Home Novel Cinta Beautiful Lie
Beautiful Lie
Mazni Aznita
19/3/2020 10:56:10
75,152
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 5

DIA berpeluk tubuh. Jalannya mundar-mandir serba tidak kena.Kegelisahan hatinya sudah tidak tertanggung menerima kunjungan dari Yasmin siang tadi. Seringkali dia merasa tidak berupaya menanggung rasa sengsara ini kerana wanita itu.

                Apa yang Yasmin perkatakan siang tadi benar-benar menganggu dirinya. Hakikat yang diperkatakan wanita itu adalah benar. Sekalipun dia cuba menyembunyikan diri, tapi kenyataan bahawa hidupnya nyaris-nyaris musnah dahulu adalah benar. Dia dijual oleh ayahnyasendiri ke kancah pelacuran. Tapi ibunya merayu Yasmin menyelamatkannya.Bertahun lamanya mereka melarikan diri dari ayahnya sendiri. Dia dan ibunya sudah tidak sanggup menjadi karung tinju buat  lelaki itu melepaskan perasaan setiap kali kalah judi. Mujurlah Anas tinggal di asrama. Jika tidak, Anas akan turut sama merasakan tempias kemarahan lelaki itu.

                “Esok ikut aku..”Lelaki itu memandangnya.

                Dia berpaling.Merenung wajah si ayah yang kelihatan serius.

                “Ke mana ayah?”

                “Jangan banyak soal, ikut sahaja.” Getus lelaki itu.

                “Abang nak bawa Rian ke mana?”Ibunya pula menyoal.

                Lelaki itu memandang ibunya dengan wajah menyinga. “Ini bukan urusan kau Mimah. Aku ada hal dengan Rian di bandar.” Ujar ayahnya.

                “Hal Rian urusan Mimah juga bang. Rian anak Mimah. Abang jangan nak buat benda yang bukan-bukan dengan Rian. Ingat sikit dia anak kita.” Ibunya berkata sayu.

                Kata-kata ibunya membuatkan wajah itu semakin berang. Perlahan-lahan lelaki itu menghampiri ibunya sebelum memaut tengkuk ibunya. Rambut wanita itu direnggut kasar. Ibunya menjerit kesakitan. Dia sendiri terkejut melihat tindakan kasar ayahnya terhadap ibunya.

                “Kau memang sengaja nak cari fasal dengan aku kan Mimah. Aku cuma nak carikan dia kerja kat bandar tu supaya dia boleh bantu perbelanjaan keluarga kita. Nak harapkan kau?Kau dah tua, tak larat lagi nak bekerja.” Getus lelaki itu.

                “Mimah tahu abang nak suruh Rian buat kerja yang bukan-bukan. Dia anak kita bang, tolonglah kasihankan dia sedikit.” Rayu ibunya dengan airmata bercucuran. Sedih sekaligus kesakitan diperlakukan begitu.

                Pang! Tapak tangan ayahnya sudah mendarat ke pipi wanita itu. Ibunya tersembam ke arah lantai. Dia menjerit nyaring lalu menerkam ke arah ibunya. Walaupun bukan dia yang dilempang, tapi hangat pijar dari telapak tangan itu menular ke pipinya.Dia seolah dapat merasakan kesakitan yang sedang ditanggung ibunya.

                “Ayah, tolong jangan. Jangan pukul mak lagi. Rian akan buat apa sahaja, tapi jangan pukul mak lagi.” Dia menangis merayu agar lelaki itu tidak mengapa-apakan ibunya.

                “Rian!” Suara ibunya berbisik lirih. Mereka sama-sama menangis sambil berpelukan. Dan itu bukan kali pertama ibunya dipukul dengan teruk. Jika dia juga salah cakap atau mempertahankan ibunya, tali pinggang ayahnya juga akan sampai ke tubuhnya.Hidup mereka terseksa seperti di lubang neraka. Deraan demi deraan semakin menjadi kebiasaan lelaki itu.

                Kerana tidak mahu ibunya terus dipukul, dia setuju bekerja di kelab malam. Pada mulanya sebagai pelayan tetapi ada beberapa pelanggan di kelab malam itu tertarik kepadanya, maka dia diminta menjadi GRO dengan bayaran lumayan. Tapi dia enggan melakukannya. Berita keengganannya sampai ke pengetahuan ayahnya.

                “Kau gila ke apa? Mereka sanggup bayar berapa sahaja yang kau minta kalau kau sanggup temani mereka.” Getus ayahnya dengan mata sengaja dibeliakkan besar-besar.

                “Rian tak nak jadi GRO ayah.” Dia menangis dalam kesedihan.

                “Tak nak jadi GRO? Apa yang hinanya dengan kerja GRO tu? Kau kena ingat sikit mak kau dulupun GRO.” Ujar lelaki itu sambil tergelak kecil.

                “Rian tak nak jadi macam mak. Rian akan belajar rajin-rajin supaya Rian boleh masuk universiti. Lepas tu Rian akan cari kerja dan tanggung hidup kita. Rian akan lakukan semua ini ayah. Jadi tolong jangan paksa Rian lagi.”

                “Kau nak masuk universiti? Anak GRO nak masuk universiti?” Ketawa lelaki itu sinis menyumbat gegendang telinganya. Dia hanya tunduk dengan airmata bercucuran di pipi.Sesiapapun takkan mengerti impiannya! Dia sudah lama mengimpikan sebuah kehidupan yang sempurna, hidup yang tidak perlu risaukan hutang atau belanja dapur. Hidup yang bebas seperti burung camar di tepian pantai. Dia mahu hidup senang seperti sesetengah kawan-kawan sekolahnya. Tapi bukan dengan cara menjual diri! Bukan dengan cara menggadai kehormatan dirinya!

                “Kau dengar sini baik-baik Rian. Kau tu cuma anak pelacur. Orang macam kau takkan ada masa depan kecuali ikut jejak langkah mak kau. Untung-untung ada orang kaya yang berminat dengan kau, kau boleh hidup senang lepas tu.” Pujuk ayahnya lagi.

                “Rian tak mahu ayah. Kalau ayah nak bunuh Rian pun bunuhlah, tapi Rian tak mahu jadi pelacur.”Jeritnya nyaring.

                Seperti yang diduga dengan ayahnya tidak ada istilah penolakan. Malam itu dia dipukul setengah mati oleh lelaki itu. Ibunya cuba menghalang, tapi turut menerima nasib yang sama.

                “Anak tak mengenang budi. Kau berdegil juga ya, nak rasakan ini!” Tali pinggang ayahnya bertubi-tubi singgah ke tubuhnya. Tak cukup dengan itu, lelaki itu menyepak tubuhnya tanpa belas kasihan. Hasilnya matanya lebam teruk malam itu. Seluruh tubuhnya berbirat dengan kesan-kesan tali pinggang yang ada di antaranya mengalirkan darah.

                “Maafkan mak Rian. Mak tak mampu nak lindungi Rian.” Suara ibunya kedengaran sedih ketika menyapu ubat ke tubuhnya. Dia mendesis kesakitan, cuba menahan rasa perit yang menyeksakan.

                “Bukan salah mak.” Dia menggelengkan kepala.

                “Semua ini salah mak Rian. Mak tak patut jadi seorang ibu.” Bisik wanita itu.

                “Mak!” Dia segera memeluk ibunya. Airmatanya gugur jua di cerun pipi. Hatinya entah kenapa tercalar mendengar kata-kata wanita itu.

                “Mak tahu selama ini Rian malu dengan mak, malu dengan ayah. Kami berdua tak layak jadi ibu bapa kepada anak-anak sebaik Rian dan Anas. Maafkan mak Rian.” Bisik wanita itu lagi lemah.

                “Mak jangan cakap macam tu. Rian tak pernah malu dengan mak. Sekalipun Rian boleh pilih siapa mak Rian, Rian akan tetap pilih mak. Percayalah.” Ujarnya sebak.

                “Suatu hari nanti, Rian janji dengan mak yang kita akan ubah nasib keluarga kita. Kita akan tinggalkan hidup seperti ini mak. Rian akan belajar bersungguh-sungguh dan jadi anak yang boleh mak banggakan. Rian janji mak.” Ujarnya seraya mengucup dah ibunya. Wanita itu membalas dengan memeluknya sekuat hati. Dan malam itu mereka tidur sambil berpelukan sehingga ke pagi.

                “Kenapa muka kau ni lebam-lebam Rian?” Soalan itu terpacul dari bibir wanita yang menjadi Madam di kelab malam itu.

                “Maaf Madam,saya..saya terjatuh.” Ujarnya tergagap-gagap.

                Madam Lee merenung wajahnya agak lama. Dia tahu wanita itu takkan mempercayai kata-katanya. Jatuh sampai lebam mata? Budak kecil pun takkan percaya alasannya itu.

                “Bapak kau pukul kau lagi? Hmm..apalah nak jadi dengan Dollah ni. Kalau muka lebam macam ni, siapa yang nak kau layan mereka lagi? Sudahlah tu, pergi hantar minuman kat bilik VIP kita.” Suruh Madam dengan suara tegas.

                Dia mengangguk.Dulang berisi minuman keras itu dibawa ke sebuah bilik VIP. Daun pintu diketuk.Seorang  lelaki muda membukakan pintu untuknya. Orangnya boleh tahan kacak. Dia tunduk sedikit lalu membawa minuman itu ke arah meja.

                “Kau pelayan baru ya? Tak pernah nampak pun selama ini.” Lelaki muda itu bertanya.

                Dia hanya mengangguk.

                “Hmm..kenapa dengan muka tu? Kena pukul?” Pertanyaan itu singgah diikuti bunyi derai ketawa.

                Dia agak kurang senang mendengar pertanyaan itu. Kebanyakan mereka masih muda berusia dalam lingkungan awal 20an. Ada 5  lelaki di dalam bilik itu dengan beberapa orang gadis GRO. Dia memberanikan diri memandang mereka dan hampir mengucap panjang apabila mendapati ada di antaranya sedang berkelakuan tidak sopan. Tanpa segan silu mengucup dan meraba gadis-gadis itu. Dia mengalihkan pandangan, tidak sanggup melihat pemandangan seperti itu.

                “Kenapa sayang?Malu ke? Jangan nak berpura-puralah. Kau kerja kat sini, tentu kau pernah tengok lebih dari ini kan?” Lelaki itu bersuara sambil ketawa besar.

                Dia cepat-cepat menghidangkan minuman lalu berpaling mahu beredar dari situ. Tapi lelaki itu tiba-tiba menarik tangannya menyebabkan dia tersembam ke arah sofa di situ. Dia mahu bangun tapi tangan lelaki itu sudah menekan tubuhnya.

                “Jangan, tolong jangan. Saya cuma pelayan kat sini, bukan GRO.” Ujarnya perlahan. Perasaan takut mula menguasai dirinya.

                “Pelayan ke GRO ke, semuanya sama sahaja. Kau memilih kerja kat sini tentu kau tahu apa yang patut dibuat kan?” Tak semena-mena tangan lelaki itu sudah menular ke arah dadanya. Butang bajunya dibuka satu persatu. Dia berusaha keras menepis tangan lelaki itu.

                “Encik, saya dah kata saya bukan GRO.”

                “Tapi aku dah berkenan tengok kau. Malam ni kau layan aku dan aku akan beri duit yang banyak untuk kau.” Bisik lelaki itu ke telinganya.

                Dia memejamkan matanya. Terbayang-bayang wajah ibunya dan Anas. Dia takut, tapi ketakutan itu memberinya kekuatan. Dia berfikir bagaimana mahu melepaskan diri dari lelaki yang kelihatan sudah dikuasai air syaitan itu. Dengan sepenuh tenaga, kakinya segera menendang pangkal kaki lelaki itu.

                Si lelaki mengaduh kesakitan sambil menjepit kedua belah kakinya. Peluang yang ada digunakan untuk dia melarikan diri dari bilik itu. Dia dapat mendengar suara berteriak dan cercaan datangnya dari bilik itu, namun dia sudah tidak peduli. Langkah kakinya dihela pantas ke suatu arah. Dia hanya terfikir mahu pergi sahaja dari tempat itu sebelum Madam Lee juga memarahinya kerana bertindak seperti itu pada pelanggan. Mereka yang bekerja di situ memang sering diberitahu agar melayan klien di situ seperti raja. Apa sahaja keinginan klien harus dipenuhi. Itu pesan Madam Lee. Tapi itu tidak bermakna pesanan itu harus dituruti. Dia bukan bodoh! Dia tidak mahu terjebak lebih jauh lagi,

                Tiba-tiba kakinya tersalah langkah. Dia terjelepuk jatuh mencium lantai. Dia mahu bangkit tapi kesakitan di buku lalinya menyengat. Kakinya sudah terkehel.

                Sepasang tangan tiba-tiba memaut tubuhnya. Dia mengangkat wajahnya dan terkejut melihat seorang wanita di hadapannya. Wajah wanita itu cantik, pakaiannya juga anggun sekali.Senyuman wanita itu menular di bibirnya. Manis dan ramah kelihatan.

                “Boleh bangun?”Tanya wanita itu lembut.

                Dia mengangguk.Berdikit-dikit dia bangun sambil menahan sakit di kaki.

                “Perempuan bedebah! Berani kau ya.” Sepasang tangan kekar tiba-tiba mencengkam rambutnya dari belakang sekuat hati. Dia terkejut lalu menjerit kesakitan. Apabila dia berpaling, dia melihat lelaki-lelaki di bilik VIP tadi sudah berada di situ.Dan lelaki yang paling berang itu ialah lelaki yang mendapat habuan istimewa darinya sebentar tadi.

                “Azrul! Lepaskan dia. Berapa kali aku nak pesan dengan kau supaya hormat sikit dengan perempuan.Kau semakin melampau sekarang.” Suara itu meletus dari bibir merah delima yang ditemuinya sebentar tadi.

                Lelaki yang dipanggil Azrul itu menoleh ke arah wanita cantik itu. Melihat renungan tajam wanita itu  melata ke wajahnya, Azrul tergaman. Dia segera melepaskan tangannya.

                “Kak Yasmin.” Bisik Azrul dihujani resah.

                Diam-diam dia memerhatikan wanita yang dipanggil Yasmin itu. Hatinya tertanya-tanya siapa gerangan wanita itu. Hanya calang-calang orang sahaja yang mampu memberi arahan pada seorang lelaki dan lelaki itu akur tanpa banyak soal.

                “Kau nak aku cakap dengan Barto yang kau buat kecoh kat sini?”

                “Err…jangan Kak Yas. Tolong jangan.”

                “Aku nak kau dan kawan-kawan kau berambus dari sini dan jangan kacau perempuan ni lagi. Dia ni adik aku. Mengerti?”

                Azrul terperanjat.Bahkan bukan sahaja lelaki itu, dia turut terkedu melihat wanita itu mengakunya sebagai adik. Tapi gertakan wanita itu sekurang-kurangnya berjaya membuatkanlelaki itu menggeletar. Tanpa banyak soal, lelaki itu dan kawan-kawannya segera beredar dari situ.

                “Nama kakak Yasmin. Panggil Kak Yas pun tak apa.” Ujar wanita itu mempekenalkan diri sebaik kelibat lelaki-lelaki itu menghilang.

                “Nama kau siapa?”

                “Err…Adriana.”Jawabnya tergagap-gagap.

                “Adriana?Hmm..cantik nama tu. Adriana kerja di sini?” Mata wanita itu asyik memandangnya dari atas ke bawah.

                Dia mengangguk.

                “Rian? Kenapa kau kat sini lagi? Pergi buat kerja sekarang.” Madam Lee tiba-tiba muncul dari suatu arah.

                Dia terkedu.Hatinya risau kalau-kalau wanita itu naik marah dengan apa yang telah berlaku di bilik VIP sebentar tadi.

                “Budak ni kacau kau ke Yas? Maaflah, dia budak baru. Anak Dollah dengan Hamimah.” Madam Lee tersenyum memandang wanita anggun itu.

                “Anak Kak Mimah?”Yasmin segera melontarkan pandangan ke arahnya. Seakan-akan terkejut mendengar kata-kata Madam Lee sebentar tadi.

                “Ya, inilah anak diaorang.” Madam Lee mengangguk.

                Mata Yasmin semakin mengecil merenung ke arahnya. Sejurus anak mata wanita itu tertumpu lama ke arah lebam di pelipis mata kirinya.

                “Kenapa dengan mata kau?” Tanya Yasmin lembut.

                Dia hanya tunduk, tidak tahu bagaimana mahu menjelaskan cenderahati istimewa hadiah dari ayahnya.

                “Kerja Dollah.Masih panas baran macam dulu.” Sampuk Madam Lee, menggantikan suaranya yang berat mahu dilontar keluar.

                Suara keluhan meniti keluar dari bibir merah delima itu. Sepasang mata wanita itu seolah bersimpati terhadapnya. Dan bodohnya dia kerana percaya wanita seperti Yasmin akan menganggapnya manusia.

                “Kak Rian?”

                Adriana tergaman. Hilang sudah lamunannya sebentar tadi disapa suara Anas. Dia sendiri tidak menyedari bila masanya Anas datang mendekatinya.

                “Anas tak tidur lagi?” Tanya Adriana tersenyum.

                “Anas tak mengantuk.”

                “Barang-barang dah kemas? Esok nak balik asrama kan?”

                Anas mengangguk. Wajah adiknya itu muram lesu sahaja.

                “Esok kakak panggil teksi ke mari. Maaflah kakak tak boleh hantar Anas balik asrama. Nanti bila kakak dah habis belajar, dah kerja. Kakak beli kereta, boleh hantar Anas ke universiti pulak.” Ujar Adriana tersenyum. Entah bila lah dia mampu mengumpul duit untuk membeli sebuah kereta terpakai. Hendak mengumpul duit belanja makan,rawatan ibunya serta belanja sekolah Anas pun sudah sukar, inikan pula hendak berangan membeli kereta untuk keperluan mereka.

                Anas terdiam mendengar kata-kata Adriana. Dia memandang wajah kakaknya dalam-dalam. Ada sesuatu yang mahu dibicarakan dengan gadis itu sebenarnya.

                “Anas nak bincang sesuatu dengan kakak.” Ujar Anas lambat-lambat.

                “Nak bincang fasal apa?”

                “Anas rasa,Anas nak balik sekolah dekat-dekat sini sahaja. Anas nak tinggal dekat rumah.”Ujar Anas. Kepalanya tunduk ke bawah, tidak berani bertentang mata dengan Adriana kerana dia tahu kakaknya itu pasti tidak bersetuju.

                Adriana terpanar. Apa maksud adiknya itu?

                “Anas nak sekolah kat sini? Apa Anas merepek ni? Bersusah payah Anas dapat bersekolah di Sekolah Berasrama Penuh tu. Dan sekarang Anas kata Anas tak nak sekolah di situ lagi?”

“Kak, Anas kasihankan kakak. Kakak kena kerja dan jaga mak pada masa yang sama. Anas langsung tak membantu kakak. Kakak baharu sambung belajar di kolej tu, lepas tu kakak kena kerja pulak untuk tampung belanja kita dua beradik. Anas kasihan tengok mak sorang-sorang di rumah kalau kakak tak ada.”Ujar Anas.

“Kan ada orang yang tolong jaga mak. Kak Mimi kan ada, Anas nak risaukan apa?”

“Itulah yang Anas maksudkan. Gaji kakak bukan tinggi sangat, tapi kakak terpaksa bayar orang untuk jaga mak masa kakak tak ada.Kalau Anas  ada, Anas boleh tolong tengok-tengokkan mak. Kita tak payah buang duit untuk upah orang jaga mak lagi.” Getus anak muda itu lagi.

Adriana terdiam mendengar butir bicara Anas. Dalam usia16 tahun, adiknya itu benar-benar matang orangnya. Dia benar-benar bangga dengan Anas.

“Anas jangan risau, kakak mampu uruskan semua ini. Kakak cuma nak Anas belajar di tempat yang baik, dapat masuk universiti dan lepas tu kita tinggalkan hidup lama kita dan mulakan hidup baru. Itu janji kakak pada mak dulu.”

“Tapi kak..”

“Jangan nak bertapi-tapi lagi, kakak serius ni. Demi kakak dan demi mak, belajarlah rajin-rajin sampai Anas jadi orang yang berguna.Susah kita ni hanya sementara. Kita kena bersabar, dan sampai masanya nanti Allah akan ganti kesusahan itu dengan bahagia berpanjangan. Percayalah.” PujukAdriana. Bahu anak muda itu ditepuk-tepuk perlahan.

Anas mengigit bibir. Dia sudah tidak mampu untuk memujuk kakaknya.

“Kalaulah ayah ada…” seru Anas separuh mengeluh.

Adriana terkedu. Dia dapat mendengar dengan jelas sungutan adiknya itu. Entah mengapa mendengar sahaja tentang ayahnya, darahnya menyerbu naik ke muka.

“Jangan sebut fasal ayah lagi boleh tak? Dia dah lari tinggalkan kita. Kita tak perlukan ayah macam tu.” Ujar Adriana keras.

“Anas tetap nak cari ayah kak. Dia tak tahu langsung keadaan mak. Kalau ayah tahu, dia akan bantu kita.” Ujar Anas.

Adriana mengetap bibirnya. Wajahnya membahang.

“Anas, kan kakak dah cakap banyak kali pada Anas. Jangan sebut fasal ayah lagi depan kakak. Dia dah tak ada apa-apa hubungan dengan kita lagi. Faham tak?” Bentak Adriana sudah mula gagal mengawal perasaan.

Wajah Anas berubah. Dia tidak faham kenapa sampai begitu sekali kemarahan Adriana terhadap ayah mereka. Sampai sekarang dia langsung tidak mengerti apa-apa pun.

Sebaik Anas beredar ke dalam, Adriana menekup wajahnya.Fikirannya bercelaru. Jiwanya keresahan. Dia tahu Anas sering tertanya-tanya kemana ayah mereka menghilang. Kalaulah anak muda itu tahu apa sebenarnya yang berlaku dua tahun lalu. Lelaki itu sudah meninggalkan mereka buat selama-lamanya tetapi dia tidak pernah menyesal langsung dengan apa yang telah dilakukannya. Langsung tidak!

Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.