Home Novel Komedi/Romantik Komedi AKU TANPAMU
Bab 28


Delisya mengangguk perlahan tanda setuju.

“Saya tak sibuk sangat hujung minggu ni. Boleh lah kot kita cuti bersama,” balasnya dengan senyuman. Chinta mengangguk tersenyum.

“Saya dah beritahu abang supaya kosongkan jadual hujung minggu ni. Kita tak pernah lagi keluar bersama kan?” soal Bella agak teruja.

“Tak pernah lagi. Lagipun kita masing-masing sibuk,” jawab Chinta sambil mencapai kek Vanila di depannya.

“Betul tu. Susah nak cari masa yang sesuai untuk kita semua keluar bersama,” sokong Delisya.

“Saya sebenarnya tak lah sibuk sangat. Kalau Elis nak minta tolong apa-apa pasal syarikat, saya boleh tolong,” kata Bella dengan ikhlas.

“Kau tak nak tolong aku ke?” soal Chinta separuh bergurau.

“Kau ajar matematik kan? Tak payah lah kot. Aku sendiri tak suka subjek tu,” balas Bella jelas menolak. Delisya dan Chinta tergelak mendengar jawapan gadis itu.

“Saya pun angkat tangan kalau subjek tu. Tak sanggup,” kata Delisya turut menolak. Chinta mengangkat bahu.

“Elis.” Panggil satu suara. Ketiga-tiga mereka serentak menoleh. Berkerut kening Delisya saat terpandang Samuel yang berdiri tidak jauh dari meja mereka. Bella dan Chinta saling berpandangan. Delisya bangun lantas berjalan menghampiri lelaki itu.

“Sihat?” soal Samuel dengan senyuman. Delisya memandang sekeliling. Takut dia kalau Adam tiba-tiba datang. Apa kata suaminya itu nanti jika melihat Samuel.

“I’m good,” balas Delisya sambil memandang Samuel dari atas ke bawah. Dia baru perasan satu perkara. Penampilan lelaki itu sudah berubah. Kelihatan lebih kemas dan sesuai dengan kerjayanya sebagai seorang usahawan.

“Awak semakin cantik bila dah jadi isteri orang. Menyesal saya lepaskan awak,” puji Samuel dengan senyuman hambar.

“Samuel, please. Saya ni isteri orang,” balas Delisya yang kurang senang mendengar kata-kata lelaki itu.

“Ada yang boleh saya bantu?” celah satu suara. Terkedu Delisya memandang Adam yang sedang berjalan menghampiri mereka. Samuel tersenyum tenang.

“Awak jangan salah faham. Saya cuma tanya khabar. Elis, jumpa lagi,” kata Samuel sebelum melangkah berlalu. Delisya mengeluh perlahan.

“Elis okay?” soal Adam sambil memandang wajah isterinya itu. Delisya mengangguk dengan senyuman hambar.

“Sorry abang. Elis tak tahu pun dia ada kat sini,” ucapnya perlahan.

“No. It’s okay,” balas Adam dengan senyuman. Delisya menarik nafas lega. Dia berpaling memandang Bella dan Chinta. Kedua-duanya hanya tersenyum membalas pandangannya.

                              *****

“Serius?” soal Marwah dengan riak wajah yang jelas terkejut. Berkerut kening Chinta membalas pandangan gadis itu.

“Yelah. Kenapa?” soalnya pula yang jelas pelik dengan reaksi gadis itu.

“Tak, aku cuma terkejut. Tak sangka pula kau nak bercuti sekali dengan madu-madu kau tu. Kau okay ke nanti?” soal Marwah agak risau. Chinta tergelak kecil.

“Kau ni aku ingatkan apa lah tadi. Nak hairan apa pula. Tak ada yang peliknya Wa. Kami dah mula terbiasa,” balasnya dengan senyuman.

“Yelah. So, kau nak beritahu apa pasal si Nazri tu? Suami kau tahu yang kau datang malam ni kat rumah aku?” soal Marwah dengan kening terangkat.

“Tahu lah. Dia kat rumah Elis malam ni. Aku dah minta izin dengan dia yang aku nak lepak dengan kau,” balas Chinta.

“Nasib baik kau ada madu. Tak lah aku sunyi sangat,” usik Marwah selamba.

“Ish, dah lah. Sebenarnya aku kasihan dengan anak si Naz tu. Masih kecil, tak faham apa yang berlaku,” kata Chinta dengan nada perlahan.

“Wait! Chin tolong lah. Aku tahu kau dah maafkan mamat tu. Tapi nasihat aku, kau jangan lah nak rapat semula dengan dia. Kau tak takut reaksi Adam?” soal Marwah dengan kening berkerut.

“Aku cuma beritahu kau. Kau jangan lah buat muka macam tu. Aku takut,” balas Chinta separuh bergurau.

“Aku serius ni. Aku dah cukup gembira lihat kau sekarang ni bahagia dengan Adam,” kata Marwah. Chinta tersenyum sambil menyentuh jemari gadis itu.

“Baik lah sahabatku. Terima kasih kerana ambil berat pasal aku,” usiknya. Marwah menepuk kuat bahu gadis itu.

“Auww!” Chinta menyentuh bahunya yang terasa sakit.

“Padan muka,” balas Marwah sebelum bangun lalu berlari naik ke tingkat atas.

“Marwah!”

                                *****

Datuk Ridhuan menarik kerusi di hadapan gadis itu.

“Tak keluar hari ni?” soalnya lembut.

“Tak. Hari ni Rasya tak buka Cafe. Pa, Bella cadang nak buka satu lagi cawangan untuk Cafe tu. Apa pendapat papa?” soalnya.

“Kat mana?” soal Datuk Ridhuan kembali.

“Pahang,” jawab Bella perlahan.

“Jauh sangat tu. Kenapa kat sana? Lagi satu, macam mana Adam nak ulang alik kat sana nanti?” soal Datuk Ridhuan dengan perasaan bimbang.

“Bella tak beritahu Adam lagi. Sebenarnya Bella ada kawan kat sana yang boleh tolong uruskan. Sebab tu Bella pilih Pahang,” jawab Bella dengan senyuman.

“Bella kena bincang dengan Adam dulu pasal rancangan Bella ni. Papa tak nak masuk campur. Apa pun keputusan Adam, papa ikut. Nasihat papa, Bella kena jaga hati Adam,” kata Datuk Ridhuan dalam penuh makna. Bella tersenyum mengangguk.

“Bella faham pa,” balasnya.

                                *****

Tersenyum Datin Syahida melihat wajah ceria Delisya.

“Dah ada berita gembira?” soalnya agak teruja. Delisya tergelak kecil. Ini merupakan kali kedua wanita itu bertanya mengenai perkara tersebut.

“Belum ada rezeki aunty,” balas Delisya dengan senyuman. Datin Syahida pula yang tergelak.

“Nampak sangat aunty tak sabar,” akuinya. Delisya ikut tergelak mendengar komen wanita itu.

“Kalau tak silap dah hampir lima bulan Elis jadi isteri Adam. Betul tak?” soal Datin Syahida separuh meneka.

“Masuk enam bulan aunty. Tak terasa cepatnya masa berlalu,” jawab Delisya dengan senyuman.

“Tahu pun. Aunty dah tak sabar ni nak dapat cucu,” balas Datin Syahida. Delisya hanya tersenyum mendengar kata-kata wanita itu.

“Elis kena banyak luangkan masa dengan Adam. Tak boleh sibuk sepanjang masa. Papa kamu tu pun dah tak sabar nak dapat cucu,” sambung Datin Syahida separuh menasihati. Delisya mengangguk sambil tersenyum. Keluh lidahnya untuk membalas. Siapa yang tidak mahukan zuriat sendiri. Hanya Allah yang tahu betapa dia juga tidak sabar ada anak bersama dengan Adam.

                                *****

Adam duduk di atas tikar yang dibentangkan olehnya sebentar tadi. Kelihatan Bella dan Delisya sedang sibuk menyusun makanan yang dibawa oleh mereka. Matanya meliar mencari seseorang.

“Chinta mana?” soalnya pada Bella yang sudah mengambil tempat di sisinya.

“Tadi dia kata nak jumpa kawan,” jawab Bella sambil mencapai sebiji epal yang ada di depannya.

“Kawan?” soal Adam lagi dengan kening berkerut.

“Rasanya saya pernah terserempak dengan kawan Chinta tu. Tak silap kat hospital abang,” celah Delisya tanpa memandang Adam kerana sibuk menyusun buah yang telah dipotong. Berdebar Adam saat mendengar kata-kata isterinya itu. Bella hanya memerhatikan sahaja telatah lelaki itu yang mula tidak senang duduk. Dia cepat-cepat menepis perasaan kurang senang yang mula menguasainya.

“Abang jangan lah risau. Kejap lagi dia datang lah tu,” katanya dengan nada mendatar. Delisya memandang Bella kemudian beralih memandang Adam. Hatinya berdebar saat melihat raut wajah suaminya yang jelas kelihatan risau.

                                 *****

“Tak sangka jumpa Chin kat sini,” kata Nazri dengan senyuman lebar.

“Kebetulan Adam bawa bercuti kat sini. Awak kena cari ibu baru untuk Naufal. Kasihan dia tak ada kawan,” balas Chinta separuh mencadangkan. Nazri tersenyum.

“Saya dah serik. Lagipun saya masih perlukan masa untuk bangkit semula. Kalau awak tak keberatan. Awak boleh selalu jumpa Naufal. Saya tak kisah,” katanya dalam penuh makna. Chinta hanya tersenyum tanpa membalas apa-apa.

“Chinta.” Panggil satu suara. Chinta dan Nazri serentak menoleh ke arah datangnya suara tersebut. Kelihatan Delisya berdiri tidak jauh dari tempat mereka.

“Saya kena pergi,” kata Chinta sambil bangun perlahan. Nazri ikut berdiri.

“Naufal sayang. Aunty Chin dah nak balik ni,” panggil Nazri ke arah Naufal yang sedang bermain pasir. Naufal bergegas menghampiri.

“Naufal jangan nakal tau,” kata Chinta sambil mengusap perlahan ubun kepala budak lelaki itu. Naufal hanya mengangguk dengan senyuman. Chinta berlalu menghampiri Delisya. Nazri dan Naufal hanya memandang langkah gadis itu.

“Kenapa tak beritahu abang yang Chin ada kat sini?” soal Delisya dengan kening berkerut. Berdebar Chinta mendengar soalan wanita itu.

“Abang marah ke?” soalnya mula risau.

“Abang ajak balik. Katanya ada emergency,” beritahu Delisya sebelum melangkah perlahan. Chinta menurut langkah wanita itu dengan perasaan berbaur.

                                  *****

Bella memandang Chinta dengan riak wajah yang jelas tidak puas hati. Selepas sahaja mereka balik semalam dari bercuti, emosi Adam benar-benar terganggu.

“Semalam kau jumpa siapa?” soalnya tanpa senyuman. Chinta mengeluh perlahan. Dia masih ingat sepanjang perjalanan balik dari bercuti Adam langsung tidak mahu bercakap dengannya. Hanya soalan Bella dan Delisya yang dilayannya. Sakit juga hatinya dengan perbuatan suaminya itu. Namun dia terpaksa akur kerana sedar akan kesilapannya.

“Aku terserempak dengan kawan lama,” beritahu Chinta dengan nada perlahan.

“Kenapa tak beritahu abang yang kau jumpa kawan kau tu? Abang tu risaukan kau. Aku sebenarnya tak nak mengungkit. Tapi sikap abang yang lebihkan kau kadangkala buat aku sakit hati,” kata Bella dengan jujur. Chinta terkedu.

Lebihkan aku?

“Apa maksud kau? Abang tak pernah lebihkan aku atau sesiapa. Dia layan kita secara adil. Kenapa pula timbul isu lebihkan aku?” soalnya kurang senang dengan tuduhan gadis itu. Bella tersenyum sinis.

“Memang kau nampak macam tu. Tapi aku tak. Kau tak payah tanya Elis. Sebab dia tu baik hati. Tapi aku jenis yang tak tahan Chin. Mata aku ni sakit,” balasnya dengan nada agak keras.

“So, kau nak aku buat apa?” soal Chinta dengan kening berkerut.

“Jangan sia-siakan kasih sayang abang pada kau. Jaga hati dia seperti mana dia dah jaga hati kita,” balas Bella dengan nada tegas sebelum berlalu ke keretanya semula. Chinta mengeluh perlahan.

                                 *****

“Abang dah salah faham. Hari tu Chin cuma terserempak dengan Nazri. Chin tak pernah pun janji nak jumpa dia kat sana. Abang, please jangan buat Chin macam ni,” pinta Chinta separuh merayu. Berkerut keningnya memandang Adam yang sedang berdiri membelakanginya.

“Dah dua minggu abang tak nak tegur Chinta. Chinta minta maaf kalau Chinta dah buat silap,” sambungnya dengan perasaan sebak. Tingkah laku Adam yang langsung tidak mahu membuka mulut itu benar-benar membuatnya putus asa.

“I’m sorry,” ucap Chinta lagi.

“Kenapa susah sangat nak beritahu abang?” soal Adam tanpa memandang. Chinta terkedu. Akhirnya suaminya itu buka mulut.

“Kenapa tak minta izin dengan abang yang awak nak jumpa Nazri?” soal Adam lagi kini berpaling memandang tepat ke arah wanita itu.

“Chinta tak sempat nak beritahu. Lagipun abang dan yang lain dah jauh masa tu,” jawab Chinta perlahan. Adam tersenyum sinis.

“Kenapa tak call?” soalnya lagi. Chinta mengeluh perlahan.

“Abang lupa? Telefon Chin masa tu ada dengan abang kan? Kenapa abang…,” Chinta berhenti sejenak. Dia mencapai beg tangannya yang ada di atas sofa.

“Saya balik dulu,” katanya sebelum melangkah keluar dari bilik pejabat suaminya itu. Dia perlu menenangkan diri sebelum berdepan dengan suaminya itu semula. Adam mengeluh perlahan.

Sorry sayang.


Previous: Bab 27
Next: Bab 29

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.