Bab 19

BAB 19

LAMA dia menatap wajahku yang sudah basah dek air mata yang berjuraian tadi. Aku menundukkan wajah dan mengesat sisa air mata yang masih mengalir. Luqman menarik kerusinya merapatiku. Aku hanya membatu, sedikit pun tidak bergerak mahupun bersuara.

"Alyna...," suaranya perlahan memanggil sebutir nama aku itu. Aku hanya bermain dengan jari jemari cuba menahan esakan, tidak mahu menangis lagi. Sudahlah ramai tadi yang menyaksikan drama air mata yang dilakonkan oleh aku dan Luqman tadi. Perasaan malu mula menyerbu diriku.

"Alyna... abang minta maaf. Abang tahu kata-kata abang tadi menyinggung perasaan Aly. Abang minta maaf. Abang tak ada niat nak cakap macam tu sebenarnya. Maksud abang adalah, sekiranya abang sibuk dengan kerja dan tak sempat untuk bersama dengan Aly, macam mana keadaan Aly sekiranya keluar bersendirian? Hmm?" Lembut saja dia menutur kata sambil meletakkan lengannya di belakang bibir kerusiku dan menundukkan sedikit pandangannya selaras dengan wajahku.

"Sebelum berjumpa dengan abang, Aly hidup bersendirian, abang.Aly boleh jaga diri Aly sendiri. Abang tak perlu risau."

Dia terdiam seketika sebelum bersuara kembali.

"Boleh jaga diri? Pasti?" soalnya seperti tidak percaya dengan aku. Aku sekadar menganggukkan kepala walhal aku sendiri tak pasti dengan diri sendiri, mampukah aku menjaga diri aku sendiri. Baru saja tadi aku diterjah oleh seorang lelaki yang sama dan mengugut aku. Perlukah aku memberitahu Luqman? Tapi aku serba salah, dia mesti letih dengan kerjanya, kalau aku beritahu tentang kejadian tadi pasti dia bertambah risau dengan aku.

"Tak apalah. Abang tak nak saratkan fikiran Aly dengan pelbagai masalah. Abang hantar Aly balik."

Aku sekadar menganggukkan kepala lantas mengangkat punggung, jalan beriringan dengan Luqman menuju ke keretanya.

Aku perasan susuk tubuh seseorang sedang berdiri tidak jauh dari kereta Luqman, serba-serbi hitam kemudiannya dia melangkah pergi dari situ. Aku memandang ke arah Luqman, malangnya dia seperti tidak nampak dan terus masuk ke dalam kereta tanpa pandang suasana sekeliling. Aku melepaskan keluhan kecil kemudian melepasi tubuh masuk ke dalam keretanya. Sepanjang perjalanan aku hanya mendiamkan diri sambil membuang pandangan ke luar tingkap. Fikiran aku sarat dengan masalah baru yang aku hadapi ini.

Pelbagai situasi yang aku hadapi sekarang ini. Waktu dulunya, masalah aku adalah ayah dan ibu yang sukar untuk memahami aku tetapi kali ini masalah sangat menyaratkan kepala otak aku. Siapa yang cuba mengganggu kehidupan aku? Kenapa orang itu asyik ugut dan mengatakan aku sentiasa dalam pemerhatian dia?

Siapa dia?

*****

HARI ini adalah hari terakhir aku menjawab kertas peperiksaan percubaan. Aku menghela nafas panjang untuk melepaskan keresahan yang terbuku di dada. Aku harap keputusan percubaan aku ini mampu membuka mata ibu dan ayah. Penat lelah aku ketepikan saat peperiksaan menjelang. Aku tak pernah berhenti mengulang kaji walaupun kadangkala Luqman sibuk dengan pekerjaannya.

"Alyna... macam mana soalan tadi, kau boleh jawab ke?"

Terkejut aku apabila suara seseorang betul-betul di belakang aku, lantas aku memalingkan tubuh ke belakang dengan senyuman.

"Alhamdullilah, boleh." Angguk aku. Firdan turut menganggukkan kepala.

"Aku harap suatu hari nanti kau berjaya dan kau tak jadi sombong dan bongkak," pesannya kepada aku. Aku terasa sikit dengan dua perkataan yang terkeluar dari mulutnya itu. Perkataan itu sepertinya ditujukan untuk seseorang tetapi aku membuang perasaan sangka buruk aku itu jauh-jauh.

"Awak nak pergi makmal ke?" soal aku sambil berjalan beriringan dengannya.

"Ya. Saja nak lepak. Aku ni mana ada kawan dekat sini. Semuanya sombong-bongkak. Sini semuanya pelajar pandai-pandai. Bukan macam aku," balasnya. Aku hanya mengoyakkan senyuman nipis.

"Termasuk saya?" Sengaja aku mengujinya. Mahu tahu apa yang dia nampak pada diri aku ini.

"Kau..." Dia menggelengkan kepala.

"Kau jelah yang sudi bercakap dengan aku, berjalan dengan aku dan berkongsi ilmu dengan aku walaupun aku yang sepatutnya ajar kau memandangkan aku senior kau. Sepatutnya aku dah habis belajar, tapi tulah..." Dia berjeda saat kami melangkah masuk ke dalam makmal. Kelihatan Luqman sedang membetulkan spek petaknya sambil membaca artikel.

"Hai Prof," sapa aku dengan senyuman lebar. Luqman mendongak dan menarik spek petaknya, diletakkan di atas meja. Dia membalas senyuman aku.

"Macam mana? Okey soalan dalam peperiksaan?"

Serentak aku dan Firdan menganggukkan kepala.

"Baguslah kalau macam tu. Firdan, saya harap awak akan lepasi ke peringkat latihan industri selama tiga bulan kemudian graduasi. Jangan ulang lagi dah. Awak bukannya tak pandai, awak jauh lebih baik dari orang lain."

Firdan menganggukkan kepalanya. Aku teringin nak tahu, kenapa Firdan perlu mengulang semula semester sedangkan dia seorang pelajar yang pandai tak seperti aku.

*****

"ALYNA...," panggil Luqman sebaik saja Firdan meminta diri untuk pulang ke rumah apabila jarum jam menunjukkan pada angka 3 petang.

"Ya?" Aku menutup novel aku dan menoleh memandang wajahnya.

"Novel apa Alyna baca tu? Bukan main khusyuk..." Aku tersengih.

"Novel pasal cinta dan ada juga unsur aksi dalam ni." Dia menganggukkan kepala.

"Lepas ni, Alyna kena terus mengulang kaji, okey? Seminggu ni berehatlah dulu tapi jangan lupa nota-nota penting yang dah tersimpan kemas dalam otak tu," pesannya.

"Baik Prof!"

Kami berdua serentak tertawa kecil.

"Tiga hari ni, abang ada banyak masa terluang. Abang nak bawa Aly ke satu tempat yang boleh menenangkan fikiran dan jiwa. Aly nak pergi?"

Aku tersenyum lebar lalu menganggukkan kepala. Siapa yang tak nak? Dahlah rindu lama tak berjalan-jalan dengannya.

"Terima kasih abang... Aly, tak tahu nak balas jasa abang macam mana. Aly nak minta maaf dengan sekiranya kata-kata Aly dulu pernah menyinggung perasaan abang sewaktu kita baru-baru berjumpa."

Dia hanya tersenyum kemudiannya menggelengkan kepala.

"Tak apalah, Aly. Abang pun ada sakitkan hati, Aly. Abang pun nak minta maaf. Abang dah anggap Aly macam adik abang sendiri."

Aku mengangguk dan tersenyum.

Adik?

Dia hanya menganggap aku sebagai adik, tapi aku?

Aku...

Hati aku sudah mula menyayangi dia sebagai seorang insan yang penting dalam hidup aku. Lebih dari seorang abang.

Ya. Aku cintakan dia. Aku mengaku tetapi macam mana aku nak luahkan perasaan tu lebih-lebih lagi dia hanya menganggap aku seperti adiknya.

Adakah selama ini aku hanya bertepuk sebelah tangan?



Previous: Bab 18
Next: Bab 20

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.