Home Novel Komedi/Romantik Komedi AKU TANPAMU
Bab 29


Delisya menghampiri Adam yang sedang berdiri di beranda bilik mereka.

“Abang,” panggilnya sambil menyentuh perlahan jemari milik suaminya itu. Adam menoleh memandang Delisya.

“Tak tidur lagi?” soalnya dengan senyuman. Dia menarik wanita itu supaya rapat dengannya.

“Risaukan abang,” jawab Delisya dengan nada perlahan. Adam terdiam mendengar kata-kata isterinya itu.

“Abang masih merajuk?” soal Delisya tepat memandang wajah suaminya. Dia tahu yang Adam masih merajuk dengan perbuatan Chinta.

“Abang bukan merajuk. Cuma terasa sebab Chin tak minta izin dengan abang,” balas Adam dengan senyuman hambar. Dia memang selesa berkongsi apa sahaja dengan Delisya. Wanita itu lebih memahami dirinya dan kadangkala dapat mengagak apa yang tersirat di dalam hatinya. Mungkin disebabkan pengalaman lalu membuat wanita itu lebih matang berdepan dengannya.

“Abang tak pernah pun merajuk dengan Elis,” kata Delisya separuh bergurau.

“Sebab awak tak pernah buat abang merajuk,” balas Adam dengan senyuman. Delisya tergelak kecil.

“Abang, Chinta tu tak sengaja. Dia dah pun minta maaf dengan abang kan? Apa kata abang maafkan dia? Tak rindu dengan Chinta?” soalnya bertalu dengan senyuman nakal. Adam terdiam mendengar soalan wanita itu. Dia terharu dengan sikap prihatin Delisya.

“Terima kasih Elis. Awak isteri yang baik. Abang minta maaf sekiranya abang pernah sakiti hati Elis tanpa sedar. Tegur lah abang bila abang melakukan kesilapan. Abang cuma manusia biasa,” balasnya dengan perasaan hiba. Dia menarik wanita itu dalam pelukannya.

“Abang sayang Elis,” ucapnya lembut. Delisya hanya tersenyum membalas pelukan suaminya itu.

“Abang jangan lupa maafkan Chinta,” katanya separuh mengarah. Adam mengangguk perlahan mendengar kata-kata wanita itu.

                               *****

Rasya meletakkan jus oren di hadapan wanita itu.

“Semalam Khai ada datang sini. Dia datang seorang. Aku tak layan sangat mamat tu. Dia ada tanya aku bagaimana keadaan kau selepas jadi isteri Adam. Kau jangan risau. Aku dah bagi amaran kat mamat tu supaya tak ganggu kau lagi,” beritahunya sambil memandang tepat wajah Bella.

“Hari tu tak pula dia berani nak tanya aku. Takut Lara cemburu lah tu,” balas Bella dengan senyuman sinis.

“Iya lah kot. Nasib baik semalam ramai pelanggan kat sini. Kalau tak dah lama aku halau mamat tu,” balas Rasya sambil mendengus perlahan.

“Tak payah layan kalau dia datang lagi. Aku memang dah maafkan Khai. Tapi aku tak suka bila dia sibuk nak tahu keadaan aku. Dia ingat aku tak bahagia ke bila tak jadi kahwin dengan dia?” kata Bella dengan nada agak keras. Terangkat kening Rasya memandang telatah wanita itu.

“Aku rasa kau marah sangat ni bukan sebab Khai. Sejak kau masuk dalam cafe ni, aku dah nampak aura negatif tu terpancar kat wajah kau. Ada masalah?” soalnya. Bella tergelak kecil.

“Memang kerja kau perhati orang? Aku okay aje lah. Memang emosi aku terganggu sebab lelaki tu,” balasnya separuh menyindir.

“Aku bukan kenal kau sehari dua. Mata aku ni tak buta lagi. Aku tahu lah Bell. Kau ada masalah kan? Dengan siapa? Adam? Atau…,”

“Tak ada lah. Aku okay aje,” pintas Bella. Rasya menarik nafas dalam.

“Suka hati kau lah. Kalau ada masalah jangan pendam seorang,” nasihatnya ikhlas.

“Muka aku ni memang selalu nampak ada masalah ke?” soal Bella sambil tergelak kecil. Rasya ikut tergelak mendengar kata-kata wanita itu.

“Tak lah. Aku teka aje. Mana lah tahu ada cerita panas yang aku tak tahu,” guraunya.

“Aku malas nak layan kau. Aku balik dulu. Kerja dengan elok,” balas Bella sambil mula mencapai beg sandangnya.

“Tahu lah,” kata Rasya separuh mengusik. Dia hanya memandang langkah wanita itu perlahan menuju ke pintu utama cafe. Rasya mengeluh perlahan. Dia sangat yakin ada sesuatu yang mengganggu sahabatnya itu. Namun dia tahu belum tiba masanya Bella mahu berkongsi dengannya akan hal tersebut.

                                   *****

“Papa tengok Adam tu tak ceria aje sejak akhir-akhir ni. Elis gaduh dengan Adam ke?” soal Datuk Taufiq dengan kening berkerut.

“Tak lah pa. Abang busy sikit sejak kahir-akhir ni. Sebab tu tak nampak happy sangat,” jawab Delisya dengan senyuman.

“Kamu tu jangan pula biarkan Adam macam tu aje. Pergi lah bercuti lagi dengan Adam. Kali ni pergi berdua aje,” cadang Datuk Taufiq. Delisya tersenyum hambar mendengar cadangan papanya itu.

“Elis kena tengok masa juga. Sebab minggu depan Elis ingat nak pergi semula ke Melaka. Ada urusan yang tak selesai lagi,” jawabnya perlahan.

“Cari lah orang yang boleh kamu harapkan untuk jaga syarikat kamu tu. Papa dah pesan banyak kali. Elis ni ada madu. Kalau Elis sibuk sangat, Adam akan lupa yang dia masih ada isteri kat sini,” nasihat Datuk Taufiq dalam penuh makna.

“Elis memang rancang nak cari pa. Tapi buat masa ni Elis tak jumpa lagi orang yang sesuai,” balas Delisya dengan senyuman hambar.

“Papa risau Elis. Papa tak suka Elis keluar kerja seorang diri. Bila- bila masa Samuel tu boleh aje datang semula ganggu Elis. Papa bukan tak kenal Samuel tu,” sambung Datuk Taufiq agak risau.

“Kami dah lama tak jumpa pa. Lagipun dia tahu yang Elis dah kahwin semula,” balas Delisya dengan perasaan berdebar. Walhal baru dua minggu lepas dia terserempak dengan Samuel di cafe Bella. Dia tidak mahu papanya semakin risau jika tahu perkara tersebut.

“Hari tu papa terserempak dengan Samuel. Walaupun nampak dah berubah tapi papa masih tak percaya dengan budak tu. Elis kena hati-hati. Elakkan diri daripada terlibat dengan kursus ataupun seminar yang ada namanya sekali. Papa tak nak ada pula orang yang akan merajuk,” kata Datuk Taufiq separuh mengarah. Delisya hanya tersenyum mengangguk.

Alahai papa. Nampak sangat papa sayang Adam lebih daripada Elis.

                             *****

“I’m sorry,” ucap Adam dengan perasaan bersalah. Hanya tuhan yang tahu betapa dia rindukan wanita di hadapannya itu. Chinta menarik nafas dalam sebelum membuka luas pintu rumah untuk memberi laluan kepada lelaki itu masuk ke dalam. Bibirnya masih terkunci. Adam melangkah perlahan masuk ke dalam rumah. Dia memandang sahaja wanita itu yang sedang menutup pintu.

“Sayang,” panggilnya lembut.

“Saya dah masak. Abang mandi lah dulu. Lepas tu kita makan malam,” kata Chinta separuh mengarah. Dia menghulurkan tangan untuk menyambut beg yang masih di tangan suaminya. Adam terdiam memandang huluran gadis itu.

“I’m sorry,” ucapnya lagi. Perlahan huluran wanita itu disambut. Dia mengucup jemari milik isterinya itu. Chinta terkedu.

“Abang minta maaf. Abang janji tak buat perangai lagi. I miss you,” ucap Adam dengan perasaan sebak. Chinta mengeluh perlahan.

“Tak apa. Chin dah lama maafkan abang. Chin pun nak minta maaf sebab dah sakitkan hati abang,” ucapnya dengan senyuman hambar. Adam menarik wanita itu ke dalam pelukannya. Memang salah dirinya. Kerana terlalu ikutkan kata hati dia tanpa sedar sudah melukakan hati wanita kesayangannya itu.

“I miss you,” ucap Adam sambil mengucup ubun kepala wanita itu.

“Padan muka abang,” balas Chinta separuh menyindir. Adam melepaskan pelukannya. Matanya bulat memandang wanita itu. Chinta tergelak kecil.

“Suka kenakan abang,” kata Adam sambil menarik lembut hidung mancung isterinya.

“Abang!” marah Chinta sambil menepis tangan suaminya itu. Adam sudah tergelak besar. Inilah wajah yang dirinduinya. Wajah garang milik isterinya.

                                 *****

“Bagus lah kalau abang dah berbaik dengan Chin,” kata Bella dengan nada mendatar. Dia sebenarnya berusaha mengelak supaya tidak cemburukan Chinta namun apalah dayanya. Adam juga suaminya.

“Are you okay?” soal Adam apabila melihat wajah berkerut isterinya. Bella pantas mengangguk. Adam menyentuh jemari gadis itu lalu menggenggamnya erat. Bella tersenyum membalas genggaman suaminya itu.

“Sebenarnya Bella nak bincang sesuatu dengan abang,” katanya perlahan.

“Pasal apa?” soal Adam agak berdebar.

“Bella nak buka cawangan cafe kat Pahang. Apa pendapat abang?” soal Bella semula. Dia agak takut melihat riak wajah Adam yang mula berubah.

“Kenapa jauh sangat?” soal Adam dengan kening berkerut.

“Kalau abang tak setuju, Bella tak akan teruskan rancangan tu,” balas Bella tanpa menjawab soalan suaminya.

“Bukan tak setuju. Cuma susah sikit abang nak ulang alik tengok Bella,” kata Adam dengan senyuman hambar.

“Bella mungkin akan ke sana tapi tak lah sampai tinggal kat sana. Sebab kat sana nanti akan ada orang yang tolong Bella uruskan cafe,” beritahu Bella. Adam menarik nafas dalam.

“Kalau Bella dah kata macam tu, abang izinkan,” balasnya. Bella tersenyum lebar.

“Sayang abang,” ucapnya sambil mengucup jemari lelaki itu. Adam tersenyum sambil menggenggam erat jemari isterinya itu. Dia sebenarnya masih memikirkan rancangan wanita itu. Adam agak risau melepaskan Bella pergi seorang diri.

                                *****

Marwah menggeleng perlahan memandang teman baiknya itu.

“Aku dah kata dah hari tu. Jangan jumpa Naz. Tapi kau degil!” marahnya. Chinta hanya tersenyum mendengar bebelan rakannya itu.

“Yelah, salah aku. Aku tak sengaja terserempak dengan Naz,” balasnya tenang.

“Isshh, dia ni. So, kau dan Adam dah baik?” soal Marwah masih tidak berpuas hati.

“Kami dah okay,” balas Chinta perlahan.

“Macam tak okay aje tu. Lepas ni kau jangan jumpa Naz lagi. Memang Adam tu akan cemburu. Nazri tu bekas kekasih kau. Chin, sebagai isteri kita kena jaga hati suami,” nasihat Marwah ikhlas.

“Yelah makcik. Kau tu mengalahkan aku yang sudah kahwin ni,” balas Chinta dengan kening berkerut. Marwah tergelak kecil. Chinta mengeluh perlahan.

“Lah, ni kenapa pula ni? Takkan gaduh lagi dengan Adam?” soal Marwah dengan kening terangkat.

“Tak lah. Aku cuma risaukan Bella. Dia kata Adam tu tak adil sebab terlebih beri perhatian pada aku banding dengan dia dan Elis,” beritahunya dengan riak wajah yang jelas bimbang.

“Alamak. Biar betul? Tak apa lah. Kau sabar aje. Ini semua dugaan hidup bermadu. Kau sendiri yang pilih jalan ni. Aku yakin kau boleh lepas,” balas Marwah separuh menyindir.

“Kau ni sebenarnya bukan nak tenangkan hati aku kan? Nak tambah sakitkan hati aku ada lah,” balas Chinta sambil menarik muncung panjang. Marwah tergelak besar. Dia memeluk bahu wanita itu.

“Aku tahu kau kuat,” katanya memberi semangat. Chinta hanya tersenyum mendengar kata-kata gadis itu. Dalam diam dia mengeluh lagi.

                                  *****

“Bila Bella nak mula projek baru tu?” soal Delisya sambil memandang tepat wanita itu.

“Bulan depan,” jawab Bella dengan senyuman.

“Kalau ada apa-apa Bella nak minta tolong dengan saya, jangan segan tau,” kata Delisya dengan ikhlas. Bella mengangguk tersenyum.

“Elis, sebenarnya saya tak nak sentuh hal ni tapi saya memang tak senang bila asyik teringat pasal ni,” katanya dengan kening berkerut.

“Apa dia?” soal Delisya agak berdebar.

“Chinta. Awak perasan tak yang abang lebih tumpukan perhatian pada Chinta berbanding dengan kita berdua?” soal Bella. Delisya terkedu.

“Saya bukan nak kata abang tak adil. Cuma Chinta tu kadang-kadang seperti sengaja nak tarik perhatian abang,” sambung Bella lagi dengan riak tidak puas hati. Delisya menarik nafas panjang.

“Bella, boleh tak hal ni kita tak panjangkan? Abang cuma manusia biasa. Begitu juga kita. Mungkin abang tak perasan dengan tingkah lakunya. Tugas kita sebagai isteri adalah untuk mengingatkannya. Apatah lagi kita ni hidup bermadu. Abang tu sayang dengan kita semua. Saya faham perasaan Bella. Cemburu tu tandanya sayang. Saya pun sayangkan abang. Begitu juga dengan Chinta. Kita mencintai orang yang sama Bella. Sejak dari awal lagi kita dah tahu akibatnya bila kita kena berkongsi kasih. Kita pun dah janji apa pun yang berlaku kita kena duduk bincang dulu. Bukan nak tuduh menuduh atau salahkan orang lain,” balas Delisya panjang lebar. Bukannya dia tidak perasan dengan tingkah laku Adam. Cuma dia hanya mendiamkan diri kerana tahu yang dia cuma menumpang kasih pada lelaki itu. Kasih sayang yang Adam curahkan padanya sudah cukup buat dirinya. Dia tidak akan minta lebih. Hanya cinta lelaki itu. Bella mengeluh perlahan.

“Sorry. Saya cuma terlalu sayangkan abang. Sebab tu tak senang bila abang lebihkan Chinta,” katanya dengan nada mendatar. Delisya menyentuh jemari gadis itu.

“Nanti saya cuba bincang dengan abang pasal ni. Awak jangan lah risau. Kita kena bersatu Bella. Kita bertiga dah janji nak sepakat,” nasihatnya lagi. Bella tersenyum mengangguk. Dia agak iri dengan sikap positif wanita itu. Nasib baik Delisya seorang yang positif. Kalau tidak sudah semestinya akan berlaku perang antara mereka. Bella menarik nafas lega. Terasa lapang dadanya apabila sudah melihat jalan penyelesaian kepada masalah yang mengganggunya sejak akhir-akhir ini.


Previous: Bab 28
Next: Bab 30

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.