Bab 16

AZAN Maghrib berkumandang sejurus Tia menapak ke dalam rumah.  Suasana gelap bertukar terang tatkala cahaya lampu memenuhi ruang tamu.  Tia menuju ke bilik tidur setelah menanggalkan kasut yang dipakai seharian.  Badannya cukup letih. Fikirannya juga sama. Dia cuma ingin berehat secukupnya malam itu.

‘Eh… bau apa ni?’

Langkah gadis itu terbejat tatkala rongga nasalnya diganggu oleh bau busuk yang kuat menyantak hidung.  Bau seakan-akan perut ikan busuk dan hanyir itu hampir membuatkan dia termuntah.

'Rasanya aku dah buang sampah pagi tadi.'

Terpaksa Tia melencong langkahnya ke dapur.  Tong sampah yang kosong itu diperiksa. Aneh.  Tiada sebarang sisa-sisa makanan yang melekat di situ yang boleh mencetuskan bau busuk.  Kerana tidak tahan dengan bau tersebut, segala isi perut Tia termuntah keluar. Peluh merenik di dahi.  Semerta tubuhnya lemah dan tidak bermaya. Masa kian berdetik dan waktu Maghrib juga semakin berlalu pergi.  Tia menggagahkan diri ke bilik air setelah beberapa minit berehat di katil.

Sewaktu mengerjakan solat, minda Tia dipenuhi dengan bermacam urusan. Sukar untuk dia kusyuk seperti biasa.  Dia cuba mengosongkan fikiran ketika mengabdikan diri kepada Yang Esa. Malangnya segala pergerakannya terasa payah.  Sendi-sendinya juga terasa pegal dan berat. Setiap rakaat begitu susah untuk dilakukan.  

Tubuh yang lesu dibawa ke katil.  Fikirannya yang hampir kosong mengingatkannya kembali akan pertemuan antara dia dan Fairuz.  Pertemuan yang tidak dirancang itu membuahkan rasa simpati di dalam hati melihat kecelaruan hidup Fairuz kerana seorang lelaki yang pernah dia sayangi.  Seminit kemudian, dia diserbu rasa benci yang meluap-luap. Fairuz selayaknya menderita kerana merampas cinta orang lain.  

Senyuman paling sinis diukir Tia tanpa sedar.  Puas rasanya melihat nasib Fairuz yang sama sepertinya suatu ketika dahulu.  Tentunya jiwa Fairuz berkocak hebat. Mentalnya juga terdera dek Syamil yang pandai memanipulasi keadaan.

"Astagfirullahaladzim… apa kena aku ni?"

Tia seperti baru tersedar dari kesilapannya. Entah mengapa mindanya jauh menerawang sehingga membelakangkan akal yang dianugerahi Tuhan.  Dia seharusnya bersyukur kerana tidak lagi hanyut dalam cinta Syamil. Tia terlelap dengan pantas akibat keletihan dan dibawa jauh ke alam mimpi.  Dalam mimpi itu Tia telah tersesat di dalam sebuah hutan. Semakin jauh dia berjalan, semakin dia menemui jalan buntu. Tiba-tiba dia dibelit oleh seekor ular hitam gergasi yang menerpa ke arahnya.

Bunyi tulang-belulangnya yang patah seiring dengan rasa sakit yang tidak tertanggung.    Nafasnya tersekat. Bebola matanya hampir tersembul keluar. Rasanya begitu sakit dan perit.  Hanya Allah tempat dia bergantung. Walaupun kalimah-kalimah suci Allah tidak dapat dilafaz secara lisan, hatinya tidak henti-henti berdoa, berzikir dan meminta pertolongan dari-Nya.  Terasa seolah-olah nyawanya kini di hujung tanduk.

Saat dia tercungap-cungap mencari oksigen, Tia serahkan jiwa dan raga hanya kepada-Nya. Perlahan-lahan belitan itu menjadi longgar dan dia telepas dari seksaan yang hampir meragut nyawanya.  

Ular hitam gergasi itu mendesis dan menggelupur kesakitan.  Sepasang matanya yang merah itu terbelalak dan sisiknya terbakar sedikit demi sedikit.  Bau hangit berlegar-legar di udara. Lidahnya yang bercabang dan panjang seringkali mengacah-ngacah tubuh Tia yang terbaring tidak bermaya.

“Allah!”  

Tia tersentak dari lenanya lalu terjaga.  Wajahnya dibasahi keringat. Bibir tidak henti-henti beristighfar.    Mimpi itu seperti benar-benar terjadi. Tubuhnya juga terasa bisa-bisa.  Mimpi tadi amat menakutkan dirinya. Seketika, tubuhnya sendiri diperiksa.  Syukurlah itu semua hanya satu lagi mimpi buruk yang dialaminya sejak akhir-akhir ini.

***


“Awak ada mohon cuti, Tia?” soal Haider setelah Tia meletakkan sarapannya di atas meja.

“Ya, bos.  Saya ingat nak balik kampung.  Dah lama saya tak ambil cuti. Bos jangan risau, saya ada pengganti terbaik untuk bos iaitu Gina,” jelas Tia dengan harapan tinggi yang cutinya akan diluluskan tanpa banyak bicara.

Haider mengangguk perlahan-lahan.  Dia bukanlah majikan yang kejam sehingga tidak membenarkan stafnya bercuti.  Tetapi, tanpa Tia di pejabat dia seperti hilang sebelah tangan. Tia merupakan pembantu peribadinya yang cekap.  Telah agak lama Tia berkhidmat dengan Juta Empire, iaitu semasa arwah bapanya masih hidup lagi. Khidmat Tia cukup cemerlang sehingga ke akhir nafas ayahandanya. Dan kini, dengannya pula.  

Namun sejak kebelakangan ini Haider dapat mengesan perubahan  yang berlaku pada diri Tia. Pembantu peribadinya itu nampak lesu dan tidak bersemangat seperti selalunya.  Entah apa masalah yang dihadapi gadis itu sebenarnya. Persoalannya, adakah kesihatan Tia kini terganggu atau masalah peribadi lain yang disimpannya sendiri sehingga membuatnya berubah begitu.

“Bos?  Bos dengar tak ni?”  Tia mengeluh geram. Membazir air liurnya saja menerangkan jadual pergerakan Haider hari itu sedangkan Haider pula berada dalam dunianya sendiri.  Tia mencekak pinggangnya yang ramping dengan muncung sedepa. Deheman Tia mematikan lamunan Haider lalu pemuda itu tersengih dan meminta maaf.

“Emm… sorry.  Saya mengelamun tadi,” luah Haider berterus-terang.  Membulat matanya bila melihat Tia yang kelihatan bengang.  Marah benar nampaknya. Tak bagi bonus tahun ni baru dia tahu.

“Ish!  Siang-siang hari pun berangan.”

Tia baru saja hendak membuka mulut untuk mengulang semula jadual harian Haider,  majikannya itu segera memberi isyarat tangan agar tidak meneruskan niatnya itu.

“Awak Whatsapp ajelah kat saya apa-apa yang penting.   Dah, awak boleh keluar,” arah Haider sambil mencicip kopi kegemarannya.

“Baik, bos.”  

“Tia!”

Tia hampir tersadung oleh kakinya sendiri apabila namanya dipanggil dengan kuat.  Semerta Tia membetulkan posisi berdirinya semula. Haider yang melihat tingkah Tia berasa serba-salah dengan kesilapannya sendiri.

“Jangan lupa sarapan.  Pucat sangat muka awak tu.”

Tia sekadar mengangguk dan membawa langkah ke pintu.  Sekali lagi langkahnya terganggu apabila bahunya dilanggar oleh seseorang dengan sengaja.  Nelly. Gadis yang paling bermasalah di syarikat itu. Mungkin bermasalah dengan dirinya seorang, tidak dengan staf-staf yang lain.  Di belakang Nelly tersembul wajah Zahrin yang cukup menyampah untuk ditatap lama-lama. 

Zahrin menyungging senyum kepadanya.  Seperti biasa, senyuman itu tidak menyenangkan hati Tia dan dia terpaksa membalasnya dengan satu senyuman tawar demi menjaga hati Zahrin.  

'Pucat sangat ke muka aku ni?' getus Tia seraya membelek mukanya di cermin.  

Dia mendengus lantas membawa diri ke tandas dengan beg make up di tangan.  Berus blusher menyapu pipinya yang agak cengkung sehingga naik seri wajah. Setelah berpuas hati, Tia beredar sambil diperhatikan penghuni tandas yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

***


Zahrin mengintai gerak-geri Tia yang tekun melakukan tugasnya dari pintu pantry. Muk berisi hot chocolate dibawa ke bibir.   Tancap matanya tetap tajam kepada Tia. Ada sesuatu tentang gadis itu yang mencuti hati lelakinya. Tia seorang gadis Melayu yang begitu menitikberatkan nilai-nilai islam dalam kehidupan harian.  Lihatlah saja penampilan Tia yang begitu menjaga auratnya dengan sempurna. 

Tudung bawalnya labuh menutupi dada.   Busana yang digayakan mengikut fesyen terkini namun masih mengikut syariat islam dengan kasut bertutup sehingga ke buku lali.  Tia sememangnya cantik. Bukan sekadar cantik di luaran, bahkan juga pekertinya persis wanita Melayu terakhir.  

Pandangan Zahrin jatuh kepada ulas bibir Tia yang merah dan terbentuk indah.  Hatinya diketuk satu keinginan gila. Keinginan untuk melihat kecantikan Tia lebih dari itu.  Panca inderanya saja tidak cukup untuk memuaskan hatinya yang dilingkari bibit-bibit durjana.

Baru saja Tia bangun untuk membuat fotokopi, Zahrin memanggilnya melalui telefon.

"Tia, boleh jumpa saya sekejap?"

Tia mengeluh dalam hati.  Bukannya tidak mahu, cuma masanya tidak kena.  Dia teramat sibuk waktu itu. Setelah dirayu, Tia akhirnya bersetuju.

"Apa yang saya boleh tolong Encik Zahrin?"

Zahrin tersengih riang.  Suara Tia lembut menyapa gegendang telinga.  Senang sekali dia mendengar suara itu menyebut namanya.

"Pendrive saya ni bermasalah rasanya.  Semua fail-fail yang saya simpan dah hilang.  Awak boleh tolong tengok-tengokkan?"

Tia agak gementar apabila Zahrin berani merapatkan diri kepadanya.  Berderau darahnya saat hembusan nafas Zahrin begitu dekat di telinga.

"Ma… mana pendrive tu?" tanya Tia gementar.  

"Ini dia," ujar Zahrin seraya menolak pendrive berwarna hitam yang diukir namanya sendiri dengan dakwat perak.

Dia berusaha menjarakkan diri dari Zahrin si buaya tembaga.  Berkali-kali Tia beristighfar di dalam hati agar dapat dihapuskan kecamuk di jiwa.  Lebih-lebih lagi apabila Zahrin melontarkan satu pandangan yang sukar dia mengerti. Nyata sekali pandangan itu mengandungi seribu satu makna.

Beberapa buah folder terpapar di skrin.  Berlapis dahi Tia apabila mendapati pendrive itu tidak bermasalah seperti yang dikatakan Zahrin.  Tia menjeling marah dengan nafas kasar.  

"Apa ni, Encik Zahrin?  Saya banyak kerja, tau tak?  Pendrive encik tak ada masalah pun.  Encik Zahrin jangan main-main dengan saya!"  Bergetar suara Tia menahan rasa, geram.

"Eh!  Ajaib betul!  Tadi dah banyak kali saya cuba.  Tak ada satu fail pun dalam tu. Tak sangka dengan aura Cik Tia saja semuanya dah pulih.  Wow!"

Zahrin duduk bersandar di kerusi sambil bertepuk tangan.  Hati Tia sakit. Sia-sia dia cuba membantu, sebaliknya dirinya diperkotak-katik oleh lelaki yang baru beberapa bulan bekerja di syarikat milik Haider.  Bibirnya diketap geram. Rasa kesal membuak-buak di dada kerana terpedaya dengan pujuk rayu Zahrin sebentar tadi.

"Kalau tak ada apa-apa lagi saya keluar dululah!"  

Tia cuba meluru keluar namun ditahan Zahrin yang begitu seronok melihat pipi Tia merona merah.  Dia belum puas bermain-main dengan Tia.  

"Okey, cuba awak tengok ni.  Bila saya klik dekat folder semuanya kosong.  Awak tahu tak macam mana nak retrieve fail-fail tu semula?"  

Zahrin tidak berputus asa.  Malah dia menyimpan hasrat agar langkah pertamanya hari ini berjaya.  Mouse di tangannya bergerak ke sana ke mari mengikut pergerakan tangan Zahrin.  Biarpun kurang senang dengan tindakan lelaki itu, Tia cuba berlagak biasa seolah-olah jiwanya tidak terusik sedikitpun.

Tia mengambil alih semula komputer milik Zahrin.  Satu per satu folder yang tersimpan di klik. Ternyata Zahrin tidak berbohong. Hanya tinggal satu fail saja lagi yang tidak dibuka.  Fail yang dilabel sebagai "Fun" itu terbuka dengan sekali klik. Tia hampir pengsan tatkala melihat paparan sebuah video lucah yang memaparkan seorang gadis diperkosa oleh dua orang lelaki.  

Semerta badannya menggigil dan berkeringat.  Lidahnya kelu. Kedua-dua belah kaki gadis naif itu amat begitu berat untuk melangkah.  Zahrin di sebelahnya tersengih gatal. Tanpa diduga Zahrin memegang bahu Tia yang sedang kaget dan berkata sesuatu, "apa yang awak akan buat kalau benda ni berlaku pada awak?"

Entah dari mana Tia mendapat keberanian lalu menolak tubuh Zahrin hingga terjatuh dan terus berlari keluar.   Dia bergegas ke pintu lif setelah mencapai tas tangan. Air mata berjuraian tanpa suara. Semua staf tertanya-tanya sesama sendiri.  

"Tia!  Kau nak ke mana tu?" laung Gina tanpa mempedulikan staf mereka yang lain.

Tia membatukan diri.  Dia malas untuk menyahut.  Lagipun, siapa akan percaya dengan cerita dari staf biasa sepertinya.  Silap hari bulan dia pula akan dituduh kerana mereka-reka cerita. Beberapa saat kemudian pintu lif terbuka.  Kaki menapak laju ke dalam lif. Dengan wajah menunduk, Tia menyeka air mata yang semakin lebat.  

Lif itu membawanya ke lobi.  Langkah Tia semakin pantas diayun sehingga ke pintu keluar.  Di situ dia berhenti seketika. Tia bingung. Dia tidak tahu arah mana yang harus dituju.  Tanpa berfikir panjang Tia melintas jalan raya secara membabi-buta.

Srettt!

Decitan tayar kereta yang bergeser dengan jalan kuat kedengaran.  Jalan raya menjadi sesak serta-merta. Hon berbunyi di sana-sini. Tia menekup telinganya sendiri dan tercegat berdiri di tengah-tengah jalan raya berhadapan Wisma Juta Empire.  Jaraknya antara kereta yang hampir-hampir melanggarnya tadi cuma seinci.  

Malang sungguh nasibnya hari itu.  Berganda-ganda dugaan yang mendatang sehingga fikirannya menjadi buntu.  Pemandu kereta itu keluar dengan tergesa-gesa. Orang ramai sudah berkerumun untuk melihat keadaannya secara dekat.

"Tia!  Ya Allah… nasib saya tak terlanggar awak tadi!"

***





















Previous: Bab 15
Next: Bab 17

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh