Bab 44

BAB 44

PEJAM celik pejam celik, sudah genap sebulan usia perkahwinan aku dan Luqman. Menjadi seorang isteri kepada Prof. Luqman tiadalah sesusah mana pun. Luqman tidak pernah biarkan aku seorang melakukan kerja rumah. Memandangkan kami sibuk dengan kerja kami, kadangkala kami makan di luar kadangkala aku masak masakan ala kadar untuk alas perut saja.

Aku seringkali mengikut Luqman mengkaji sehingga pagi buta. Kalau aku mengantuk, aku akan tidur di sofa manakala dia masih fokus dengan kajiannya itu. Ayah dan ibu pula sudah mula bekerja di hospital yang sama dengan aku dan Luqman. Jadi, kami selalu berjumpa dan kadangkala merawat pesakit bersama-sama.

"Sayang... semua dah bersedia. Good luck!"

Aku tersenyum, menganggukkan kepala. Hari ini ada program untuk semua pelajar praktikal sama seperti aku cuma berlainan bulan. Ada ramai pelajar praktikal selepas kemasukan aku. Jadi, hari ini aku dipilih oleh ayah untuk mengadakan program motivasi bersama. Menyebarkan ilmu yang selama ini aku pelajari dari Luqman sejak di kolej lagi.

Dengan yakin, aku melangkah masuk ke dalam dewan itu yang dihadiri seramai 20 pelajar praktikal. Firdan turut ada di situ, tersenyum memandang ke arah aku. Sejak dia mendapat tahu aku sudah berkahwin dengan Luqman. Dia jarang bercakap dengan aku. Aku sendiri tidak tahu kenapa sedangkan Luqman tidak melarang aku untuk berkawan dengan sesiapa. Asalkan pandai menjaga diri dan batas pergaulan saja.

"Baiklah, nama saya Nur Alyna, hari ini saya nak kongsikan kepada kamu semua seberapa banyak ilmu yang saya ada. Saya minta kerjasama semua untuk menyalin segala nota yang akan saya tuliskan di papan putih ini. Sekiranya tidak faham, boleh angkat tangan dan soal saya dengan soalan yang berkaitan."

Semua pelajar di dalam dewan itu menganggukkan kepala. Dari belakang aku ternampak Luqman dan ayah sedang memerhatikan aku. Aku hanya menguntumkan senyuman, tidak lekang dari bibir.

"Cik Alyna!"

Aku memalingkan tubuh saat terdengar seseorang memanggil aku sambil mengangkatkan tangan kanannya. Senyuman aku berikan sekaligus anggukkan kepala untuk mengizinkan dia mengajukan soalan.

"Nama saya Andra Farissa, saya baru saja menjalani praktikal di sini selama seminggu. Jadi ada soalan yang saya hendak tanyakan mengenai teknik pembedahan yang cik Alyna terangkan tadi."

Aku tersenyum, menganggukkan kepala.

"Silakan, cik Andra Farissa," ujar aku sambil menutup semula marker pen yang aku gunakan tadi. Dia tersenyum lalu mengajukan pertanyaan kepada aku. Ada beberapa soalan yang aku dapat jawab dan selebihnya ada yang Luqman terangkan dengan lebih lanjut.

*****

"SAYANG...."

Baru saja aku melangkah masuk ke dalam bilik kerjanya, dia merangkul pinggang aku dari belakang. Laju saja tangannya menutup pintu dan menekan butang kunci. Aku menggelengkan kepala sambil tergelak kecil. Payah kalau tak boleh langsung berpisah.

"Apa abang ni, nanti orang nampaklah..." Aku memusingkan tubuh menghadapnya. Dia tersenyum lebar, tangannya naik mengelus pipiku. Bibirnya didekatkan pada cuping telingaku.

"Rindu....," bisiknya. Aku ketawa sambil menampar bahunya lembut.

"Abang ni kan... ada-ada je tau. Nanti malam kita luangkanlah masa bersama."

Laju dia menganggukkan kepala. Adeh! Makin menjadi-jadi perangai manja ditambah pula romantik dia ni. Tak terlayan aku dibuatnya. Saja buat aku tak boleh nak berenggang dengannya.

"Sayang... sini..."

"Apa dia?" soal aku saat dia menarik tangan aku di sebuah meja berdekatan dengan meja kerjanya. Di atas meja itu terdapat beberapa alatan seperti menjahit.

"Abang nak ajar sayang teknik menjahit dengan lebih cekap dan selamat."

Aku menganggukkan kepala lalu melabuhkan punggung di atas kerusi beroda. Tangan aku mencapai sebatang jarum dan benang di atas meja itu.

"Sayang tengok ni... ni bukan pankreas betul tau. Ni sample saja..."

"Ish abang ni! Aly tahulah..."

Dia ketawa lalu berdiri di belakang aku. Dia menuntun tangan aku untuk membantu aku menjahit pankreas itu.

"Okey, sayang. Lagi sikit..."

Begitu fokus aku menjahit tanpa melihat suasana sekeliling. Mata aku betul-betul terpaku pada setiap jahitan aku.

"Yes!" sorak aku gembira saat aku dapat menjahit dalam tempoh masa singkat. Luqman turut bersorak lalu mengucup pipi aku.

Kami tertawa gembira.

*****

AMSYAR tersenyum kecil melihat Luqman dan Alyna yang begitu gembira di dalam bilik kerja melalui tingkap cermin. Hatinya terusik saat melihat senyuman anak perempuannya itu. Hatinya terlalu risau akan keselamatan anak perempuannya yang sering diganggu dengan orang misteri atau pekara aneh yang diceritakan oleh Luqman tanpa pengetahuan Alyna.

"Ayah minta maaf, Aly. Ayah bodoh. Ayah memang ayah yang tak guna. Tak mampu nak lindungi anak ayah sendiri. Satu-satunya anak perempuan ayah. Mujur ada seorang lelaki yang ayah boleh percaya seratus peratus supaya dia dapat menjaga dan melindungi Alyna dari pekara yang berbahaya," gumamnnya sendiri. Perlahan air matanya jatuh berguguran di atas pipi.

"Ayah takut, Alyna... Ayah takut sebab ayah dah buat pekara yang mendatangkan ancaman dekat keluarga kita."

Amsyar menangis perlahan sambil melangkah pergi dari situ sebelum mereka nampak kelibatnya.

"Doktor Amsyar...," suara garau itu menghentikan langkahnya. Dia memalingkan tubuh sedikit melihat gerangan yang memanggilnya itu.

"Fir... Firdan..." Terketar-ketar bibir Amsyar mahu menyebut sebaris nama itu. Dia takut akan lelaki ini akan mengapa-apakan keluarganya.

"Lama kita tak jumpa, kan? Doktor sihat? Macam mana keadaan doktor sekarang? Bahagia?"

Soalan Firdan seolah-olah memerli dirinya. Amsyar hanya mendiamkan diri, tidak tahu menjawab apa.

"Kenapa doktor senyap?" Firdan menghampiri Amsyar supaya tiada siapa yang mendengar perbualan mereka yang agak tegang itu.

"Doktor dah bisu ke? Saya belum buat apa-apa kat doktor tapi doktor dah bisu. Kenapa? Doktor takut saya akan apa-apakan Alyna? Anak perempuan doktor?" Sinis sekali nada Firdan menyoalnya. Jantung Amsyar berdegup kencang saat Firdan menyebut nama anaknya itu. Dalam hati dia berdoa agar Firdan tidak akan menyentuh Alyna.

"Firdan... maafkan saya. Maafkan saya atas sikap saya. Tolong, saya rela terima apa saja yang awak nak buat dekat saya tapi saya merayu sangat-sangat. Jangan sentuh isteri saya dan Alyna... mereka tak tahu apa-apa pasal kita. Saya dan Yazid...."

Belum sempat Amsyar menghabiskan ayatnya. Firdan memijak kaki kirinya kuat. Dia terpaksa mengetap gigi menahan sakit. Kalau ikutkan hati mahu saja dia menjerit tetapi memandangkan mereka di hospital, sekali jerit orang semua akan dengar.

"Sa... sakit, Firdan...."

"Sakit lagi hati aku. Kau pembunuh mak aku!" Keras sekali suara Firdan berbisik pada Amsyar.

"Kalau aku maafkan kau, kau boleh hidupkan semula mak aku dan rawat dia seperti dulu. Boleh? Mampu ke kau?"

Amsyar mengalirkan air mata sambil menggelengkan kepala beberapa kali.

"Abang Firdan..."

Segera Firdan mengalihkan kakinya manakala Amsyar mengesat air matanya.

"Eh, Andra... ya saya? Kenapa?"

Andra mengukirkan senyuman lebar. Suka dia melihat jejaka di hadapannya itu. Sejak dia dimasukkan ke hospital ini untuk menjalani program latihan industri, Firdan banyak membantunya untuk dia lebih memahami dalam skop kerjanya itu.

"Andra ada tak faham dan mintak tolong abang Firdan terangkan. Boleh tak?"

Firdan mengukirkan senyuman, menganggukkan kepalanya.

"Boleh. Apa yang tak boleh, Andra tunggu dekat tempat biasa. Sekejap lagi abang datang..."

Laju Andra menganggukkan kepalanya lalu beredar dari situ.

"Urusan kau dengan aku belum. Takkan pernah habis! Ingat tu!" Sempat lagi Firdan memberi amaran pada Amsyar sebelum melangkah pergi.

Amsyar menghelakan nafas panjang dan berlalu.


Previous: Bab 43
Next: Bab 45

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.