Bab 45

BAB 45

"CIK Alyna!"

Aku mendongakkan kepala ke arah empunya suara yang memanggil aku itu dengan senyuman di bibir.

"Ya saya, Andra?" sahut aku.

"Saya dengan Isha nak tanya sikit pasal ni...."

Mereka berdua menghampiri aku lalu duduk di sebelah aku. Sudah lebih sebulan pihak hospital ini menjalankan satu program berkumpulan untuk para pelajar praktikal. Andra, Isha, Firdan dan Nazrif merupakan ahli kumpulan aku di bawah pengawasan Luqman dan juga ayah.

"Oh.. baru faham!" ujar Isha dengan nada teruja. Aku tertawa kecil sambil menganggukkan kepala. Firdan pula membantu Nazrif memandangkan Nazrif merupakan pelajar praktikal yang masuk sedikit lewat dari yang lain. Sebabnya aku sendiri tidak pasti apa. Luqman dan ayah yang tahu.

"Alyna..."

Aku menoleh ke arah Firdan sebaik saja Andra, Isha dan Nazrif keluar dari bilik perjumpaan. Dia berjalan menghampiri aku dengan riak wajah yang aku tak dapat tafsirkan. Sepertinya dia mempunyai masalah sekiranya dilihat dari mukanya itu.

"Ya, awak? Kenapa?"

"Aku nak mintak maaf dekat kau. Aku bukan kawan yang baik untuk kau..."

Tersentak aku mendengar ayatnya itu. Kenapa tiba-tiba dia meminta maaf? Adakah disebabkan kami jarang bersapa selepas aku berkahwin dengan Luqman?

"Apa maksud awak, Firdan? Saya tak faham. Kenapa awak nak minta maaf?" soal aku sambil menutup buku modul yang aku baca tadi.

"Aku nak minta maaf sebab dah lama tak bertegur sapa dengan kau. Aku terlalu ikutkan hati. Kita kawan?"

Aku tersenyum, kepala dianggukkan. Dah semestinya aku dan Firdan akan sentiasa menjadi kawan kerana dia sajalah kawan yang aku ada sejak di kolej lagi. Aku mana ada kawan lain di kolej selain dia yang selalu menemani aku sewaktu Luqman pergi meninggalkan aku.

"Tak apalah, Firdan. Saya faham. Mungkin awak ada masalah peribadi yang membuatkan awak kusut. Jadi saya tak ambil hati pun. Saya faham..."

"Untung Luqman dapat kau kan... tapi sayang aku terlepas...," gumamnya perlahan tetapi aku masih boleh dengar lagi ayat-ayatnya itu. Berkerut dahi aku memandang ke arahnya.

"Apa maksud awak? Terlepas? Terlepas apa?" soal aku pelik. Firdan menghelakan nafas sebelum mendongakkan kepala memandang tepat ke wajah aku. Anak mata coklatnya merenung aku lama.

"Aku suka kau, Alyna. Aku sayangkan kau lebih dari seorang kawan. Aku tahu aku tak layak nak ada perasaan macam tu dekat kau tapi aku tak sengaja. Hanya kau saja yang sudi ada dengan aku waktu aku susah dan senang. Aku tak marahkan Luqman sebab aku tahu kau mesti sayangkan Luqman. Dari reaksi wajah kau setiap kali dengan Luqman, aku tahu korang ada hubungan istimewa."

Tergamam aku mendengar pengakuannya itu. Kenapa aku rasa serba salah dengannya? Kenapa dia simpan perasaan dekat aku?

"Firdan...." Aku gagal memberikan respons kepadanya. Lidah aku terkelu. Aku kehilangan kata-kata.

"Tak apa, Alyna. Kau jangan rasa apa-apa dekat aku. Aku cuma nak teruskan persahabatan kita. Aku janji yang aku akan lindungi kau dari berbahaya sebagai kawan tak lebih dari itu. Aku tak nak runtuhkan rumah tangga orang. Aku tak sekejam tu...," ujarnya sambil tersenyum kecil.

"Tapi Firdan... kenapa awak boleh suka saya? Saya..."

"Aku suka perwatakan kau. Walaupun kau hidup dalam serba kemewahan, bapak kau berpangkat doktor dan mak kau berpangkat professor, kau tak pernah megah dengan semua tu. Kau tak sombong. Kau sudi nak berkawan dengan aku yang tak seberapa ni. Kalau kau nak tahu, kaulah kawan pertama dan terakhir aku. Aku tak ada kawan selain kau."

Kolam air aku sudah bertakung. Hanya menunggu masa saja untuk pecah. Sungguh aku terharu dengan Firdan. Walaupun dia cintakan aku, dia beralah dan tetap mahu meneruskan persahabatan dengan aku.

"Firdan... serius, saya terharu dengan kata-kata awak. Maafkan saya sebab saya tak tahu yang awak sukakan saya dalam diam. Awak jangan risau, awak pun satu-satunya kawan saya. Kita kawan, ya?"

Firdan dan aku tersenyum. Serentak kami menganggukkan kepala.

"Alyna... boleh tak nanti... bila kau betul-betul ada masa terluang. Ada satu cerita yang aku nak ceritakan kepada kau dan aku harap kau akan maafkan aku. Aku harap sangat kau akan bantu aku untuk halang semua kerja yang tak sepatutnya aku buat. Aku tak nak kau benci aku, Alyna... Aku nak kau sentiasa menjadi kawan aku."

Aku berkerut mendengar percakapannya seperti ada maksud tersirat di sebalik ayat itu. Dia mahu aku menghalang dia membuat kerja yang tak sepatutnya? Apa maksud dia? Cerita apa? Kenapa jantung aku tiba-tiba berdegup kencang?

"Erm.. boleh, awak. Tiada masalah. Nanti saya beritahu awak bila waktu lapang saya. Tapi kalau ada Luqman boleh ke?"

"Kalau boleh aku tak nak Luqman tahu dulu, aku hanya selesa dengan kau. Aku nak luahkan semuanya yang aku pendam selama ni. Aku bukan niat jahat, aku cuma nak luahkan apa yang selama ini aku pendam seorang diri. Aku sakit, Alyna... sakit yang tiada ubatnya. Kau boleh tolong aku kan?"

Aku mengemamkan bibir. Sakit apakah yang sedang dia hadapi sekarang? Kenapa aku rasa sedih? Kronikkah penyakitnya itu?

"Awak sakit apa, Firdan? Apa yang sembunyikan?"

Dia tersenyum lalu menggelengkan kepala.

"Kau jangan risau. Sakit ni akan hilang kalau kau boleh tolong aku. Tolong kembalikan diri aku yang sebenarnya. Aku nak berjaya macam kau, Alyna. Jadi doktor yang bertauliah dan bantu semua pesakit yang memerlukan aku."

Aku tidak mahu bertanya banyak. Tidak mahu memaksa dia menceritakan memandangkan cara dia seperti belum bersedia.

"Baiklah, Insya-Allah saya akan bantu awak yang mana saya mampu. Awak jangan sorok lama-lama. Saya tak nak awak sakit seorang diri. Kalau awak nak minta tolong apa-apa, beritahu saya. Kalau saya tak mampu nak tolong awak, saya akan minta tolong dengan Luqman. Boleh kan?"

Dia tersenyum lebar.

"Terima kasih, Alyna. Aku tahu kau akan bantu aku. Kau je harapan aku untuk aku berubah. Lupakan semua sakit yang aku pendam selama ni."

Aku hanya menguntumkan senyuman walaupun hati aku sarat dengan pelbagai soalan.

"Alyna..."

Serentak aku dan Firdan menoleh ke arah muka pintu bilik. Kelihatan Luqman sedang memandang kami dengan senyuman di bibir.

"Dah rehat ni, jom? Firdan nak rehat sekali?" soal Luqman sambil menyelukkan tangannya ke dalam poket.

"Boleh ke, Prof?" soal Firdan semula. Luqman tertawa kecil, menganggukkan kepala.

"Apa yang tak bolehnya, jomlah sekali. Boleh berbual-bual sekali..."

Firdan tersenyum kecil sambil menganggukkan kepalanya. Aku berjalan mengiringi Luqman dan Firdan pula di belakang kami.

*****

"AKU tahu kau boleh tolong aku, Alyna...," gumam Firdan perlahan dan anak matanya tertacap pada satu susuk tubuh yang selama ini dia berdendam. Seorang lelaki yang merupakan ayah kepada Alyna, Amsyar.


Previous: Bab 44
Next: Bab 46

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.