Home Novel Thriller/Aksi SERINGAI
SERINGAI
#mystrill
21/11/2019 19:04:47
32,357
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
BAB 1
Setiap pagi Azril akan turun menunggu bas seawal jam enam. Dan setiap pagi juga dia akan membebel sendirian terhadap sika pengotor penduduk bangunan flatnya yang membuang sampah merata-rata, termasuk di ruang tangga dan lif. Perjalanan basnya akan mengambil masa antara 20 hingga 40 minit, bergantung pada trafik atau keadaan bas, untuk sampai ke stesen LRT Kelana Jaya. Dia pernah lambat sejam ke pejabat kerana bas yang dinaikinya mati di tengah jalan. Bas tambahan yang akan mengambil mereka pula sampai agak lambat. Satu-satunya bas yang melalui kawasan rumah flat murah Azril perlu menempuh dua lebuhraya sibuk pada waktu pagi, lebuhraya Subang dan kemudian LDP untuk sampai ke stesen LRT. Kemudian dia akan menghabiskan masa antara 40 hingga 45 minit menaiki LRT hingga ke stesen Sri Rampai. Servis LRT juga pernah tergendala beberapa kali dan menyebabkan Azril lambat. Mujur majikannya faham dengan keaadan Azril. Dia sering menasihati Azril supaya cepat mengambil lesen motor atau kereta. Kemudahan pengangkutan awam bukan selalu bergerak lancar, nasihat majikannya. Azril hanya mengangguk bosan. Akhirnya dia akan berjalan kaki selama 10 minit hingga ke pejabat. Setiap pagi dia sampai ke tempat kerja selewat-lewatnya jam 8.30.


Hari Isnin lazimnya dibenci oleh setiap orang yang bekerja. Hari pertama bekerja selepas dua hari berehat. Hari pertama bekerja selepas dua hari party sakan. Ada yang pening kepala sebab tak cukup tidur, sama ada melayan kerenah anak kecil setiap dua jam atau hangover teruk kerana semalaman mabuk dan khayal. Ada juga yang bersemangat untuk memulakan minggu baru. Mungkin mereka tiada masalah di rumah dan tempat kerja. Kebanyakan gaji untuk sektor swasta sudah masuk pada minggu ini. Cek gaji Azril sudah masuk pada hari jumaat lepas. Hujung dan awal bulan merupakan waktu ketika ekonomi negara berjalan rancak. Membeli-belah lepas baru dapat gaji merupakan pengalaman yang paling seronok bagi kebanyakan orang bekerja termasuk Azril.  

    Dia berasa agak positif pada pagi ini. Ia mungkin disebabkan cek gaji Azril sudah clear, ataupun semalam dia tidur seawal pukul sepuluh malam kerana tidak membawa balik kerjanya ke rumah seperti biasa. Sebagai seorang pereka grafik, dia jarang dapat menyiapkan semua tugasannya di pejabat. Pagi ini Azril bangun tidur dengan lebih bertenaga. Alunan merdu vokalis wanita mendendangkan lagu Ave Maria dari iPod Nano usang menusuk jauh kedalam jiwa Azril. Menikmati pemandangan menara-menara besi dan konkrit bermandi cahaya pagi, ditemani suara merdu Charlotte Church, ia bagaikan terapi buat Azril.

Gerabak semakin penuh di stesen Pasar Seni. Kebanyakan penumpang yang naik adalah pelancong asing. Mungkin mereka sedang mencari makan pagi. Kalau mereka mencari sarapan di McD  atau mana-mana kedai makanan segera, memang sia-sia percutian mereka disini, fikir Azril. LRT koc empat gerabak meluncur laju memasuki terowong.
“Stesen berikutnya, KLCC. Next Station, KLCC.”

Tiga suku dari penumpang akan turun disini dan selebihnya akan mengosongkan gerabak di stesen Ampang Park. Azril akan duduk jika ada tempat kosong berhampiran. Dia lebih selesa berdiri di hujung gerabak menikmati pemandangan di luar. Azril tidak pasti kenapa, tetapi dia sangat sukakan bau seakan bau kopi yang menusuk ke dalam hidung setiap kali LRT berhenti di stesen KLCC. Tidak sabar rasanya untuk menikmati secangkir kopi ‘O’ panas di restoran mamak berhampiran dengan pejabatnya sebentar lagi.

Menu biasa Azril setiap pagi ialah kopi O panas dan dua roti kosong banjir kari ikan. Sarapan ringkas itu dinikmati sambil membelek akhbar The Star. Ia merupakan proses penting untuk menghidupkan otaknya seperti memanaskan enjin kereta pada waktu pagi. Bekerja sebagai pereka grafik memerlukan otak yang cerdas dan peka dengan perkembangan semasa. Senireka grafik bukan kerja mudah seperti persepsi negatif kebanyakan orang. Kerja Graphic Design bukan sekadar main ‘lukis-lukis’ sahaja. Susah Azril nak beri penjelasan tentang kerjayanya pada orang-orang biasa, orang bukan seni, menurutnya. Dia pernah hampir menengking client yang tidak faham tentang perihal resolusi sesebuah imej. Sakit hatinya jika gambar-gambar yang disediakan oleh client tidak cukup besar untuk diletakkan ke dalam rekabentuk sesuatu projek.

“Gambar kecik? Eh, besarkanlah. Tak boleh ke?” Ingin sahaja dia menampar kepala setiap client setiap kali mereka berkata demikian.

Sedang dia khusyuk membelek akhbar, satu artikel berita tempatan menarik perhatian Azril:

MAN STABBED AND BURNED TO DEATH

“ KUALA LUMPUR: A man was stabbed before burned to death in one of the back alleys of Bukit Bintang’s pubs and clubs yesterday. The gruesome remains has been found by a pub worker. Authorities estimated the time of death was at around 12 a.m. the same night. The police had not ruled out that this maybe a gang-related hit, considering the area has been in territory dispute between the local gangs for years.

The identity of the victim is still unknown since no identification has been found with the body. A one metre wooden stake was used to impale his heart before his body was set on fire. There was no traces of gasoline or any other chemical to help with the fire found on the body, which is baffling the authorities.

Bukit Bintang police are still searching for suspects. Foreigners and locals who frequent the Bukit Bintang entertainment area, are advised to be cautious, but the police spokesman assured the public that this is not a cause for a nation-wide panic.”


Negara ini semakin gila. Azril menggeleng kepala. Dia yakin selepas ini pasti kecoh di laman media sosial tentang berita penemuan mayat ini. Teori-teori konspirasi akan muncul bagai cendawan selepas hujan. Ramai pakar segera akan menulis tentang teori-teori dan pendapat mereka tak lama lagi. Cerita tidak sahih dipercayai bulat-bulat dan butang kongsi diketik tanpa usul periksa. Azril sudah bosan dan jelik dengan senario sebegini, tidak pernah berubah. Penyakit ini sukar untuk dibendung. Itu baru kerenah pembaca dan pengguna media sosial, belum masuk penulis blog dan pihak media lagi. Hanya kerana rating dan populariti semata-mata, mereka tiada rasa bersalah berkongsi cerita fitnah tanpa fikir akibatnya di kemudian hari. Gejala ini lebih teruk dari kanser.

Lamunan Azril diganggu oleh mesej Whatsapp dari group pejabat tempat kerjanya. Kalau bukan didesak oleh boss supaya masuk dalam group Whatsapp, Azril mungkin masih setia dengan Nokia 2100 yang digunakan sejak dia belajar di universiti dulu.


“Zaref: Salam semua. Hari ni kita kena push proposal untuk projek Honda before 8 am tomorrow morning. Marketing siapkan proposal dan quotation. Follow up dengan client, jangan tunggu diorang je. Creative team siapkan semua empat option design macam kita disscuss semalam. Check all spelling before print. Tengahari nanti saya masuk. Good luck all!”


Balik lewat lagi malam ini, Azril mengeluh sendirian. Seperti diduga, satu lagi mesej masuk ke group whatsapp rahsia Azril bersama rakan-rakan sepejabatnya. Hanya staf dari unit kreatif sahaja yang dijemput masuk ke dalam group ini. Sudah tentu tujuan utama kewujudan group ini adalah untuk melepaskan geram dan membawang barisan boss dan department lain.


“Izzat: Adoi. Balik lambat lagi la jawabnya. Pagi-pagi lagi dah kena kerah.”


Mesej disusuli dengan gambar Leonardo DeCaprio beserta caption [screaming internally]. Senyumannya kelihatan agak plastik, jelas sedang menyembunyikan perasaan kecewa.


“Sean: Bongok! Wakakakaka!” Azril  menghabiskan sarapannya dan disudahi dengan sebatang rokok sebelum masuk ke pejabat. Pejabat kecil tempat dia mencari sesuap nasi terletak di tingkat dua diatas sebuah restoran hipster yang menyediakan masakan fusion tempatan dan barat. Kembang tekak Azril memandang bunting ayam goreng cheese yang sedang diusung oleh salah seorang pekerja restoran tersebut. Mereka baru sahaja membuka kedai. Azril dan lelaki itu hanya berbalas senyuman dan anggukan kepala tanpa berkata apa-apa. Dia terus naik meninggalkan lelaki warga asing yang masih membetulkan kedudukan bunting.


Masing-masing khusyuk mengadap skrin komputer. Jari-jemari lincah mengetik tetikus dan papan kekunci. Printer merangkap mesin fotostat tidak berhenti memuntahkan kertas-kertas bercetak sejak dari pukul sepuluh lagi. Cadangan rekaan yang mempunyai empat pilihan semuanya dicetak menggunakan kertas Art Paper, yang lebih tebal dari kertas biasa. Cadangan rekaan kemudiannya akan dikepilkan bersama proposal. Deep Purple mendengdangkan lagu berhantu mereka, Highway Star menerusi speaker iMac Azril. Senarai lagu-lagu slow rock klasik dan kapak dari era 70an dan 80an dan muzik pop adalah paling selamat untuk diputarkan ketika semua staf berada di pejabat. Dia mengelak untuk memainkan lagu-lagu kegemarannya. Trash dan Black Metal bukanlah genre pilihan arus perdana.


Department Marketing juga sibuk mencetak proposal dan quotation harga projek di mesin pencetak yang sama. Azril dan unti kreatif agak jengkel dan terasa leceh perlu menunggu giliran. Dia berpendapat pihak management perlu sediakan satu lagi printer untuk department lain, memandangkan mereka hanya cetak fail Words document. Tidak berbaloi jika mereka menggunakan printer laser.


“Lunch kejap lagi kat mana?” Sean sudah mengira duit dalam dompet.

“Kedai hujung la. Tiba-tiba aku mengidam ayam goreng dengan kuah asam pedas. Lawan pulak dengan sirap ais! Peh!” Izzat menjawab. Azril turut kecur air liur terbayang lauk idaman Izzat. Dia juga akan makan lauk yang sama, celaka punya Izzat, fikirnya dalam hati. Terbatal niat Azril untuk ke Burger King.

Azril save segala dokumen dan fail di iMacnya sebelum keluar makan tengahari bersama-sama Sean dan Izzat di sebuah restoran nasi campur di hujung jalan. Itulah satu-satunya restoran yang menyediakan masakan lauk melayu dengan harga yang berpatutan di kawasan tersebut. Bukan mudah untuk mencari makanan murah di tengah-tengah kotaraya ini. Pelanggan sudah penuh beratur di meja lauk.
Belum sempat Azril masuk barisan, satu mesej WhatsApp masuk ke telefonnya.

“Sabtu ni lepak rumah aku. WAJIB. Ada cerita best nak discuss ngan kau.”

Mesej ringkas tersebut dihantar oleh Reza, rakan lama Azril sejak dibangku sekolah lagi. Reza merupakan seorang conspiracy theorist sejati. Dia sering bercerita pada Azril tentang teori bumi rata, kaum makhluk asing Anunnaki, makhluk-makhluk mitos dan teknologi kaum purba, terutamanya kaum purba mesir pada Azril. Dia menulis secara freelance sebagai kerjaya pilihan, dan Reza menggunakan nama pena untuk mengelakkan dari dikesan oleh pihak berkuasa dan netizen. Agak paranoid alasannya, tetapi Rezalah satu-satunya rakan Azril yang betul-betul serasi. Walaupun dia tidak mempercayai semua konspirasi seperti Reza, hanya segelintir sahaja, dia tetap seronok duduk berbual dengan rakan karibnya itu. Penjelasannya disokong dengan fakta dan hujah-hujah yang boleh meyakinkan sesiapa saja yang mendengarnya.     


“Wei, Korang baca tak berita kat FB pasal orang kena bakar tu?” Sean memulakan perbualan. Mulutnya masih penuh dengan nasi dan lauk ikan keli goreng sambal hijau.
“Baca. Gila wei sekarang.” Izat menjawab.

“Diorang cakap tu samseng gaduh berebut kawasan. Bahaya sial. Aku dah la suka pi clubbing area-area situ.” Sean menyambung. Tersembur beberapa butir nasi ke dalam pinggan dan meja makan.

“Jaga-jaga Sean, kang kau pulak kena bakar lepas ni. Kau tu dah la suka bakar-bakar orang. Mulut tak reti jaga.”

Azril ketawa dengan seloroh Izat.

“Babi.” Sean menyumpah selepas meneguk sirap limau ais.

Masing-masing menyalakan rokok selepas pinggan mereka habis licin. Sean mengcungkil giginya sambil mendengar Izat bercerita tentang game Doom 2016 kepada Azril. Mereka berdua adalah gamer sejati sejak zaman sekolah menengah, bukan seperti Sean yang hanya melayan game Candy Crush di telefon. Dia lebih suka menghabiskan masa lapang dengan menonton sukan permotoran.

“Wei, korang nak join aku pi clubbing tak weekend ni?” Sean mencelah setelah bosan mendengar rakan-rakan sepejabatnya rancak berborak tentang cara untuk hapuskan raksasa Mancubus dengan senapang double barrel shotgun dan dimana senjata tersebut tersembunyi di salah satu level game Doom.

“Gila kau, mampus bini aku mengamuk.” Izat menghembus asap jauh ke atas.

“Azril? Takkan orang single pun tak nak pi kelab?” Sean tersengih.

“Tengok la dulu macamana.”

“Bosan la korang. Bukan aku sorang je nanti. Ada la awek-awek  join. Rugi wei tak ikut.”

Azril mengangguk. “Owh ok. Tengoklah nanti aku plan dulu.”

Dia teringin juga tetapi Azril lebih rela menghabiskan masa lapang dengan bermain game,  lepak dengan Reza sambil membawang hal-hal mistik dan teori konspirasi atau duduk rumah membaca. Sudah lama juga Azril tidak masuk ke kelab dan berpoya-poya. Dia sudah lama tinggalkan aktiviti-aktiviti tersebut.
Previous: PROLOG
Next: BAB 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.