Home Novel Komedi/Romantik Komedi AKU TANPAMU
Bab 7


Puan Hasna menghidangkan kopi hitam pekat minuman kegemaran suaminya.

“Abang,” panggilnya sambil mengambil tempat di sebelah lelaki itu. Dia memandang tepat wajah suaminya yang sedang leka menonton televisyen.

“Hmm,” balas Tuan Izan tanpa memandang.

“Abang rasa Adam tu dah jumpa orang yang sesuai tak?” soalnya dengan senyuman.

“Orang apa? Abang tak faham,” balas Tuan Izan sambil memandang wajah isterinya.

“Penampilan Adam sejak akhir-akhir ni dah berubah. Mana lah tahu Adam dah jumpa yang istimewa,” kata Puan Hasna dengan riak wajah yang agak teruja.

“Bagus lah tu. Tak lah setiap pagi awak bebel dia lagi. Sakit telinga Adam tu dengar ceramah percuma awak,” jawab Tuan Izan separuh menyindir. Puan Hasna tergelak kecil.

“Adam atau abang yang sakit telinga?” usiknya.

“Tahu tak apa,” balas Tuan Izan turut ikut tergelak. Dia lega melihat senyuman lebar isterinya itu. Sejak perubahan Adam dua tahun yang lalu, dia sudah sangat jarang melihat wanita itu menunjukkan senyuman sedemikian. Dia mengharapkan perubahan Adam kali ini turut mengembalikan semula senyuman manis wanita itu. Tuan Izan menarik nafas panjang. Walaupun banyak mendiamkan diri namun dia juga risau memikirkan anak lelakinya itu. Dia yakin ada sesuatu yang membuat Adam berubah sekali lagi setelah apa yang berlaku.

Tapi kali ni papa suka dengan perubahan Adam. Anak papa dah kembali setelah sekian lama. Papa harap tak ada lagi perubahan selepas ni.

Bisik hati kecil Tuan Izan sambil tersenyum memandang isterinya yang kini leka menonton televisyen.

                                *****

“Adam kata apa?” soal Marwah sambil bersandar tenang pada sofa. Wajah putih Chinta dipandang lama. Chinta mengeluh perlahan.

“Dia kata dia tu bukan robot,” beritahunya perlahan. Marwah tergelak besar. Berkerut kening Chinta memandang gadis itu.

“Apa yang lucu?” soalnya agak sakit hati dengan reaksi rakannya itu.

“Padan muka. Kalau aku si Adam tu memang aku akan beri jawapan yang sama. Kau ingat senang ke orang nak tolong kau? Chin, ni realiti tau. Bukan drama kat tv,” balas Marwah separuh menyindir.

“Kau sengaja nak sakitkan hati aku kan,” kata Chinta dengan nada perlahan.

“Aku tak sengaja. Aku cuma tak setuju bab kau nak minta tolong Adam. Nampak sangat kau tak ikhlas nak berkawan dengan dia. Kasihan Adam. Dia tak tahu apa-apa,” balas Marwah.

“Hanya Adam yang boleh tolong aku. Suka atau tak kau kena sokong aku. Kau pun tak suka Naz buat aku macam orang bodoh kan?” soal Chinta dengan kening berkerut. Marwah terdiam mendengar pertanyaan gadis itu. Kelu lidahnya untuk menjawab. Memang dia tidak suka dengan apa yang sudah dilakukan oleh Nazri. Namun dia kurang setuju dengan Chinta yang ingin melibatkan Adam dalam hal ini. Dalam diam Marwah mengeluh lagi.

                                 *****

Adam bersandar tenang pada kerusinya. Angin malam yang bertiup perlahan menyapa wajahnya.

“Tak balik lagi?” soal Ekram sambil melangkah masuk ke dalam bilik pejabat lelaki itu. Adam hanya memandang sekilas ke arah sahabatnya itu tanpa berkata apa-apa.

“Pasal siapa pula kali ni?” soal Ekram separuh meneka. Adam masih diam membisu. Ekram menarik nafas dalam.

“Dam, aku suka bila kau dengar nasihat aku. Sejak dari dulu lagi aku selalu ingatkan kau. Tapi baru sekarang kau berubah. Aku nak tanya kau. Kenapa baru sekarang? Adakah disebabkan oleh mereka?” soalnya dengan kening terangkat.

“Kau ni suka atau tak aku berubah?” soal Adam tanpa memandang wajah Ekram.

“Bukan macam tu. Kau tak rasa kehadiran mereka tu beri hikmah?” soal Ekram sekali lagi.

“Mereka tu siapa?” soal Adam kembali kini memandang sahabatnya itu. Ekram terdiam sejenak.

“Jangan libatkan mereka yang kau maksudkan tu dengan perubahan aku, Ram. Tak ada yang berubah pun dengan aku. Cuma penampilan…,”

“Sikap tu. Dulu setelah pemergian arwah Qaisara kau berubah seratus peratus. Tak pernah beri muka dengan sesiapa selain aku dan Farah. Tapi sekarang aku lihat kau dah boleh makan makanan yang orang bawa untuk kau,” pintas Ekram separuh menyindir. Adam terdiam lagi mendengar sindiran lelaki itu. Ekram tergelak kecil.

“Apa pun aku bersyukur sangat mereka tu muncul dan kembalikan kau seperti dulu. Kali ni aku nak nasihatkan kau, beri lah peluang kepada mereka. Aku tak kisah kau pilih siapa pun antara mereka,” nasihatnya dengan senyuman nakal.

“Jangan nak merepek. Kepala aku ni masih sakit fikirkan mereka. Macam-macam karenah. Mereka ingat aku ni Superman kot,” balas Adam sambil mengeluh perlahan. Ekram tergelak lagi.

“Good luck, Superman. Aku balik dulu,” kata Ekram sambil berlalu dengan senyuman. Adam mendengus perlahan mendengar usikan rakannya itu.

                                 *****

“Kau nak apa?” soal Delisya dengan kasar apabila melihat Samuel yang bersandar pada keretanya. Samuel tersenyum sinis.

“Aku dengar kau selalu ke hospital. Kenapa? Sakit?” soalnya tanpa menjawab.

“Yang kau sibuk sangat nak tahu kenapa? Bukan ke kau yang kata tak nak tengok muka aku lagi? Kalau kau dah tak suka, kau tak payah lah nak sibuk pasal aku! Tepi!” balas Delisya separuh mengarah. Samuel tergelak kecil.

“Siapa doktor muda yang kau kejar tu? Dah gatal nak kahwin lagi?” soalnya masih tidak mahu mengalah. Posisinya juga tetap sama. Delisya mendengus geram.

Ada juga yang aku hempuk dengan beg aku ni.

“Suka hati aku lah nak kahwin ke tak. Nampak sangat kau takut aku akan dapatkan semula syarikat papa,” balasnya dengan senyuman sinis. Samuel tersenyum.

“Kau jangan mimpi nak dapatkan semula syarikat tu. Kau sekarang ni dah jadi pekerja aku. Bila-bila masa aku boleh tendang kau keluar dari syarikat. Kau jangan ingat bila kau kahwin lagi, syarikat tu akan jatuh ke tangan kau semula. Aku akan pastikan yang tu tak akan berlaku!” katanya dengan nada keras sebelum berlalu. Delisya menggigit bibir geram.

Jantan tak guna!

                                 *****

“Hai Adam,” sapa Bella dengan senyuman. Langkah Adam terhenti. Bella berjalan menghampiri lelaki tinggi lampai itu.

“Bella, awak sakit?” soal Adam sambil meneliti wajah putih gadis itu. Bella tergelak kecil.

“Orang yang datang hospital memang semuanya sakit ke?” soalnya separuh mengusik. Adam berdehem perlahan.

“Saya datang melawat awak,” beritahu Bella masih dengan senyuman. Adam mula tidak sedap hati.

Ayat tu selalu aku dengan sejak akhir-akhir ni.

“Saya nak minta tolong dengan awak,” sambung Bella.

Wait, kalau awak tak sihat boleh masuk kat dalam sekarang. Tapi kalau awak minta benda pelik, saya memang tak ada masa,” balas Adam dengan nada tegas sebelum mula melangkah untuk berlalu.

“Adam, saya minta tolong awak sebagai kawan bukan sebagai pesakit,” kata Bella agak kuat. Langkah Adam terhenti. Dia berpaling memandang gadis itu semula.

“Yang tu saya tak mampu. Awak kena cari orang lain,” balasnya sebelum melangkah semula. Berkerut kening Bella.

What? Dia tahu ke aku nak minta tolong apa?

Bella mengeluh perlahan.

Doktor Adam. Saya tak akan berhenti selagi saya tak dapatkan awak.

                               *****

Berkerut kening Chinta memandang lelaki itu. Marwah di sebelahnya berdehem perlahan.

“Aku tunggu kau kat dalam,” katanya sebelum berlalu.

“Apa khabar?” tanya Nazri dengan senyuman hambar. Chinta menggigit bibir. Ikutkan hatinya mahu sahaja dia menampar wajah kacak lelaki itu.

“Maaf, tapi aku tak kenal kau,” balas Chinta dengan sinis sebelum mula melangkah semula.

“Chinta,” Nazri sempat menahan bahu gadis itu. Chinta menepis kasar tangan lelaki itu.

“Kau jangan berani nak sentuh aku!” marahnya sambil memandang tajam ke arah Nazri.

I’m sorry,” ucap Nazri dengan perasaan bersalah. Chinta tersenyum sinis.

Sorry? Kau ingat senang aku maafkan kau? Hei Nazri! Kau dengar sini baik-baik. Aku! Aku tak akan pernah maafkan kau! Faham!” balasnya dengan nada keras.

“Dengar dulu apa Naz nak cakap,” pinta Nazri separuh merayu.

“Kau nak beritahu apa lagi? Empat tahun kau bodohkan aku! Sekarang kau nak bela diri lagi?! Kau lelaki dayus, Nazri!” kutuk Chinta dengan nada keras. Nazri menarik nafas dalam. Dia merenung lama wajah yang merah padam di hadapannya itu.

“Awak masih sayangkan saya. Saya boleh lihat daripada mata awak,” katanya dengan nada sayu. Giliran Chinta pula yang terkedu.

“Aku tak nak tengok muka kau lagi muncul kat sini!” balasnya separuh memberi amaran sebelum berlalu dengan pantas. Nazri hanya tersenyum hambar memandang langkah gadis itu berlalu.

I’m really sorry, sayang.

                                *****

Delisya menarik nafas dalam sebelum menekan lonceng rumah Adam. Agak lama menunggu akhirnya pintu pagar terbuka. Muncul seorang wanita yang agak berusia namun masih menjaga penampilannya.

“Cari siapa?” tanya Puan Hasna dengan kening berkerut.

“Saya Delisya. Kawan Adam,” beritahu Delisya sambil menghulurkan tangan.

“Oh, saya ibu Adam. Masuk lah. Adam tak bangun lagi tu. Semalam balik lewat,” beritahu Puan Hasna dengan senyuman lebar.

“Tak apa aunty. Aunty tak payah kejut Adam. Saya boleh tunggu,” balas Delisya sambil berjalan mengikut langkah wanita itu.

“Kalau macam tu, Delisya boleh ikut kami sarapan sekali. Pagi ni memang aunty masak lebih sikit. Rezeki Delisya agaknya,” ajak Puan Hasna dengan senyuman. Delisya tersenyum mengangguk.

“Aunty boleh panggil Elis aje,” katanya separuh meminta. Puan Hasna mengangguk sambil meneliti wajah gadis di depannya itu.

Tak lama lagi nak dapat menantu lah aku.

Bisik hati kecilnya dengan perasaan teruja.

                                  *****

Adam mengeluh perlahan. Dia membiarkan rambutnya yang tidak terurus. Delisya masih tersenyum memandang Adam.

“Sekarang ni kita kat luar. Saya anggap yang saya dah tak ada kena mengena dengan awak. Awak pula ekori saya sampai ke sini. Look Elis, saya pun ada tahap kesabaran. Saya manusia biasa macam awak,” kata Adam dengan nada yang tegas. Senyuman Delisya perlahan menghilang.

“Awak pun nak pukul saya?” soalnya dengan nada sayu memandang lelaki itu. Adam terkedu.

“Bukan tu maksud saya. Saya…,”

“Adam, saya tahu awak lelaki baik. Sebab tu saya pilih untuk percayakan awak. Saya…,” Delisya berhenti sejenak. Matanya mula berkaca. Adam mula tidak keruan.

“Saya tahu awak tentu fikir yang saya pergunakan awak. Terserah awak nak fikir apa. Saya tak kisah kalau lepas kahwin awak tak perlakukan saya sebagai isteri awak. Saya faham. Saya cuma nak pertolongan daripada awak. Saya merayu pada awak, Adam,” rayu Delisya. Air matanya jatuh tanpa dipinta. Adam menyentuh dahinya yang terasa berdenyut.

“Saya tak akan putus asa untuk pujuk awak. Saya janji lepas ni kalau awak setuju nak tolong saya, awak boleh minta apa aje daripada saya. Saya akan tunaikan permintaan awak,” sambung Delisya sambil menyapu air matanya.

“Masalahnya saya bukan tak nak tolong awak. Tapi permintaan awak tu keterlaluan!” balas Adam dengan nada keras sebelum berlalu pantas masuk semula ke dalam rumah. Delisya tunduk memandang tanah.

Sampai bila kau nak merayu pada lelaki, Elis?

 

 


Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.