Home Novel Cinta ~JODOHNYA~OH MY SWEET BURBERRY BRIT EDT
~JODOHNYA~OH MY SWEET BURBERRY BRIT EDT
usakoprincessz
15/5/2019 14:58:06
14,151
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 24

     Jam menunjukkan angka 3 petang. Aku mula bosan duduk mengadap dinding. Aya sudahpun berangkat ke sekolah sejak jam 11 pagi tadi lagi. Kalau ke sekolah, dapat juga bertemu rakan-rakan dan bergelak ketawa. Rindu juga pada temam-temanku, terutamanya teman rapatku di sana Rozela atau lebih mesra dipanggil Zel. Banyak benda yang ingin aku kongsikan dengan mereka. Tentang pengalaman suka dan dukaku ketika berada di Berhulu Camp serta perkenalanku dengan Lang Merah. Aku terus mengenakan blaus dan jeans biru yang tersangkut dalam almari. Daripada keseorangan di sini, lebih baik aku keluar untuk mengambil angin petang. Nak ke Aeon Permas Jaya mahupun Tebaru City, tidak seronok pula berjalan bersendirian. Baik aku, ke pasaraya Kip Mart sahaja yang terletak di Masai. Lokasinya pun tidak berapa jauh dari rumah sewaku ini. Boleh ke kedai tudung yang banyak dijual di dalam pasaraya itu. Buah-buahan segar pun banyak dijual di situ.

     Aku berpusing-pusing mengelilingi kedai-kedai yang menjual aksesori perempuan itu. Pelbagai jenis bentuk kerongsang ataupun pin hijab yang dijual di situ. Macam-macam warna yang tersedia. Kalau ke sini, memang tak sah kalau aku tidak singgah ke kedai ini. Pasti ada sahaja bentuk-bentuk kerongsang dan pin hijab yang baru dipamerkan di situ. Setelah membeli beberapa jenis kerongsang dan pin hijab di kedai aksesori wanita itu, aku bergerak ke kedai tudung yang terletak bersebelahan. Pelbagai jenis tudung yang dijual. Ada yang berbentuk selendang, tudung ekspres ber 'awning' dan ada pula yang berbentuk bawal. Aku seorang yang universal. Suka menggayakan pelbagai jenis tudung. Tidak terhad pada satu jenis tudung sahaja.

     Sedang aku asyik memilih, terasa bahu disentuh seseorang membuatkan aku terus berpaling. Wanita berselendang merah jambu tersenyum padaku. Cantik.

     "Hai, Ida. Ingat Cik Uprah lagi tak?" wanita itu menegur mesra. Ibu saudara Lang Merah yang menjemputku malam tadi. Kelihatan dia juga turut bersendirian sepertiku.

     "Cik Uprah... Tentulah ingat. Terima kasih atas bantuan Cik Uprah malam tadi. Tak sangka jumpa di sini pula," balasku sambil menyalaminya.

     "Ida tak kerja hari ni?" tanya Cik Uprah lagi. Aku tersenyum sambil menyatakan bahawa aku mengambil cuti dek penat berkursus di negeri Sembilan itu.

     "Cik Uprah buat apa ke sini? Shopping tudungke?" Aku bertanya lagi. Bakul di tangannya ada beberapa helai selendang yang sama warnanya.

     "Beli selendang ni. Kedai ni murah sikit. Harga selendang KekNis ni hanya RM6 sahaja. Memang sesuailah untuk beli banyak-banyak," jawab wanita itu sambil mengambil lagi beberapa helai selendang yang sama warnanya seperti tadi. Aku cuba mengira bilangan selendang yang telah diletakkan di dalam bakulnya itu. Hampir 15 helai. Isy, nak buat apalah agaknya Cik Uprah ini dengan tudung sebanyak itu. Semuanya berwarna ungu lembut pula.

     "Banyaknya Cik Uprah beli tudung. Nak buat apa ni?" tanyaku kehairanan. Nak jual ke? Tapi, takkanlah semua warnanya sama.

     "Ada kenduri sikit Ida. Jadi Cik Uprah beli tudung sama warna ni untuk dipakai bersama-sama pada hari tu nanti," oh, begitu rupanya. Ujarku di dalam hati. Cantik juga warna lembut ini kalau dipakai sedondon beramai-ramai nanti. Agaknya, Cik Uprah ini sudah mempunyai anak-anak dara ataupun anak-anak teruna untuk dinikahkan. Selalunya sedondon begini selalu dibuat ketika kenduri sempena majlis perkahwinan.

     "Oh, begitu. Anak Cik Uprah nak kahwinke? Hehe.. tahniah! Selamat dapat menantu" ujarku lagi dengan nada mengusik.

     "Anak saudara Cik Uprah ni. Bukan berkahwin, tapi bertunang esok," balas wanita itu lagi. Bertunang? Ingatanku terarah kepada Encik Kacak dan Kak Erra yang turut akan bertunang pada hari esok. Mujurlah duit itu berjaya aku pindahkan kepada Datin Anita hari ini. Ternyata anak saudara Cik Uprah ini akan bertunang sama hari dengan mereka. Anak saudaranya yang akan bertunang? Lang Merah pun merupakan anak saudaranya. Jangan-jangan Lang merah yang dimaksudkan oleh wanita ini.

     "Maksud Cik Uprah, Lang Merah yang akan bertunang? Ataupun anak saudara Cik Uprah yang lain?" laju pula aku bertanya. Entah kenapa, aku bimbang juga. Aku selalu juga sentiasa menghubungi anak saudaranya itu melalui pesanan ringkas. Kalau dia yang ingin bertunang, ini bermakna perbuatanku itu seperti pengkhianat kepada hubungan orang lain. Ku lihat wajah wanita itu berkerut seketika.

     "Maksud Ida, Lang Merah itu siapa?" tanya wanita itu lagi. Opss...aku tersasul lagi. Tapi, aku memang tidak tahu nama sebenar Lang Merah. Memang kedengaran agak pelik memanggil anak saudaranya itu dengan nama sejenis burung helang itu.

     "Ya, anak saudara Cik Uprah tu lah. Nama samaran dia Lang Merah," ujarku lagi. Cik Uprah kemudiannya ketawa besar. Mungkin kelakar mendengarkan nama yang tak masuk akal itu.

     "Macam-macam budak-budak muda sekarang ya. Bukan dia, tapi kakaknya. Dia belum beritahu Ida ke? Kalau dia nak bertunang, takkanlah Ida tak tahu. Diri sendiri pun kena bersiapkan," wanita itu menyambung kata sambil ketawa kecil. Oh, kakaknya. Lega rasanya. Yang penting aku tidak berkawan dengan kekasih atau bakal tunangan orang lain seperti Encik Kacak. Hmm..nampaknya ibu saudara Lang Merah ini seolah-olah menyangka aku ada hubungan istimewa dengan anak saudaranya itu.Aku perlu bersiap katanya. Aku tergelak sendirian. Bagaimanalah agaknya rupa Lang Merah ya? Melihatkan ibu saudaranya ini, memang cantik orangnya. Tapi, tidak semestinya wajah lelaki itu seperti perempuan ini.

     "Jadi, Lang Merah pun kena berselendang ungu lembut macamni jugalah Cik Uprah?" tanyaku berseloroh. Wanita itu hanya ketawa mendengarkan usikan ku tadi. Senyuman wanita itu serta suaranya seperti pernah ku lihat dan pernah aku dengari. Tapi, di mana ya?

     "Ida, ambillah satu selendang ni. Jomlah kita pergi. Bolehlah dia kenalkan dengan mamanya nanti. Next, giliran kau orang lah pula," giliran Cik Uprah pula mengusikku. Apa? Tak mungkinlah. Kalaulah wanita ini tahu aku hanya rakan chatting anak saudaranya. Sumpah dia akan ketawakan aku.

     "Eh, tak payahlah Cik Uprah. Lagipun, Ida kerja esok," balasku seraya menyembunyikan hubungan sebenar antara aku dengan Lang Merah.Tapi, manalah tahu masin mulut ibu saudaranya. Nanti, apabila aku sudah diberi kekuatan untuk bertemu dengan lelaki itu, tiba-tiba hati masing-masing benar-benar terpikat antara satu sama lain. Kata-kata ibu saudaranya itu bukanlah omong kosong lagi.

     "Tapi, katanya Ida lebih suka warna merah jambu kan? Takpe, nanti masa majlis kau orang, kita sedondon warna pink pula," ujar perempuan itu lagi. Aik..? Aku pernah beritahu Lang Merah yang aku suka akan warna merah jambuke? Banyak benar rahsia diriku yang aku kongsikan pada lelaki itu rupanya. Macam tak percaya pula. Aku hanya membalasnya dengan senyuman. Rupa-rupanya banyak juga maklumat diriku yang telah ku bocorkan pada lelaki itu tanpa sedar.

     Aku meminta diri untuk bergerak ke kedai yang lain. Kalau masih bersembang lama dengan ibu saudara Lang Merah ini, mungkin lagi banyak perkara-perkara yang terkongsi bersama nanti.

     "Ida, kenapa rushing sangat? Jom kita makan dulu dekat 'food court'. Cik Uprah belanja," ujar wanita itu menahan pergerakanku. Hendak menolak pun tidak tahu bagaimana, terpaksalah aku menuruti kehendak wanita itu. Semoga tiadalah pertanyaan yang aneh-aneh diajukan kepadaku nanti.

     Kami beriringan menuju ke medan selera yang terletak di dalam pasaraya tersebut. Janggal juga aku rasakan apabila berjalan dengan seseorang yang baru aku kenali itu. Namun, wanita itu ku lihat kelihatan bersahaja saja. Seolah-olah diriku telah dikenali bertahun-tahun.

     Aku mencapai sudu untuk menghirup sup di dalam mangkuk yang baru dihantar oleh pelayan di salah sebuah kedai yang menjual makanan di situ. Boleh tahan. Aku memang suka akan masakan bihun sup yang dimasak oleh kedai ini. Selalu juga aku membeli sup di sini kalau singgah di Kip Mart ini. Mee goreng udang yang dipesan oleh Cik Uprah itu juga tampak menarik selera.

     "Ida, Cik Uprah tak sangka yang Ida tinggal dekat aja dengan Cik Uprah. Kalau tahu dari dulu, dah lama Cik Uprah ajak jumpa," wanita itu memulakan perbualan. Dari dulu? Hm.. apa yang sebenarnya yang diceritakan oleh Lang Merah kepada ibu saudaranya ini. Apakah dia memberitahu bahawa aku ini adalah kekasih dia? Kekasih yang telah lama dikenalinya. Peliknya? Aku hanya menjawabnya dengan senyuman. Tak tahu bagaimana untuk meneruskan kata-kata. Sampai bila lakonan ini akan selesai. Ataupun wanita ini perlu tahu akan cerita sebenar.

     "Hari ni Cik Uprah tak masuk ofiske? Cik Uprah kerja kat mana?" cepat-cepat aku menukar topik perbualan supaya perbualan kami tidak menjurus ke arah hubungan antara aku dengan Lang Merah.

     "Cik Uprah kerja sendiri. Buka stokis produk kecantikan secara kecil-kecilan. Macam-macam ada, krim malam, krim siang, losen badan, pencuci muka dan supplement pun ada Cik Uprah jual," jawab Cik Uprah seraya tersenyum. Oh, begitu. Terbayang wajah Dato' Vida dengan gayanya mengiklan produk Qu Putehnya. Agaknya produk kecantikan yang bagaimana yang dijual oleh wanita ini.

     "Oh, patutlah kulit Cik Uprah cantik. Jual produk kecantikan rupanya," aku menyambung kata. Memang kulit wanita itu terlihat bersih dan licin. Cantik. Selain faktor genetik, wanita ini pasti pandai menjaga kecantikannya.

     "Hehe.. Biasa aja lah Ida. Ida nak cuba? Boleh jadi dealer Cik Uprah" tanya wanita itu lagi. Aku tersenyum sambil memikirkan tawarannya. Boleh tambah pendapatan ni. Boleh bayar duit Lang Merah dengan cepat. Aku mula bertanya lanjut. Di akhir pertemuan dengan wanita itu, aku sempat mengambil beberapa jenis produk yang dijual olehnya untuk dijadikan 'tester'kepada rakan-rakanku nanti. Sekiranya permintaan tinggi, wanita itu sendiri yang akan menghantarnya kepadaku sama ada di rumah mahupun di sekolah. SMK Pasir Gudang bukanlah terlalu jauh dari tempat tinggal wanita tersebut.


Previous: Bab 23
Next: Bab 25

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh usakoprincessz