ROSE ADELIA terpana. Jujurnya perasaan suka dipuji itu ada kerana sifat dan rasa itu merupakan lumrah bagi seorang manusia normal sepertinya. Kerana dalam dunia ini, hanya ada tiga orang lelaki yang pernah memujinya. Yang pertama, semestinya si ayah, arwah Encik Adnan. Kedua, Fayyadh. Dan pastinya yang ketiga, Adam Zayan di hadapannya ini. Entahkan ikhlas atau tidak, Rose Adelia tetap berterima kasih atas pujian itu. Baginya, pujian 'cantik' adalah amat bermakna untuknya kerana ia memberi satu semangat untuk lebih sayangkan diri sendiri.
Melihat pembantu rumahnya hanya diam tanpa respon, Adam Zayan menyambung bicara.
"Umur kau berapa?" soalnya. Belum sempat dijawab Rose Adelia, dia menyambung ayatnya.
"Tak adalah, aku cuma nak kenal-kenal. Kau kan orang gaji aku." Rose Adelia mencebik. Terasa tua pulak digelar 'orang gaji'. Sekurang-kurangnya gelarlah dia 'maid' ke apa.
"Saya dua puluh enam, awak?" dah orang mulakan 'salam perkenalan', dia juga apa salahnya bertanya. Mana tahu boleh ngam dengan mamat pelik ni. Rose Adelia agak, mungkin Adam Zayan lebih kurang sebayanya aje.
"Aku tua dah. Dua puluh lapan." ternganga Rose Adelia? Masakan Adam Zayan boleh menggelar dirinya tua sedangkan umurnya belum pun mencecah three series? Malah, usia mereka hanya beza dua tahun sahaja.
"Kenapa awak kata diri awak tua?" soal Rose Adelia. Mahu tahu juga sebabnya walaupun isu ini bukanlah besar mana pun.
"Makcik bawangkan suka panggil umur orang belum kahwin macam aku ni tua." gurau Adam Zayan menimbulkan tawa kecil Rose Adelia Betul sangatlah tu. Selalunya hanya berlaku dalam drama atau novel sahaja. Jarang lagi dia berjumpa 'makcik bawang' yang dikatakan Adam Zayan itu dalam kehidupan realitinya.
"Habis tu, abang awak umur berapa pulak?" timbul lagi satu soalan dari bibir munggilnya. Adam Zayan tersenyum senget.
"Apahal? Kau terpikat dekat dia?" terbeliak mata Rose Adelia. Kedua-dua belah tangan digoyang-goyangkan, menidakkan soalannya yang disalahtafsirkan Adam Zayan. Nampak sangat lelaki lebih overthinking daripada perempuan.
"Saya tanya aje. Sebab abang awak nampak muda lagi tapi dah bekerjaya bagus." Adam Zayan senyum lagi.
"Yes, he's still young. He's thirty one already. Dia memang bagus pun bab-bab business ni. Banyak kali dah aku belajar dengan dia tapi susah jugaklah nak pickup. Aku kan bodoh." ayat teraakhirnya disebut perlahan.
Rose Adelia baru mahu membalas kata-kata Adam Zayan, lelaki itu menyampuk lagi sekali. Dia dengar dengan jelas kata-kata Adam Zayan tadi.
"Eh, dah la! Baik aku main game. Nah, basuh bersih-bersih." arah Adam Zayan.
"Nanti, makan ubat dulu. Awak ingat saya lupa?" Rose Adelia mengangkat kening. Sengaja mengajak dia berbual lama-lama untuk lekakan dia daripada terus memberinya ubat. Haihlah, Adam!
DIA tenung sekali lagi menu yang siap ditulis di atas kertas A4 itu. Jadi, hari ini dia kena masak hidangan yang berbeza untuk makan tengah hari dan makan malam. Wah! Selalunya apa yang dia makan waktu lunch sama dengan makan malam.
"Dah macam mana pulak aku nak masak steak ni? Western-western ni manalah aku pro." omelnya sendirian. Pulak tu, medium steak. Rose Adelia ni tekaknya masakan Melayu sahaja. Kalau western sekalipun, setakat pasta dan chicken chop sahaja. Selebihnya, jika terasa nak makan, dia makan.
Terus dibuka aplikasi Google. Dibaca satu demi satu blog yang menulis cara-cara menyiapkannya. Sukar untuk dia faham hanya dengan bantuan sekadar penulisan sahaja. Dia perlukan sekurang-kurangnya seseorang yang mahir dalam bidang masakan barat di sebelah bagi membimbingnya.
Lama dia merenung bahan-bahan yang telah disediakan di atas kitchen island. Apa yang dia nampak sekarang ini, tiada beza dengan soalan Matematik Tambahan yang dibelajarnya ketika zaman sekolah.
Okey, Rose. Fikirkan sesuatu. Dia tidak pandai nak masak sesuatu jadi separuh masak. Itu bukan stailnya.
Tak boleh jadi! Dia kena tebalkan muka. Minta tolong si tuan rumah yang bernama Adam Zayan itu. Lantaklah lelaki itu nak label dia apa pun, dia akan tetap berterus-terang dan mengalah.
Baru sahaja dia mahu melangkah keluar dari dapur, Adam Zayan berjalan melintasinya. Lelaki itu menutup mata lalu menarik nafas.
"Hurmmm... Sedapnya bau." Rose Adelia mengerutkan dahi. Diintainya semula dapur. Dah kenapa lelaki ni? Gila ke? Dia belum mula apa-apa lagi. Atau...
"Pukul berapa dah ni? Kenapa tak masak lagi?"
"Err..." kulit kepala yang berlapikkan dengan tudung sarung itu digaru perlahan.
"Kejap lagi abang dengan mummy nak balik tau. Jangan cari pasal, makanan tak siap lagi memang nahas la kau." Adam Zayan mencerlungkan matanya. Namun dalam hati, tidak habis-habis mengetawakan pembantu rumahnya itu. Dari tadi dia mengintai Rose Adelia yang terpinga-pinga melihat menu yang teretera dalam kertas. Bukan Rose Adelia sahaja yang buntu begini, malah bekas-bekas pembantu rumahnya yang dahulu pun begitu juga. Mereka lebih mahir dalam masakan Melayu berbanding dengan masakan barat.
"Saya... Saya tak tahu nak masak steak." jujurnya. Takut jugak dia membayangkan dirinya dimarahi Wafiq atau Datin Yusra.
"Lah... Macam mana abang aku cari maid ni?"
"Okey... Saya dah search Google cara masak ni. Awak kata nak main game?" Rose Adelia cuba menukar topik. Tak apa, dia akan usahakan juga masak medium steak ini. Sedap tak sedap, belakang cerita.
Adam Zayan hanya sekadar mengangguk. Rose Adelia kembali ke dapur. Tak jadi untuk minta tolong bila Adam Zayan mula memerlinya. Mama... Rose perlukan mama sekarang ni. Rayunya dalam hati.
Mula-mula sekali Rose Adelia menyiapkan sayuran-sayuran seperti brokoli dan lobak merah dahulu. Siap sahaja, dia terus menyimpannya ke dalam bekas. Barulah dia mulakan cabrannya untuk hari ni.
Masak steak adalah cabaran seperti menjawab satu soalan Matematik Tambahan baginya.
Baru sahaja dia mahu mencapai daging lembu di tepi sinki, ada tangan menepis perlahan.
"Buat sos dia dulu. Marinate baru gril." terkelip-kelip mata Rose Adelia.
Seperti yang tidak dijangka, hari ini Rose Adelia cumalah pembantu chef dan chef sebenarnya adalah...
Adam Zayan.
DARI tepi, dia hanya memerhati kehebatan Adam Zayan dalam memasak. Wajah lelaki itu hanya tenang. Bau yang datangnya dari daging lembu yang disalut dengan sos steak itu sahaja sudah membuatkan Rose Adelia terliur.
"Pinggan." tangan dihalakan pada Rose Adelia. Segera gadis itu menghulurkan pinggan seramik kepada Adam Zayan.
"Siap pun!" ujarnya riang lalu api dimatikan.
"Macam mana? Bau aje dah mengancamkan?" kening sengaja diangkat berkali-kali.
"Wah, awak pandai masak jugak." lancar ayat itu keluar dari mulutnya. Cara Adam Zayan masak dah sama macam peserta-peserta dalam siri rancangan memasak, MasterChef.
"Benda ni ajelah aku pandai. Kalau bab-bab masakan Melayu aku masih dalam proses nak belajar lagi."
"Bolehlah awak jadi chef dekat hotel ke kafe lima bintang, kan? Saya tengok pun nampak sedap sangat ni." Adam Zayan diam tanpa respon. Apron ditanggalkan lalu diserahkan pada Rose Adelia.
"Dah, hidang cepat. Kejap lagi abang dengan mummy sampai."
Rose Adelia hanya memandang Adam Zayan yang sedang berjalan keluar ke kawasan kolam renang. Dia terus mengemas dapur secepat mungkin.
Adam Zayan duduk atas buaian kayu di tepi kolam renang. Kerja? Pernah dia fikir soal itu. Bakat yang dia ada hanya terpendam dalam jiwa. Langsung tak diberi bebas keluar, ditunjukkan pada orang-orang lain.
Sebabnya...
Dia tak boleh. Bukan atas permintaan sesiapa untuk tidak membenarkannya keluar mencari kebebasan. Tiada sesiapa pinta namun dipaksa demi kebaikan diri. Dan dia terpaksa menuruti. Di luar sana... Lebih banyak perkara kejam yang dia tidak pernah alami. Di luar sana juga terlalu banyak manusia bertopeng, pura-pura dalam sebuah keikhlasan. Dia terlindung dari itu semua. Tapi, sampai bilakah dia mampu bertahan? Sampai roh berpisah dari jasadnya?
Sedih, itu perkataan yang mampu menggambarkan kehidupannya sekarang. Dia menunduk, menekup wajah dengan kedua-dua belah telapak tangannya. Nak nangis, dia lelaki kenalah kuat. Jadi dia hanya mampu menangis dalam hati sahaja.
Dari pintu gelangsar, Rose Adelia hanya memerhati. Niat nak memanggil Adam Zayan untuk mengucapkan terima kasih kerana menolongnya masak, namun hati tiba-tiba terasa hiba melihat lelaki itu yang tiba-tiba menangis. Mengapa? Dia ingin tahu. Adakah kata-kata dia telah mengingatkan Adam Zayan tentang sesuatu?
Everybody have their own story. Cerita di mana hanya mereka sahaja tahu. Atau lebih tepat sekali, yang mereka pendam.