Home Novel Fantasi Chimera: Naga Terakhir
Chimera: Naga Terakhir
Hasif Rayyan
2/7/2018 15:48:14
16,399
Kategori: Novel
Genre: Fantasi
Bab 3

Lokasi: Balai Cerap Observatori Langkawi

Waktu: 1.30 pagi 

Lama sudah Halim merenung paparan panorama angkasa lepas. Namun, bukanlah dia melihat pemandangan secara langsung. Sekadar tayangan visual yang disiarkan melalui hubungan rangkaian satelit. 


Tenang sahaja. Tiada abnormaliti. Macam biasa.


Dia menguap. Keadaan bilik yang berhawa dingin membuatkan matanya terasa berat hendak dibuka. Namun bukan kerana itu sahaja. Dia bosan. Tetapi, perasaan itu normal. Sekadar suatu reaksi emosi hasil menjalani rutin kerja. Suatu perasaan biasa bagi mereka yang aman hidupnya. 


Halim mengerling pada jam tangan. Masih ada baki sejam setengah sebelum waktu kerjanya tamat. Tetapi dia sudah tidak boleh tahan lagi. Dia bingkas bangkit dari kerusi. Mindanya perlukan stimulan.


“Dah mengantuk?” Suara pemuda menegur dari belakang. Dia menoleh sebaik ditegur, kemudian terbau aroma kopi hangat. Kole berisi kopi O dihulurkan kepadanya. 


“Terima kasih,” ucap Halim, sambil tersenyum nipis kepada rakan sekerjanya. Dia kembali duduk, kemudian meneguk sedikit air kopi. Nafas lega dihembus panjang. Matanya terasa segar sedikit. 


“Bosan, kan?” tanya Faisal, cuba membuka topik perbualan. 


Walaupun Halim lebih tua hampir sedekad darinya, namun Faisal tidak kekok untuk berbual tanpa formaliti. Lagi pula, Halim sendiri tidak selesa diperlakukan sedemikian. 


“Macam itulah, kalau dah namanya kerja...” 


“Kalau dah namanya jadi pegawai.” Faisal menambah, dengan nada merengek.


“Tak payahlah nak terlalu merungut. Gaji kau tetap masuk tiap bulan, kan? Nanti nak cari calon isteri pun senang,” kata Halim, bergurau. Rakannya itu masih muda, baru sahaja hendak menginjak usia 30 tahun. 


Faisal ketawa kecil. “Ke situ pula kau.” Kata Halim tidak dapat dinafikan kebenarannya. “Sebut fasal isteri, keluarga kau masih di kampung, kan?” Dia meneruskan perbualan.


“Ya.” Matanya mengerling ke atas kiri sejenak. “Tengah tidur agaknya sekarang.” 


“Kau kerja di sini. Isteri dan anak kau pula di Kelantan. Kenapa tak bawa mereka pindah ke sini saja?” tanya Faisal, lagi.


“Anak aku, tak lama lagi, dah nak UPSR. Kiranya aku tunggu dia tamat sekolah rendah dululah. Leceh sikit kalau nak pindah sekarang,” kata Halim, kemudian meneguk kopi sehingga tinggal separuh. 


Faisal sekadar mengangguk faham. Kalau hendak berpindah sekolah dalam waktu sebegini, sudah tentulah prosesnya agak melecehkan dan mungkin memakan masa yang lama, lebih-lebih lagi kerana prosedur dokumentasi. 


“Kau tak nak ambil cutikah? Kasihan pula isteri dan anak kau nanti,” kata Faisal, dengan nada mengambil berat.


Halim sekadar berdiam seketika. “Tengoklah dulu macam...” Dia tidak sempat menghabiskan kata-katanya. Bunyi siren tiba-tiba membingit.


Simbol amaran terpapar pada skrin monitor. Tanpa berlengah, Faisal segera kembali ke tempat duduknya.

“Faisal. Laporan.”


“Satelit ada kesan pergerakan objek yang menghala ke sini,” ujar Faisal, sambil jemarinya lincah menari pada papan kekunci. Tidak lama seterusnya, skrin menunjukkan rakaman video di angkasa lepas. 


Kelihatan ada suatu garisan bercahaya yang tampak seperti jejak sedang menyusur pantas ke Bumi. Mata Halim bergerak dari kanan ke kiri, mengikuti arah pergerakan objek tersebut, sehingga terhenti pada suatu bulatan. 


Jari telunjuk Halim dihalakan pada nukleus objek itu. “Kau zum bahagian ini.”


Faisal segera menaip input arahan pada sistem. Skrin monitor kemudian menunjukkan paparan seperti yang diminta. Halim mendekatkan wajahnya pada skrin, memerhati rakaman tersebut. “Itu kan…” Wajahnya berkerut. “Meteoroid?” 


Selalunya meteoroid akan berada di sekeliling objek angkasa lepas, ataupun sekadar bergerak menerusi ruang kosmik. Kalau sehingga boleh masuk ke atmosfera Bumi, kemungkinannya hanyalah dua.


Sama ada meteoroid itu jatuh masuk ke orbit. 


Ataupun ia telah bertembung dengan mana-mana objek di angkasa. 


Tetapi, itu membingungkan Halim. 


Rakaman video tidak mengesan sebarang objek yang berpotensi menjadi punca ia bergerak menghampiri Bumi. Malah, kalau diperhatikan hujung selar cahaya, pergerakan meteoroid itu tidak bermula dari lingkaran asteroid. Tetapi, garisannya bermula benar-benar hampir dengan orbit Bumi. Seolah-olah ia terus muncul di situ. 


“Faisal. Kau anggarkan trajektori komet tadi. Cari koordinatnya,” pinta Halim. 


Sistem komputer menjalani proses analisis. Data yang dipinta muncul berselang-seli pada skrin. “Latitud 5.8625, longitud 102.5163. Tempatnya…” 


Faisal membuka aplikasi peta dunia, cuba menjejaki lokasi tersebut. Seketika kemudian, maklumatnya muncul. Halim mendekatkan wajah ke skrin.


“Pantai Bisikan Bayu, Kelantan.” 


Mata Halim membulat.


Dekat kampung aku?


Wajah isteri dan anak lelakinya segera terbias dalam minda Halim.

* * * * * * *

Lokasi: Kampung Dalam Rhu, Kelantan

Waktu: 1.45 pagi

Sudah sejam Zaqwan terbaring pada katil. Namun, entah kenapa dia sukar tidur. Sekalipun biliknya sudah gelap dan disejukkan alat penghawa dingin. Berulang kali dia pusingkan badan. Namun matanya tetap tidak mengantuk. 


Zaqwan menghembus nafas berat. Kali ini, dia mengalah. Tubuhnya bangkit, cuba mencapai telefon pintar di meja tepi katil. 


Namun geraknya terhenti. Tiba-tiba ada cahaya membias terang dari tingkap bilik. Pelik, Zaqwan berjalan menghampirinya, menyelak tirai langsir. Ketika dia mendongak ke langit, nafas Zaqwan terhenti sejenak. Ada garisan cahaya putih yang pantas menuruni langit, menuju ke arah barat laut. 


“Tahi bintang?” Setelah itu, ia menghilang di balik langit. Ketika Zaqwan mencari di mana hilangnya meteor itu, dia dikejutkan dengan kemunculan cahaya putih yang menyala dari arah yang sama. 


Bunyi hempasan kedengaran samar-samar, disusuli gegaran kecil yang turut menggoncangkan bilik Zaqwan. Dia jatuh terduduk, memerhatikan barangan dalam sekitar bilik yang bergoyang sambil menahan rasa gentar. Sesudah beberapa saat, gegaran kian reda. 


Nafas Zaqwan yang tercungap-cungap tadi kembali tenang. Mujur saja tiada barangan yang jatuh. 


Tiba-tiba, bunyi telefon rumah kedengaran dari luar bilik. Zaqwan mahu menjawab, tetapi setibanya saja di muka pintu, lampu ruang tamu menyala. 


“Hello?” Telefon rumah juga sudah diangkat.


Zaqwan membuka pintu, mendapati ibunya, Puan Suzanna sedang bercakap dengan seseorang. 


“Ya, bang. Saya dan Zaqwan baik-baik saja,” Sekilas Puan Suzanna memandang ke arah Zaqwan.


Papa? Zaqwan menggerakkan mulut tanpa suara.


Ibunya mengangguk, kemudian menyambung semula perbualan dengan ayahnya, “Oh yakah? Patutlah tiba-tiba saja bergegar tadi. Nasib baik tak kuat,” kata Puan Suzanna, sambil menghembus nafas lega.


Ketika ini, fikiran Zaqwan terkenangkan tahi bintang tadi. 


Kalau ikut arah meteor itu jatuh, ia pastinya berhampiran pantai. 


“Iya, saya pergi periksa kawasan rumah dulu. Nanti apa-apa hal, saya telefon awak, ya?” kata Puan Suzanna, kemudian mengangguk berkali-kali. Akhir sekali, dia mengucap salam sebelum meletakkan gagang telefon.


“Mama.”


Puan Suzanna berpaling. “Ada apa?” 


“Zaqwan nak ke rumah Saiful, boleh? Zaqwan risau.”


“Kenapa pula?”


“Eh? Mama tak ingatkah? Saiful seorang saja di rumah sekarang!”


Mata Puan Suzanna berkelip dua kali. “Oh ya tak ya,” Dia baru teringat. 


Ibu bapa Saiful sekarang tiada di rumah. Mereka ke Kuala Lumpur petang tadi, ada urusan kerja. Katanya akan pulang dalam lima hari lagi.


Sekalipun begitu, Puan Suzanna tetap khuatir. “Tapi, takkanlah Zaqwan pergi seorang saja. Sekarang sudah pukul berapa? Mama ikut sekalilah kalau begitu…!” 


“Eh! Tak apa!” Zaqwan menolak. “Zaqwan kayuh basikal sajalah. Bukan tadi Mama kata nak periksa rumahkah?” 


Agak lama Zaqwan menunggu jawapan ibunya. Namun, akhirnya, Puan Suzanna menghembus nafas berat. “Yalah, yalah. Zaqwan pergilah. Tapi, balik cepat, tahu?” Walaupun dari raut wajahnya jelas masih keberatan.


“Okey,” Zaqwan mengangguk. Usai mencium tangan ibunya, dia berjalan ke muka pintu. Selesai menutup pintu, Zaqwan menarik nafas lega, “Fuh, selamat!” Dia berbisik pada diri. 


Zaqwan mengambil basikal di garaj. Pedal dikayuh laju, bergerak keluar dari perkarangan hendak ke rumah Saiful. 


Eh, bukan.


Ke pantai. 

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Hasif Rayyan
© Copyright Portal Ilham. Hakcipta terpelihara Portal Ilham