Bab 18

BAB 18

SUDAH beberapa hari ini, aku tak nampak kelibat Luqman. Tak tahu ke mana dia pergi. Dia cakap dengan aku, dia sibuk menguruskan kajian di Pusat Makmal Negara tapi yang hairannya, takkanlah sibuk sampai telefon pun dimatikan. Mesej aku tak balas dan panggilan aku langsung tak angkat. Bila aku tanya Firdan, dia sendiri pun tak tahu.

Malam ini, aku keluar sendirian tidak tahu ke mana dengan hanya berjalan kaki. Ibu dan ayah seperti biasa, sibuk dengan tugas masing-masing. Kak Mutiara pula di rumah sibuk dengan tugasnya sebagai pembantu rumah.

Mana Luqman pergi menghilangkan diri? Entah kenapa perasaan bernama rindu itu membuak-buak di dalam diriku. Aku rindu akan seorang lelaki yang selalu bersamaku kebiasaannya tetapi sudah beberapa hari ini dia tiada bersama aku membuatkan aku sangat merinduinya. Salahkah aku seorang gadis yang mempunyai perasaan itu pada seorang lelaki yang merupakan pensyarah aku sendiri?

Aku terus berjalan dan berjalan sambil pandangan meliar ke suasana sekitar bandar itu.

"Arghh!"

Jerit aku apabila ada seseorang merentap pergelangan tangan aku dari belakang dan menarik aku ke lorong sempit yang agak gelap dan berbau busuk. Tangannya pula menekup mulutku agar aku tidak membuat sebarang bunyi bising yang boleh menarik perhatian orang lain.

"Aku nak kau dengar! Disebabkan bapak kaulah, aku jadi macam ni! Kalau dia tolong aku, aku takkan jadi macam ni kalau dia bantu aku masa tu! Aku menyesal tolong dia dulu! Menyesal!" tengking dia di hadapan aku. Aku hanya mampu mengalirkan air mata memandangkan mulut aku ditekup kuat olehnya.

"Aku nak dia rasa apa yang aku rasa selama ni! Sepatutnya aku dah berjaya diserap masuk ke dalam hospital tempat dia bekerja tetapi disebabkan dia tak nak tolong aku! Semua impian aku ranap!"

Aku memejamkan mata apabila dia menghamburkan segala kata makiannya ke arah aku. Sebilah pisau belati diacukan di bawah leher aku. Air liur aku telan rakus apabila terasa ketajaman mata pisau di bawah leher.

"Hmphh... tolong... hmphhh..." Aku cuba meronta-ronta kecil supaya dia melepaskan aku. Semakin kau dia mencengkam pergelangan tangan aku membuatkau aku terhenti dari rontaan.

"Kau nak lari mana, huh? Kau takkan dapat lari mana-mana!" herdik dia betul-betul di hadapan muka aku.

"Lepaskan dia," arah seseorang yang sedang berdiri di belakangnya. Situasi ini sama seperti dengan situasi lalu. Adakah orang yang ada di hadapan aku ini orang yang sama? Kenapa dia begitu berdendam dengan ayah?

"Lepaskan dia, aku cakap. Kenapa kau nak sentuh dia? Hmm?" tanya gerangan itu sambil menyelukkan kedua-dua belah tangannya ke dalam poket.

"Ini bukan urusan kau! Jangan nak masuk campur! Kau tak tahu apa-apa!" marah dia.

"Dengan membunuh dapat memuaskan hati kau dan kau akan dapat semua tu balik ke? Macam tu?" Sinis dia menyoal.

"Argh! Kau boleh blah tak?! Kau siapa?" Dia mengalihkan tangannya dari menutup mulut aku tetapi cengkaman pada pergelangan tangan masih terasa. Sakit dan pedih, terpaksa aku menahannya.

"Kalau kau usik sesiapa pun akan tetap aku halang. Kau nak jadi pembunuh ke? Kau suka orang ramai pandang kau dan panggil kau dengan gelaran 'pembunuh'?" sindir si dia.

Lelaki di hadapan aku ini mendengus kasar lalu menyerang gerangan itu, meninggalkan aku yang tersandar pada dinding. Pergelangan tangan aku yang terasa perit aku usap perlahan. Segera aku bersembunyi di sebalik dinding apabila melihat mereka bergelut sesama sendiri dengan pisau belati itu masih digenggam oleh lelaki tadi.

"Urgh!" Lelaki itu terbaring apabila pisau itu berjaya ditepis kuat dan tercampak ke tepi.

"Arghhh!" Lelaki itu menendang perut si gerangan itu lalu lintang-pukang melarikan diri.

"Bodoh," gumamnya perlahan tetapi aku masih dapat mendengarnya dengan jelas memandangkan suasana sunyi.

Dia terus bangun dan melangkah tanpa cuba mencari aku di mana.

*****

SEKARANG aku berada di tepi kaki lima deretan kedai-kedai, mengekori langkah si gerangan itu tadi secara senyap. Aku dapat menjejaknya dan di hadapan aku sekarang merupakan sebuah bangunan kafe dan bar yang terkenal di kawasan tempat tinggal aku ini.

Perlahan aku melangkah masuk ke dalam kafe itu dan meliar mencari kelibat gerangan tadi namun hampa. Sepantas kilat dia sudah menghilangkan diri tanpa sempat aku mengetahui identitinya.

Aku mengeluh kecil lalu menapak ke peti sejuk yang terisi dengan pelbagai jenis air tin minuman.

Satu tin air Nescafe Latte aku ambil lalu membuat pembayaran di kaunter, tak lama itu telefon aku berdering nyaring. Segera aku mengeluarkannya dari poket seluar dan melihat nama yang tertera. Membulat mata aku membaca nama itu.

Abang Luqman call!

Segera aku meleret butang hijau ke tepi dan melekapkan iPhone pada telinga.

"Hello! Abang! Abang dekat mana? Kenapa baru hari ni nak call? Mana abang menghilang?" soal aku bertubi-tubi tanpa memberi dia peluang untuk menjawab soalan aku satu per satu.

"Alyna dekat mana?" soalnya dengan nada serius. Tak pernah lagi aku mendengar nada suaranya begini.

"Kat kafe seberang jalan...," jawab aku terketar-ketar.

"Abang tunggu luar. Lagi 10 minit," beritahunya kemudian talian terus dimatikan tanpa sempat aku menjawab apa-apa.

Segera aku berlari anak keluar dari kafe itu dan mata meliar mencari kelibat Luqman. Tak lama kemudian, satu susuk tubuh yang sangat aku kenal menghampiri ke arah aku dengan wajahnya yang kelihatan lesu dan sembap seperti sudah beberapa hari tidak tidur.

"Abang?" soal aku.

Dia hanya mengukirkan senyuman kecil dan menarik lengan aku, mengekorinya ke sebuah kedai makan tidak jauh dari situ.

*****

"KENAPA Alyna keluar malam-malam macam ni? Bahaya tahu tak? Mujur kawan abang nampak Alyna merayau, kalau tak abang tak tahu."

Aku hanya menundukkan wajah dan bermain dengan jari-jemari sendiri.

"Aly bosan. Sejak abang sibuk dengan kajian tu, hidup Aly terasa sunyi. Biasanya abang selalu hiburkan hati Aly," balas aku dengan nada suara sedih. Terdengar dia menghelakan nafas panjang.

"Aly... macam mana kalau abang tak ada? Takkan Aly nak bergantung pada abang saja? Aly kena isi masa lapang Aly dengan pekara yang berfaedah," kata-katanya membuatkan aku mengalirkan air mata, mendongak perlahan memandangnya dengan mata berkaca.

"Abang nak pergi mana, hmm? Abang nak tinggalkan Aly macam tu je? Sebab apa? Apa salah Aly?" soal aku dengan nada suara bergetar.

"Alyna..."

Aku pantas menggelengkan kepala.

"Tak apalah. Aly tahu, Aly sedar siapa diri Aly. Aly tak berhak nak halang abang pergi mana-mana... Aly tak berhak tahu ke mana abang nak pergi..." Aku bingkas bangun lalu keluar dari kafe itu dengan linangan air mata yang sudah berjuraian membasahi pipi.

"Alyna!"

Aku terus berjalan dengan laju tanpa menoleh saat namaku dilaungkan.

"Alyna! Stop!" Dia menarik lengan aku, sekali gus tubuhku berpusing menghadapnya cuma pandangan aku dialihkan ke tempat lain. Tidak mahu memandangnya.

"Alyna...," panggil dia lembut. Di situ juga, aku menghamburkan tangisan teresak-esak.

"Apa salah Alyna? Kenapa semua orang mesti tinggalkan, Alyna? Kenapa semua orang tak prihatin dengan apa yang Alyna buat? Kenapa? Kenapa Alyna perlu hadap semua ni?" soal aku bertubi-tubi sambil teresak-esak.

Tidak dapat aku menahan sebak yang terbuku di dada lagi. 



Previous: Bab 17
Next: Bab 19

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.