Bab 4

#4:Escape


Pergelangan tangan Merlis terasa sakit. Dia menggerak-gerakkan tangannya dengan mata yang terpejam. Kepalanya juga terasa berdenyut. Kelopak mata dibuka perlahan-lahan.

'Sudah siang rupanya,' monolog Merlis.

Tubuhnya ditegakkan dan pandangan mata dihala ke hadapan. Suasana sekeliling langsung tidak pernah dilihatnya. Dimanakah dia berada sekarang ini?

"Kau dah bangun?" Merlis tersentak bila suara tersebut memecah gegendang telinganya. Mujurlah mulutnya ditutup dengan kain.

Beberapa buah botol air isotonik dan kopi bergelimpangan diruang kakinya. Saki-baki minuman yang meleleh dari bibir botol-botol mengenai betisnya yang terdedah.

'Kurang asam!' bisik hatinya. Melekit kulit betisnya dengan lebihan minuman tersebut.

"Kau lapar? Nanti aku belikan makanan. Aku tahu, hampir satu hari kau tak makan. Sekejap lagi ada stesen minyak didepan.  Kau duduk diam-diam aku nak beli makanan."   Maliq seperti bercakap seorang diri.  Topeng masih lagi melekap kemas diwajah.  Cuma matanya saja yang kelihatan.

Perut Merlis sememangnya sedang berkeroncong hebat.  Lapar.  Dahaga.  Segala rasa bersatu. Apatah lagi sistem pencernaannya mula membuat onar.   Huhuhu.   Hendak disuarakan mulutnya pula ditutup.  Ditahan saja segala gelora yang melanda.

Kenderaan diparkir agak jauh dari stesen minyak yang dilihat agak ketinggalan zaman. Cuma ada dua pam minyak sahaja yang disediakan. Mujurlah ada juga sebuah kedai serbaneka disitu.

"Kau duduk disini diam-diam. Jangan nak cuba lari. Kau nampak pistol ni? Kalau kau cuba buat yang bukan-bukan.....banggg...! Kepala kau hancur.." Merlis mengangguk pantas. Kakinya dinaikkan ke atas tempat duduk dan tubuhnya mengerekot disisi pintu kereta.

"Hahahaha. Bagus. Reti pun takut. Kau nak makan apa? Cakap cepat"

Merlis langsung tidak bersuara. Maliq mula berpaling kearahnya.

"Hahahaha.  Sorry.  Aku lupa mulut kau ditutup.  Aku beli je la apa-apa pun eh?   Asalkan kenyang.   Untuk alas perut je."

Topeng muka ditanggalkan. Maliq menyisir rambutnya dengan jari secara kasar. Jambang nipisnya diusap. Merlis terpegun. Maliq boleh dikategorikan sebagai good looking. Kulit wajahnya bersih.  Anak matanya berwarna coklat cair dengan jambang yang nipis dan dicukur rapi.  Matanya dikerdipkan beberapa kali.  Maliq tidak menyedari bahawa dirinya sedang diperhatikan.

Maliq melangkah keluar sebaik pintu kereta dibuka.   Suasana disitu sememangnya sunyi. Kenderaan yang lalu lalang boleh dihitung dengan jari.  Apatah lagi cermin tersebut ditinted gelap.  Sukar untuknya untuk menarik perhatian sesiapa sahaja bagi menyelamatkannya.

Maliq mengeluarkan botol kosong dari dalam bonet.   Dia mengarahkan seorang pemuda yang berkerja disitu untuk memasukkan minyak petrol kedalam botol tersebut.  Setelah itu dia menapak kedalam kedai serbaneka dan memborong sebanyak mungkin makanan sebagai bekalan mereka.  

Tidak tahu entah berapa lama lagi mereka akan tiba ke destinasi.  Minyak telah siap diisi kedalam botol.  Sebuah kenderaan pacuan empat roda berwarna hitam yang diparkir tidak jauh dari situ menarik perhatiannya. Nombor pendaftaran terus diperiksa.

Raut wajah pemuda tersebut seakan terkejut. Dia mengamati kenderaan itu dengan lebih dekat. Ciri-cirinya hampir sama dengan kenderaan yang dilarikan oleh perompak seperti yang diwar-warkan didalam berita. Dia menghendap kedalam kereta melalui cermin yang gelap. Merlis meronta-ronta meminta perhatian pemuda tersebut.

"Emppphh...Emmpphh...Emmmphhhhhh"

Suaranya tidak kedengaran lantaran mulutnya ditutup. Dia menendang-nendang pintu kereta sekuat hati. Bergoyang-goyang kereta berkenaan akibat hentakan kuat oleh Merlis.

Pemuda itu terundur ke belakang. Hatinya terdetik akan tebusan yang dilarikan perompak-perompak tempoh hari.

Dia menarik pemegang pintu kereta berulang kali tetapi gagal dibuka kerana dikunci oleh Maliq.

"Kau buat apa tu? Jangan masuk campur urusan orang lain boleh tak?" Entah bila Maliq muncul disitu.

"Ma..maaf bang. Saya cuma bawak botol minyak ni je" tunjuknya.

"Aku dah bayar harga minyak tu. Kau boleh pergi." Tubuh gempal pemuda tersebut ditolak kasar. Namun dia tetap tidak berganjak dari situ.

"Aku kata pergi. Kau nak apa lagi?? Nak ni ke??" pistol dihalakan tepat ke muka pekerja itu.

"Makkkk..!." Bagaikan lipas kudung pekerja tersebut berlari menyelamatkan diri.

Malang nasibnya apabila dia tersadung lalu jatuh terduduk dijalan. Pantas dia menegakkan badannya kembali dan berlari ke arah kedai serbaneka.

Pemilik kedai serbaneka serta beberapa orang pelanggan tertinjau-tinjau ke luar. Maliq menekan pedal minyak sekuat hati sehinggakan kepala Merlis nyaris terhantuk dideskboard.

"Ni semua kau punya pasal la! Dia dah nampak muka aku, dan sekarang ni aku dalam masalah besar."

Merlis menangis. Itu saja cara untuk dia meluahkan perasaannya.

"Menangis! Menangis! Menangis! Tu saja yang kau tahu kan? Menyusahkan hidup aku saja la kau ni."

Maliq mendengus. Kulit mukanya bertukar kemerah-merahan. Rahangnya bergerak-gerak. Stereng kereta digenggam kemas.

"Hoi diamlah! Karang aku campak kau keluar ni baru tau"

Merlis menahan esakannya. Gerun sekali tatkala mendengar ugutan tersebut. Manusia seperti itu sudah semestinya tidak mempunyai hati dan perasaan. En. Ajmal pun sanggup ditembak. Inikan dia yang bukan siapa-siapa. Merlis melayan perasaannya sendiri sehingga terlena.

*****

Deringan telefon dipejabat Polis Pekan Louvre berbunyi nyaring. Seorang anggota wanita mengangkat gagang tersebut lalu dilekapkan ke telinga.

"Selamat pagi, Konstabel Erwina dari Balai Polis Pekan Louvre bercakap. Boleh saya bantu? Apa? Awak pasti? Sebentar, saya akan sambungkan encik kepada Pegawai Penyiasat." Anggota wanita tersebut bergegas mendapatkan Tuan Rizki.

"Tuan, ada maklumat terbaru tentang suspek dan tebusan. Saksi sedang berada ditalian." Gagang telefon diangkat. Suara pemanggil yang dikenali sebagai Jeremy dicorong sana kedengaran cemas.

"Bawak bertenang Jeremy. Boleh awak ceritakan apa yang berlaku?"

Jeremy menceritakan dari mula hingga akhir tentang apa yang berlaku sebentar tadi. Saksi tersebut menerangkan ciri-ciri yang terdapat pada kenderaan berserta nombor pendaftarannya sekali. Ternyata ianya adalah sama!

"Awak sudah buat laporan dibalai polis terdekat? Pihak polis akan cuba melakar wajah suspek mengikut gambaran awak. Bagaimana dengan tebusan? Dia selamat?"

"Sudah tuan. Dia selamat tuan. Cuma dia masih lagi ditawan oleh perompak. Err..seingat saya cuma ada dua orang saja. Seorang tebusan dan seorang suspek. Saya rasa mereka tidak jauh lagi dari sini."

"Seorang?? Terima kasih Jeremy. Kami sangat menghargai bantuan awak."

"Sama-sama tuan." Gagang telefon diletakkan ke tempat asal. Erwina terkocoh-kocoh berlari sambil memegang sekeping kertas yang dilakar wajah suspek.

"Hmmm...bagus. Tolong sebarkan lakaran tersebut kesemua kontinjen, ibu pejabat serta balai polis diseluruh negara. Saya yakin perompak tersebut akan ditemui tak lama lagi."

Tuan Rizki kelihatan begitu yakin. Keterujaannya meningkat 100%. lantaran penerimaan maklumat tersebut. Sekarang ini, pihak polis perlu bertindak cepat.

*****

Maliq meraup wajahnya berulang kali. Tidak dinafikan badannya terasa amat letih. Sudah semalaman dirinya tidak tidur. Dia hanya bergantung kepada kafein semata-mata. Gadis disebelahnya dilirik. Masih juga diam tidak berkutik. Tubuhnya kelihatan lesu dan lemah. Maliq terlupa untuk memberinya minuman mahupun makanan. Semestinya gadis tersebut sudah tidak bertenaga lagi.

"Aku akan buka ikatan pada mulut kau. Dengan syarat kau jangan buat bising. Nampak kan ni?" Tangannya melurut pistol yang diletakkan di atas deskboard. Merlis mengangguk.

"Aku cuma buka untuk bagi peluang kau makan dan minum. Selepas tu, mulut kau akan diikat kembali. Faham?" Merlis mengangguk lagi.

Maliq merleraikan ikatan dimulut Merlis dengan sebelah tangan. Manakala sebelah tangan lagi masih kejap memegang stereng. Agak terkial-kial juga perlakuannya namun dia tetap tidak putus asa. Plastik berisi makanan ditempat duduk belakang dicapai dan dilemparkan ke riba Merlis.

Dengan rakus Merlis menggeledah isi plastik tersebut dengan tangan yang masih diikat. Dia mengeluarkan sebungkus bun coklat dan dicarik kasar lalu disumbat ke dalam mulutnya. Matanya dipejamkan saat bun tersebut dikunyah.

Maliq melihat perlakuan Merlis dengan ekor mata. 'Lapar betul budak ni. Gelojoh' gumamnya. Hilang sifat ayu yang ada pada gadis itu dimatanya.

Penutup botol air mineral dipulas dan diteguk rakus sehingga meleleh membasahi dagu dan lehernya. Sebungkus lagi bun coklat cuba dikeluarkan.

"Hoi, cukuplah tu. Tinggal la untuk aku sikit. Aku pun lapar. Lagi pun kita tak tau lagi lama mana perjalanan kita." Merlis menyeringai kesakitan akibat tunjalan dikepalanya. Bungkusan bun coklat dimasukkan semula ke dalam plastik berwarna putih.

Matanya mula berkaca kembali. Sedikit pun tidak ditoleh ke arah Maliq. Dia gerun untuk bertentang mata dengan pemilik anak mata berwarna coklat cair itu. Bimbang dirinya dikasari lagi.

"Menangis lagi. Bosan betul la kau ni. Apa kata sekali sekala kau menyanyi pulak. Sedih betul la hidup kau ni," Maliq menengking. Bahu Merlis terhinggut sedikit.

"Sa...sa.."

"Apa sa...sa? Ohh..kau gagap rupanya??" Ketawa Maliq membingitkan telinga Merlis.

"Saya nak kencing! Tak tahan dah!"

"Hahahaha. Cakap je la nak kencing. Ni duk sa..sa..aku ingat kau gagap tadi." Maliq menyambung tawa. Merah padam muka Merlis menahan malu.

Wajahnya ditundukkan. Dia terpaksa berterus-terang kerana pundi kencingnya sudah penuh dan tidak mampu lagi untuk menampung jumlah cecair yang bertakung disitu.

Maliq memperlahan kelajuan. Matanya melilau melihat kiri dan kanan jalan. Hanya ada semak samun dan hutan belantara.

'Ahhh..sini pun boleh la,' gumamnya.

Kenderaan diberhentikan dibahu jalan setelah dipastikan dia tidak diekori.

"Hah, turun cepat. Tunggu apa lagi. Aku bagi kau masa dua minit je"

Merlis mengitari keadaan. Matahari hampir terbenam. Semak samun dan hutan tebal menyeramkannya.

"Kat sini je?"

Maliq berpaling.

"Kat sini je la. Kau nak macam mana lagi?? Mana ada tandas bertaraf lima bintang kat sini. Banyak songeh pulak kau ni. Nak ke tak nak?"

"N..nak..Tangan?" Tangannya yang diikat diangkat.

"Huh. Terhegeh-hegeh. Aku longgarkan je ikatan kau ni. Jangan ingat aku bodoh!"

Kepala Merlis dihulurkan ke dalam kereta. Dia mencapai botol air mineral yang berbaki separuh lagi.

"Apa lagi ni?" Maliq mendecit.

"Air" Merlis menunjukkan botol air mineral ditangannya.

"Tunggu" Langkah kaki Merlis terhenti.

"Aku ikut kau. Bukan boleh percaya kau ni" Maliq mengekori Merlis agak rapat. Gadis tersebut mula tidak selesa. Maliq faham dengan bahasa tubuh Merlis. Sejahat-jahat dia pun dia tidak pernah cuba mengambil kesempatan terhadap kaum yang lemah.

"Aku tunggu kau kat sini. Cepat sikit."

Curahan air kedengaran setelah urusan tidak rasmi Merlis selesai. Maliq menarik zip seluarnya kebawah. Pundi kencingnya juga perlu dikosongkan.

"Arghhh..!" Jeritan Merlis mengejutkan Maliq yang sedang leka. Pantas zip seluar ditarik ke atas.

"Kau intai aku eh?" soalnya. Soalan Maliq dijawab dengan jelingan.

"Oii..melawan." Senyuman Maliq tersungging.

Entah bagaimana langkah yang diatur Merlis sumbang. Kaki kirinya terpelecok dan tubuhnya melayang.

Prakk...prakkk...

Malang menimpa apabila baju yang dipakai Merlis tersangkut ditunggul kayu yang tajam. Belahannya bermula dari bawah sehingga ke atas. Mendedahkan sebahagian besar belakang badannnya.

"Aaaaaa.." Terteleng-teleng kepala Merlis cuba menutup bahagian belakang badan yang terdedah dengan tangan yang masih diikat.

Maliq usah cakaplah. Dia tergemap. Mulutnya terlopong. Matanya tidak lepas memerhatikan adegan percuma didepan mata. Keputihan kulit Merlis dijamu seenaknya.

"Hei, jaga kelakuan awak!" Merlis memusingkan badan. Matanya sudah berkaca. Air jernih bertakung dikelopak mata. Bibirnya diketap. Pedih kulitnya tergesel dengan tunggul kayu tersebut.

Maliq tersedar dari lamunan. Langkah diatur mendekati Merlis yang menyeringai. Punggungnya terasa sengal akibat terjatuh.

"Jangan dekati saya!" Mata Merlis meliar cuba mencapai apa sahaja untuk dijadikan alat mempertahankan diri. Maliq tetap mendekati Merlis. Gadis itu menutup kelopak mata serapat-rapatnya. Tidak direlakan apa jua perbuatan Maliq terhadapnya nanti.

"Nah! Ingat aku hadap sangat dengan kau. Kau bukan taste aku la. Pakai baju tu. Cepat sikit. Jangan nak berdrama queen sangat," tempelak Maliq.

Merlis membuka matanya tatkala sehelai kain dilemparkan tepat mengenai muka. Jaket yang dipakai oleh Maliq disarungkan ketubuh. Saiznya agak besar. 'Tak mengapalah asalkan dapat menutupi tubuhnya yang terdedah itu,' gumamnya. Sesaat dia mendongak, matanya membulat melihat Maliq yang tidak berpakaian. Segala lekuk dan parut terpampang jelas diruang mata.

"Cepat la. Terhegeh-hegeh." Lengan Merlis dipaut kasar. Dia terpaksa mengikut langkah besar Maliq lantaran saiz tubuhnya yang kecil.

Dumm..

Pintu kereta ditutup rapat. Ikatan dipergelangan tangan dikemaskan. Mulutnya juga ditutup kembali dengan kain. Merlis cuba menyandarkan tubuhnya dikerusi. Namun segera dia menegakkan semula badannya akibat rasa pedih apabila lelasan tadi bergesel dengan bajunya.

Maliq menarik zip backpack yang terletak ditempat duduk belakang. Sehelai singlet berwarna hijau gelap disarungkan kebadan. Masih lagi mempamerkan lekuk tubuhnya yang seksi. Oh man!


Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh