia ini, tidak ramai yang mengetahui akan kewujudannya. Begitu gelap dan tersembunyi sehinggakan ramai user dalam forum-forum alam maya yang disertainya, berkali-kali menasihati sesama mereka agar tidak sesekali melayari sisi gelap dunia internet ini. Tapi dia sudah nekad. Dia sudah pun memuatturun aplikasi Tor yang membolehkannya masuk ke dalam dunia tersebut. Urban legend semata-mata, bisiknya.

Hitam yang menjadi warna latar laman sesawang tersebut, dihiasi dengan siri jujukan nombor dan abjad berwarna-warni berupa kod-kod yang tidak difahaminya. Berbeza dengan enjin carian konvensyenal seperti Google yang membolehkan user membuat carian maklumat dalam ruangan khusus, deep web internet lebih bergantung pada nasib si pelayar internet. Setiap satu siri kod-kod tersebut adalah pautan khusus yang membolehkan user melayari hingga ke lapisan internet yang paling dalam, yang paling gelap.

Dia membuka secara rambang kod-kod yang tertera pada skrin komputer itu dan mendapati pautan topik yang bersangkutan.

Sex slave forum

USA secret documents forum

Torture show for pay forum

How to kill your spouse forum

Setelah beberapa percubaan, akhirnya dia menemui apa yang dicari.

Dia tersenyum, lalu memandang cermin.

Melihat refleksinya.


Melihat iblis tersenyum membalas.


**********

Jam menunjukkan pukul 2 petang. Sudah hampir 10 minit dia menunggu di situ. Dia berdiri di bawah teduhan pohon api-api di pinggir jalan, sambil menyaksikan kenderaan yang lalu lalang. Tak banyak dan agak sunyi keadaan di sekeliling. Baru sebentar tadi, Lestari ada memberitahunya yang adik angkatnya akan melalui jalan tersebut untuk menjemputnya keluar makan tengahari bersama.

Dari arah bertentangan, kelihatan sebuah Proton Wira putih bergerak menuju ke arahnya. Kereta itu lalu berhenti di tepi jalan.

“D?... Saya kawan Adam. Dia tak dapat datang ambil. Ada kecemasan. Dia minta saya tolong hantarkan,” kata pemandu kereta tersebut setelah menurunkan cermin tingkap keretanya.

Ada sesuatu dalam loghat bahasa lelaki itu yang mencurigakan hatinya. Dia hanya dapat melihat separuh sahaja wajahnya yang dilindungi cermin gelap dan kaca mata hitam.

Dealova tunduk seketika cuba mencari-cari sesuatu di dalam beg tangannya. Belum sempat dia mengeluarkan telefon bimbit, dua orang lelaki lain keluar dari kereta tersebut. Dia terpana melihat kelibat lelaki-lelaki berbangsa asing itu yang menghampirinya. Rasa curiga semakin menebal bila pemandu kereta tadi keluar dan berdiri di sampingnya. Dia cuba untuk melangkah pergi, tapi ketiga-tiga lelaki tersebut segera menghalangnya. Seorang mengangkat dan memegang kakinya, sementara seorang lagi memegang badan dan kedua-dua tangannnya. Si pemandu memekap mulutnya dengan sapu tangan, seraya berbisik dari belakang,

“Hari ni, aku akan ajar kau erti kenikmatan di antara lelaki dan perempuan.”

Dealova meronta-meronta dengan segenap kekuatannya yang ada. Matanya tiba-tiba tertumpu pada seraut wajah dengan rambut memutih di kepala, duduk di kerusi penumpang belakang kereta, sedang memerhatikan mereka dari tingkap yang separuh terbuka.

“Kak Marjan!”

Dan apabila si insan terpilih sudah memilih takdirnya, maka sempurnalah sudah ketidaksempurnaannya.

Pintu bonet kereta dibuka, sebelum pandangannya bertukar gelap.

“Tapi mengapa?!” jerit hatinya, diiringi linangan airmata perpisahan.


Lantas ku pendam, ku putuskan...


**********

Harian Metro, 14 Februari 2016

Klang – Polis telah menemui mayat seorang wanita dalam lingkungan umur 20-an, dipercayai dibunuh. Mayat itu ditemui di kawasan semak samun berhampiran sebuah ladang pisang, di Jalan Klang Lama, petang semalam. Penemuan tersebut dilaporkan kepada pihak polis oleh seorang penduduk tempatan yang mengesyaki sesuatu bila anjing peliharannya dilihat sedang mengigit cebisan daging mencurigakan yang bersalut perca kain.

Hasil siasatan awal polis mendapati bahawa mangsa mati dalam tempoh kurang dari 24 jam dari masa penemuan, berdasarkan keadaan mayat yang masih segar semasa ditemui. Beberapa bahagian badan mangsa dipercayai dipotong dengan senjata tajam. Polis juga tidak menolak kemungkinan bahawa mangsa telah dirogol sebelum dibunuh. Mayat kini dihantar ke Hospital Tunku Ampuan Rahimah Klang untuk bedah siasat. Saksi kejadian diminta tampil untuk membantu siasatan.


Hidupnya tidak berakhir seperti si puteri salju.


**********

Dia terpaksa menggantikan tempat rakan sejawatnya yang mengambil cuti kecemasan. Dalam hati dia masih mengharap agar semua ini hanya kes pelanduk dua serupa. Paling tidak pun sekadar kebetulan, walaupun jauh di sudut hatinya dia sedar, bahawa nama yang seunik itu, tidak mungkin dikongsi oleh orang lain.

Perlahan-lahan dia membuka zip beg yang menyimpan jasad malang itu. Tangannya sedikit terketar.

“Ya Allah, jadikanlah ini sekadar suatu mimpi.”

Ternyata bukan mimpi. Wajah indah yang sepatutnya dibelai dengan sentuhan kasih tangannya, bertukar menjadi wajah duka yang bakal dilukai dengan pisau yang dipegang oleh tangannya. Topeng muka yang dipakainya basah, menzahirkan kesedihan yang sudah tidak dapat disembunyikan lagi.

Di suatu sudut, di kamar mayat itu,

Hai! Dr Adam.

Nama aku Luk Luk.


"Ketidaksempurnaan wajib wujud untuk menyempurnakan makna kesempurnaan

Kebaikan hanya boleh dirasai bila kejahatan memanifestasikan kewujudannya

Semuanya berada dalam keseimbangan

Begitu aturan Tuhan"


SEKIAN

[ Dapatkan antologi cerpen PenaWan SAKSIKU CARNATION terbitan CHERMIN BOOKS untuk membaca salah satu karya saya bertajuk "Di Sebalik Bayang Oedipus", bertemakan keganasan rumahtangga ]

*Cerpen ini pernah dihantar untuk suatu pertandingan menulis cerpen bertemakan LGBT. Perenggan ke-2 cerpen ini (Demontrasi Pro-Palestin di hadapan Bangunan...) adalah petikan dari pihak penganjur pertandingan tersebut yang mesti digabungjalin ke dalam mana-mana bahagian dalam cerpen. Cerita ini telah dibina dan dikembangkan dari petikan tersebut (yang telah diubahsuaisuai sedikit dari yang asal supaya serasi dengan konsep cerita). Justeru, kredit juga harus diberikan kepada penulis asal petikan tersebut dalam penghasilan karya ini. Terima kasih.


*congenital = sejak lahir


Kredit lagu :

1. Biarlah Rahsia (Siti Nurhaliza)

2. Hapuslah Airmatamu (Sharifah Aini)

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.