Home Novel Fantasi Chimera: Naga Terakhir
Chimera: Naga Terakhir
Hasif Rayyan
2/7/2018 15:48:14
16,418
Kategori: Novel
Genre: Fantasi
Bab 4

Bunyi deringan berkumandang, menyedarkan Saiful dari tidur. Dengan mata tertutup, tangan kirinya melunjur ke tepi bantal, mahu mencapai telefon bimbit.


“Hello...? Ada apa, Mama? Saiful tengah tidurlah,” Dia menjawab, mamai.


“Mama apanya kau ni?!” Saiful dikejutkan dengan suara budak lelaki. Membuatkan mata Saiful segar serta-merta. 


“Weh! Kau dah tidurkah?” 


Saiful meneliti skrin telefon bimbitnya. Tertera nama Zaqwan. Saiful menggaru kepala. 


“Kau tahu tak sekarang ni dah nak pukul 2 pagi? Apa hal kau telefon aku ni?” 


“Aku tak ada masa nak cerita. Kau kena jumpa aku di pantai. Sekarang! Aku tunggu kau di sana!” 


Panggilan mati sejurus selepas itu. 


* * * * * 


‘Apa hal pula suruh aku pergi pantai dalam tengah malam buta macam ni?’ Saiful merungut dalam hati, sambil kakinya ligat mengayuh basikal. 


“Ini kalau Mama dan Papa tahu, mati aku kena bebel.”


Tetapi apabila dia kenangkan nada suara Zaqwan tadi, dengarnya macam ada sesuatu serius yang sedang berlaku di pantai. Namun, apa? 


Beberapa saat kemudian, Saiful tiba di kawasan pantai. Dari jauh, kelihatan garisan cahaya lampu suluh sedang melambai ke arahnya. Saiful mengayuh mendekati cahaya tersebut. Zaqwan berada di situ.


“Lambat!” 


“Sekurangnya aku datang juga!” Saiful menongkat basikalnya.


“Yang kau kalut sangat ni kenapa? Kau jumpa orang buat jenayah di pantaikah?”


“Bukanlah! Tadi takkan kau tak sedar apa-apa?” 


“Sedar apa? Aku tidurlah tadi.”


“Bunyi telefon boleh pula kau dengar, kan?” 


Saiful mencebik. “Eh, banyak cakap pula! Soalan aku pun tak jawab lagi.”   


Zaqwan terdiam. Dari mana dia mahu mula bercerita? 


Perihal gegaran? Ah, itu nanti!


“Sekarang ini, kau ikut saja. Kita kena cepat. Nanti orang lain nampak,” kata Zaqwan, kemudian berlari anak-anak menuju ke kawasan pantai. 


Saiful makin tak faham dengan apa yang sedang berlaku.


* * * * *


Sekarang, akhirnya Saiful memahami juga situasi terkini melalui rumusan yang diceritakan Zaqwan sepanjang mereka berjalan di sekitar pantai, menuju ke arah timur. 


Apa yang sedang berlaku? Tadi ada meteor terhempas.


Kenapa mereka ke pantai? Kerana kata Zaqwan, meteor itu terhempas di sini. 


Kenapa Saiful dipaksa untuk ke sini? 


Entah. Zaqwan takutlah agaknya. Belum pernah lagi ada meteor yang terhempas di Malaysia. Bahkan, di kawasan kampung mereka pula.


“Saiful, itu kan...!” 

 

Saiful meninjau ke depan. Dari jauh kelihatan ada kawah besar di sana. Malah, turut kelihatan beberapa pokok kecil yang terbakar di sekeliling. Patutlah udara rasa panas sejak tadi. 


Mereka berlari anak-anak mendekati kawah. Setiba di situ, mereka mengamati sekitar dasar lubang. Amat luas. Dalam juga. Mungkin lima meter, Saiful mengagak. 


Ketika ini, mereka terlihat ada sesuatu terdampar dan tidak sedarkan diri di dalam. Nafas masing-masing terhenti. 


“Saiful. Kau nampak apa yang aku nampak?” 


“Ada makhluk…?”


“Okey. Nasib baik kau nampak benda sama.” 


Mereka memerhati rupa sang makhluk. Nampak macam biawak baka dwarf dragon. Namun melihat keadaan tubuhnya, itu sudah menimbulkan keanehan buat mereka. 


Saiznya agak besar, menyerupai ketinggian bayi manusia, iaitu 50 cm. Berbentuk humanoid, badannya yang berwarna merah dan hitam diselaputi sisik tebal, turut lengkap dengan sayap kecil yang tampak masih belum matang. 


“Kau rasa, itu makhluk apa?” soal Saiful.


“Jangan-jangan, alien? Nampak macam bukan binatang di Bumi,” Zaqwan meneka.


“Ish, takkanlah!” 


Zaqwan memerhati sejenak pada makhluk itu. Dia kemudian mencapai seketul batu sebesar buku lima di tepi. Apabila tangannya dinaikkan, Saiful segera mencengkam tangan Zaqwan.


“Kau buat apa?” tanya Zaqwan, bingung. 


“Itu soalan aku!” Nada Saiful meninggi. “Kau nak buat apa?!” 


“Aku cuma nak pastikan dia masih hidup atau tidak.”


Saiful segera merampas batu besar itu, kemudian dilemparkan ke arah belakang. “Bodoh! Memanglah dia akan mati kalau kau buat begitu!” 


Saiful membongkok ke hadapan, mengutip seketul batu sebesar setengah jari telunjuk. Seterusnya, dia hulurkan batu itu kepada Zaqwan. “Guna yang ini.”

 

“Hish!” Zaqwan menyengir, bersiap mahu baling. 


“Jangan baling kuat sangat.” 


“Iya!” Zaqwan membalas bengang, kemudian lemparkan batu tepat mengena pada kepala sang alien. 


“HRGHHHH….” Sang alien itu tiba-tiba menggeruh.


Saiful dan Zaqwan segera memeluk sesama sendiri. Gigi mereka berkertak laju. Terbayang kalau mereka bakal dibunuh oleh sang alien selepas bangun nanti. Namun, jangkaan mereka meleset. Ia sekadar menggulungkan tubuh, menyambung tidurnya.


Mereka berdua terduduk longlai, sambil menarik nafas lega. 


“Aku ingat kita dah nak mati tadi…” kata Zaqwan, lemah. 


“Nasib baik tak baling batu besar, kan?” tanya Saiful. 


Zaqwan sekadar mengangguk. “Sekurangnya kita dah tahu ia masih hidup.” 


“Jadi, kita nak buat apa sekarang?” 


“Apa kata kalau kita tolong makhluk tu?” 


“Hah?” Hanya setelah dua saat, mulut Saiful terlopong. “Kau gila?! Kalau dia bunuh kita, macam mana?”


“Tapi, dia nampak kecil lagi. Kasihan pula aku tengok.” 


“Ini bukan soal kasihan. Kalau dia bahayakan kita, macam mana?”

 

Zaqwan tidak jawab. Dia berjalan menghampiri curam kawah. 


Melihat tingkahlaku sahabatnya, Saiful mendapat firasat. 


“Sebab itu, kita kena tengok sendiri macam mana!” Zaqwan membongkok, mahu terjun ke dalam kawah. 


Namun pantas Saiful menarik kolar bajunya. “Nanti! Kau jangan bertindak melulu.” 


“Apa hal kau ni?” 


“Kalau nak turun sekalipun, kena ada tali dulu. Lubang kawah ni kan dalam. Nanti macam mana nak naik semula?” 


“Oh, ha’ah, kan? Macam mana?” Zaqwan memandang Saiful dengan wajah bingung. 


Saiful menepuk dahi. Jelas rakannya langsung tidak mempertimbangkan perihal itu.


“Hish! Kau tunggu di situ! Aku pergi cari tali!” kata Saiful, sedikit bengang, kemudian berlari anak-anak pergi dari situ. 


Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Hasif Rayyan