Bab 9

°°••°°


"KENAPA awak tak angkat panggilan tu?" soal Haider pelik.  Tia sekadar merenung telefonnya yang bergetar di atas meja.

"Tak penting," balas Tia selamba.  

Hanya Tuhan saja yang tahu betapa jiwanya sedang berantakan.  Dia kembali ke dapur, mencapai senduk lalu mengacau bubur yang mula membentuk gelembung-gelembung kecil.

"Tia… nak saya tolong jawabkan?"  

Telefon Tia sudah berada di genggaman Haider dan bersedia menekan butang hijau sekiranya mendapat kebenaran Tia.

"Jangan!"  

Sepantas kilat Tia meluru ke arah Haider lalu merampas telefon itu dan laju memasukkannya ke dalam beg tangan.  Tindak-tanduk spontan gadis itu menimbulkan tanda-tanya pada Haider. Namun, Haider cepat saja tersedar bahawa dia telah membuat satu kesilapan dengan cuba mencerobohi privasi Tia.

"Ma… maafkan saya.  Saya tak sepatutnya masuk campur urusan awak."  Haider berkata dengan rasa bersalah.  

Tia berdiri membelakangi Haider.  Air jernih bergenang di pelupuk mata, pantas ia diseka sebelum jatuh menjadi tangisan.  Tidak! Haider tidak perlu tahu!

"Bubur dah masak.  Boleh tolong ambilkan mangkuk?" pinta Tia sopan sekaligus mematikan rasa canggung yang menguasai suasana.

Saat Tia berpaling untuk menyambut huluran satu mangkuk kaca dari Haider, sempat Haider melihat hidung dan mata Tia yang memerah.  

'Tia menangis ke?' amuk hatinya resah.  Adakah Tia menangis kerana perbuatannya tadi?

"Bos, kalau tak ada apa-apa lagi, saya minta diri dulu.  Banyak lagi kerja saya kat pejabat." Tia berkata demikian untuk mengelak dari terus menjadi objek renungan Haider.

"Haider…."  seru Puan Habibah menyebabkan mereka berdua menoleh serentak.  Sosok Puan Habibah yang lesu membuahkan rasa bimbang di hati Haider.  Boleh pula ibunya itu mencarinya di dapur dalam keadaan tidak sihat begitu.

"Mama!  Kenapa mama datang sampai ke sini.  Duduk ajelah kat bilik tu, rehat. Mama kan tak sihat."  Haider menyuarakan isi hatinya. Lengan Puan Habibah dipaut lalu cuba mengiringi wanita separuh abad itu kembali ke bilik.

"Ini siapa?" 

Haider hampir terlupa dengan kehadiran Tia di rumah mereka.  Tia cuba melorek senyum, walaupun dia tahu senyumannya itu kelihatan hambar.

"Oh!  Mama dah lupa, ye?  Ini Tia, pembantu peribadi Haider."

Tia mengelap tangannya yang basah di apron.  Tangan dihulur untuk bersalaman. Lama Puan Habibah menyambut tangan mulus milik Tia seraya merenung redup sepasang mata itu hingga ke dasar.  Puan Habibah dapat merasai beban dan gelisah yang bersarang di hati gadis di hadapannya.

"Apa khabar, Puan?" sapa Tia berbasa-basi.  Badannya dibongkokkan sedikit tatkala bersalaman.

"Hmmm… macam nilah.  Sekejap demam, sekejap baik.  Tak pasal-pasal Haider terpaksa bersusah-payah menjaga saya."  Lensa mata dilempar kepada Haider yang diam membisu. Hati tuanya menebak sesuatu.

"Mama, kita balik ke bilik.  Tak elok mama duduk di luar ni."  Lengan sasa Haider ditampar lembut.  Kepala digeleng tanda bantahan.

"Mama bosan.  Biarlah mama berjalan-jalan sikit.  Bukan jauh pun, dalam rumah ni juga." 

Tiada apa lagi yang dapat Haider katakan.  Jika itu kehendak mamanya, dia terpaksa akur.

"Mama nak duduk kat ruang tamu.  Tak silap mama sekejap lagi ada drama Korea.  Apa entah tajuknya. Legend of The Blue Sea? Best drama tu, hero dia Lee Min Ho.  Mari, Tia temankan saya. Tengok ramai-ramai meriah sikit."

Bulat mata Haider mendengar omelan mamanya. Manakala, Tia pula cuba menahan ketawanya yang hampir terhambur.  Tidak disangka sama sekali drama Korea kegemaran Erin turut menjadi tontonan Puan Habibah. Dengan rela hati Tia menuntun tangan Puan Habibah ke ruang tamu.  

"Bos jangan lupa bawa bubur tu sekali."  Sempat Tia menitip pesan tatkala berpapasan dengan Haider.

Terkial-kial Haider menceduk bubur panas ke dalam mangkuk.  Tidak dilupa juga segelas air kosong untuk dibawa bersama. Melihatkan bubur yang masih berasap itu, selera Haider tiba-tiba terbuka.  Leher dipanjangkan ke ruang tamu. Para wanita di situ sedang asyik menonton drama Korea diselangi gelak ketawa gembira. Haider tersenyum senang dan begitu terhutang budi dengan Tia.

Sesudu bubur yang masih panas disuap ke dalam mulutnya.  Rasa bubur itu setanding dengan bubur ayam yang pernah dibelinya di restoran segera.  Malah, rasanya lebih sedap lagi. Mungkin inilah yang dimaksudkan dengan masakan dari air tangan seseorang.  Bubur itu kini tinggal separuh periuk. Pantas Haider menutup periuk dengan penutup. Jika diikutkan hati, boleh saja dia menghabiskan satu periuk bubur yang ada.

"Maaf, lambat.  Bubur ni Tia yang masak, tahu?" terang Haider kepada Puan Habibah yang tidak berganjak di depan TV.

"Kamu ajak si Tia ke sini untuk jadi tukang masak?"  Pertanyaan Puan Habibah membuatkan Tia tersedak.

"Bu… bukan, Puan.  Saya datang ke sini sebab bawakan beberapa dokumen penting untuk Encik Haider tanda tangan.  Kebetulan, bos tengah sibuk kat dapur. Jadi, saya tolong apa yang patut." 

Sebolehnya Tia cuba menjaga air muka Haider.  Jika bukan dia, siapa lagi. Lagipun, dia amat cekap dalam hal begitu.  Orang dulu-dulu sebut sebagai tipu sunat. Tidak sangka pula wujud pelbagai jenis tipu di dunia ini.

"Hmmm…."  Jelingan tajam dihadiahkan buat Haider.  Dia kenal benar akan anak kandungnya itu.  Jangankan memasak, pegang senduk pun tidak tahu.  

'Thank you!'  Haider memberi isyarat kepada Tia yang tersengih sambil menggosok belakang kepalanya.

"Hah!  Tengok tu.  Gadis duyung tu tak sabar-sabar nak makan kek."  

Puan Habibah terkekeh-kekeh ketawa menonton babak Shim Chun menerkam kek hari jadi Joon Jae hadiah dari rakan lelaki itu.  Ketawanya semakin kuat tatkala Shim Chung cuba meniru sikap lemah lembut yang dimiliki Shi Ah. Lega hati Haider bila melihat Puan Habibah begitu ceria dan dapat menghabiskan semangkuk bubur nasi yang dihidangkan.

"Eh, kenapa dengan kaki tu?" tanya Puan Habibah ketika melihat kaki Tia yang semakin membengkak tanpa sengaja.

Tia menyembunyikan kakinya ke dalam kain baju kurung bercorak bunga sakura jenis crepe.  Tiba-tiba saja kakinya berdenyut dan sakit. Terbayang-bayang di ruang mata akan tumit kasut tinggi milik Nelly yang terbenam di kakinya pagi tadi.  Masa-masa begini pula ia mula membengkak dan sakit.

"Tia, kasi saya tengok kaki tu.  Lebam dah bengkak sangat tu," gesa Puan Habibah seraya menarik sedikit kain baju kurung gadis itu hingga ke pergelangan kaki.

"Skit je ni, Puan.  Pagi tadi saya terlambat ke pejabat.  Entah macam mana boleh terpelecok pula."  Sekali lagi Tia terpaksa menipu. Iyelah, takkan hendak diceritakan perkara yang sebenar pula.   Dia tidak suka mengadu perkara yang remeh-temeh.

"Haider, tolong ambilkan minyak ubat kat dalam laci tu.  Ni mesti tak sapu ubat, sebab itulah urat tu masuk angin, kemudian bengkak sampai begini sekali."  Puan Habibah mula membebel.  

Angkat kaki tu sikit, saya nak sapu minyak ni," arah Puan Habibah seraya menuang minyak tersebut di atas tapak tangan.

"Eh!  Tak payahlah, puan.  Saya boleh buat sendiri."  Tia cuba mengelak. Nanti jatuh pula martabat wanita sehebat Puan Habibah.  Lagipun, wanita itu merupakan ibu kepada majikannya sendiri. Nanti apa pula kata Haider. 

"Tak apa, saya urut sikit aje.  Kalau dibiarkan boleh demam nanti," tegas Puan Habibah.

"Biarkan je, mama.  Dia tak nak kasi biar sakit tu melarat sampai kena potong kaki."

"Hah!  Biar betul.  Takkanlah kaki bengkak sampai boleh kena potong kaki?"  Tia mula menggelabah. Bulat mata Puan Habibah dengan kata-kata Haider yang tak masuk dek akal itu.

"Pandailah kamu.  Tengok tu, dah pucat lesi muka Tia."   

Haider tersengih nakal.  Seronok juga dapat mengusik pembantu peribadinya yang agak pendiam itu.  Selalunya mereka cuma dapat berkomunikasi atas tiket kerja dan tanggungjawab.  Hari ini, dia dapat melihat Tia dari sisi lain yang tidak pernah dia lihat sebelum ini.

Beberaps titis minyak urut jatuh ke tapak tangan Puan Habibah.  Dengan lafaz Bismillah, kesan bengkak pada kaki Tia diurut perlahan.  Sesekali matanya dipejam dan kerutan di wajah Tia menggambarkan kesakitan yang ditanggungnya.

"Sakit?" tanya Puan Habibah lembut.

Tia angguk laju-laju.  Air matanya hampir menitis kerana bisa yang dirasakan semakin menjalar hingga ke betis.  Dia tidak ingin menangis di depan mereka. Risau dituduh sebagai gadis lembik dan manja.

Selang beberapa minit, Puan Habibah berhenti mengurut.  Tia berasa lega kerana siksaannya telah berakhir.

"Terima kasih, puan.  Pandai puan mengurut. Rasa sakit pun dah berkurangan," ucap Tia ikhlas.  Kelembutan tangan dan layanan Puan Habibah kepadanya membuatkan hati Tia terharu.

"Sama-sama.  Kalau rasa sakit-sakit badan tu cepat-cepat makan ubat.  Takut demam. Oh ya, sedap sangat bubur yang kamu masak, Tia.  Kamu bukan saja pembantu peribadi, tapi merangkap cef sekali."  

Berderai ketawa mereka berdua serentak.  Haider lebih senang menjadi pemerhati. Nampaknya ibunya cepat mesra dengan Tia dalam sekelip mata sahaja.  Setengah jam kemudian Tia meminta diri untuk balik ke pejabat. Agak lama juga dia berada di rumah Haider.  

"Haider, hantarkan Tia ke pejabat.  Kaki Tia pun masih sakit lagi tu." Puan Habibah memberi arahan.  

"Eh, tak apa, Puan.  Saya dah call Grab. Rasanya sekejap lagi sampailah tu," ujar Tia dengan senyuman yang tidak lekang di bibir.

Entah mengapa terselit rasa kecewa jauh di sudut hati Haider.  Dia ingin berlama-lama lagi dengan Tia, cuba menyelami isi hati gadis yang tampak begitu perahsia dan istimewa di matanya.  Tia pula seolah-olah ingin mengelak dan menjarakkan diri di antara mereka.

"Betul ni tak nak saya hantarkan?" tanya Haider meminta kepastian.

"Tak mengapa, bos.  Itupun driver dah sampai."  

Bunyi hon kereta menandakan pemandu kereta sewa itu sudah sampai ke lokasinya.  Tia memberi isyarat agar menunggunya sebentar untuk bersalaman dengan Puan Habibah yang beransur sihat.

"Puan jaga diri, jangan lupa makan ubat," pesan Tia mengambil berat.

"Awak pun sama.  Ada masa datanglah lagi ke sini.  Boleh kita tonton drama Korea sama-sama."  

Anggun sungguh wajah Puan Habibah walaupun usianya telah mencecah ke angka 55 tahun.  Sifat keibuan terpancar jelas di raut wajahnya yang bening.

"Bos, saya balik dulu.  Saya takkan ganggu bos melainkan hal yang betul-betul penting."

Haider mengangguk sambil tersenyum tawar.  Sebagai orang yang lebih tua, Puan Habibah mengerti dengan maksud tersirat dari pandangan mata anak terunanya itu.  Bibir menguntum senyum dalam diam.

"Tia dah balik pun.  Nak duduk kat luat sampai esok ke?"  

Usikan Puan Habibah membuatkan Haider termalu-malu.  Pintu utama ditutup rapat. Haider memimpin Puan Habibah ke bilik tidur.  Namun Puan Habibah melencongkan langkahnya semula ke sofa.

"Cukup-cukuplah tu dengan drama Korea.  Mama rehat dulu kat bilik. Kesihatan mama lagi penting dari ikan duyung tu," tempelak Haider geram.  

Mamanya tidak sudah-sudah dengan drama Korea.  Entah bagaimana wanita itu boleh terjebak menonton drama itu.  Tergeleng-geleng Haidar mengingati keletah mamanya yang teruja di depan TV.

"AWAL kau balik hari ni?"  Erin menegur sebaik saja wajah lesu Tia tersembul di sebalik pintu.

"Encik Haider cuti.  Inilah masa aku boleh balik awal.  Bahagianya kalau hari-hari dapat macam ni selalu."  Tubuh Tia dihempas ke sofa bersebelahan Erin yang baru selesai membersihkan diri 

"Duduklah jauh-jauh sikit.  Busuk!" Erin menjarakkan diri dari Tia yang berbau peluh.  Hidungnya dikepit dengan jari, manakala sebelah tangan lagi memgibas-ngibas udara.

Mulut Tia terlopong dengan mata terbuntang.  Ketiak diangkat dan baunya tidaklah seperti yang didakwa.  Tia tersengih dan akal nakalnya mula bertindak.

"Ooo… cakap aku busuk eh?"

Tia memeluk tubuh Erin dari belakang.  Segala pergerakan Erin terkunci dan dia cuma mampu meronta-ronta minta dilepaskan.

"Apa ni?  Main kasar nampak?" jerit Erin tidak puas hati.  Badan saja kurus, tapi kudratnya kuat bak seekor kuda.

"Haaa… cakap lagi aku busuk.  Biar kita busuk sama-sama." Tia ketawa geli hati.  Pelukannya terlerai setelah Erin merayu-rayu agar dilepaskan.

"Mintak nyawa!  Mintak nyawa!" Erin menyedut udara dalam-dalam.  Tidak pasal-pasal tubuhnya kembali berbau peluh. Geram dia melihat senyuman nakal Tia yang masih tersisa.

"Tia, malam ni kita keluar, nak?" tanya Erin setelah beberapa minit berdiam diri.

"Pergi mana?"

"Makan, lepas tu tengok wayang.  Lama kita tak dating berdua. Lagipun esok cuti, kan?"  Erin cuba memujuk. Sekali-sekala tidak salah rasanya mereka memberi ganjaran kepada diri sendiri setelah bertungkus-lumus bekerja.

"Emmm… sekejap!"  

Tia memeriksa telefon pintarnya yang hampir kehabisan bateri.  Tiada sebarang panggilan atau pesanan ringkas dari Syamil selepas panggilan terakhirnya pagi tadi.  Pelik, tapi dalam masa yang sama hati Tia berasa lapang.  

"Boleh ke tidak?"  Erin bertanya sambil bercekak pinggang.

"Bolehlah!  Lepas mandi kita pergi."  Tia mengatur langkah ke bilik tidur untuk membersihkan diri dan seterusnya bersiap.

°°••°°


MID VALLEY menjadi tempat arah tuju mereka.  Malam minggu begini, ramai pengunjung mengambil peluang yang sama.  Setelah beberapa kali berpusing-pusing mencari parkir, mereka turun dari kereta dan bercadang untuk mengisi perut terlebih dahulu.

Usai menikmati makan malam, Tia menawarkan diri untuk beratur membeli tiket wayang.  Sejak seminggu yang lalu mereka berdua bercadang untuk menonton wayang gambar lewat malam bersama-sama.  Oleh kerana terikat dengan jadual kerja yang padat, hasrat mereka sering tertunda dari hari ke hari. Dua keping tiket wayang sudah berada di tangan.  Tia mendapatkan Erin yang sedang berbual-bual dengan seorang pemuda berkaca mata berbingkai bulat. Jejaka berketinggian kira-kira 180 cm itu memiliki sepasang mata yang menawan.

"Hai, baru tinggal sekejap je dah dapat kawan baru?"  Tia sengaja mencelah untuk melihat pemuda itu lebih dekat.  Erin dan pemuda itu menoleh serentak. Rakannya itu tersengih-sengih seperti kerang busuk apabila Tia menerjah mereka secara tiba-tiba. 

"Tak nak kenalkan mamat tinggi lampai ni pada aku?" usik Tia semakin giat, membuatkan Erin seperti cacing kepanasan.

"Sudah!  Tak payah nak menyibuk.  Kami pun baru kenal. Dia cuma tanya aku boleh tukar duit kecil ke tidak sebab nak beli pop corn."  Panjang lebar penjelasan Erin.

Pemuda tersebut tunak merenung Erin yang pipinya bertukar merah jambu.  Gadis genit yang memiliki ulas bibir yang cantik itu telah membuat hatinya bergetar.  Tia berulang-kali melihat jam. Tayangan filem akan bermula dalam sedikit masa lagi. Manakala mereka berdua masih lagi bermain mata walau tidak saling bicara.

"Erin!" panggil pemuda berkenaan apabila kedua-dua gadis itu hendak melangkah pergi.

"Hah, apa?"  Berkerut dahi Erin apabila namanya diseru.

"Terima kasih.  By the way, ini kad saya."  

Tanpa dipinta pemuda itu menghulurkan sekeping business card kepada Erin yang terpinga-pinga.  Sempat Tia melirik nama pada kad tersebut dan menarik kembali lengan Erin yang seakan-akan kaku seperti terkena kejutan elektrik.

"Eleh… cakap baru kenal.  Tup-tup dapat business card," bisik Tia lucu.  Erin menjeling saja dan mereka berjalan beriringan ke bilik panggung wayang di nombor 5.

Panggung itu hampir penuh apabila orang ramai mula berpusu-pusu duduk di tempat masing-masing.  Tayangan filem yang bakal ditonton akan bermula dalam beberapa minit sahaja lagi. Tiba-tiba, pandangan Tia tersorot ke arah pasangan yang baru melangkah masuk ke dalam panggung dan duduk selang dua baris di hadapan mereka.  

'Syamil!' 

"Syamil?  Mana?" tanya Erin seraya mengitari keliling.  

Pada saat itu juga, lampu di dalam panggung terpadam dan suasana menjadi gelap, hanya cahaya skrin besar itu sahaja yang menerangi.  Puas mata dipicing, mencari persamaan yang ada pada lelaki mirip Syamil itu. Gadis seksi di sebelahnya mula melentokkan kepalanya ke bahu Syamil.  Tia meraba telefon pintar di dalam tas tangan dan nombor Syamil didail pantas. Bola mata Tia sentiasa mengekori setiap tingkah laku lelaki di depannya demi membuktikan sesuatu.

Lelaki tersebut kelihatan sedang curi-curi melihat skrin telefon yang berkelip-kelip lalu menekan butang off tanpa menjawabnya terlebih dahulu.  Tia kembali merenung skrin telefon yang gelap. Ternyata lelaki tersebut adalah Syamil. Hatinya dipagut sedih yang bukan kepalang. Semangatnya seakan melayang ke angkasa.  Menggigil tubuhnya menahan rasa. Air mata berjuraian ke pipi tanpa diundang. Kabur pandangannya yang tidak lagi tertumpu pada layar skrin.

°°••°°










Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh