Bab 15

BAB 15

SUDAH masuk dua bulan setengah aku menjadi protoge kepada Luqman. Sudah beberapa kali dia mengadakan ujian untuk mengetahui setakat mana kemahiran aku mengikut topik yang diajar. Keputusan aku semakin memberangsangkan. Aku memperolehi 80% sehingga 85% untuk ujian-ujian yang diberikan oleh Luqman. Tatkala mendapat markah sebegitu, diri aku seolah-olah terasa bermimpi.

"Okey, Alyna. Prestasi awak semakin mengagumkan. Saya kagum dengan sifat usaha awak yang bersungguh-sungguh itu. Kekalkan prestasi ini sehingga ujian semester awak, ya."

Aku menganggukkan kepala dengan senyuman yang semakin melebar.

"Jadi, hari ini saya beri awak rehat satu hari saja tapi..." Perkataan 'tapi' itu membuatkan kegembiraan aku terbantut.

"Saya kena ikut sekali..." Dia mengenyitkan matanya ke arah aku, jantung aku tika itu bagaikan dipanah dengan anak panah berbentuk hati. Uish! Berangan lebih!

"Okey je!" Aku tersengih. Dia menanggalkan kot putihnya lalu digantung pada kerusi kerjanya. Dua keping seperti tiket diletakkan di atas meja kemudian ditolak ke arah aku.

"Apa ni?" soal aku.

"Abang dapat dua tiket percuma dari taman tema salji tu."

Aku memandang wajahnya seolah-olah tidak percaya. Taman tema inilah yang nak sangat pergi. Kalau ajak ayah memang sampai bila-bila tak akan pergi. Taman tema ni baru saja buka beberapa bulan yang lepas.

"Seriuslah!" tanya aku dengan nada teruja. Dia tertawa sambil menganggukkan kepala.

"Ya. Betullah. Tak akan nak main-main pula. Kita terus pergi, eh?"

Laju aku menganggukkan kepala.

"Jom!" Aku bangun lantas menanggalkan kot putih dan digantung di dalam almari disediakan di dalam makmal. Luqman menyeluk kedua-dua belah tangannya ke dalam poket seluar dan mengekori langkahku dari belakang.

*****

BEBERAPA minit kemudian, kami sampai di hadapan pintu masuk taman tema itu. Agak ramai juga pengunjung yang hadir pada hari ini. Luqman menyarungkan kot labuh berwarna coklat kehitaman pada tubuhnya.

"Pakai kot tebal ni sebab dalam taman tema tu sejuk, seperti di musim salji," arahnya sambil memberikan sehelai kot labuh berwarna coklat hazel. Aku menganggukkan kepala dan menyarungkan kot itu pada tubuh.

Luqman tersenyum memandang aku lalu dia menarik lengan aku lembut, melangkah masuk ke dalam taman tema itu. Sebaik saja masuk, terasa suhu taman tema ini berlainan dengan suhu di luar. Dari terasa panas tiba-tiba tubuhku terasa sejuk. Angin turut terasa dingin.

"Nak main salji?" soalnya.

Aku laju menganggukkan kepala dan dengan beiringan kami berjalan kaki masuk ke dalam satu bangunan yang besar bagaikan istana. Bangunan itu dipanggil 'rumah salji'.

"Alyna!" panggilnya dan aku terus menoleh memandang ke arahnya.

BUK!

Aku tergamam dan mata terpejam saat Luqman membaling bebola salji yang dihasilkan tadi tepat mengenai muka aku. Bibir aku ketap perlahan dan mencelikkan mata semula.

"Sejuk?" soalnya dengan nada mengejek.

Lantas aku menghasil bebola salji besar sedikit daripadanya kemudian mengejar dia. Kami berlari sekeliling rumah salji itu tanpa menghiraukan pengunjung yang lain. Bagaikan kami berada di dunia kami sendiri.

Hanya dia dan aku.

Aku terasa sangat gembira yang tak dapat aku ungkapkan. Aku memandang wajah Luqman yang sedang tersenyum lebar sambil mengumpal salji untuk dibuat bebola. Tanpa sedar, bibirku mengukirkan senyuman yang aku sendiri tidak tahu bagaimana mahu diterangkan.

"Alyna!" jerit Luqman lalu menarik pinggang aku, menarik aku dari jatuh ke belakang. Aku tergamam. Senyuman tadi terus terpadam.

"Hati-hati, Alyna! Nasib baik Alyna tak tertimbus dengan salji tu kalau Alyna tak bersedia tadi," katanya.

Aku menelan air liur perlahan sambil ekor mata melihat timbunan salji yang turun bagaikan air terjun dari sebuah baldi yang sangat besar tergantung di siling.

"Maaf...," ucapku sambil menundukkan kepala.

"Tak apa. Lain kali awas dengan keadaan sekeliling. Kalau abang tak ada, macam mana?" Soalannya membuatkan aku terkedu seketika. Tak lama itu, terasa deruan nafasnya sangat dekat, menampar wajahku. Rupanya kami masih dalam posisi seperti tadi. Perlahan aku menggerakkan badan untuk mengundur beberapa tapak.

"Maaf...," ucapku sekali lagi. Aku sendiri pun tak tahu kenapa mulut aku ini asyik nak ungkapkan perkataan yang sama.

"Dah, jom kita pergi makan. Lapar tak?" ajaknya sambil menarik lenganku. Aku mendongakkan kepala dan tersenyum kecil.

"Kita pergi makan!" soraknya gembira mengundang tawa dari aku. Sungguh aku tak pernah jangka, pertemuan aku dengan dia seindah ini. Walaupun, pada mulanya hati aku sakit setiap kali mendengar sindirannya, tapi kini dialah teman aku yang paling rapat.

"Alyna.... Ooh... Alyna...," panggilnya sambil melambai-lambaikan tangannya di hadapan aku.

"Aduh!" Aku memegang wajahku saat aku tergigit lidah sendiri secara tiba-tiba. Luqman terus menghentikan langkahnya dan berdiri di hadapanku.

"Kenapa?" soalnya dengan nada risau. Aku tertunduk malu apabila melihat wajahnya yang begitu dekat.'

"Alyna?" Sekali lagi dia memanggil namaku.

"Ya... Haa... tak ada apa-apa. Tergigit lidah je...," jawabku. Dia menggelengkan kepala.

"Nasib baik tak ada apa-apa. Kalau tergigit terus terputus macam mana?" selorohnya. Aku menjengilkan mata dan terus melangkah ke hadapan meninggalkannya.

"Eh! Alyna! Alyna!"

Aku melajukan lagi langkahku dan pada masa yang sama aku melepaskan tawa.

"Oh! Kenakan abang!"

Aku menjelirkan lidah dan berlari meninggalkannya. Dari belakang Luqman mengejar aku.

"Ahhh!"

"Gotcha!"

Kami berdua serentak tergamam apabila Luqman memeluk tubuh aku dan mata kami bertaut dengan jarak yang sangat dekat. Aku seakan-akan lupa siapa diri aku dan dia. Aku hanya anak muridnya dan dia adalah guru yang sudi mengajar aku. Kalau orang lain nampak, semestinya namanya menjadi buruk. Segera aku menolak perlahan tubuhnya dan berdiri stabil.

"Maaf. Abang tak sengaja...," ucapnya sambil mengusap tengkuk belakang. Aku hanya menganggukkan kepala sambil tersenyum kecil.

Aku melangkah sekitar rumah salji itu, mengamati suasana yang cantik dan dingin itu. Luqman pula masih tercegat di situ tanpa ada tanda-tanda mahu mengekori aku.

Anak mata seorang lelaki yang memakai kot coklat kehitaman itu, merenung lama ke arah satu susuk tubuh seorang gadis yang sedang berjalan mengamati suasana sekeliling. Pandangannya dipakukan lama pada gadis itu tanpa berkelip.

'Nur Alyna... seorang gadis yang berjaya mencuit hati aku. Sepanjang aku hidup, inilah kali pertama aku merasai perasaan aneh ini. Perasaan apa? Aku sendiri tak boleh nak terangkan. Pada mulanya dia hanya anak murid dan aku hanya guru bimbingannya. Tapi, perasaan ini hadir tidak mengenal usia atau apa-apa. Sekiranya aku dan dia sama-sama gapai perasaan itu, akan aku jaga dan lindunginya dengan seluruh jiwa dan ragaku,' getus hati Luqman.


Previous: Bab 14
Next: Bab 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.