"ROSE... Dah siap ke belum?" laung Puan Wardah dari tingkat bawah. Terkocoh-kocoh Rose Adelia menuruni anak tangga bersama backpacknya.
"Cepat kunci pintu. Mama dah lambat ni." baru sahaja dia dapat panggilan daripada Cikgu Ainnur. Segera Puan Wardah menghidupkan enjin kereta saat kedua-dua anaknya masuk ke dalam perut kereta.
"Ini sebab mama tak nak bagi Rose pergi kem. Bersiap pun lambat." dipandang wajah anaknya melalui cermin pandang belakang. Rose Adelia sedang sibuk membetulkan tudung bawal hitamnya yang senget serta tidak mengikut bentuk mukanya itu. Bila dah lambat, memang selekeh jadinya!
Sampai sahaja di dewan sekolah, segera dia mendaftarkan nama dalam senarai nama peserta bagi Kem Motivasi Diri pelajar tingkatan lima. Mama dan adiknya, Balqis yang terpaksa mengikuti kem tersebut telah pun berada dalam barisan guru-guru.
Rose Adelia menggalas backpacknya yang beratnya hampir lima kilogram itu. Berat! Rungutnya. Walhal isi di dalam hanyalah pakaian-pakaiannya.
"Meh, sini. Kesian aku tengok kau ni. Dah macam kura-kura." Fayyadh mengambil backpack yang tersangkut pada bahunya lalu lelaki itu menggalas pada bahunya pula.
"Eh, kau ni... Aku okey ajelah." Rose Adelia cuba mengambil kembali backpacknya namun cepat-cepat dihalang tubuh lampai Fayyadh. Tahulah ketinggiannya sukar untuk mencapai bahu Fayyadh.
"Jangan seksa diri, Rose." Rose Adelia mencebik. Dia sanggup menyeksa tubuhnya daripada dipandang dan menjadi bahan bisikan pelajar-pelajar lain.
"Nah, kalau nak mintak tolong roger aku ajelah." backpack Rose Adelia diletakkan di atas lantai simen. Usai mengucap terima kasih, cepat-cepat Rose Adelia duduk dalam barisan kelasnya. Kan sudah dia agak, pasti sahaja rakan-rakan kelasnya akan mulakan gosip. Rimas! Oleh sebab itulah, kalau boleh dia tidak mahu terlalu rapat dengan Fayyadh yang menjadi pujaan hati para pelajar perempuan dalam sekolah ini. Nasib mereka berada dalam kelas yang berbeza.
"Amboi, bukan main dia galaskan beg untuk kau?"
"Kau orang couple, eh?" Wina mengangkat-angkat keningnya. Mengusik Rose Adelia.
"Hisy, mana ada. Dia kawan ajelah." akuinya. Penat mahu mengulang penafian yang sama. Antara dia dan Fayyadh hanyalah sahabat. Titik. Bila Fayyadh berbual dengannya, pasti akan disalahtafsirkan pelajar-pelajar lain.
"Tapi aku rasa Yad memang ada perasaan dekat kau kut. Masakan dia sanggup galas beg tu untuk kau. Kalau orang tak suka, dia biarkan aje." tebak Aisya. Tidak habis-habis dengan dakwaannya. Tengok sahajalah layanan Fayyadh terhadap Rose Adelia. Sangat berbeza dengan pelajar-pelajar perempuan lain. Lebih mesra dan istimewa.
"Tapikan, Rose... Kalau Yad ada perasaan dekat kau sekalipun, apa salahnya? Kan, Wina?" Wina mengangguk setuju dengan kata-kata Aisya.
"Lepas SPM, kau orang tunang lepas tu kahwin! So sweet!" Rose Adelia geli-geleman mendengar perbualan Wina dan Aisya.
"Merepeklah kau orang ni! Banyak sangat layan drama." Wina dan Aisya dijeling namun matanya terus menangkap mata Fayyadh yang leka memerhatikannya. Segera dia melarikan pandangan.
"DEKAT sana elok-elok. Masuk hutan, kena jaga adab. Mulut jangan cakap lepas. Ingat pesan papa ni." Rose Adelia tersengih saat teringat kembali panggilan daripada papanya sebelum dia sampai ke lokasi kem. Hari ini sudah hari kedua dia berkampung dalam hutan. Esok, semua pelajar akan pulang semula.
Banyak aktiviti yang dia lakukan di sini. Semuanya dijalankan secara berkumpulan. Hari kedua mereka banyak lakukan aktiviti lasak. Selepas sarapan, para pelajar diminta beratur secara berkumpulan kerana mereka akan melakukan jungle trekking. Saat ini, rasa teruja Rose Adelia tidak dapat dibendung lagi. Tak sabar rasanya mahu rasakan sendiri penat mendaki hutan dan menikmati pemandangan ketika di puncak bukit.
Sebelum mereka mula bergerak mengikut kumpulan, awal-awal lagi fasilitator telah mengingatkan mereka dengan banyak perkara. Antaranya menjaga adab ketika dalam hutan, sentiasa berjalan dalam barisan dan segera melaporkan hal-hal kecemasan kepada fasilitator-fasilitator yang menjaga setiap stesen.
Fayyadh asyik memandang Rose Adelia dari barisan belakang. Awal-awal kem lagi dia sudah mencarut dalam hati apabila dirinya tidak dapat sekumpulan dengan Rose Adelia. Sekurang-kurangnya dapatlah dia menjaga Rose Adelia.
Rose Adelia mula mendaki kawasan cerun. Dia ingatkan dia mahu pakai kasut sekolah sahaja, mujur dia dengar kata Puan Wardah yang menyuruhnya memakai kasut sukan kerana cengkaman tapak kasut sukan pada permukaan tanah lebih kuat dan stabil berbanding tapak kasut sekolahnya.
Dia menoleh belakang, baru dia perasan ahli kumpulan lain masih jauh di belakang manakala kumpulannya sudah maju ke hadapan. Dia menyambung perjalanannya.
Nasibnya kurang baik apabila lengan baju Rose Adelia mula tersangkut pada sebatang ranting berduri. Dia mula cemas apabila lengan bajunya masih tersangkut pada ranting tersebut. Sudahlah dia berada di sempadan antara kawasan cerun dan rata. Jika mahu dibayangkan, tubuhnya menyenget dan semestinya kurang kestabilan.
"Aduh!" saat dia berjaya melepaskan hujung lengan bajunya, pangkal tangannya calar dek duri tajam. Kelihatan cecair merah pekat mengalir. Pening. Ya, dia ada fobia terhadap darah.
"Cool, Rose." dalam hati sedikit menyumpah kerana ahli kumpulan lain masih berada di belakang. Dirinya terdesak memerlukan pertolongan sekarang ini.
Rose Adelia cuba mencapai botol mineral yang terletak dalam poket begnya, namun keadaan tubuh yang tidak stabil membuatkan dia jatuh tersungkur lalu tubuhnya bergolek jatuh ke dalam curam.
Sakit. Sengal dan pedih. Sebahagian bajunya terkoyak akibat geseran tanah dan terkena akar pokok. Luka di tangan masih belum hilang pedihnya, bertambah lagi pedih. Mujur sanggulnya melindungi belakang kepalanya terhantuk pada akar banir. Jika tidak, pasti sahaja nyawanya berada di hujung tanduk. Semuanya berlaku sekelip mata.
"Mama... Papa... Bal..." sebutnya. Dia cuba untuk menjerit namun tidak boleh. Tubuhnya sangat lemah apalagi suaranya.
Dunianya tiba-tiba kelam. Tuhan, jangan ambil nyawanya dahulu.
"TUJUH puluh sembilan." Amin, si fasilitator mula mengerutkan dahinya. Sudah dua kali dia mengira bilangan para peserta yang berjaya sampai ke puncak. Bilangan fasilitator dan guru-guru yang ikut bersama juga cukup.
Puan Wardah mula merasa tidak enak. Turut sama Cikgu Ainnur, Wina, Aisya dan pastinya Fayyadh.
"Mana Rose?" Fayyadh mula melilaukan matanya mencari empunya nama.
"Rose?! Rose?!" giliran Puan Wardah melaung nama anaknya. Selalu anaknya suka duduk di barisan belakang sekali, namun tiada.
"Semua bawak bertenang!" jerit si ketua fasilitator. Ke semua peserta ada lapan puluh orang, dan pastinya seorang hilang.
"Ya Allah, mana anak aku?!" tubir mata Puan Wardah mula bergenang. Hati tidak lagi keruan melihat ketiadaan anaknya.
"Semua orang duduk sini. Kita akan pulang sebaik sahaja kita jumpa peserta yang hilang." Fayyadh bagaikan cacing kepanasan dalam barisannya. Tanpa dipinta, dia mula keluar dari dalam barisan.
"Eh, nak pergi mana tu?!" soal si ketua fasilitator. Cikgu Ainnur mahu menghalang namun pantas sahaja tubuh Fayyadh hilang dari kawasan mereka berkumpul. Terus dikejar beberapa fasilitator yang lain. Para pelajar mula berbisik sesama sendiri tentang keberanian Fayyadh yang mahu mencari Rose Adelia.
Ah, Fayyadh tak peduli semua tu! Dia sudah biasa mengikut abahnya pergi mendaki. Selok-belok hutan masih boleh dia fahami.
Jalan yang diikuti mereka sewaktu datang dilalui Fayyadh. Sekejap-sekejap dia melihat ke curam. Kut-kut Rose Adelia ada. Dalam hatinya dia berdoa agar Rose Adelia sesat semata-mata dan tiada sebarang kecelakaan berlaku.
Namun harapannya meleset jauh apabila melihat sekujur tubuh yang terbaring kaku di bawah. Spontan dia menjerit nama si pemilik tubuh tersebut.
"Rose!" Fayyadh dengan berhati-hati menuruni curam tersebut. Jejak sahaja kaki pada landasan, kepala Rose Adelia dipangku. Sedar ada darah mengalir pada pangkal tangan gadis itu, buat hatinya lagi lemah. Tanpa berfikir panjang, dia terus mencempung tubuh Rose Adelia. Dibawa sehingga ke kawasan mereka berkumpul. Semua mata terbuntang lebih-lebih lagi Puan Wardah. Terus sahaja dia menangis di situ. Ibu mana tidak terluka melihat anak mereka kemalangan? Patutlah sedari tadi hatinya bagaikan terasa ada sesuatu. Rupanya ini. Allah!
SEJAK itu Rose Adelia mula menjauhkan diri daripada orang lain. Insiden hitam itu bagaikan permanent sudah dalam otaknya. Lebih-lebih lagi apabila Wina menceritakan apa yang sebenarnya berlaku. Dan sejak itu juga Rose Adelia mula menjauhkan diri daripada Fayyadh. Bukan mahu menyombong, cukuplah kisahnya menjadi bahan umpatan pelajar-pelajar di sekolah termasuklah guru-guru.
Fayyadh sedar akan hal itu. Dia juga faham dengan situasi Rose Adelia. Dia cuba kawal dirinya untuk tidak terlalu mesra dengan Rose Adelia. Namun hatinya terseksa. Mana mungkin dia boleh tahan melihat sang pujangga asyik bersedih?
Sehingga kini... Usaha Fayyadh tidak pernah berjumpa dengan penamatnya.