Home Novel Cinta Beautiful Lie
Beautiful Lie
Mazni Aznita
19/3/2020 10:56:10
75,146
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 3

MIRZA mengeluh panjang memandang ke arah pintu pagar yang sudah tertutup rapat.Memang patut tutup pun sebab jarum jam sudah menunjukkan pukul 8.30 pagi. Namun dia tidak risau langsung. Dia melarikan motorsikalnya mengikut laluan belakang sekolah. Motorsikalnya diletakkan di sebuah bengkel tidak jauh dari situ.

                “Lambat lagi Mirza?” Haron menggeleng kepala melihat anak muda itu.

                “Macam biasa bang, lambat bangun.” Mirza tersengih menayangkan barisan gigi yang putih tersusun.

                “Kamu ni kalau sehari tak lewat, memang tak sah. Memanjang lewat dari dulu sampai sekarang.”Gelak Haron, pemilik bengkel yang terletak hanya 200 meter di belakang sekolah itu.

                “Abang tolong jaga motorsikal saya ya?” Pinta Mirza seraya menyandang beg sekolahnya. Tanpa menanti balasan Haron, dia segera memanjat pagar di hadapan bengkel tersebut.

                Menggeleng kepala Haron melihat betapa selambanya anak muda itu. Sejak Mirza masih beradadi tingkatan tiga lagi dia sudah terlalu acapkali melihat Mirza melompat pagar belakang sekolah itu. Dahulu semasa pagar sekolah itu separas pinggang Mirza, budak itu sudah mahir melompat merentasinya. Tapi selepas pagar itu ditinggikan separas dada, belum juga dia melihat anak muda itu gagal melompatnya. Mirza patut jadi atlit lompat tinggi! Pasti boleh beri sumbangan besar pada sekolah.Tapi anak muda itu sangat pemalas orangnya, langsung tidak berminat dengan apa sahaja aktiviti di sekolah. Pergi sekolah ikut suka hati dia, balik pun ikut suka juga. Cuma satu sahaja yang boleh dipujinya pada Mirza, anak muda itu tidak sombong orangnya. Jika bertemunya, Mirza akan sentiasa menegur. Jika dia menegur kelakuan Mirza yang kaki ponteng sekolah, paling-paling kurang anak muda itu hanya akan ketawa mendengarnya.

                Menonong sahaja Mirza masuk ke kelas tanpa mempedulikan Cikgu Anis yang sedang mengajar subjek pertama pagi itu iaitu bahasa Inggeris. Terjegil mata wanita itu melihat Mirza.Namun memikirkan percuma sahaja dia marah pada awal-awal pagi seperti itu,Cikgu Anis hanya pura-pura tidak nampak anak muda itu. Lagipun ini bukan kali pertama Mirza berkelakuan seperti itu. Sekalipun dia membebel di hadapan Mirza,anak muda itu hanya akan membisu sahaja. Buat membazir air liurnya sahaja.

                Mirza melangkah ke arah tempat duduknya yang pastinya tempat duduk paling belakang kelas 5 Merah itu. Zarul yang duduk di hadapannya menoleh.

                “Mirza, malam ni macamana?” Bisik Zarul galak. Semalam dia dibawa Mirza berhibur di sebuah kelab malam, memang sampai terigau-igau keseronokan itu di alam mimpi. Kalau boleh dia memang mahu berseronok lagi seperti malam semalam. Itu pun mereka dapat masuk kerana Mirza memiliki kad pengenalan dewasa. Lapan belas tahun adalah usia kebebasan yang dicari-cari mereka!

                “Aku ada hal malam ni.” Ujar Mirza acuh tak acuh.

                “Come on Mirza, tak best lah macam ni.” Zarul berbunyi kecewa.

                Mirza merenung anak muda itu agak lama. Kadangkala perangai mendesak Zarul melemaskannya.Bukannya dia ke kelab malam itu pakai duit Zarul pun. Setiap kali mereka keluar berseronok, selalunya dia yang membayar semuanya.

                “Sorry, aku betul-betul tak dapat malam ni. Aku benar-benar ada hal lain.” Ujar Mirza seraya melontarkan pandangan keluar tingkap. Zarul sudah tidak dilayan. Saat ini dia asyik memikirkan kata-kata ayahnya yang mahu mencarikannya seorang cikgu tuisyen.

                Papa nak cari tutor untuk aku. What a suck!

                Dia menghantar whatsapp pada abangnya Drew. Tak lama kemudian Drew membalas. Mereka memang kerap berhubung melalui whatsapp.

                Good for you. Hehe..

                Good for me? Kau dah gila ke apa?

                At least kau belajar.Kau kan ada perjanjian dengan papa. Lulus SPM tu dulu bro, kacang sahaja.

                Mirza mencebik.Kacang konon! Kau bolehlah cakap macam tu, kau tak belajar pun otak  macam Einstein! Rungutnya.

                Please, pujuk papa tu untuk aku.

                No way bro. Yang ni, aku tak boleh tolong.Papa dah warning aku. Aku rasa kau terima ajelah cikgu tu. Mana tahu untung-untungdia cantik, kau dapat benefit. Sambil menyelam minum air.

                Hmm..takde mananya dia cantik. Entah-entah muka dia macam Wan kat kampung.

                Tak baiknya kau kutuk Wan tu. Wan tu nenek kita tahu.

                Nenek sangatlah, asyik membebel sahaja 24 jam.

                Hehe…

                Begitulah bunyi mesej demi mesej yang dikongsi balas di whatsapp mereka. Mirza menarik nafas panjang. Bosan! Macam-macam benda berserabut di kepalanya saat ini. Dia melihat sepintas lalu karangan dalam bahasa Inggerisyang sedang ditulis oleh Cikgu Anis di whiteboard.Serentak dia bangun menyebabkan beberapa pasang mata menoleh. Zarul tidak terkecuali.

                “Kau nak ke mana ni? Jangan..nanti mengamuk Cikgu Anis.” Larang Zarul separuh berbisik.Kerana dia duduk paling hampir dengan Mirza, maka  jika ada apa-apa yang tak kena, Cikgu Anispasti membebel dengannya seolah-olah dia pula yang bersalah.

                Namun Mirza langsung tidak mempedulikan larangan Zarul lalu terus keluar ikut pintu belakang tanpa disedari Cikgu Anis yang sedang asyik menulis. Dia melangkah ke suatu arah. Destinasinya ialah sebuah bilik kosong di belakang bangunan sekolahitu berdekatan stor simpanan barang. Bilik muzik itu memang jarang dikunjungi orang dan dia sering menjadikan bilik itu tempat dia melelapkan matanya sebelum waktu sekolah berakhir.

                Dengan beralaskan sebuah bangku panjang di situ, Mirza tidak kisah tidur begitu sahaja. Dia lebih suka berada di situ dari menghadap wajah guru-gurunya.Belajar baginya memang membosankan. Hendak meninggalkan kawasan sekolah, diatidak mahu ada yang melihatnya dan menyampaikannya pada ayahnya. Berita tentangnya di sekolah memang cepat tersebar ke telinga ayahnya. Entah siapa spy tak bergaji itu, dia sendiri tidak tahu.

                Bunyi beberapa tapak kaki menghampiri tempat itu, membuatkan mata Mirza terbuka luas. Dahinya berkerut. Siapa pulak ni? Menganggu betul! Dia nak tidur pun tak senang! Rungutnya.Dia segera bersembunyi di belakang bangku kayu itu.

                Bunyi tapak-tapak kaki itu semakin menghampiri. Dari sudut tersembunyi, dia dapat melihat beberapa susuk gadis sedang memasuki bilik itu. Angin Mirza sudah membadai. Sial!Kenapa mereka datang ke sini? Menganggu betul aku nak tidur!

                Melihat gadis-gadis itu mengeluarkan rokok dan saling menyalakan lighter pada rokok masing-masing, Mirza hanya mampu tersenyum sinis. Nak merokok rupanya! Gadis zaman sekarang memang semuanya hancur.Langsung tak boleh pakai! Getus Mirza seraya menggelengkan kepalanya.

                “Kau nampak tak budak baru yang masuk kelas 5 Biru tu? Handsomekan? Aku dengar dia atlit lompat tinggi kat sekolah lama dia. Wakil Sukma lagi.”Ujar salah seorang dari gadis-gadis itu.

                “Namanya Ryankan?”

                “Handsome sangat.”

                “Mirza lebih handsome.”

                Mirza yang sedang tekun mendengar hampir terbatuk. Aku? Perlahan-lahan dia mengintai dan terpandang kelibat seorang gadis berambut panjang. Cantik juga orangnya.  Dia pernah terserempak gadis itu beberapa kali, cuma tidak ingat apa nama budak perempuan itu.

                “Ya Mirza memang handsome tapi sombong sangat.Aku pernah senyum pada dia. Bukannya dia nak balas sebaliknya dia jeling akulagi adalah.” Gadis yang bercerita itu ketawa kecil.

                Mirza menggarukepala yang tidak gatal. Bila masanya pulak aku sombong? Aku cuma berlagak cool sahaja bodoh!

                “Mana ada dia sombong, dia okey ajelah.” Gadis cantik itu masih jua mempertahannya.

                “Come on Lin takkanlah kau sukakan Mirza tu.”

                Elena terdiam.Suka? Bukan suka sahaja tapi dia sudah obses. Ke mana-mana sahaja Mirza pergi,dia akan memandang lelaki itu. Mirza sahaja yang langsung tidak pernah mahu memandang dirinya. Dia juga pernah ke rumah Mirza sewaktu majlis di rumah Tuan Fahrin. Lelaki itu majikan ayahnya di Green Global.

                “Ada orang tu gilakan Adham Mirza tu. Mesti kau bersyukur dia tak ambil SPM tahun lepas kan? What kind of idiot yang boleh terlepas ambil exam penting tu?” Ketawa gadis-gadis itu membuatkan Mirza menarik nafas panjang. Sabar Mirza, cool down!

                Elena seakan tidak senang mendengar sindiran teman-temannya. Wajahnya mencuka.

                “Dia bukan bodoh Dija. Cakap tu bertapislah sikit.” Marah Elena.

                “Okay, I’m sorry. Ya aku tak patut kutuk Adham Mirza tu. Tapi tahun ini aku tak rasa dia akan lulus SPM tu. Kawan aku yang sekelas dengan si Mirza tu cakap Mirza tu memang pemalas dan worthless. Aku pun tak faham kenapa dia nak bersekolah kat sini lagi sedangkan dia tu anak orang kaya. Kalau aku mesti malu nak datang ke sekolah hari-hari dan sekadar habiskan masa dengan tidur dalam kelas, lepas tu balik.” Gumam Kadija lagi seraya menghembus asap rokok dari hidungnya.

                “Kau tak tahu apa-apa so better kau diam. Untuk pengetahuan kau, Adham Mirza accident tahun lepas dan dia cedera. Sebab tu dia tak ambil exam tu. “ Getus Elena dengan wajah mencuka.

                “Lin, aku tahu cerita tu. Semua orang kat sekolah tahu yang Mirza tu pergi mendaki Gunung Tebu tu dua minggu sebelum exam sebab dia tak nak ambil peperiksaan tu. Aku rasa dia sengaja cederakan kaki dia at that time supaya dia boleh skip exam.” Gelak Kadija lagi.

                Elena mengetap bibir. Tak guna dia terus melayan Kadija yang memang sudah terang-terangan sengaja mencari fasal dengannya. Entah apa yang tidak kena dengan gadis itu dia sendiri tidak tahu.

                “Kalau kau terus mengata yang buruk-buruk tentang Mirza, aku rasa lepas ni kita tak payah jumpa lagi.” Gumam Elena nekad.

                “Hei apa ni?Takkan sebab Mirza tu korang berdua nak gaduh. Relaks la, benda kecil aje.Rasanya tadi kita bercakap tentang Ryan, budak baru tu. Kenapa tiba-tiba timbul nama Mirza pulak?” Lili kelihatan bingung dibuatnya. Dia menjeling Aira yang hanya menjongketkan bahu, tanda malas mahu masuk campur perang mulut antara Elena dan Kadija yang bukan sekali ini berlaku. Sudah acap kali. Kedua-duanya kalau bertemu tidak berperang mulut memang tidak sah.

                Elena mendengus keras lalu segera meninggalkan tempat itu. Kadija hanya ketawa kecil.

                “Sensitif sangat. Langsung tak boleh dengar Mirza kena kutuk sikit.” Komen Kadija.

                “Kau pun satu.Dah kau tahu yang si Lin suka si Mirza tu, yang kau sengaja tambahkan minyak dalam api tu kenapa?” Rungut Lili seraya menjeling sahabatnya itu.

                “Salah ke?Memang betul apa yang aku cakap.” Kadija tidak mahu mengaku kalah.

                “Aku nak merokok pun tak senang.” Rungut Aira pula yang masih belum sempat mahu menghabiskan sedutan demi sedutan rokoknya. Lili mengambil rokok dari jepitan tangan Aira lalu turut menyedutnya dalam-dalam sebelum dihembus keluar.

                “See? Dah habis ni, jom kita keluar sebelum terserempak dengan cikgu.” Ajak Lili lalu segera beredar dari situ diikuti langkah kawan-kawannya.

                Mirza keluardari tempat persembunyiannya setelah yakin keempat-empat gadis itu sudah beredar. Hendak marah pun ada, hendak ketawa pun ada mendengar perbualan keempat-empatnya. Macamlah aku kisah sangat dengan pendapat diaorang! GetusMirza seraya kembali ke bangku kayu itu untuk menyambung tidurnya yang tergendala. Namun belum sempat dia mahu berbaring di situ, pintu bilik itu tiba-tiba dikuak dari luar. Mirza tergaman menyedari seraut wajah sedang terpaku memandang ke arahnya. Elena! Gadis yang bersungguh-sungguh mempertahankannya sebentar tadi kini berada di hadapannya.

                Elenabenar-benar terkejut melihat Mirza berada di bilik itu. Kedatangannya ke situkerana menyedari rantai tangannya mungkin tercicir di situ. Tapi tak disangka-sangka lain pula yang ditemuinya.

                “Mir…Mirza?”Tergagap-gagap dia menyapa Mirza.

                Mirza sekadar merenung wajah anak gadis itu dengan pandangan serius. Sebahagian dirinya merasa terganggu kerana tidurnya yang asyik tergendala. Sebahagian yang lain merasa tertarik pada gadis yang konon-kononnya sudah lama meminatinya itu. Elena.Hmm..boleh tahan orangnya. Cantiklah jugak! Dia menilai gadis itu dari atas kebawah.

                “Awak...awak dah dengar ke tadi?” Elena semakin gelisah. Dia pasti, perbualannya dengan rakan-rakannya mungkin sudah didengari lelaki itu.

                “Dari A sampaiZ.” Jawab Mirza selamba.

                “Saya minta maaf Mirza. Mereka tak patut cakap macam tu pada awak.”

                “Tak apa, aku tak kisah pun. Yang kau nak marah-marah tu kenapa?” Mirza ketawa kecil. Dia melangkah ke muka pintu. Elena terpinga-pinga melihat Mirza sudah mahu angkat kaki dari situ.

                “Err.. Mirza.” Panggil Elena.

                Langkah Mirza terhenti. Perlahan-lahan dia membalikkan tubuh. Wajah anak gadis itu ditatap lama. Sabar menanti apakah yang mahu diperkatakan anak gadis itu padanya.

                “Err…fasal tadi.” 

                “Fasal apa?”Kening Mirza terjongket. Wajah merah padam gadis itu ditatap selamba.

                “Awak kata awak dengar dari A sampai Z. Maksudnya awak dah tahu kan apa yang saya rasakan?” Elena mencuba nasib dengan dada berdebar-debar.

Mirza menarik nafas panjang. Perlahan-lahan dia menapak ke arah gadis itu.

Menyedari lelaki muda itu semakin mendekatinya, dada Elena berdebar-debar tidak keruan. Wajah tampan Mirza menjengah wajahnya agak rapat. Dia menelan liur. Belum pernah dia berada sehampir ini dengan Mirza. Selalunya dia hanya mampu melihat kelibat Mirza dari jauh. Setiap kali mereka berselisih jalan,sepasang mata yang redup bersinar itu langsung tidak sudi memandang ke arahnya.Tapi apa yang berlaku saat ini bagaikan dalam mimpi.

“Siapa nama kau?” Tak disangka-sangka Mirza bertanya.

“Err..E..Elena.” Jawab Elena tergagap-gagap.

“Kau suka aku?”

Elena tersentak. Sepasang matanya segera mencari wajah Mirza yang kelihatan serius. Aduh! Pertanyaan apakah itu?

“Kau suka aku ke tidak ni?” Tanya Mirza seakan bosan.

“Su..suka.” Terluah jua perkataan itu dari bibir Elena. Malu menyelubungi diri saat mulutnya sudah mengakui rasa hati yang sudah lama terpendam di jiwa.

“Kalau macam tu, aku tunggu kau kat Old Town di Midvalley jam 8 malam ini. Kita dating. Jangan lupa datang.” Mirza tersengih seraya berlalu pergi dari situ meninggalkan Elena yang terpisat-pisat, seakan tidak tidak percaya dengan apa yang baharu didengarnya. Dating? Mirza mahu berdating dengannya? Is this for real? Elenamencubit pipinya. Pipi terasa perit, bermakna dia bukan sekadar bermimpi.

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.