Home Cerpen Alternatif SYURGA DI HATI KITA
SYURGA DI HATI KITA
Alfian Mender
29/5/2017 23:48:08
6,294
Kategori: Cerpen
Genre: Alternatif

 

Aku tak faham, mengapa mak begitu benci akan perempuan itu.


Aku sedar dia tidak secantik mana. Kulitnya tidak segebu atau secerah kulit gadis-gadis lain yang ingin berdamping rapat denganku. Rupanya juga tidak sesempurna perempuan-perempuan lain yang tampil mulus bertopengkan make-up atau sentuhan ajaib aplikasi digital smartphone. Namun bagiku, garis-garis halus di sekitar daerah matanya dan garis-garis dalam melintang yang menghiasi dahi perempuan itu, adalah simbol kematangannya.

 

Kematangan masyarakat yang ku kira sudah tidak wujud lagi dalam era smartphone dan selfie ini.

 

Dalam usia yang baru menjejak 20-an, aku dapat merasakan yang aku tidak seperti teman-teman seusiaku yang lain. Di kala mereka terkejar-kejar mencari perempuan muda yang ramping bergaya, aku lebih cenderung untuk meneliti kecantikan yang tersirat. Bukan sebab aku memilih, tapi aku sedar bahawa kecantikan luaran tidak akan bertahan selepas melewati batas usia tertentu. Dan dengan itu, aku sebenarnya bersyukur. Bersyukur sebab tuhan telah menemukan aku dengan Fatimah.

 

Ya, Timah si perempuan kampung, sindir mak.

 

Ya, Timah si nenek kebayan, ejek budak-budak Flat Sri Melati.

 

Walaupun umur kami jauh berbeza, namun itu tidak sedikit pun menjejaskan pendirianku. Bahkan dari sehari ke sehari, rasa sayangku terhadap dirinya semakin mekar berkembang. Alunan suaranya menjadi halwa telinga yang ku rindui setiap detik waktu. Pengalaman hidupnya menjadi coretan yang menceriakan hidupku setiap hari. Dan darah bangsawan yang mengalir dalam darahnya mengajar aku sesuatu tentang kebobrokan beza darjat.

 

Wanita dinikahi kerana empat perkara.

 

Begitu pesan abang naqib sewaktu sesi usrah di universiti dahulu. Dan perempuan ini memang jauh berbeza. Ada sesuatu yang menarik perhatianku di sebalik tudung hitamnya yang labuh.

 

Permata yang tersembunyi.

 

********************

 

“Mak tak faham, apa kurangnya anak Tan Sri Zainal tu,” kata mak meluahkan rasa kecewanya bila aku menolak untuk bertemu dengan Putri Balqis.

 

“Kau tak kasihankan mak? Kaulah satu-satunya anak kami, Man. Mana mak nak letak muka mak ni? Kami dah berjanji untuk jodohkan kau dengan si Putri tu lepas kau habis belajar universiti”

 

Aku hanya mendiamkan diri. Aku perlu bertegas dalam hal ini. Ini soal masa depan. Soal hati dan perasaan.

 

“Mak tak faham... “

 

“... perempuan hodoh tu jugak yang kau pilih. Macam dah tak ada perempuan lain!” sambung mak lagi.

 

Berdesing telingaku bila mendengar mak berkata sedemikian. Sedikit menyesal sebab dalam keadaan teruja tempoh hari, aku menunjukkan foto-foto perempuan itu kepada mak. Masih jelas dalam ingatanku perubahan raut wajah mak ketika itu. Mungkin jika aku tidak terburu-buru, mak akan lebih dapat menerima hubungan kami.

 

Ingin sahaja aku menjawab balik kata-kata mak itu. Tapi aku masih punya akal. Aku masih sedar siapa aku dan siapa orang tua di hadapan ku itu.

 

Syurga di bawah telapak kaki ibu.


Aku ingat akan pesan abang naqib. Tapi aku juga punya hak untuk menentukan kebahagianku. Mungkin dia tidak cantik pada pandangan mata mak. Tapi dialah kejora hatiku. Hatta syurga pun bukan tandingannya.

 

“Dia sebaya mak, Man. Sebaya mak. Kau tak malukah duduk bersanding dengan perempuan kerepot yang sebaya mak ni. Mana mak nak letak muka mak ni, Man...” rayu mak lagi.

 

Ayah hanya mendiamkan diri. Mungkin memahami nasib anaknya ini yang juga seperti dirinya suatu masa dahulu. Hanya mak yang sudah hilang ingatan.

 

Cinta Laila dan Majnun.

 

Cinta terhalang dek status dan standard masyarakat.

 

Mak, maafkan Man. Cinta tak boleh dipaksa. Bila ia hadir, kita kena menerimanya biar siapa pun yang datang. Ini bukan soal status atau maruah keluarga. Bukan soal mak atau ayah.

 

Ini soal hati dan perasaan.


********************


Seperti biasa aku melalui kawasan perumahan itu terlebih dahulu untuk sampai ke tempat kerja. Aku terpaksa berjalan beberapa langkah dari tempat aku meletakkan kereta sebelum sampai ke destinasiku setiap pagi. Hari itu, aku mendapati ada sebuah gerai baru didirikan di sebelah jalan di hadapan Flat Sri Melati. Aku tergerak hati untuk mencuba sesuatu yang  mungkin baru untuk dijadikan santapan pagi.

 

Nasi lemak.

 

Bosan, bisikku. Aku cuba beredar dari situ sebelum langkah kakiku terhalang oleh suatu suara lembut dari belakang. Lenggok bahasa utara. Aku menoleh.

 

“Dik, cuba dulu nasi lemak akak ni. Hari ni akak bagi percuma,” kata si penjual nasi lemak, menghulur sesuatu di tangannya.

 

Aku kembali menghampiri gerai itu. Teragak-agak pada mulanya untuk menerima sebungkus nasi lemak yang sudah siap dibungkus dalam plastik itu.

 

“Nasi lemak yang ni special sikit, sebab adik pelanggan pertama akak. Cubalah.” sambungnya lagi, tersenyum-senyum.

 

Dalam keterpaksaan aku mengambil bungkusan tersebut bila tanganku tiba-tiba digenggamnya dan plastik itu bertukar tangan.

 

“Percuma.” kata si penjual, masih tersenyum.

 

“Terima kasih.” ucapku ringkas, sebelum berlalu pergi.


Dan itu adalah detik permulaannya. Setiap hari aku akan datang ke gerai tersebut, termasuk hari cuti. Mencari nasi lemak hasil air tangan Kak Timah, yang sudah tersedia khusus dalam plastik untuk aku datang mengambilnya. Nasi lemak special, katanya berkali-kali. Ku akui, memang ada kelainan pada rasa nasi lemak tersebut.

 

Namun di sebalik kunjunganku ke gerai tersebut, aku sebenarnya tercari-cari seraut wajah yang tersembunyi di sebalik kain tebal yang menyelimuti kepalanya. Yang semakin hari, semakin ku rindui.

 

Semakin ku sayangi.

 

Pelik. Aku sendiri mengakuinya. Atau mungkin lebih pada rasa belas, akalku cuba membuat rasionalisasi. Belas kasihan pada seorang balu tanpa waris yang baru sahaja kehilangan suami. Suami yang secara tiba-tiba hilang semasa berburu di hutan, jelasnya sayu.

 

Aku juga kagum dengan ketabahannya hidup merantau seorang diri. Merawat sakit perit yang hadir seiring dengan peningkatan usianya tanpa kehadiran peneman di sisi.

 

Simpati pada nasib pendatang sepertinya yang datang menumpang rezeki di bumi bertuah ini. Di tepi jalan Flat Sri Melati yang menjadi tempat permainan kanak-kanak kurang kasih sayang yang sering mengejek-ejek rupa parasnya.

 

Pun begitu, sisa-sisa zaman mudanya masih belum terpadam sepenuhnya. Bibirnya yang terukir sempurna seringkali mengingatkan aku akan kelazatan gugusan buah anggur yang masak ranum. Semanis senyumannya.

 

Harta. Keturunan. Agama.

 

Dan rupa.

 

Tidak ada cacat celanya pada wajah yang ada sepasang mata yang mampu melihat, dan yang punya mulut yang bisa berkata-kata. Yang cacat adalah pandangan mata yang hanya mampu melihat di permukaan.

 

Yang cela adalah mulut manusia yang suka berkata-kata pasal darjat dan keturunan!

 

“Mak malu, Man. Mak tak sanggup. Kita datang dari keluarga baik-baik. Tak pernah dalam sejarah keluarga kita, ada yang kahwin dengan perempuan-perempuan bawahan macam tu,” sambung mak, mengejutkan aku dari lamunan.

 

Perempuan bawahan? Suatu masa dulu, perempuan bawahan itu pernah menjadi primadona istana rebutan ramai lelaki, mak. Tapi kecantikan fizikal tak kekal. Tak ada apa-apa pun yang kekal dalam dunia ini. Hatta status yang kita ada ni pun tak kekal, mak!

 

“Mak tak peduli. Biar mati anak, jangan mati adat. Mak tak akan biarkan kau menconteng arang dimuka kami!”

 

Aku meninggalkan mak yang mula menangis teresak-esak.

 

Mak yang tak pernah cuba untuk faham.


********************


Malam itu mak mengajakku keluar. Aku tidak tahu ke mana dan untuk tujuan apa. Tapi naluri hatiku kuat merasakan ada sesuatu yang mak cuba lakukan. Aku bersetuju, dengan syarat aku dibenarkan memandu keretaku sendiri. Mak di hadapan, menaiki kereta yang dipandu oleh Pak Leman. Ayah tidak ada di rumah. Outstation di Pattani. Mungkin ayah sendiri tidak tahu akan rancangan mak ini, aku mengagak.

 

Aku hanya mengekori sahaja kereta di hadapanku itu. Masih banyak jalan-jalan terpencil dan ceruk-ceruk ibu kota yang belum pernah aku terokai. Dari jalan bertar, kami memasuki jalan kecil yang berbatu-batu. Di kiri kananku, kelihatan barisan pohon-pohon yang berbalam-balam tingginya menenggelamkan daerah sepi yang semakin terpencil itu. Tidak ada rumah atau sebarang aktiviti manusia kelihatan. Hanya lampu kereta kami yang menerangi jalan yang semakin berbengkang-bengkok laluannya. Cahaya bulan tersembunyi di sebalik rimbunan pepohon hutan yang menjadi laluan kami.

 

Hutan?

 

Aku mula merasa tidak selesa. Aku cuba menghubungi mak, tapi isyarat talian telefon yang lemah tidak mengizinkan. Aku meneruskan pemanduan. Sudah terlambat untuk berpatah balik. Fikiranku mula  kacau dengan bermacam-macam perkara. Memang dari dulu lagi aku tidak percaya dengan Pak Leman. Bekas pesara tentera sepertinya, yang mengaku pernah menumpahkan darah manusia, bukanlah seseorang yang boleh dipercayai. Pun begitu, banyak rahsia yang ku kutip dari mulut orang tua itu, walau kesahihannya ku ragui.


Perjalanan hampir tiga jam itu tiba di penghujungnya apabila kami tiba di suatu tanah lapang. Di situ terletak satu-satunya pondok usang bersebelahan sebatang pokok yang tidak berdaun. Aku memerhatikan sekeliling. Ada sesuatu yang membuat aku merasa gelisah tidak menentu.


Cahaya dari pondok itu? Pokok itu? Atau mungkin tanah gersang itu sendiri?


Aku tak pasti. Tapi degup jantungku mula merusuh. Seakan-akan ada sesuatu yang bakal menyakitkan sedang menantiku di hadapan.


Mak dan Pak Leman keluar dari kereta terlebih dahulu, sebelum mak memberi isyarat kepada aku untuk ikut sama. Kami bertiga melangkah ke arah pondok tersebut tanpa sebarang kata. Aku yang paling di belakang. Rasa benci tiba-tiba menyelinap masuk ke dalam hatiku tanpa sebab. Mungkin ku tujukan pada mak sebab membawa aku ke situ. Aku tak pasti. Sesampainya di anak tangga, Pak Leman memberi salam. Tidak ada jawapan. Kami memandang sesama sendiri sebelum Pak Leman masuk melalui pintu yang separa terbuka. Dia kemudian memanggil kami untuk masuk sekali.


Bertentangan dengan pintu itu, aku melihat seorang lelaki tua berpakaian putih sedang duduk bersila di atas sehelai kain putih. Dia memakai songkok putih dan di bahu kirinya, disangkut sehelai selendang putih. Matanya pejam, sambil tangannya membilang biji-biji tasbih yang juga berwarna putih. Serba putih. Selain dari sebuah lampu pelita yang digantung pada dinding pondok, ruang itu kosong sepenuhnya.


Bukan.


Bukan kosong sepenuhnya. Ada sesuatu. Aku pasti. Aku mula berpeluh. Panas.


“Assalamualaikum, Pak. Ini kami datang. Ini Ibu Siti yang saya bilang sama bapak,” Pak Leman memulakan bicara.


Lelaki tua itu hanya mengangguk kecil. Semakin banyak peluh merembes keluar. Semakin panas ku rasakan.


“Bapak, ini anak saya, Azman. Kami datang mau minta tolong sama bapak. Anak saya ini sudah kena buatan orang. Minta tolong bapak untuk ubatin anak saya ini... ” sambung mak sambil menunjukkan sekeping foto kepada lelaki itu.


Sebaik sahaja mendengar kata-kata mak itu, aku mula merasa berang. Sama sekali tidak menyangka yang aku turut sama diheret ke kancah kekhurafatan seperti ini. Aku bingkas bangun tanpa mempedulikan sudah siapa di hadapanku ketika itu.


“Syirik!”

 

“Man tak nak terlibat dalam permainan jin dan syaitan yang direjam ini!” kataku separuh menjerit.

 

“Mak hanya pandang luaran saja. Mak mata duitan. Mak pandang hina orang-orang yang tak setaraf dengan kita. Mak ugut Timah. Mak tuduh Timah yang bukan-bukan. Gerai Timah tu, orang-orang mak yang bakar, kan?” ligat lidahku menyampaikan cerita yang ku dengar daripada Pak Leman.

 

“Tapi mak lupa, ayah yang pungut mak dari celah-celah tong sampah dan longkang di pinggir bandar satu masa dulu!” ku luahkan segala rahsia dan keaiban mak.

 

Cinta Laila dan Majnun.

 

Aku mula beredar dari situ bila Pak Leman tiba-tiba datang memelukku dari belakang untuk cuba menghalang langkahku. Ada sesuatu yang dibisikkan di telingaku, namun fikiranku menolak untuk memahaminya. Kudratku yang melebihi kudrat orang tua itu akhirnya berjaya melepaskan pelukkannya, lantas dia ku tolak ke tepi. Pak Leman terjatuh.

 

Lelaki serba putih itu ku renung kembali. Matanya masih terpejam, tasbih masih dibilang. Ada kebencian menyelinap dalam diriku bila memandangnya setenang itu.

 

Aku kemudian meneruskan langkahku dan meninggalkan mak yang mula menangis teresak-esak.

 

Dan itu adalah kali terakhir aku melihat mak.


********************

 

Aku keluar dari pondok itu lalu bergegas masuk ke dalam kereta. Keputusan sudah ku buat pada malam itu. Aku sudah tidak boleh menunggu lama lagi. Semakin lama, semakin banyak halangan yang akan aku hadapi. Aku memecut balik ke rumah. Sesampainya di rumah, aku mengemas pakaianku dan menuju ke suatu destinasi yang bermain-main di fikiranku sepanjang perjalanan balik tadi. Passport ku bawa sekali.

 

Aku mengetuk pintu bilik A23, Flat Sri Menanti. Ketibaanku disambut dengan wajahnya yang pucat lesi dan kelesuan. Butir-butir keringat membasahi wajahnya. Setelah menenangkan diri dan memastikan dia benar-benar sihat, aku memintanya untuk mengemaskan barang-barangnya dan beredar dari situ bersama aku. Tanpa banyak kata, dia menurut. Tapi menolak bila aku mengajaknya untuk singgah ke klinik.

 

Besok adalah hari kami melestarikan hubungan suci ini, begitu rancanganku. Hari kami menyatukan ikatan hati kami dengan cara yang halal. Aku hanya mampu berharap moga-moga perjalanan kami menuju Jannah bersama-sama akan berjalan dengan lancar. Aku telah berjanji dan bersedia untuk hidup setia dengan kekasih hatiku ini, bercinta hingga ke pintu syurga. Aku juga bersedia meneruskan hidup di kampung halamannya di Sempadan Thailand walau tanpa pangkat atau darjat.

 

Syurga di hati kita.


********************


Aku memandang pondok kecil itu berkali-kali. Dikelilingi pokok-pokok pisang dalam kawasan kebun sayur kami. Reban ayam, kata isteri. Peliknya, tidak ada seekor ayam pun yang pernah ku lihat keluar masuk dari situ. Tambah pelik bila isteri seorang sahaja yang sering ku lihat keluar masuk ke dalamnya. Entah mengapa, mulutku seakan-akan terkunci bila saja aku ingin bertanya tentang hal itu. Tapi malam itu aku nekad. Hanya aku seorang sahaja di rumah pada ketika itu. Dan aku ingin tahu rahsia pondok itu selepas genap setahun usia perkahwinan kami hari itu.

 

Ada sesuatu.

 

Bunyi berkeriut memecahkan keheningan malam bila pintu reban yang tidak berkunci itu ku buka. Segera hidungku disambut dengan bau-bauan yang keras dan menyesakkan. Pintu ku tutup perlahan-lahan.

 

Aku memerhatikan sekeliling, menyesuaikan penglihatanku dengan tahap kesuraman ruang itu. Beberapa jalur cahaya bulan dari luar mencuri masuk melalui celah-celah dinding kayu yang berlubang-lubang. Agak luas untuk sebuah pondok yang tidak punya apa-apa fungsi. Pandanganku tiba-tiba tertangkap pada himpunan objek yang terletak di atas lantai bertentangan dengan pintu masuk tadi. Aku melangkah menghampirinya lalu merendahkan badanku. Asap kecil berkepul-kepul yang datang dari objek-objek itu membuatkan aku terbatuk kecil.

 

Kemenyan?

 

Aku meraba-raba objek yang diletakkan di atas tikar itu, sambil cuba meneka-neka. Ada beberapa objek seperti batu pula tersusun di atas binaan seperti pangkin. Diikat di antara satu sama lain dengan tali atau mungkin benang.

 

Patung?

 

Aku kemudian mengangkat sebuah mangkuk kecil berisi cecair yang diletak di atas pangkin tersebut. Mangkuk itu terlepas dari genggamanku lalu tertumpah sebaik sahaja aku cuba menghidu kandungannya. Loya tekakku dengan bau hanyir darah yang entah sudah berapa lama dibiarkan di situ. Seluarku basah dan melekit.

 

Aku cuba meninggalkan tempat itu, bila cahaya dari arah pintu menerpa masuk seiring dengan bunyi hentakan pada pintu yang menggegarkan keseluruhan ruangan itu. Aku melihat bebayang melintang-lintuk terbentuk pada dinding di hadapanku. Objek-objek yang tadi menjadi tanda tanya kini sudah jelas bentuk dan rupanya. Benakku tercari-cari makna keseluruhan pengalamanku sebentar tadi, tapi tidak ku temui.

 

Kosong.


********************


“Hoi! Jantan bodoh! Kau buat apa dekat sini, hah?!”

 

Aku berpaling ke arah suara itu. Kelihatan isteri dengan pelita di tangan sedang berdiri di depan muka pintu. Aku bingkas bangun lalu menghampirinya.

 

“Berapa kali aku nak cakap, ini kawasan aku. Kau tak boleh masuk! Bodoh!” terjegil-jegil biji matanya yang hampir melompat keluar.

 

Aku memerhatikan sahaja wajah di hadapanku itu dan mula mengira.

 

Satu.

 

Dua.

 

Tiga.

 

Empat.

 

Lima.

 

Ada lima bonjolan kecil di wajah isteriku itu.

 

Lima permata untuk lima penyeri wajah.

 

Ada di dahi, di dagu, dan ada di hidung. Itu belum termasuk 3 ketumbuhan lain di bahagian leher. Kulitnya yang berbelang-belang hitam dan putih, adalah kurniaan sejak lahir yang tidak ada pada orang lain. Betapa indahnya ciptaan tuhan ini. Tidak ada cacat celanya.

 

Yang cacat adalah pandangan mata yang hanya mampu melihat di permukaan.

 

Aku mula tersenyum bangga, bila suatu tamparan kasar hinggap di pipiku.

 

“Apa lagi yang kau tersenyum-senyum tu, setan?! Pergi masuk ke dapur sekarang! Habiskan nasi di atas meja tu!” bentaknya lagi.

 

Aku mengesat darah yang mengalir dari bucu mulutku. Terasa bangga punya isteri yang kuat dan berani sebegitu. Bentak suaranya yang lembut adalah simfoni indah yang menjadi halwa telingaku setiap hari. Seronok aku menyaksikan gugusan buih-buih air liur membasahi kudis-kudis separa kering yang menghiasi tepian bibirnya, setiap kali mulut itu berbicara. Aku mula beredar sebelum satu sepakan hinggap di punggungku. Itu adalah caranya bermanja, bisikku.

 

Aku menukar pakaian sebelum masuk ke dapur. Di bawah tudung saji sudah tersedia hidangan yang menjadi santapanku siang dan malam. Dibuat khusus oleh sang isteri untuk si suami yang tercinta. Nasi putih yang sudah diramas-ramas dengan ikan bilis dan sayur kangkung serta campuran-campuran lain yang aku sendiri tidak pasti.

 

Diramas dengan penuh kasih sayang.

 

Aku menjamah hidangan itu dengan rasa kesyukuran. Setiap butir nasi itu terasa begitu berharga. Mengingatkan aku akan nasi lemak special kegemaranku yang mungkin juga telah diramas-ramasnya terlebih dahulu. Begitu nikmat. Dan begitu enak sekali. Jauh lebih enak dari air tangan mak aku sendiri.

 

Mak? Lama aku tidak menyebut nama itu.

 

“Lepas makan, terus tidur. Besok kau mesti dapatkan aku 3 ekor ayam hutan. Warna hitam! Nahas kau kalau kau tak dapat!” jerkah isteri yang tiba-tiba muncul dari belakang.


********************

 

Di desa ini aku hidup serba sederhana. Walaupun aku masih asing dengan adat dan bahasa yang digunakan oleh penduduk di sini, namun aku punya isteri yang mampu memberi segala perlindungan yang aku perlukan. Lebih seronok rasanya membantu isteri di gerai menjual nasi lemak berbanding kerja korporat di pejabat. Sebulan sekali aku disuruh ke hutan. Memburu ayam hutan, untuk tujuan yang aku tidak pernah tahu. Ke pekan pula seminggu sekali untuk membeli barang-barang keperluan harian. Begitu rutin hidupku.

 

Dan bila keseorangan, aku sering teringatkan isteri. Tak dapat aku bayangkan hidup tanpa pekikan manja suaranya.

 

“Kau buat apa tu, setan?!”

 

“Aku suruh kau beli santan, bukan kelapa, bodoh!”

 

“Jantan goblok! Lain disuruh, lain dibuat!”

 

Aku tersenyum sendiri. Betapa indahnya hidup bila berada dalam dakapan cinta seorang insan bergelar isteri. Namun sehingga sekarang aku masih tak faham, mengapa mak begitu benci akan perempuan itu.


Berjanjilah

Dan setia

Kekasih, padaku

Kita bercinta hingga ke pintu syurga


SEKIAN

[ Dapatkan antologi cerpen PenaWan SAKSIKU CARNATION terbitan CHERMIN BOOKS untuk membaca salah satu karya saya bertajuk "Di Sebalik Bayang Oedipus", bertemakan keganasan rumahtangga ]

*Kredit lagu - Syurga Di Hati Kita (Ziana Zain)

 

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.