Bab 12

BAB 12

"APA?" Dari duduk di sofa, aku terus mendadak bangun saat mendengar kata-kata ayah yang sungguh tidak masuk akal itu.

"Kahwin? Dengan anak kawan ayah? Ayah dah kenapa? Aly belum habis belajar lagi! Dan Aly tak bersedia nak berkahwin!" bantah aku sebulat-bulatnya. Ayah berdengus kuat lalu berdiri memeluk tubuh. Ibu pula masih duduk di sofa. Kak Mutiara hanya memerhatikan kami di sebalik dinding dapur.

"Ya! Kahwin dengan anak kawan aku! Kau tahu tak aku malu dengan perangai kau ni! Kawan-kawan aku semua nampak yang kau keluar berdua setiap hari dengan lelaki berlagak professor tu!"

Aku terkesima. Adakah sebab itu saja ayah nak aku berkahwin dengan anak kawannya? Nonsense!

"Ayah! Aly mohon sangat-sangat. Jangan buat Aly macam ni. Aly keluar dengan dia untuk menimba ilmu. Ayah juga yang dah bagi keizinan. Apa semua ni, ayah? Ibu? Apa ni? Aly muda lagi, tak bersedia nak masuk ke alam perkahwinan. Aly takut Aly tak boleh laksanakan tanggungjawab sebagai seorang isteri. Aly ada matlamat hidup Aly sendiri, ayah, ibu. Please... don't do this to me...," rayu aku bersungguh-sungguh.

"No! Keputusan ayah muktamad. Keluarga sebelah sana pun dah bersetuju. Lepas kau habis exam diaorang akan masuk meminang kau! Aku tak nak lepas kau dah habis belajar nanti, kau masih nak berkepit dengan lelaki tu! Aku tak berminat langsung kau tahu tak!" suara ayah semakin lama semakin mendatar. Air mata aku sudah tak dapat ditahan lagi. Perlahan menitis ke pipi.

"Ayah, sampai hati ayah buat Aly macam ni. Ibu? Ibu biar je Aly kena macam ni dengan ayah. Apa salah Aly? Aly bodoh sangat ke? Bebal sangat ke Aly ni sampai ibu dan ayah buat macam ni dekat Aly," rintih aku tidak dapat lagi menahan sebak di dada. Saat ini aku hanya memerlukan Luqman untuk meluahkan perasaan aku.

"Tak payah kau nak buat ayat simpati. Aku cakap keputusan aku muktamad. Noktah. Tak ada yang membantah."

Ayah dan ibu terus masuk ke dalam bilik tanpa hiraukan tangisan luluhan hati aku. Aku terduduk di atas karpet sambil menangis teresak-esak.

Terketar-ketar tangan aku mencapai iPhone dari dalam beg tangan dan mencari nombor Luqman.

"Hello...," sapa Luqman sebaik saja dia mengangkat panggilan aku.

"Abang... tolong Aly...," esak aku.

"Alyna... kenapa ni?" soalnya dengan nada risau.

"Ayah... ibu..." Tersedu-sedan aku mahu bercerita.

"Nak abang ambil ke?"

"Tak apa... abang... sekejap... Aly nak masuk bilik."

Dia hanya mengiyakan dan aku membiarkan talian itu, perlahan mendaki anak tangga satu per satu masuk ke dalam bilik.

Aku meniarap di atas katil dan terus menceritakan hal tadi kepada Luqman.

"Sampai macam tu sekali?"

"Ya abang... Aly tak nak... Aly nak belajar dulu. Aly masih ada semangat lagi nak belajar. Aly tak nak kahwin dulu... macam mana ni abang...?" teresak-esak aku menangis. Aku tak tahu nak minta tolong siapa lagi.

"Abang tak mampu nak tolong Aly apa-apa. Abang hanya mampu teman dan dengar masalah Aly. Kalau abang ikut campur, abang takut ayah Aly akan membesarkan lagi hal yang lain," ujarnya dengan nada simpati.

"Tak apa, abang. Maafkan Aly sebab libatkan abang dalam masalah Aly. Terima kasih sebab sudi menjadi pendengar setia masalah Aly," ucapku perlahan.

"Tak apa, Aly. Abang faham. Sudahlah jangan menangis, nanti sakit. Aly pergi rehat, tenangkan diri. Tidur. Esok kita jumpa okey?"

Aku melepaskan keluhan kecil sambil mengesat sisa air mata yang mengalir.

"Baik abang, jumpa besok. Bye."

Kami mematikan talian, kemudian aku rebah di atas katil. Lengan aku letakkan di atas dahi dan iPhone dicampak ke katil.

Siapa lelaki yang baik sangat setuju nak berkahwin dengan aku tu? Dah lah tak kenal, tiba-tiba dah setuju. Entah siapa-siapa lah yang nak jadi suami aku tu. Umur entah berapa? Kerja apa? Asal usul dari mana? Main pakai bedal saja ayah ni setuju. Asal boleh saja. Dia ingat anak dia ni apa, boneka? Boleh campak sesuka hati dekat siapa-siapa.

Ayah berubah sampai macam tu sekali, belum lagi dinaikkan pangkat professor. Aku dengar hari itu, ibu dan ayah bercakap mengenai pangkat mereka di meja makan. Tak lama lagi, ayah akan mendapat gelaran professor setelah lama berusaha untuk mendapatkan gelaran itu. Ibu pula sudah lama memegang gelaran itu sewaktu aku di alam sekolah rendah tetapi mereka dah biasa memanggil ibu dengan gelaran doktor bukan professor.

Beberapa kali aku meraup wajah aku sambil menghelakan nafas berat. Aku tak nak kahwin! Tolonglah! Aku suka orang lain! Dan aku tak kenal pun siapa dia yang nak jadi suami aku tu!

Nak saja aku jerit sampai satu dunia dengar. Biar semua orang dengar luahan isi hati aku macam mana saat ini. Siapa aje yang suka bila perkahwinan diaturkan oleh keluarga? Lainlah kalau aku kenal lelaki tu, bolehlah aku pertimbangkan lagi. Ini tidak, kenal pun tak, apatah lagi jumpa! Langsung tak pernah.

Kalau Luqman yang jadi suami aku... tak apalah juga kan? Ya Allah, sampai ke situ pula fikiran aku. Baik aku tidur daripada fikir yang bukan-bukan. Esok nak menimba ilmu lagi dengan Luqman. Buat eksperimen. Eksperimen apalah yang dia nak buat tu, ya?

Aku dah lama tak buat eksperimen. Kali terakhir pun masa tu aku dalam semester dua dengan Doktor Dennis. Tapi eksperimen dengan Doktor Dennis tak seronok sebab dia tu pilih kasih sikit. Dia pilih ikut hati dia aje, bukan semua selalu dapat. Aku ni pun sekali saja dia panggil nama.

Sadiskan hidup aku ni? Aku pun tak tahu kenapa aku dilahirkan ke dunia ini dipenuhi dengan manusia yang membenci aku. Sedangkan aku tak ada buat salah langsung dengan mereka.

Adakah sebab aku bodoh? Lambat tangkap bila belajar, orang pinggirkan? Tak sepatutnya orang buat macam tu, kan? Kalau aku pandai macam ayah dan ibu, aku berniat akan tolong sesiapa yang bersemangat nak belajar walaupun lembap. Aku akan tolong seseorang tu sampai dia boleh bawa subjek tu dengan berjaya.

Aku selalu berangan macam tu. Sekiranya suatu hari aku berjaya, cita-cita aku tercapai. Aku akan bantu sesiapa yang memerlukan sampai berjaya. Aku akan buat macam mana Luqman buat untuk bantu aku berjaya.

Aku menghargai jasa Luqman yang sudi membantu aku ke peringkat kejayaan.


Previous: Bab 11
Next: Bab 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.