Bab 6

#6:The Journey

Chooo...choooo..gdekk...gdekkk...gdekkk

Kedua-dua batang tubuh manusia yang tersandar dibatang pokok itu saling melorot.  Kepala mereka bersentuhan antara satu sama lain.  Kelopak mata Maliq bergerak-gerak apabila telinganya menangkap bunyi keretapi yang tidak jauh dari situ. 

Bunyi hon kereta api tersebut sayup-sayup kedengaran dicorong pendengarannya.  Kelopak mata dibuka perlahan-lahan dan suasana disitu masih lagi gelap dan diselubungi kabus.

Hembusan angin pagi yang dingin menyebabkan tubuhnya menggigil.

'Masih belum siang rupanya.' 

Maliq menggeliat kecil melonggarkan segala urat saraf yang tersimpul.  Dengkuran halus milik si gadis menerpa dicuping telinga Maliq. 

'Ciss..patut la dekat je dengar.  Sedap je dia lentok kat bahu aku' Maliq mengomel lagi.  Perlahan-lahan kepala Merlis ditolak.  Tubuh gadis itu kembali menegak.  Maliq memasang telinga tatkala kedengaran suara orang ramai berbual-bual. 

"Hei, perempuan.  Bangunlah.  Sudah subuh"  kepala Merlis ditonyoh.  Merlis menggeliat kecil.  Mulutnya yang ternganga luas kerana menguap.

"Fuhhhh...busuk betul mulut kau ni.   Hei, bangulah lekas!  Kita kena gerak sekarang" ulang Maliq.  Tubuh Merlis digoncang lantaran kelopak mata gadis itu yang masih terkatup rapat.

"Tidur mati betul.  Hoiii bangunlah!  Kita kena gerak sekarang!"

Pekikan Maliq menyedarkan Merlis.  Telinganya berdesing akibat gegendangnya menerima desibel yang tinggi dari had normal.  Terpisat-pisat Merlis sebelum menatap wajah Maliq.  Tanpa menunggu lebih lama, Maliq mengheret tubuh Merlis ke arah lokasi datangnya bunyi berkenaan.

Disebalik belukar, Maliq mengintip lokasi tersebut yang diterangi oleh cahaya lampu kalimantang.  Kelihatan sebuah stesen kereta api lama dan beberapa orang pekerja dan penumpang sedang menunggu untuk menaiki kereta api tersebut.

"Kita kena cepat ke sana.  Kalau tak kita akan terlepas."

"Kemana?" soal Merlis terpinga-pinga.

"Ke stesen tu la, lembap!"

Tangan Merlis yang terikat bersama pergelangan tangannya diheret.  Langkah diatur dengan cepat dan cermat.  Setiap kelibat manusia diperhatikan.  Dia perlu menaiki gerabak keretapi sebelum matahari terbit.  Mujurlah penumpang tidak begitu ramai ketika itu.  Sedikit sebanyak ianya memudahkan pergerakan mereka berdua. 

"Ikatan ni aku akan buka.  Tapi awas.  Nampak kan pistol ni?   Kalau kau cuba cari pasal, aku tak teragak-agak bunuh kau sama macam kawan kau hari tu.  Faham?"

Pantas Merlis mengangguk.  Ikatan itu dileraikan sebagaimana yang dijanjikan.  Merlis menggosok-gosok pergelangan tangannya perlahan.  Dia terasa bebas seperti burung yang terlepas dari sangkar.

"Cepat la!  Terhegeh-hegeh."

Merlis membuntuti langkah Maliq.  Apalah pilihan yang dia ada selain daripada mengikuti pemuda itu.  Lantaran pula Maliq memiliki senjata.  Jika dibantah, nyawanya mungkin melayang untuk selama-lamanya.

Mereka berdua telah berjaya menyelinap masuk kedalam salah satu gerabak barang-barangan setelah bersusah payah.  Merlis menyandarkan tubuhnya didinding gerabak seraya mengelap keringat didahi dengan tangan.  Tubuhnya semakin terasa sakit akibat terlalu lasak bergerak.

"Kita akan berhenti di hentian seterusnya.  Jadi kau cuma perlu duduk diam-diam disini" ujar Maliq.

Maliq sendiri pun tidak pasti kemanakah destinasi yang akan dituju oleh mereka.  Dia tidak peduli ke mana asalkan dirinya selamat daripada buruan pihak berkuasa.

******

"Moon nak Merlis.  Entahkan selamat ke tidak anak kita tu."

Tangisan Puan Maimun semakin perlahan.  Namun hatinya tidak dapat mengelak rasa gundah yang bersarang.  Merlis sedang bersama penjenayah yang dikehendaki.  Apatah lagi pemilik TopAz juga sedang bertarung nyawa di hospital kini.

"Saya pun sama Moon.  Sama-sama la kita berdoa supaya Merlis selamat."

"Saya takut, bang.  Merlis tu manja orangnya.  Dia tak biasa dengan kehidupan diluar sana seorang diri.  Ada apa-apa berita daripada pihak polis?"

En. Mukhriz menggeleng.  Esakan Puan Maimoon semakin galak.  Galau hati seorang ibu hanya dia sahaja yang tahu.

Kringg....Kringgg..

Telefon yang terletak disudut ruang tamu berdering panjang.  Langkah kaki En. Mukhriz dihanyunkan sepantas mungkin.  Mungkin pihak polis yang menelefon mereka untuk memaklumkan situasi terkini anaknya.

"Hello.  Tuan Rizki?"

"Anak kau ada bersama aku"

"Siapa ni?"

"Anak kau ada dengan aku!  Kalau kau nak anak kau semula, kau perlu bayar wang tebusan satu juta dollar.  Dengan syarat, jangan maklumkan pihak polis.  Kalau tidak hanya jasad anak kau saja yang aku kirimkan"

"Siapa tu bang?"  Puan Maimoon merapati suaminya.  Telinga ditekapkan digagang telefon.

"Jangan apa-apakan Merlis!  Ba..baiklah.  Aku akan ikut kehendak kau.  Sebelum tu aku nak dengar dulu suara anak aku"

"Kalau aku cakap dia dengan aku, memang dia ada dengan aku la!  Jangan banyak songeh.  Karang aku bunuh jugak anak kau!"  Suara pemanggil misteri tersebut meninggi. 

"Tidak!  Satu sen pun aku takkan serahkan selagi kau tak dapat buktikan bahawa anak aku selamat"

"Abang,  bagi je la duit tu.  Wang kita boleh cari.  Tapi anak kita? Huhuhu."  
Puan Maimoon menangis lagi.  Sisa-sisa air mata dibiarkan saja membasahi pipi tuanya yang berkedut.

Gagang telefon ditekap dengan telapak tangan.  Dijauhkan sedikit dari mulut En. Mukriz.

"Moon, sabar dulu.  Abang cuba deal dengan orang ni.  Abang nak bukti anak kita selamat.  Biar abang bercakap dulu dengan Merlis" pujuk En. Mukhriz. 

Tidak semena-mena gagang telefon direbut kasar oleh Puan Maimoon lantas ianya bertukar tangan.  En. Mukhriz menggeleng melihat telatah isterinya.

"Saya sanggup bagi berapa saja yang awak mahu asalkan awak pulangkan balik anak saya!"

"Moon!  Jangan bertindak melulu" 

Gagang telefon dirampas kembali.  Anak mata dicerlungkan ke arah isteri yang dinikahinya sejak 29 tahun lepas.  Puan Maimoon tunduk menekur lantai. 

"Kalau betul Merlis ada dengan kau, aku nak dengar suara dia dulu.  Kalau kau cuba permainkan kami, aku takkan teragak-agak untuk laporkan kepada pihak polis.  Untuk makluman kau perbualan ini telah dirakamkan.  Terimalah bahananya kalau kau menipu"

tooot...tooott...tooot...

Gagang telefon dihempaskan kasar.  Puan Maimoon memeluk bahu suaminya. 

"Macam mana bang?  Merlis akan balik ke?"

En. Mukhriz memicit kepalanya kasar.  Dalam situasi genting sebegini masih ada manusia yang cuba mengambil kesempatan.  Hampir tercabut nyawanya tatkala menerima panggilan ugutan wang tebusan tersebut.  Wajah isterinya ditenung sayu.  Dia menggeleng lagi.

"Panggilan palsu.  Merlis belum ditemui lagi Moon.  Sabar ye sayang"

"Saya nak Merlis.   Merlis anak ibu."  Puan Maimoon mengongoi dibahu suaminya.  Belakang badannya diusap perlahan oleh suami tercinta. 

"Abang pun nak Merlis kembali ke pangkuan kita.  Kita sabar ye Moon.  Pihak polis dah berjaya temui jejak penculik Merlis tu.  Lambat laun anak kita akan ditemui juga.  Kita tunggu saja anak kita disini."

"Sampai bila?  Moon rindukan anak kita.  Merlis..."

********

"Ibu.   Jangan tinggalkan Lis ibu.  Ibuuuu...!"

"Hoi..siang hari pun kau mengigau jugak!"

Maliq menunjal dahi Merlis disebelahnya.  Bukan dia tidak sedar, sejak Merlis terlena beberapa minit lepas gadis tersebut asyik memanggil-manggil ibunya didalam tidur. 

Merlis terjaga lalu mengitari suasana disekelilingnya.  Dia kembali ke alam realiti tatkala melihat dirinya bersama Maliq didalam sebuah gerabak kereta api.  Gerabak tersebut  bergerak laju meninggalkan lokasi yang dia sendiri tidak pasti.  Dia juga tidak pasti kemanakah akan dibawa selepas ini.  Merlis hanya berserah kepada takdir.

Kreuukkkk...

Perut Merlis telah memainkan iramanya yang tesendiri.  Sesaat wajah Maliq ditatap kemudian segera dia berpaling.  Malu perutnya berkeroncong hebat melawan bunyi deruan kereta api yang sedang berjalan.  Maliq menahan tawa.  Sebenarnya dia juga amat lapar.

"Kau lapar?"

Merlis mengangguk laju.  Kini dia sudah hilang rasa malu kerana rasa lapar telah mengatasi segala-galanya.  Jika dibiarkan lebih lama tidak mustahil dia akan diserang gastrik kerana Merlis seorang penghidap Acute gastritis yang agak kronik.  Dadanya akan berasa sempit dan degupan jantung akan bergerak laju.  Dia akan mengalami muntah serta sakit perut dan lebih teruk lagi mungkin akan pengsan.

"Aku pun lapar.  Kita kena cari makanan.  Tapi kau tak boleh sendirian disini.  Kau kena ikut aku.  Sekali lagi aku nak pesan.  Jangan cuba bertindak bodoh.  Faham?"

Terhinjut sedikit bahu Merlis.  Dia mengangguk laju.

'Sikit-sikit ugut.  Sikit-sikit nak tinggi suara.  Nasib baik kau ada pistol' monolog Merlis.

"Haaa...mengumpat aku la tu.  Ingat aku tak tau" Maliq meneka. 

"Ma..mana ada" Merlis membuang pandang ke arah lain.

"Aku ada adik macam kau la.  Aku tau la.  Asal tak puas hati je kutuk aku dalam hati."

"Tak"

"Sudah.  Jom ikut aku"

Sebelum beredar Maliq menyelongkar bagasi-bagasi penumpang yang berada disitu.  Sehelai demi sehelai pakaian dikeluarkan dan diacu ditubuhnya.  Mana yang sesuai terus disarungkan ketubuhnya disitu juga tanpa menghiraukan kehadiran gadis tersebut. 

"Nah!  Ni untuk kau.  Salin cepat"

Beberapa helai pakaian wanita dicampakkan ke atas lantai berhampiran kaki Merlis.  Gadis tersebut masih mematungkan diri.   Setelah menyedari tiada reaksi daripada Merlis, Maliq mencengkam lengan gadis tersebut dan menolaknya ke lantai.

"Tukar baju tu.  Cepat sikit.  Terhegeh-hegeh" arah Maliq lagi.

Tanpa membuang masa, baju-baju tersebut dikutip dan Merlis menukar pakaiannya disebalik timbunan bagasi-bagasi penumpang didalam gerabak tersebut.

"Dah siap ke belum?"  Maliq berdiri sambil bercekak pinggang. 

Dia sudah hilang kesabaran dengan pergerakan Merlis yang dirasakan lambat dan  perlahan.  Tidak mahu dimarahi lagi, Merlis segera memunculkan dirinya dihadapan Maliq.  Sehelai seluar jeans biru dan kemeja berwarna putih disarungkan ke tubuh Merlis.  Sedang elok terletak ditubuh gadis yang menjadi tebusan tidak rasminya.

'Takde penyakit kau cari penyakit Maliq'

Lengan Merlis dipegang kemas.  Mahu tidak mahu Merlis terpaksa mengikuti langkah Maliq ke gerabak yang lain.  Entah ke mana dia akan dibawa pun dia tidak tahu.

"Kita cari makanan.  Takdenya aku nak ambik kesempatan kat kau"

Merlis mengetap ulas bibir.  Pemuda tersebut bagaikan mempunyai kebolehan membaca intipati hati manusia. 

Maliq berlagak biasa.  Dia berjaya mengaburi setiap mata penumpang-penumpang didalam gerabak bahawa mereka juga adalah penumpang seperti mereka.  Kehadiran Maliq dan Merlis langsung tidak diendahkan.  Malahan, majoriti daripada mereka sedang enak bermimpi disiang hari.

"Dik, bagi kopi dan nasi goreng untuk dua orang"

"Baik bang"

Beberapa minit kemudian pesanan mereka sampai ke meja.  Kedua-dua makhluk berlainan jantina tersebut tidak menghiraukan antara satu sama lain dan asyik melahap makanan yang tersedia didepan mata.

"Kenyang?"  Maliq tersenyum nipis melihat gelagat Merlis yang seperti ular sawa kekenyangan.

Merlis cuma mampu mengangguk.  Tidak berani dia menatap pemilik anak mata berwarna coklat cair itu lama-lama.  Dia tidak selesa.

"Tiket!  Tiket!"

"Ahhhh...Bala betul.  Jom!"

Seorang lelaki separuh abad lengkap dengan uniform konduktor kereta api sebuah syarikat terkenal itu melalui setiap penumpang dan meminta tiket untuk diperiksa. 

Maliq memaut lengan Merlis dan perlahan-lahan berlalu dari situ.  Dia perlu beredar segera sebelum segalanya terbongkar bahawa mereka berdua adalah penumpang haram didalam gerabak!


Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh