PUKUL lima pagi lagi dapur dalam rumah teres dua tingkat itu sudah bising dengan bunyi orang memasak. Siapa lagi kalau bukan Rose Adelia yang sedang 'berperang' di dapur untuk menyiapkan nasi goreng belacan yang dipesan lelaki bernama Adam Zayan itu. Dia tahan kantuknya sejak pukul empat pagi lagi. Siap sahaja juadah ini, dia akan terus mandi dan menunaikan solat subuh.
Sedang dia menggaul nasi dengan perencah nasi, bahunya disentuh dari belakang. Rose Adelia terjerit kecil. Rupanya Puan Wardah.
"Mama dengan Adam suka betullah terkejutkan orang." Rose Adelia mematikan api. Nasi goreng belacan yang telah siap dia masukkan ke dalam dua buah bekas.
"Adam? Siapa tu?" hilang terus niatnya mahu bertanya sebab anaknya rajin bangun pagi untuk masak bila anaknya itu menyebut nama yang dia tidak kenali.
"Ermmm... Dia tuan rumah itulah."
"Kenapa Rose masak dekat sini bukan dekat sana? Kenapa ada dua bekas pulak ni?" dua soalan sekali ditanya Puan Wardah. Walaupun dua soalan, dalam setiap soalan pastinya ada soalan lagi.
"Err... Adam request dekat Rose nasi goreng belacan. Rose buatkanlah. Semalam dia rasa sikit, dia kata sedap." Puan Wardah memeluk tubuh.
"Adam tu yang katanya nak ambil Rose kerja tu ke?" pantas Rose Adelia menggeleng kepala.
"Tu abang dia, Adam ni anak bongsu Datin Yusra." Puan Wardah mula sangsi. Sejak anaknya itu mula bekerja, dia tidak tahu pun kisah mengenai majikan anaknya.
"Datin tu kerja apa?" Rose Adelia menjungkit bahu. Dia pun malu untuk bertanya.
"Jadinya, hanya Rose dengan Adam yang ada dalam rumah tu?" soalnya dalam nada tegas. Rose Adelia diam. Entah mengapa dia terasa takut walaupun dia tidak buat perkara yang bukan-bukan.
"Jawablah, Rose!" Rose Adelia telan liur.
"Dia... Dia duduk dalam bilik aje, mama. Mama jangan risau. Lagipun Adam tu macam sakit, mungkin sebab tu dia kena duduk rumah." mencerlung mata Puan Wardah.
"Itu bukan alasan yang munasabah, Rose! Rose tahukan hukum bersekedudukan dengan yang bukan muhrim? Rose tak takut?"
"Habis tu mama nak Rose buat apa?"
"Berhenti!" Rose Adelia mengeluh. Berapa kali rasanya dia harus terangkan pada Puan Wardah akan perkara ini? Asyik-asyik dengan topik berhentinya.
"Mama cakap senangkan? Suka-suka berhenti dan cari kerja lain. Apa-apa pun yang Rose cuba buat, semua mama tak setuju. Ada aje alasan mama nak suruh Rose duduk rumah dengan mama. Bukan Rose tak nak mama, Rose buat untuk kebaikan. Untuk masa depan Rose. Rose nak ada pendapatan sendiri, berdiri atas kaki sendiri." ditekankan perkataan 'kebaikan' itu. Penat dia mahu jelaskan.
"Lagipun Rose cuma buat kerja sendiri. Tak ada sesiapa pun yang ganggu. Rose masih tahu yang mana halal dan yang mana haram. Boleh tak mama faham Rose untuk kali ni aje? Tolong?" kalau nak diluahkan segala apa yang dia rasa dalam hati sekarang, memang dia akan lambat. Jadinya, dia hanya ringkaskan ayatnya.
Puan Wardah membisu. Separuh hati bersetuju dengan jawapan anaknya, separuh lagi tidak sama sekali. Dia risau. Naluri keibuannya sangat kuat.
"Rose mintak maaf kalau terkasar bahasa, Rose siap dulu." kedua-dua bekas tadi dimasukkan ke dalam beg kertas. Lalu dia naik ke tingkat atas meninggalkan mamanya yang masih kelu. Hilang terus moodnya pagi-pagi begini.
SELEPAS mendengar Adam Zayan jemu untuk telan sandwich, Wafiq menukar menu dengan meletakkan hash brown dan sosej ayam sebagai sarapan untuk lelaki itu namun begitu Adam Zayan tetap berdegil tidak mahu makan apabila dia nampak bekas nasi goreng belacan yang dibawa Rose Adelia.
"Wah, terliur pulak rasa!" Adam Zayan mengambil dua sudu. Satu diletakkan dalam bekasnya dan satu lagi dalam bekas Rose Adelia.
Seusai membaca doa makan, terus masuk satu suap ke dalam mulut Adam Zayan. Dua suap dan tiga suap, dahinya berkerut.
"Kau tak letak garam ke apa? Tawar." komen Adam Zayan.
Ya, lidah Rose Adelia pun rasa tawar. Rasanya dia letak garam secukup rasa, entahlah dia tiada mood langsung. Biarlah nasi goreng belacannya tawar, setawar hatinya sekarang. Tadi pun Balqis hanya diam, mungkin takut untuk berbual dengan Rose Adelia yang masam mencuka.
"Oi, aku tanya ni?"
"Makan ajelah!" Adam Zayan meletakkan sudunya.
"Macam mana aku nak makan kalau tawar meleset macam ni?"
"Kalau macam tu saya boleh gorengkan hash brown dengan sosej untuk awak." tanpa dipinta, Rose Adelia mengeluarkan paket hash brown dan sosej dari dalam peti ais.
"Dah tu kalau aku makan hash brown dengan sosej, siapa nak habiskan nasi ni?"
"Sayakan ada."
"Kau biar betul? Banyak kut nak habiskan, dengan kau punya lagi."
"Kenapa pulak tak boleh? Awak ingat perempuan tak boleh habiskan makanan yang banyak?" soalan dibalas dengan soalan. Adam Zayan menjongket kening. Something fishy. Hari ini Rose Adelia langsung tidak memandang wajahnya saat mereka berbual. Ini petanda seorang perempuan tiada mood.
"Kau bendera Jepun ke?" soalnya polos. Terus Rose Adelia menoleh.
"Apa kaitan?" bukan dia tidak faham istilah bendera Jepun itu, cuma malulah bila lelaki menyebut akan hal itu.
"Moody semacam. Aku tanya aje."
"Tak... Sekarang ni, awak nak ke tak nak hash brown dengan sosej ni? Karang saya dah goreng awak mengada tak nak makan pulak." baik dia bertanya untuk kali yang kedua sebelum mengeluarkan dua keping hash brown dan sosej.
"Kalau aku tak nak kau bagilah ikan dekat luar sana tu makan." jawab Adam Zayan kemudian dia ketawa dengan lawaknya sendiri. Terhibur pula dia di pagi hari ini.
Rose Adelia menjeling. Paket makanan beku itu dimasukkan semula ke dalam peti ais. Bekas nasi goreng disimpan semula ke dalam beg kertas. Lalu langkah kaki berjalan menuju ke bilik solat bersebelahan dengan dapur.
"Aik, buat lawak pun nak merajuk? Tak faham betul aku dengan perempuan ni. Complicated sungguh!" bebelnya seraya menambah lagi suapan nasi goreng ke dalam mulut. Bila dah makan banyak sikit, baru ada rasa.
PESAN arwah papa, kalau marah, istighfar. Kalau nak merasa tenang dan lupakan masalah seketika, solat sunat atau alunkan ayat suci Al-Quran. Itulah apa yang Rose Adelia baru lakukan. Rasa dinginnya pada Puan Wardah dan geramnya pada Adam Zayan mula beransur hilang. Bila marah, lagilah syaitan suka menghasut. Oleh itu, kita mestilah kuatkan iman dengan mengingati Allah.
Rose Adelia melipat telekungnya seusai melakukan solat sunat dhuha dan taubat. Lega sedikit hatinya. Kain telekung dimasukkan ke dalam beg tote. Tudung disarungkan lalu dikemaskan sedikit. Baiklah, dia akan cuba kawal emosi hari ini.
Rose Adelia memusingkan tombol pintunya. Baru sahaja pintu terkuak sedikit, dia dapat dengar dengan jelas suara wanita dan lelaki berbual.
Datin Yusra dah balik ke? Soalnya dalam hati. Namun suara wanita itu cukup lain jika nak dibandingkan dengan suara Datin Yusra. Suara wanita ini kedengaran jauh lebih muda dari suara Datin Yusra.
Perlahan-lahan dia menapak keluar dari dalam bilik solat. Mungkin ada tetamu, sudahlah dia duduk dalam bilik.
Rose Adelia berjalan masuk ke dapur. Pintu gelangsar yang berada berdekatan dengan dapur diintai dari dalam. Jelas kelihatan Adam Zayan dan seorang wanita duduk bersebelahan atas buaian sambil berbual mesra.
Girlfriend dia ke? Soal Rose Adelia dalam hati.
"Kejap, aku nak ambil air." wanita itu bangkit dari duduknya. Baru sahaja Adam Zayan mahu menghalang, wanita itu sudah terjah masuk ke dapur.
Terkejut beruk Rose Adelia dan wanita itu. Mereka berpandangan sesama sendiri. Beberapa saat kemudian Adam Zayan pula masuk ke dapur.
"Ini ke anak Mak Nab yang kau cerita tu? Mana Mak Nab?" soal wanita itu sambil matanya melilau sekeliling rumah. Rose Adelia mula merasa aneh. Siapa pulak Mak Nab? Sejak bila nama mamanya bertukar daripada Wardah ke Nab?
"Erin, aku kenalkan kau dengan Lia. Maid baru aku." terlopong mulut Erin.
"Awet mudanya maid kau, Adam." Adam Zayan garu kulit kepalanya yang tidak gatal.
"Actually... she's twenty-six just like you, Erin." lagi sekali mulut Erin terlopong bagaikan Gua Niah.
"Boleh ke dia duduk satu rumah dengan kau, Adam? Nanti kena tangkap basah." soal Erin sebaik meneguk air kosong yang baru sahaja dihidangkan Rose Adelia.
Adam Zayan ketawa kecil.
"Erin, kawasan macam ni... Kalau seratus orang lelaki dan perempuan duduk satu rumah pun tak ada sesiapa kesah. You know what I mean, right?" Erin mengangguk faham. Betul sangatlah kata Adam Zayan. Dalam kawasan privasi ini, penduduk bebas melakukan apa sahaja. Selang beberapa rumah Adam Zayan selalu mengadakan parti liar, namun tiada satu serbuan pun dilakukan. Bebas.
"Iyalah, kut dia ngorat abang kau ke..." lagi sekali Adam Zayan menghamburkan tawanya.
"Mulut kau ni dah lama tak merasa cili padi agaknya. Nak aku sumbat?" Erin tersengih.
"Adelia tak tinggal dekat sini. Dia datang pukul lapan, balik lepas maghrib."
"Penat tu."
"Eh, kau macam mana? Okey?" Adam Zayan memejam matanya lalu mengangguk.
"Aku tengah kawal diri akulah, ni. Alhamdulillah, minggu ni aku tak baran lagi."
"Lega aku dengar."
"Aku balik dululah. Adam, jaga kesihatan tau. Kalau ada orang buat kau, roger aje aku. I'm always by your side. Ingat tu."
"Iyalah, makcik!"
Rose Adelia hanya memerhati dari dalam. Seketika pandangannya dan Adam Zayan bertaut. Lelaki itu mengukir senyum padanya.
Moodnya yang baru nak pulih, terasa seperti sudah pulih sepenuhnya. Inilah kuasa sebuah senyuman. Dia senyum kembali pada Adam Zayan.