Home Novel Keluarga Secebis Kasih
Bab 35
Seperti yang dirancang petang tadi. Shakil dah siap menunggu Nadhila di ruang tamu. Nak pergi dinner bersama. Sementara menunggu Nadhila bersiap, Wahida, Abang Musa dan Anis duduk berbual bersama sambil menonton tv. Meriah dengan kekecohan si Anis.

" Esok jam berapa Sha hantar Dhila? Sha pun terus balik KL ke?!" Tanya Wahida.

" Iya kak terus balik dalam tengahari hantar Dhila sekali sebab esok petang Sha ada metting, dah mula sibuk dah kak, kemungkinan sampai hujung tahun ni kut.." jawab Shakil.

" Okeylah! Kalau free tu rajin-rajinlah balik sini. Janganlah sampai tak balik, Sha kalau dah sibuk, akak call pun payah nak jawab.." kata Wahida. Sedih.

"Insha Allah. Nak buat macam mana kak, kadang waktu akak call, Sha tengah metting, tengah ada operasi. Tak kena waktu Sha.." jelas Shakil.

"Awak pun kenalah faham tugas Sha tu macam mana. Bukan kerja macam kita, office hour,  hujung minggu duduk rumah. Sha ni.. nak tengok muka dia dekat rumah pun payah. Ni kebetulan tak sibuk dan pula kebetulan ada Dhila. Dapatlah dia balik sini, esok pula kalau dah sibuk. Memang taklah kan Sha kan.." Abang musa menyebelahi Shakil.

" Insha Allah.. Kalau tak selalu balik pun. Sha tetap akan curi masa balik sini. Kak Ida jangan risaulah. Sha tetap ingat akaklah, Sha tetap sayang satu-satunya kakak Sha ni.. !" Shakil ambil hati Wahida. Wahida anggukkan kepala tanda faham.

" Baiklah.. Sha..! tak nak tukar unit lain ke? Macam tak ada masa langsung akak tengok Sha ni. Esok kalau dah kahwin, sibuk 24 jam macam mana. Mahu lari si Dhila tu kang..!" Shakil gelakkan je.

"Memang ada niat pun nak tukar. Tapi bukan senanglah kak. Sha ada cuba pun. Tapi kalau ada rezeki adalah..!" Jawab Shakil lembut.

"Elok sangatlah tu. Kasihan Dhila nanti asyik kena tinggal je dengan Sha. Eh..! Jam berapa korang nak dinner ni.."

"Aha.. Mana Dhila. Nanti lambat pula..! Habis makanan.." Sampuk Abang Musa.

" Ha tu dia. Baru keluar.. " Shakil memuncungkan mulut pada Nadhila yang sedang berjalan ke arah mereka. Tersenyum-senyum. Tersengeh-sengeh. Mereka tertumpu pada Nadhila. Naik malu pula Nadhila jadinya.

" Sorry.. Sorry.. Sorry..!! Terlambat.. boleh pula terlelap.. Hehe..!!" Semua gelak melihat gelagat selamba Nadhila yang bersahaja. Sengeh je.

" Boleh terlelap?! Hahaha.. Dahlah pergilah, makanan habis nanti pula. Balik nanti sambunglah tidur ye Dhila.." Kata Wahida. Shakil memang gelak jelah memanjang.

" Kak Ida, Abang Musa.. Kami pergi dulu ye. Jomlah join..Segan pula Dhila ni..!" Ajak Nadhila.

"Ishh!! Mana boleh. Dhila pergilah dengan Sha. Bila lagi nak berdating. Esok nak balik JB dah kan. Pergilah ye.." jawab Wahida dengan senyuman.

" Ha Sha.. Jangan balik lewat pula. Sha bawa anak dara orang tu. Jangan nak melencong ke tempat lain pula ye. Tak pasal-pasal Sha kena tembak pula dengan abangnya.." Abang Musa pula bergurau. Tapi gurauan ada makna.

" Hahaha.. Baik bang..! Jangan risau. Kami gerak dulu ye. Assalammualaikum..!" Shakil dan Nadhila mula melangkah.

"Okey bye..!! Waalaikumsalam.." Senyum je Wahida.

Seronok dia melihat pasangan itu. Senang hatinya dengan Nadhila. Dan dia sendiri pun tak menyangka yang Shakil dah ada teman wanita kini walaupun baru je bersama. Selepas kematian teman wanitanya tiga tahun lepas akibat kemalangan jalanraya, Shakil belum terbuka hati lagi mahu menerima mana-mana wanita dalam hidupnya. Masih setia menyayangi arwah. Tapi entah macam mana, bila berjumpa Nadhila boleh pula dia yang jadi angau. Pertama kali jumpa Nadhila, hatinya sudah terpikat. Shakil terus menceritakan perasaannya pada Wahida mengenai Nadhila. Siap minta pendapat lagi macam mana nak pikat Nadhila. Tapi semua dipermudahkan.

"Awak nak bawa saya makan dekat mana? Makan apa? Sedap tak? Yang penting jangan ada durian ye. Sampai saya ada bau durian je saya balik naik teksi.." Banyak betul soalan Nadhila. Shakil gelak. Kereta terus dipandu laju.

"Saya tanyalah Sha, gelak aje dia ni. Awak ni memang ada penyakit gelak ye.." Nadhila menoleh pada Shakil dan berkerut. Shakil tetap juga gelak.

" Kan saya dah cakap, saya suka gelak.!" Jawab Shakil.


" Tapi saya tanya je kut bukan buat lawak.."

" Dan masalahnya apa yang awak cakap tu buat saya gelak tau..!!" Nadhila garu kepala.

" Suka hatilah..!" Malas Nadhila nak layan.

" Awak ikut je. Mesti awak suka..!" Nadhila angguk. Mereka terus berbual gelak tawa.

Malam akhir mereka bersama, menghabiskan masa bersama. Esok dah berpisah jauh, entah bilalah dapat berjumpa lagi. Shakil pula dah mula sibuk dengan tugasnya. Nak balik JB rumah Abang Long mungkin lama lagi. Tapi macam mana sibuk pun, dia akan lari juga balik JB. Kalau dulu balik sebab Abang Long tapi kali ni balik sebab si Nadhila. Sebab dua-dua penting dalam hidupnya. Dan, Shakil mahu jadikan malam itu adalah malam paling bahagia untuk Nadhila dan untuk dirinya juga.

Dan, dia nekad mahu berterus-terang pada Nadhila mengenai Nabiha. Walaupun sebenarnya dia risau akan perubahan Nadhila lepas tahu semua ini tapi dia tiada pilihan. Dia kena jujur pada Nadhila dan kena jujur pada diri sendiri. Dan dia berharap sangat yang Nadhila memahami situasi dia nanti. Sepanjang perjalanan, tak putus doa minta agar Allah permudahkan penjelasannya nanti.

Kereta memasuki ke Vista Walk Shah Alam. Setelah meletakkan kereta, mereka berdua jalan ke esklator, kemudian masuk ke dalam Cat'fe Cafe. Tak ramai pelanggan didalamnya. Tenang dan aman cafe tersebut.

" Cantik cafe ni. Tenang je..!" Puji Nadhila dengan mata meliar melihat sekeliling cafe. Dan angguk-angguk kepala.

" Saya lebih suka makan dekat cafe macam ni, tenang, tak serabut, kebersihan terjamin, tak bising, makanan sedap.." Kata Shakil jujur.

" Betul-betul. Saya setuju. Tapi dah tentu makanan sini semua western kan..?!" Belum sempat Shakil jawab.

Seorang pelayan lelaki dengan mesra datang membawa menu dan beri kepada mereka. Berkerut-kerut Nadhila melihat menu. Punyalah banyak pilihan. Semuanya sedap-sedap belaka.

" Awak nak makan apa?" Tanya Shakil.

" Awak pilihlah mana-mana. Pening pula saya tengok menu ni ha. Semua sedap pula.." jawab Nadhila. Sengeh.

" Betul tak kisah apapun yang saya order ni?!" Tanya Shakil lagi.

"Iyelah. Mana-manalah.." Nadhila senyum pada pelayan itu. Shakil memesan Aglio Olia Sotong Besar dan Spagetti Carbonara Fish & Chip Chezzy dan Yougurt Strawberry dan Manggo. Menu diberi semula pada pelayan.

" Cafe ni semua kucing je ek. Memang yang datang cafe ni semua peminat kucing atau macam mana?!" Nadhila memandang setiap sudut cafe. Unik pula. Pertama kali dia jejak kaki ke cafe kucing ni. Teruja pula melihat deko cafe ni.

"Iya.. Memang kucing pun.  Saya suka makan kat sini. Kalau awak nak tengok kucing atau nak beli barangan kucing. Semua ada, kat tingkat atas. Khas untuk kucing.." jelas Shakil.

" Awak suka kucing ek?!"

"Memang suka.. Cuma nak bela je tak dapat. Tak ada masa nak uruskan kucing. Awak suka kucing?!" Nadhila sengeh.

"Tak suka dan tak minat.."

"Aik!! Bukan perempuan suka kucing ke?" Shakil berkerut.

" Dulu saya minat jugalah. Ha ni saya nak cerita macam mana saya boleh tak suka kucing. Dengar baik-baik tau Sha.. Dulu Biha ada jumpa kucing tepi jalan, dia bawa balik. Dia kata nak bela tapi segala berak, kencing, makan minum kucing tak dijaga. Kucing berak kencing merata dalam rumah, saya yang kena bersihkan. Dengan muntah kucing lagi. Kalau saya tak bersihkan saya kena marah. Sebab Biha bagitahu arwah ayah, saya yang bawa kucing tu balik. Apalagi.. Memang kena teruk saya dengan arwah ayah. Dari situ saya tak suka kucing..! " panjang lebar Nadhila bercerita.

" Hmm Okey...!! Kalau awak tak suka kucing. Habis awak suka apa?!"

" Angsa.. Hahaahaha!!" Terlepas kuat Nadhila gelak. Mujur orang tak ramai. Shakil gelak sama. Makanan sudah sampai. Seronok Nadhila melihat makanan yang sedap!! Mereka menikmati hidangan. Memang mereka je yang gelak tawa. Meriah.

Selesai makan, masih duduk berbual. Perut kenyang hati pun tenang. Tapi hati Shakil tak setenang wajahnya. Hatinya bagai dilanda tsunami. Dah sampai masa mahu berterus-terang. Shakil menarik nafas dalam, hembuskan perlahan. Mencari kekuatan sendiri. Merenung tepat wajah Nadhila yang bersahaja.

" Dhila.. Saya ada perkara nak bagitahu awak ni. Tapi sebelum tu, saya nak awak tahu yang saya sangat.. sangat.. sangat sayang awak. Apapun terjadi, saya tetap sayang awak Dhila. Saya nak awak percaya saya. Dan saya harap awak tak salah faham dengan semua ni.. " Kata Shakil menyusun ayat. Nadhila mula rasa tak sedap hati. Berkerut sejuta.

" Kenapa tiba-tiba awak cakap macam ni Sha? Punyalah banyak sangat awak tu. Takut pula saya dengar. Hahahaa..!" Nadhila boleh pula gelak dalam Shakil serius.

" Dhila.. Saya minta sangat awak tolong faham saya dan awak jangan fikir saya bukan-bukan ye. Saya sayang awak Dhila. Jujur cakap, saya memang sayang awak seorang je.." Makin pelik Nadhila dengan Shakil ni. Dah kenapa pula dengan Sha ni. Buang tabiat ke? Ishh!! Apa merepek aku ni. Kata hati Nadhila.

" Sha.. Boleh tak jangan buat saya rasa pelik semacam je. Iya..!! Saya tahu awak sayang saya. So, cakaplah sekarang saya dengar dengan setia.."Nadhila gelak kecil. Shakil menyapu muka dengan tangan. Merenung ke dalam anak mata Nadhila.

"Dhila.. Sebenarnya, adik awak Biha selalu hubungi saya. Dia call dan whatsapp.." Perlahan suara Shakil. Terbeliak mata Nadhila mendengar. Terpaku seketika. Membalas renungan Shakil tanpa berkelip.

" Biha hubungi awak? Untuk apa. Sejak bila lagi?" Nada suara Nadhila mendatar. Tak tahu apa perasaan Nadhila ketika itu. Marah, sedih, kecewa, sakit hati semua bercampur baur.

" Adalah dalam seminggu juga. Dia ambil nombor saya dari handphone abang awak. Pada mulanya, dia whatsapp dan call tapi saya tak layan. Tapi kalau saya tak layan, dia akan call sampai saya jawab dan akan whatsapp. Saya serba-salah.." Terang Shakil. Muka Nadhila sudah berubah. Dari ceria tadi terus jadi sedih.

" Kenapa baru sekarang awak bagitahu saya? Kenapa tak dari mula-mula Biha call dan whatsapp?" Tanya Nadhila serius.

" Saya memang nak bagitahu awak. Tapi keadaan awak tak mengizinkan. Awak kat kampung, saya tak nak ganggu awak dan ibu. Malam awak dinner tu, saya nak jumpa awak nak cerita semua tapi lain pula jadinya. Baru hari ni, saya dapat bagitahu awak.." sambung Shakil. Tiada reaksi apa-apa pada wajah Nadhila.

" Jadi, selama tu juga awak layan Biha? Dan layan saya. Dua- dua.." Telan liur Shakil. Nadhila senyum sinis.

" Bukan macam tu. Dhila.. saya terrrpaksa layan dia.." Nadhila senyum.

" Tak apalah. Saya keluar dulu..!" Nadhila terus ambil begnya dan terus keluar. Shakil jadi buntu pula. Terus dia membayar bil makanan dan berlari mengejar Nadhila. Keluar je dari cafe, mata liar mencari Nadhila. Dah jalan menuju ke kereta. Cepatnya dia jalan.

Terus saja Shakil berlari menuruni ekslator. Nadhila bersandar dipintu kereta. Mata memandang ke bawah. Apa semua ini. Shakil menghampiri Nadhila. Berdiri dihadapan Nadhila. Nadhila pandang sekilas wajah Shakil dan senyum tawar.

" Saya nak balik." Shakil membuka pintu kereta. Terus Nadhila masuk. Bersandar pada seat dan mata pandang jauh ke hadapan. Senyap! Shakil menghidupkan enjin kereta, penghawa dingin dipasang. Shakil menoleh pada Nadhila.

" Dhila.. Saya minta maaf..!" Suara lembut Shakil memecah kesunyian.

"Kalau orang lain, saya masih boleh terima tapi dia adik saya, musuh ketat saya Sha.." kata Nadhila. Sayu.

" Saya tahu semua tu, sebab tu kita kena bincang. Saya cuma nak awak faham Dhila. Saya layan dia bukan suka-suka tapi kerana terpaksa. Awak boleh tengok handphone saya ni, whatsapp yang dia hantar, saya cuma balas waktu mula-mula je sebab saya tak tahu nombor dia.." Shakil memberikan handphone pada Nadhila. Nadhila ambil dan baca.

"Saya simpan semua whatsapp ni, saya nak tunjuk awak. Tarikh mula sampai ke hari ini. Saya tak balas pun. Lepas tu awak tengok panggilan masuk ni. Banyak tak? Kalau dia whatsapp, saya tak kisah lagi. Tapi kalau dia call? Selagi tak jawab selagi tu dia akan call. Kadang waktu metting, waktu kerja dia call. Saya jadi serba-salah.." panjang lebar Shakil berkata jujur. Tiada sikit pun dia simpan lagi. Semuanya dah dijelaskan. 


" Awak tak bagitahu ke awak dah ada saya. Eh.. Maksud saya, teman wanita."Nadhila menghulurkan handphone pada Shakil semula.

" Dah Dhila. Saya dah bagitahu pun. Siap cakap nak bertunang dah. Tapi awak lebih tahu siapa adik awak kan?!" Shakil mengeluarkan sesuatu dari poket seluarnya dan masih merenung Nadhila yang masih memandang ke hadapan.

" Entahlah Sha.. Saya tak tahu nak cakap apa. Saya baru terbuka hati untuk awak, dah mula sayang awak, rasa bahagia, rasa selamat tapi macam.. Huh!  Entahlah. Saya takut awak dengan dia permainkan saya kelak. Saya takut..!"

"Allahuakhbar..!! Dhila dengar sini. Meh pandang saya ni. Dhila.. Saya sayang awak Dhila. Janganlah fikir negatif pada saya.." Mata bertentangan. Jadi kosong fikiran Nadhila.

Shakil membuka kotak kecil, sepasang cincin putih kemas terletak. Ditunjukkan pada Nadhila. Nadhila pandang sekilas saja.

" Saya nak bagi cincin ni sebagai tanda saya betul sayang awak. Malam nak jumpa awak tu, saya nak bagi ni sebenarnya.." Shakil senyum manis. Shakil menyarungkan cincin ke jari manis Nadhila. Nadhila senyap. Senyum tak, marah tak, muka tak ada perasaan.

" Yang ni, saya punya. Awak saya punya dan saya awak punya. Jadi, sekarang dengan rasminya Aliyan Shakil dan Nur Nadhila adalah pasangan bercinta. Okey set?!" Nadhila senyap lagi, pandang pada cincin. Dan, kembali pandang Shakil, senyum.

" Apa set?! Kenapa tak nak buat sidang akhbar, biar semua orang tahu.." Kata Nadhila. Shakil gelak.

"Hahaha.. Sekarang ni tak boleh lagi. Kita kena rahsiakan dulu tak elok hebahkan. Tapi nanti, insha Allah jodoh kita panjang, nak nikah baru satu dunia saya hebahkan.."

"Sakit hati dengan Biha. Sibuk je dia, apa saya punya semua dia nak ambil. Saya baru je sayang awak, dah dia kacau.." Nadhila merungut.

" Sayang ye, alhamdulilah. Akhirnya kan...!" Perli Shakil, gelak lagi. Nadhila gelak kecil tahan malu.

" Tak payahlah nak sindir-sindir orang. Tarik balik rasa sayang tu kang. Baru tahu..!" Menjeling manja.

"Kita milik Allah. Allah pinjamkan pasangan pada kita untuk saling melengkapi, saling berkasih sayang. Kita kena cari keberkatan dan keredhaan dariNya. Dengan berkat dan redha Allah pasti hubungan akan kekal. Kita doa sama-sama ya. Doa je banyak-banyak. Minta je pada Allah, cepat lambat pasti Allah akan kabulkan juga doa kita. Apapun terjadi lepas ni, kita kena sabar.." Nadhila angguk dan senyum.

" Awak dan saya adalah pinjaman dari Allah. Bila Allah nak ambil balik maknanya kita akan berpisah sama ada berpisah hidup atau mati. Jadi, kita sayang biasa-biasa jelah ye. Tak payah sangat-sangat. Sayang seadanya jelah. Kalau tak nanti kecewa. Lepas tu sangka buruk kat Allah pula. Hmm.. Berkat, redha Allah dan doa. Insha Allah.. Apapun setia dan jujur itu amat penting dalam hubungan. Tanpa kejujuran dan kesetiaan sukar dapat kebahagiaan..!" Sambung Nadhila. Mereka senyum bersama. Lega hati Shakil.

"Iya sayangku..! Insha Allah. Terima kasih..!"
Ucap Shakil.

"Macam nilah. Tak apalah, saya terpaksa ketepikan rasa sakit hati saya. Kita kena rahsiakan hubungan kita ni dari pengetahuan Biha dan Abang Dip. Rahsialah selama mana pun. Disebabkan awak bertugas dengan abang, selalu keluar dengan abang dan semestinya akan ada budak penyibuk tu kan. Awak layanlah dia macam biasa. Pandai-pandai awaklah. Saya tak nak, disebabkan Biha, awak dan abang bermasam muka. Kerja dengan kawan yang bermasam muka ni, tak syok.." Nadhila buat keputusan. Tak sampai hati pula Shakil. Berat hatinya.

" Saya tak sampai hati. Mesti awak akan makan hati Dhila..!" Nadhila senyum.

"Tak apa. Dah biasa. Pandai-pandai awaklah, kalau rasa nak layan Biha hanya depan abang, terpulang. Kalau layan selain dari depan abang pun, terpulang. Dan manalah tahu tiba-tiba layan punya layan. Eh.. eh.. Hati awak terpikat pula dekat dia. Nak bertukar cinta dia pula dan tinggalkan saya. Pun terpulanglah..!" Jawab Nadhila jujur.

" Allahuakhbar..! Janganlah fikir sampai macam tu...!" Tak sedap pula hati Shakil dengar. Rasa bersalah pada Nadhila. 


" Hahaahaa.. Hati manusia..! Saya serah jelah pada Allah. Tapi kalau awak betul setia dan jujur pada saya, okey! Kalau tak setia dan tak jujur pun okey jelah..!" Nadhila gelak kecil. Tenang saja wajahnya. Senyum terukir. Tapi dalam hatinya, hanya Allah saja yang tahu.

" Dhila.. Saya minta maaf Dhila. Saya tahu apa awak rasa, saya tak nak jadi zalim. Saya kena beritahu tuan mengenai kita. Akan terus-terang niat saya ni. Saya berkawan dengan awak untuk beri kebahagiaan pada awak bukan menyakiti awak Dhila. Awak sanggup ke buat macam ni sebab nak jaga hati mereka. Saya jadi tersepit antara tuan dan awak kerana Biha. Saya rasa lebih kejam dan zalim dari apa tuan buat pada awak..!" Luah Shakil.

"Tolonglah Sha.. Jangan bagitahu abang dan Biha. Kita rahsiakan dulu. Bila sampai waktunya baru kita berterus-terang. Tak apa Sha, awak tak perlu rasa semua itu sebab ni keputusan saya. Saya yakin kasih sayang awak pada saya..!" Nadhila senyum.

"Tapi Dhila.. Saya tak...!"

" Sha..!!  Awak sayang saya kan.." Nadhila potong cakap Shakil.

" Memang saya sayang awak. Tapi apa yang awak buat ni menyeksa diri awak sendiri.."

" Selagi awak bersama saya, selagi setia dan jujur pada saya dan selagi ada kasih sayang dan cinta awak untuk saya. Selagi tu saya tak kan rasa terseksa demi awak kerana saya tahu. Setiap pengorbanan pasti ada kebahagiaan kelak. Hidup mati kita kerana Allah. Tak bahagia di dunia tapi Insha Allah akan bahagia di akhirat...!" Nadhila senyum.

Shakil merenung ke dalam anak mata Nadhila. Perasaan sangat bersalah menerpa dalam dirinya. Memulakan pemanduan.

Kenapa kau sanggup buat macam ni Dhila. Kau biarkan diri terseksa kerana orang lain? Aku tak kan sia-siakan pengorbananmu ini. Kau insan berhati mulia. Kau kena kuat hadapi segala kemungkinan yang mendatang kerana ini adalah pilihanmu. Bersabarlah dan bertabahlah sayang..!! Aku akan usahakan untuk membahagiakan hidupmu. Kerana kau adalah yang terindah Nadhila. Kata hati Shakil. Terharu dengan sikap Nadhila. Cincin dijari manisnya disentuh, menoleh pada Shakil dan senyum. Pandang semula ke hadapan.

Ya Allah..! Bolehkah aku hadapi segala ini. Bersediakah aku? Kenapa aku boleh buat keputusan tanpa berfikir dulu? Terpaksa biarkan yang tersayang melayani si musuh yang sentiasa menganiayaiku. Musuhku adalah adikku sendiri. Dan, mungkinkah akan terjadinya perebutan pada Shakil antara aku dan Biha? Ya Allah.. Berikanlah aku kekuatan dan tabahkanlah aku.. Berkatilah hubungan percintaan kami ini diatas rahmatMu.

Kata hati Nadhila pula. Memandang semula ke arah Shakil. Senyum.

Andai kau sudah ditakdirkan untukku, aku tak perlu takut pada kemungkinan yang bakal berlaku. Kerana Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untukku dan untuk kamu Shakil.

Previous: Bab 34

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.