Bab 12

"OH!  Awaklah gadis tu.  Ada apa awak cari saya?  Rasanya saya tak ada apa-apa hutang dengan awak," tempelak Tia sambil bercekak pinggang.  Tudung bawal yang senget di kepalanya dibetulkan.

Jika Fairuz boleh bersikap jengkel, dia juga boleh jadi seribu kali ganda menjengkelkan.  Lagipun itu adalah kediamannya. Dan dia boleh menghalau Fairuz bila-bila masa sahaja yang dia suka.  Fairuz telah memberikan gambaran buruk saat pertama kali mereka bertemu empat mata. Dan itu menyebabkan hatinya sakit serta-merta.

"Awak silap.  Bukan awak seorang, tapi kita.  Kita yang saling berhutang." Tegang suara Fairuz menyapa gegendang telinga Tia.

Tia membiarkan Fairuz berdiri seperti tiang elektrik di luar rumah tanpa berniat mempelawanya masuk.  Kasut bertumit setinggi tiga inci itu menyebabkan kaki Fairuz sakit dan melecet. Itu harga yang terpaksa dia bayar demi menonjolkan dirinya agar tampak gah dan elegan di mata Tia yang selalu dilabel sebagai gadis kampung yang kolot oleh Syamil. 

"Boleh bagi saya masuk?  Kaki saya sakit." 

Segera kasut berwarna hijau muda itu ditanggalkan dan rasa pedih kerana melecet berkurangan.  Tia serba-salah dengan permintaan Fairuz dan motif sebenar dia ke situ. Manalah tahu, kalau-kalau dia berpakat dengan Syamil untuk mengenakan dia.  Bak kata pepatah, rambut saja hitam, tapi hati lain-lain. Niat manusia yang lainnya sukar ditebak. Gamang juga bertandang di hati.

"Saya datang seorang saja.  Syamil tak tahu saya ke sini."  

Fairuz seolah-olah dapat membaca fikiran Tia kerana belum memberi kata putus sejak tadi.  Dia nekad bertemu dengan Tia setelah berhari-hari mengekori Syamil ke situ. Dengan teragak-agak, Tia membuka mangga yang mengunci jeriji besi tersebut sekaligus memecahkan tembok sempadan antara mereka. 

Fairuz terkejut dengan ketinggian Tia yang melayakkan gadis itu menjadi seorang model. Jika tidak kerana kasut tumit tinggi yang dipakainya, dia tidak ubah seperti ayam serama yang katik. Beza ketinggiannya dengan Tia begitu ketara sekali.

"Masuklah," pelawa Tia hambar.  Kakinya diayun malas ke dapur.

Fairuz menanggalkan kasut tumit tinggi lantas menapak masuk dan duduk di sofa seraya mengitari ke segenap  inci ruang rumah itu. Pangsapuri tiga bilik yang terletak berhampiran Bangsar South dilihat lebih selesa dan luas dari rumah yang dia duduki.  Angin pagi yang berhembus menderu masuk melalui pintu gelangsar yang terbuka luas. Langsir tipis terbuai-buai ditiup sang bayu. Rumah itu mempunyai auranya yang tersendiri.  Haruman lavender pula amat cocok dengan suasana di rumah itu.

"Jemput minum." 

Satu muk minuman coklat panas diletakkan di atas meja kopi dan Tia mengambil tempat di sofa yang bertentangan dengan Fairuz.  Agak lama mereka berdiam diri. Lirikan mata dan lenggok badan mereka sahaja yang saling berbicara.

"Beginilah.  Biar saya berterus-terang saja dengan awak.  Saya kekasih Syamil. Kami dah lama kenal, tetapi hubungan kami terputus di tengah jalan atas beberapa faktor tertentu.  Kami terpisah selama dua tahun, dan berjumpa semula beberapa bulan yang lepas dan hubungan kami bercantum kembali."

Tia buat muka bosan.  Dia sudah tidak kisah tentang apa-apa lagi.  Tidak perlu Fairuz menceritakan secara terperinci tentang kisah cinta mereka.  Yang berlalu biarlah berlalu dan kekal sebagai sejarah dalam lipatan memorinya.   Rasa sebal mula menapak dalam diri.

"Jadi?" tanya Tia tidak berminat.  

Anginnya yang baik sebentar tadi mula dibadai ribut.  Tunggu masa sahaja untuk bertukar menjadi taufan. Dia mengambil peluang menatap tiap inci wajah Fairuz dari dekat.  Gadis berketinggian 5 kaki 3 inci itu memiliki kulit sawo matang, berpipi tembam dan badannya agak berisi berbanding dirinya.

"Awak pun girlfriend Syamil, bukan?" tebak gadis itu berani.  Matanya tepat memandang Tia yang begitu tenang di depannya. Air tasik pun tidak setenang itu.

"Pembetulan.  Ex-girlfriend.  Kami dah putus. Dan awak tak perlu untuk rasa tergugat sebab saya memang dah tawar hati kat dia."  Tia berkata jujur dan yakin.  

"Tia, Tia, Tia.  Awak terlalu naif.  Awak tak kenal siapa Syamil yang sebenarnya..." 

"Saya cukup kenal dengan Syamil dalam hampir empat tahun ni.  Atau mungkin saya yang lebih kenal siapa dia berbanding awak!" pintas Tia laju.

Fairuz memejam mata buat seketika sebelum mengumpul nafas.  Boleh tahan juga kepala angin Tia ini. Dia tidak sepatutnya memandang rendah akan gadis yang terlihat polos pada zahirnya.  Kakinya yang tidak berapa panjang itu disilangkan sebelum memulakan bicara.

Sekali awak terjebak dengan cinta dia, tidak semudah itu untuk dia lepaskan awak pergi."  

Fairuz menghirup minumannya lagi sehingga habis dalam satu tegukan sahaja.  Muk yang kosong diletakkan kembali di atas meja.

"Kenapa saya kena percaya cakap awak?  Kita tak saling mengenali antara satu sama lain pun.  Saya juga tak tahu apa motif sebenar awak ke sini." 

Tia semakin muak dengan bicara Fairuz dan gadis itu sendiri.  Semakin lama, semakin dia dapat rasakan bahawa Fairuz mempunyai agenda tersembunyi, tetapi dia tidak tahu apakah agendanya yang sebenar.

"Sebab saya lebih kenal dia dari awak.  Percayalah, sikit masa lagi dia akan cari awak semula.  Tetapi… dia tak akan sekali-kali tinggalkan saya. Sebab saya bakal graduan Sarjana.  Rata-rata girlfriend dia sebelum ini berkelulusan diploma aje."  

Fairuz ketawa mengejek, seraya memandang tepat ke anak mata Tia.  Coklat panas di dalam muk dicicip perlahan sehingga separuh. Tia memerhati kelakuan Fairuz dengan  sebal di hati.

Berdesing telinga Tia dengan keangkuhan gadis bernama Fairuz itu.  Dalam masa yang sama, dia juga berasa terpukul kerana tidak memiliki Sarjana seperti yang dicanang oleh Fairuz.

"Sarjana bukan kayu pengukur kehidupan individu. Kaya, tidak semestinya bahagia.  Dan berpelajaran tinggi pula tidak semestinya bijak. Yang penting, kita pandai guna otak berpandukan akal, bukannya nafsu!"

Hampir tersedak Fairuz dengan kiasan tajam yang ditujukan khas untuknya.  Sangkanya, Tia seorang gadis lemah dan mudah dimanipulasi seperti yang diuar-uarkan Syamil sendiri.  Ternyata jati diri gadis itu telah berubah 360 darjah.

"Suka hati awaklah!  Saya cuma nak beri amaran kepada awak.  Syamil adalah milik saya seorang. Dia cintakan saya, dan bukannya awak!"  

Oktaf suara Fairuz yang tinggi tidak sedikitpun mengocak ketenangan jiwa Tia.  Malah gadis itu tetap tersenyum manis dengan ulas bibir yang berwarna merah asli.  Paras Tia yang sejuk mata memandang pula dapat menenangkan hati sesiapa sahaja yang melihatnya.  Sebab itulah agaknya Syamil selalu mencari Tia setiap kali mereka bercakaran.

"Bahagian mana yang awak tak faham?  Saya dah cakap yang saya dan Syamil dah tak ada apa-apa hubungan lagi. Saya rasa elok awak balik sekarang sebelum saya bertindak di luar kawalan." 

Tia menapak ke pintu utama lalu membuka pintu tersebut dengan luas dan memberi isyarat supaya Fairuz segera beredar.  Dengan dengusan marah, Fairuz menyambar beg tangannya dan melangkah keluar dengan terpaksa. Sempat dia menghadiahkan satu jelingan tajam kepada Tia yang berdiri tegak di mula pintu seraya mengunci mangga di jeriji besi.

Tidak semena-mena air muka Fairuz berubah dengan peluh berjuntaian di dahi. Dia terbongkok-bongkok dan menekan-nekan perut dengan kerutan di wajah.

"Apa bau bangkai ni?"  Tia melibas-libas tangan untuk mengusir bau yang kurang enak.  Dia masih berdiri tegak menonton gelagat Fairuz yang dilambung resah di sebalik pintu.

Merah padam muka Fairuz menahan malu.  Apa yang berlaku di luar kawalannya. Entah apa yang masuk ke dalam perutnya sehingga mengganggu sistem penghadaman seterusnya menerbitkan rasa sakit dan pembuangan angin yang kerap.  

Dia cuba meminta simpati kepada Tia.  Akan tetapi gadis itu seperti tidak mempunyai perasaan sahaja.  Tanpa sempat menyarung kasut dia berlari sepantas kilat ke lif dengan langkah sumbang.  Tia mengucapkan selamat tinggal dengan lambaian tangan.

"Selamat tinggal!" ucap Tia dari kejauhan.

Sejurus daun pintu dikunci, Tia ketawa berdekah-dekah kerana lucu.  Fairuz meneguk minuman bercoklat itu sehingga habis. Muk itu dibawa ke sinki untuk dicuci. Tia bernyanyi-nyanyi kecil tanda senang hati.

°°••°°


"SERIUS, kau buat dia macam tu?"  

Seisi rumah bergema dengan ledakan ketawa Erin dan Tia pada malam itu.

"Iya.  Aku dah agak kedatangan dia ada makna."

"Apalah agaknya nasib dia hari tu.  Bukannya boleh ditahan-tahan rasa sakit nak memerut."  

Ketawa Erin masih bersisa.  Walaupun tindakan Tia agak kejam, tetapi tidaklah sampai mencabut nyawa gadis itu.   Niatnya cuma untuk mengajar mulut Fairuz yang lancang dan tidak berlapik. Ubat julap yang dimasukkan ke dalam air coklat Fairuz tempoh hari hanyalah dalam dos yang kecil.  Dia sendiri tidak mengalami apa-apa komplikasi bila mengambil dos yang sama.

"Entah!  Sampai terkentut-kentut depan pintu."  Ketawa mereka pecah lagi.

Dia langsung tidak menyangka bahawa ubat julap itu bertindak balas terlalu cepat dalam badan Fairuz.  Masih segar di ingatannya akan situasi gadis itu sewaktu menahan isi perutnya yang sedang bergelora dan menanti masa untuk terburai keluar.

"Tapi kan, Tia.  Aku bangga sangat dengan diri kau yang baru sekarang ni.  Kau tabah, sabar dan reda dengan dugaan." Erin mengelus lembut jari-jemari Tia.

"Sebab aku bertuah sangat-sangat.  Aku ada kau yang tak putus-putus beri semangat kepada aku.  Kau selalu sambut aku bila aku jatuh. Kau juga berjaya buka mata dan sedarkan aku daripada terus hanyut dalam sungai cinta Syamil.  Terima kasih, Erin."

Tia memandang redup ke mata Erin, sahabat yang paling dia sayang.  Jatuh dan bangunnya bersama-sama Syamil hanya dia yang tahu. Suasana malam itu diselubungi rasa sedih dan sayu.  Erin membalas renungannya dengan senyuman yang mekar bak sejambak bunga mawar.

Malam itu juga mereka berbual panjang di balkoni sambil menatap kanvas langit hitam yang dihiasi gemerlapan bintang-bintang.  

Tepat jam 3 pagi, Tia terjaga dari lena.  Resah dan gelisah menambahkan debar di dada.  Tia duduk bersandar pada kepala katil seraya memagut lutut.  Satu per satu kenangannya bersama Syamil menerjah ingatan. Memori yang cuba dibenam jauh di sudut hatinya berlumba-lumba meracuni fikiran.

'Allah!  Allah!'

Berkali-kali kalimah itu diucap.  Mengucur air matanya membasahi pipi.  Jiwa dan sanubari pula dicengkam sayu yang sukar diungkap dengan kata-kata.  Saat ini, dia cuma ingin Syamil berada di sisi. Dia rindukan senyuman dan ucapan kalimah cinta dari Syamil.  Laju kaki diayun ke bilik air, mengangkat wudhuk untuk mengadu kepada Yang Maha Esa.  

Hati yang gundah beransur tenang.  Puas dia cuba lelapkan mata, namun kelopak matanya masih belum mahu terpejam.  Dia tidak tahu kenapa dengan tiba-tiba saja memori itu melintas dalam kepalanya tanpa dipinta.  

°°••°°


"SELAMAT pagi, bos," ucap Tia dan tangannya ligat meletakkan fail di atas meja Haider.  

"Selamat pagi."

Selama empat hari Haider tidak masuk ke pejabat.  Banyak perkara-perkara penting yang harus dia siapkan.  Dia tersenyum melihat susun atur dan keadaan bilik yang bersih dan rapi.  Tia sememangnya ada mengambil tahu dan tidak lepas tangan selama ketiadaannya di pejabat.

"Macam mana dengan kesihatan Puan Habibah?" tanya Tia berbasa-basi.  Terbayang-bayang keanggunan dan keramahan Puan Habibah terhadapnya beberapa hari yang lalu.

"Alhamdulillah, dia beransur sihat.  Apa program saya pada hari ini?"

Tia membuka folder aplikasi organizer pada telefon pintarnya.  Program yang sedia tercatat dengan label pelbagai warna itu dibaca dan diterangkan satu per satu.  Haider mengangguk faham dan sesekali mencelah apabila perlu. Kemudian Tia kembali ke bilik dan menyambung tugasan yang tak pernah habis.  

Detik yang berlalu menghampiri ke angka 1 tengah hari.  Kerap kali Tia melirik skrin telefonnya di atas meja. Terasa aneh apabila Syamil langsung tidak menghubungi dia untuk makan tengah hari sama-sama.  Tiba-tiba dia teringatkan sesuatu. Seperti terkena renjatan eletrik dia disentak rasa pilu yang menjalar ke segenap urat sarafnya.

'Apa kena aku ni?' rintih Tia sendirian.  

Jantungnya semakin kencang berlari mengepam ke setiap kapilari darah hingga dia berasa lelah.  Gina yang jalan berlenggang ke arahnya memperlaju langkah.

"Kalau tak sihat kenapa datang kerja juga?"  

Gina mempertikaikan tindakan Tia yang sering mengabaikan kesihatannya sendiri.  Sudah berbuih mulutnya menasihati, apakan daya ada-ada sahaja jawapan balas dari Tia.

"Aku okey je tadi.  Tiba-tiba je ni aku rasa pening."  

Tia menekur wajah ke meja.  Badannya seram sejuk seakan-akan petanda awal demam akan melanda. Gina memicit-micit kepala Tia mengharapkan kesakitan Tia berkurangan. Tidak lama kemudian dia menghilangkan diri ke pantri dan kembali semula dengan segelas air masak.

"Minum air ni.  Aku rasa baik kau berehat dulu, tenangkan hati dan minda kau tu.  Sekejap lagi aku pergi beli makanan. Kau nak makan apa?" Gina merebahkan tubuh Tia di bilik rehat.  Badannya diselimuti dengan blazer hitam yang tersangkut di belakang kerusi.

"Aku tak ada selera.  Tak payah belilah."

Gina merengus geram.  Sakit-sakit pun tetap mahu melawan.  

"Aku beli makanan biasa.  Balik nanti kita makan sama-sama.  Kalau kau tak makan, siaplah!" 

Sepasang kaki bunting padi milik Gina dihentak perlahan ke lantai menuju ke restoran berdekatan setelah pintu bilik rehat ditutup.  Tia melayan perasaannya sendiri bersama sisa-sisa memori yang semakin meracau dalam diri. Berkali-kali kalimah suci dialun bagi meredakan rasa gementar yang menyerang setiap kali wajah Syamil singgah di matanya.

"Bangun, Tia.  Kita makan sama-sama."

Sewaktu dia hanyut dan semakin menghampiri daerah mimpi, Gina mengejutkannya bersama hidangan makan tengah hari.  Mi goreng kerang dan coklat panas sudah tersedia di atas meja. Terpisat-pisat mata digosok dan sel-sel otak miliknya cuba mencerna apa yang telah berlaku.

"Syamil!"  Gina yang sedang menyuap makanan terhenti suapannya.  Sudu dan garpu diletak ke tepi.

"Tia rindukan Mil."  

Roman wajah Tia bertukar sedih.  Lengan Gina digoyang-goyang kuat, cuba membuat 'Syamil' membuka mulut.  Gina tidak sedikitpun bersuara. Malahan, hatinya diserbu rasa hairan. Dalam masa yang sama romanya berdiri tegak dan mula menjarakkan diri dari Tia.

Tak mungkin gadis itu sedang bermimpi di siang hari.  Diamati wajah Tia yang sugul dan berbekas air mata. Pipi Tia ditampar-tampar lembut, cuba mengejutkan Tia dari apa jua bentuk khayalan yang ada pada dirinya.  Tidak pula dia terfikir bahawa perbuatan Tia itu adalah satu perkara yang melucukan bagi Gina. Parah benar gila bayang Tia kepada lelaki bernama Syamil kali ini.

"Tia… ooo, Tia.  Kau mimpi ke apa ni?  Syamil tu siapa?"

Sergahan Gina menusuk tepat ke dalam lohong telinga sehingga Tia tersedar dan terbuntang luas matanya.  Dia mengubah posisi lalu mencicip air coklat panas di dalam muk berwarna hijau. Gina meneruskan suapan dengan persoalan yang belum terjawab.

"Tia… aku minta maaf kalau pertanyaan aku ni menyinggung perasaan kau."  

Gina mengelap mulutnya dengan tisu.  Bekas polisterin dimasukkan ke dalam plastik sebelum meneguk minuman soda.

"Apa dia?  Tanyalah."

"Siapa Syamil?" 

"Tak ada sesiapa."  Tia sudah habis makan.  Bekas polisterin yang kosong dimasukkan ke dalam plastik yang sama.

"Boyfriend kau?"

Tia tersedak lalu mengurut-ngurut dadanya perlahan.  Mengena pula tebakan Gina tadi. Dia terpunduk, tidak bersedia untuk bercerita perihal peribadinya kepada Gina.  Masa rehat masih berbaki 10 minit. Tia bingkas bangun namun ditahan oleh Gina yang menagih penjelasan dari Tia.

"Aku…."

"Kalau kau anggap aku ni kawan kau, sepatutnya kau berterus-terang dengan aku.  Mungkin aku boleh tolong kau apa yang patut."  

Gia seakan mendesak, memaksa Tia melabuhkan punggung di sebelahnya dan menyusun rangka cerita cintanya untuk difahami Gina.

Ulas bibir Tia bergerak-gerak seiring dengan bahasa tubuhnya sekali.  Gina menumpukan sepenuh perhatian kepada penceritaan Tia, tentang Syamil dan kisah cinta yang baru diketahuinya kali ini.  Fahamlah Gina, bahawa Syamil pernah menjadi insan yang paling penting dalam hidup Tia Amanda. Di akhir cerita, tubir mata Gina digenangi air.  Tumpas jua hati batunya dengan kesudahan cinta Tia yang lama diperjuangkan.

"Sedihnya kisah kau ni, Tia.  Macam drama pun ada. Aku sokong tindakan kau tu.  Untuk melupakan sesuatu yang telah lama sebati dalam diri kita memang mengambil masa yang panjang.  Tapi kau kena yakin, masa juga adalah penyembuh yang paling mujarab untuk kau pulih dari kehidupan lama.  Kau gadis yang kuat semangat. Sabar banyak-banyak, ya?"

Tia mengangguk lemah.  Jari-jemari Gina yang montel digenggam kemas dalam kehangatan telapak tangannya.  Mata bertentang mata, dan iris matanya mengecil lalu menyorot lembut ke dasar mata Gina.

"Janji dengan aku, jangan beritahu sesiapa tentang ni.  Aku merayu pada kau, Gina. Kalau kau anggap aku ni kawan kau, please."

Gina tersenyum dengan pipi tembamnya yang dicalit warna coral, dia kelihatan semakin cantik dengan gincu dalam rona sama.

"Aku akui kadang-kadang mulut aku ni jahat, tapi aku takkan sesekali buka pekung kawan aku sendiri."

Tia memeluk Gina dengan agak lama.  Rambut perang Gina yang indah beralun dielus lembut.

"Terima kasih!"

"Sudahlah tu.  Tak payah sedih-sedih lagi.  Masa rehat pun dah tamat. Kita sambung kerja dulu."

Mereka berdua beredar ke pantri untuk mencuci perkakas makan dan minum.  Tia berhajat untuk ke bilik air terlebih dahulu bagi mencuci muka. Wajahnya yang comot dengan kesan maskara dibersihkan terlebih dahulu.  Dia masuk ke dalam tandas untuk urusan peribadi sebagai wanita yang dkunjungi 'sahabat bulanan.'

Tidak semena-mena, siraman air ke dalam mangkuk tandas di sebelahnya berbunyi.  Seingatnya tadi hanya dia seorang yang berada di situ. Dia kemudiannya berjalan ke sinki untuk mencuci tangan.  Angin sejuk terasa menyerbu ke muka.  

"Tia…."

"Siapa?"  

Sepantas kilat Tia berpusing ke belakang.  Malangnya hanya dia saja yang ada di situ. Telinga dipasang seandainya namanya diseru lagi, tetapi tiada.

'Apa kena dengan aku ni?' 

Tia lekas-lekas cabut lari kerana keseraman tandas itu luar biasa sekali.  Tanpa dia sedari, ada satu makhluk hodoh mendampingi dirinya seusai dia keluar dari situ.







 

Previous: Bab 11
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh