Home Alternatif Umum Tragedi Yang Dilupakan
Tragedi Yang Dilupakan
Zaf Zafirah
10/8/2016 11:20:44
4,370
Kategori: Alternatif
Genre: Umum
Senarai Bab

Tragedi Yang Dilupakan

Pagi itu saya ditugaskan untuk membuat liputan mengenai program Pemeriksaan Kesihatan untuk Warga Rohingya di Sekolah Pelangi Kasih, Taman Selayang Baru, Batu Caves anjuran Sukarelawan Perubatan Islamic Relief Malaysia (IRM). Walaupun pada mulanya kaki berat untuk melangkah, namun dengan keyakinan bahawa saya akan mendapat ‘sesuatu’ di sana, saya gagahi jua.

Bersama rakan setugas, kami menuju ke Selayang dari Bangi kira-kira jam 9.45 pagi. Sampai sahaja di Sekolah Pelangi Kasih, kami disambut mesra oleh seorang kakitangan Malaysian International Welfare & Humanitarian Organisation (MyWelfare) yang turut sama menjayakan program tersebut. Difahamkan bahawa program telah pun bermula dan masih ramai yang menunggu giliran untuk diperiksa. Saya sempat menjeling kawasan persekitaran di sekolah tersebut. “Bersih, kemas.” Itulah yang terdetik di hati saya ketika itu.

Kami memasuki kawasan pemeriksaan. Penuh. Ramai. Kanak-kanak, orang dewasa, lelaki, perempuan, semua memenuhi ruang yang sempit. Pelbagai reaksi wajah dapat dilihat. Kanak-kanak dengan riang tawanya. Yang dewasa pula bagai tiada perasaan. Barangkali sedang memikirkan bagaimana untuk meneruskan kelangsungan hidup di bumi yang asing bagi mereka ini.

Kami menuju ke ruang utama. Maklumat diperolehi. Mereka perlu menjalani lima langkah pemeriksaan. Bermula dengan pendaftaran, mereka kemudian menjalani ujian darah untuk mendapatkan bacaan gula. Selepas itu, mereka perlu menimbang berat badan dan mengukur tinggi. Untuk kanak-kanak, ukuran lilit kepala mereka diambil untuk mengetahui tumbesaran mereka. Selepas langkah itu, pemeriksaan terperinci dilakukan oleh doktor-doktor yang bertugas. Rata-rata mereka tiada rekod perubatan yang boleh menjadi rujukan para doktor. Mereka kemudiannya mendapatkan bekalan ubat-ubatan dari ahli farmasi yang hadir.

Pada hari tersebut, seramai kira-kira 180 orang warga Rohingya sekitar Selayang, Batu Caves, Sentul, dan kawasan sekitar hadir untuk mendapatkan rawatan percuma itu yang melibatkan 20 orang sukarelawan perubatan.

Kesempatan yang ada memberikan saya peluang untuk beramah mesra dengan mereka yang hadir. Kebanyakan kaum wanita warga Rohingya tidak faham dan tidak boleh berbahasa Melayu. Saya beralih kepada kanak-kanak yang begitu teruja dapat berkumpul hari ini. Dengan pendidikan yang diberi, ada antara mereka yang boleh berbicara dengan bahasa Melayu walaupun kurang fasih. Soalan demi soalan ditanya. Tentang asal usul, tentang diri dan keluarga. Nampaknya mereka sendiri tidak tahu asal usul mereka. Mungkin kerana kesan trauma yang mendalam, ibu bapa mereka juga tidak mahu berkongsi cerita dan rahsia yang terpendam. Biarlah anak-anak mereka membesar dengan gembira tanpa dendam. Menurut Ustaz Rafik, Pengetua Sekolah Kasih Pelangi, dalam sesebuah keluarga Rohingya di sini, hanya ketua keluarga iaitu kaum bapa sahaja yang bekerja manakala isteri mereka dibiarkan menguruskan hal keluarga di rumah. Kerana itulah kebanyakan warga Rohingya yang ditemui, hanya lelaki yang boleh bertutur dalam bahasa melayu kerana mereka sememangnya bergaul dengan masyarakat Malaysia.

Jam menunjukkan pukul 2 petang. Saya melihat masih ramai lagi warga Rohingya yang menunggu giliran. Wajah para sukarelawan mula menampakkan keletihan. Walaupun begitu, mereka masih melayani pesakit-pesakit dan meneruskan tugasan dengan rona muka yang manis. “Muka dah penat, ramai lagi pesakit,” saya berkata-kata di dalam hati. “Tapi masih tabah bekerja.” Perasaan kagum menyelimuti diri. Di zaman yang penuh pancaroba ini, bukan mudah untuk bertemu dengan insan-insan berhati waja. Sudahlah letih dengan tugasan harian di hospital atau klinik, ditambah pula dengan kerja sukarelawan sebegini, tetapi masih mampu memberikan khidmat kepada masyarakat yang memerlukan. Tanpa sebarang bayaran pula. Semoga Allah memberkati petugas-petugas ini.

Program ini merupakan siri kedua yang dijalankan oleh Sukarelawan Perubatan IRM. Kali pertama, ia dilaksanakan di Knowledge Garden Learning Center (KGLC)di Serdang, Selangor, juga kepada warga Rohingya di sana. Bezanya kali ini, IRM mendapat kerjasama yang jitu dari MyWelfare.Sekolah Pelangi Kasih dipantau sepenuhnya oleh MyWelfare. Sebab itulah sekolah tersebut bersih dan kemas memandangkan MyWelfare amat menitik beratkan soal penjagaan kesihatan dan kebersihan supaya suasana pembelajaran yang kondusif dan selesa dapat diwujudkan.

Sesuatu bermain di benak fikiran. Ingat lagikah kita tentang isu pelarian Rohingya yang terkandas di Laut Andaman dan Selat Melaka pada awal Mei 2015? Waktu itu, kita semua mengambil berat tentang mereka bukan? Setiap hari kita tertanya-tanya apa perkembangan mereka. Sudah diselamatkankah? Sudah sampai ke daratkah? Bagaimana mereka menahan lapar dan dahaga di atas bot? Bagaimana keadaan mereka? Bertahankah mereka? Masih ingat lagikah? Saya yakin jawapannya “ya”. Bagaimana kini? Semoga tahap keprihatinan kita terhadap mereka tidak berkurangan walaupun masa berlalu meninggalkan tragedi itu.

Hari itu, saya tidak menyangka bahawa ada di antara warga Rohingya yang mendapatkan rawatan di situ adalah pelarian Rohingya yang berada di atas bot itu! Rasa terharu dan bersyukur kerana dapat bertemu dengan mereka. Bagi saya, mereka adalah insan-insan terpilih yang kuat dan tabah. Bukan mereka pinta akan perpisahan ini, antara bumi tercinta Myanmar menuju ke bumi asing Malaysia. Namun demi menyelamatkan nyawa dan aqidah, mereka sanggup lari menyelamatkan diri. Teringat akan sebuah firman Allah S.W.T;

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan berhijrah di jalan Allah,mereka itu mengharapkan rahmat Allah, dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

(SurahAl-Baqarah 2:218).

Banyak pengalaman dan pengajaran yang saya peroleh sejak berkecimpung dalam dunia kemanusiaan bersama IRM. Kisah Rohingya merupakan satu daripada jutaan kisah yang dilalui. Saya berasa sangat beruntung dan bersyukur berada di Malaysia yang serba cukup ini. Semoga Allah memelihara saudara-saudara Rohingya kita walau di mana mereka berada.



Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.