Home Novel Cinta ~JODOHNYA~OH MY SWEET BURBERRY BRIT EDT
~JODOHNYA~OH MY SWEET BURBERRY BRIT EDT
usakoprincessz
15/5/2019 14:58:06
12,770
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 28


     Seperti yang telah diarahkan oleh puan pengetua sekolah, semua guru sesi petang berkumpul di dewan terbuka sekolah untuk sesi temu murni bersama-sama ibu bapa di tepat jam 8.30 pagi. Namun begitu, para guru perlu sampai lebih awal iaitu pada pukul 8.00 pagi sebagai persiapan awal agar tiada suasana kelam kabut yang berlaku ketika sesi pertemuan empat mata itu. Entah kenapa hari yang dipilih adalah hari rabu begini. Hari bekerja. Pasti sambutannya kurang menggalakkan bagi ibu bapa yang kedua-duanya bekerja. Ketika aku mengambil tempat di meja guru tingkatan 1 Bestari itu, kelihatan Zel terlebih dahulu sudah sampai di sana. Kami duduk bersebelahan kerana Zel merupakan guru tingkatan 1 Arif. Ambilan pelajar tingkatan satu pada tahun ini agak ramai. Sebanyak 12 kelas tingkatan satu yang perlu dibuka. Kelas-kelas tersebut dinamakan dengan urutan abjad. Kelas pertama dimulakan dengan abjad A sehinggalah abjad L.

     Aku mengenyit mata ke arah Zel tatakala gadis itu kelihatan agak sibuk menyusun fail-fail PBS yang diangkut ke sini untuk ditunjukkan kepada ibu bapa yang hadir nanti. Maklumlah kelas 1 Arif yang dipegang oleh Zel adalah kelas terbaik. Ibu bapa pelajar-pelajar tersebut juga kebanyakannya sangat komited untuk mengetahui perkembangan pembelajaran anak-anak mereka. Tak jauh beza juga dengan kelas 1 Bestari yang dipegang olehku. Cuma, ada juga segelintir ibu bapa pelajar-pelajar kelasku ini, yang kerapkali tidak dapat hadir. Mungkin ada urusan yang lebih penting.

     "Zel, bersemangat waja gitu," aku mengusik Zel tatkala rakanku itu khusyuk menulis. Dia berpaling lalu tersenyum sambil menjuihkan bibirnya.

     "Aku tulis borang kedatangan ibu bapa ni ja. Lewat juga kau sampai. Tadi, aku dah sarapan dulu," ujar Zel pula. Ya, aku memang agak lewat datang ke sekolah tadi. Sarapan pun hanya dengan roti gardenia RM0.80 saja beserta air mineral. Terlebih tidur pula malam tadi dek ralit berbual dengan Lang Merah. Terbayang-bayang pula mesej aku dengan Lang Merah tadi. Aku tersenyum sendirian.

     "Senyum sorang-sorang? Macam orang angau ja," Zel pula menempelakku apabila terlihat tersenyum-senyum begitu. Aku melirik ke arahnya. Pasti Zel akan sifatkan aku sudah gila. Menyambut salam cinta bodoh begitu.

     "Zel, aku... aku udah jadian sama dia... hehe," balasku pula mengajuk loghat Indonesia sambil ketawa kecil. Zel membuntangkan mata. Pasti dia terkejut dengan sikapku yang berubah. Dulu, aku hanya mengatakan bahawa tidak mungkin aku akan bercinta dengan rakan chatting yang entah dari mana asal-usul itu.

     "Engkau main-mainkan? Jadian sama siapa? Budak chatting yang kau cerita semalam tu?" tanya Zel masih tidak berpuas hati. Memang dari dulu lagi, Zel memang tidak suka akan perangaiku yang suka berchatting itu. Katanya, lelaki yang ditemui dalam laman chatting ini langsung tidak boleh dipercayai. Ya, memang betul. Aku memang bersetuju dengan Zel, tapi Lang Merah ini kelihatannya berbeza. Sikap yang ditunjukkan jelas menunjukkan dia tulus mahu mendekati dan berkawan denganku. Dia sanggup meminjamkan wang sebanyak itu padaku dan menyuruh ibu saudara yang rapat dengannya untuk menolong aku pada malam itu. Hal itulah yang menyebabkan tanggapan aku pada Lang Merah berubah. Dia seperti bukan rakan-rakan chatting lelaki yang lain. Ada keikhlasan yang diungkapkan di situ.

     "Ha'ah. Hehehe... Kau restukan...hehe.." jawabku sambil tersengih-sengih macam kerang busuk kerana sudah menjangkakan jawapan yang akan keluar dari mulut Zel. Zel menjeling ke arahku. Wajahnya masih belum berpuas hati. Namun, aku memberi isyarat kepadanya apabila kelihatan beberapa orang ibu bapa pelajar beriringan datang ke meja ku untuk sesi temu murni ini.

     Hampir keseluruhan ibu bapa pelajar kelasku datang hari ini. Ramai ibu bapa yang sanggup mengambil cuti semata-mata untuk datang ke sini. Aku betul-betul tabik dengan sikap ibu bapa mereka. Komitmen yang beginilah akan membuahkan hasil yang baik kepada pelajar. Jam hampir menujukkan angka 10.30 pagi. Kaunter sesi temu murni ini akan ditutup pada pukul 11 pagi. Tinggal penjaga Ikram sahaja yang belum datang. Zel yang di sebelahku serta guru-guru lain pun kelihatan sedang mengemas fail-fail yang ada di atas meja sebagai persediaan untuk menutup kaunter. Aku pun begitu. Rasanya, ibu bapa Ikram pasti tak datang. Tapi, bagaimana dengan Dana Koperasi ini? Sudahnya nanti, aku berikan saja pada dia.

     Perlakuanku terbantut tatkala melihat dua susuk tubuh menuju ke meja ku. Ikram bersama dengan seorang wanita bergaya berambut panjang yang berkaca mata hitam berjalan menuju ke arah mejaku. Aku membetulkan semula kedudukanku. Mungkin inilah kakak yang dimaksudkan oleh semalam. Teringat pujian yang keluar dari bibir pelajar itu. 'Kakak saya cantik dan bergaya macam cikgu'. Awak salah Ikram, kakak awak ni macam artis dah lagaknya nak dibandingkan cikgu yang bergaya kampungan ini.

     Sampai sahaja Ikram ke meja ku. Dia tunduk sambil tersenyum dan memperkenalkan kakaknya kepadaku.

    "Cikgu, ini kakak saya," ujar anak itu lagi. Aku tersenyum lalu bangun menghulurkan salam kepada wanita itu. Kelihatan masih muda dan sangat bergaya. Rambutnya kelihatan berombak tak ubah seperti rambutku. Walaupun berkaca mata hitam, aku dapat meneka kecantikan wajahnya.

     Huluran salamku disambut tetapi kelihatan dia merenungku agak lama. Kenapa ya? Aku tersenyum sambil mempelawa wanita itu duduk. Ikram mengambil tempat di sebelahnya.

     "Kak Long, ini Cikgu Ida. Cikgu ni baik, selalu belanja Ikky," ujar pelajar itu lagi. Aku hanya mendengar sahaja ucapan Ikram. Rupanya Ikky panggilan manja anak ini. Wanita itu hanya terdiam. Tiada sepatah pun perkataan yang keluar dari mulutnya. Wajahnya hanya merenung ke arahku. Aneh betul kelakuan kakaknya ini. Pandangan matanya, tak dapat aku teka dek terhalang dengan kaca mata hitamnya.

     "Tak adalah. Saya biasa-biasa saja. Ikram banyak memuji pula. Ikram ni rajin orangnya. Suka bantu guru-guru di sekolah," aku memulakan perbualan agar tidak merasa canggung apabila diperhatikan begitu.

     "Tujuan sesi temu murni ni untuk apa ya?" wanita itu kemudiannya bersuara. Nadanya tidak ramah seperti ibu bapa yang lain. Ya, mungkin dia masih lagi muda dan hanya merupakan kakak Ikram.

     "Macam ni, kita nak tunjukkan prestasi IKram di sekolah. Dia bagus, tapi sesetengah subjek dia masih lagi lemah. Jad.." belum sempat aku habiskan percakapanku, wanita itu terus mencelah.

     "Subjek yang awak ajar? Okay ke?" aku mengangkat wajahku melihat ke arah wanita itu. Awak? Ya, aku agak terkejut dengan perkataan 'awak' yang digunakan itu. Memang aku adalah antara guru muda di sini, tetapi tak pernah pula ibu bapa yang lain menggunakan perkataan 'awak' ketika bercakap denganku. Selalunya 'cikgu' yang selalu dibahasakan kepadaku.

     "Saya ajar Sains. Ikram bagus dalam subjek Sains. Dia selalu dapat A dalam peperiksaan untuk subjek ni. Cuma subjek lain macam Bahasa Melayu, Sejarah dan Bahasa Inggeris. DIa hanya dapat pangkat D dan E sahaja. Jadi..." kali ini kata-kataku juga dipotong.

     "So, apa pihak sekolah buat kalau pelajar itu lemah? Biarkan saja?" wanita itu bersuara lagi dengan nada yang lebih tinggi daripada tadi. Aku mengerutkan keningku. Ada yang tidak kena dengan wanita ini. Lebih baik aku bersabar.

     "Pihak sekolah sudah menyusun beberapa kelas tambahan bersiri bagi mengatasi masalah ini. Tapi, Ikram kerap juga tak hadir ketika kelas dijalankan. Aduan dari pihak guru juga banyak mengatakan Ikram juga banyak kali tak menyiapkan tugasan yang diberikan. Dalam kelas pun selalu tertidur. Dia sebenarnya pandai, tengoklah dalam subjek Sains dia selalu mendapat markah yang paling tinggi dari yang lain," kali ini aku sempat juga selesai berbicara. Wanita itu mengangguk-anggukkan kepala tanda faham.

     "Saya rasa, kalau guru tu memainkan peranannya dengan betul. Anak murid takkan tidur dalam kelas. Tugasan pun pasti disiapkannya. Saya pun pernah sekolah. Yang penting cikgu tu sendiri kena ada skill untuk atasi masalah ini. Bukan menuding jari ke arah orang lain," wanita itu pula menjawab. Sakit pula hati aku mendengarkan ucapannya. Jadi, cikgu salah? Mana peranan penjaga pula? Kalau dah marah, dah pun ditegur tapi masih berkeadaan sama. Tugasan sekolah penjaga dia perlu pantau.

     "Betul. Tapi, kalau tak mendapat kerjasama dari penjaga pun, sekolah akan bermasalah. Hal tugasan dan kerap tertidur dalam kelas ini ada sangkut pautnya dengan aktivitinya di rumah. Tugasan..." aku belum sempat menghabiskan kata-kata, wanita itu terus mencelah.

     "Saya nampak, awak ni suka menyalahkan orang lain daripada menyalahkan pihak awak sendiri. Macam mana nak maju sekolah kalau fikiran sesempit macam ni?" wanita itu makin menjadi-jadi berangnya. Guru-guru dan beberapa orang penjaga pelajar lain yang ada di situ turut memandang ke arahku. Malu juga aku dibuatnya. Aku ada salah cakapkah? Kenapa dia naik berang pula. Kaca mata hitamnya ditarik tatkala aku menghulurkan borang kedatangan supaya dia menandatangani borang tersebut. Mata kami bersabung. Minah Ketak? Aku mimpi ya? Jadi, Minah Ketak ni kakak Ikram? Aduh, kecil betul dunia ini. Patutlah garang benar tadi. Aku tidak jadi untuk meneruskan kata-kata malah terus memberikan pulangan dana koperasi kepadanya. Wanita itu bangun seraya menarik lengan Ikram . Rasanya seperti aku mencurah air ke daun keladi saja. Bukan wanita ini mahu mendengarkan kata-kataku pun. Yang ada dalam fikirannya adalah kebencian terhadap aku. Tapi, untuk apa terus membenci aku? Aku sudah tidak ada kaitan dengan Encik Kacak lagi. Sudah jauh aku pergi meninggalkan mereka. Dia pun sudah selamat bertunang dengan Encik Kacak semalam.

     Hasrat untuk bertanya lebih lanjut kenapa Ikram selalu datang lambat ke sekolah dan bajunya comot saja apabila sampai ke sekolah aku tangguhkan sahaja. Bukan orang yang tepat untuk aku bertanya itu dan ini tentang Ikram. Anak itu pun hanya membisu sahaja. Mungkin dia turut hairan mengapa kakaknya menjadi seberang itu. Katanya kakaknya seorang yang baik, cantik dan bergaya. Boleh pula disamakan dengan aku... oh tidak. Aku bukan perempuan yang begitu.

     Zel dan beberapa orang guru lain mencuit bahuku. Aku berpaling ke arahnya. Ada satu lagi perkara yang belum aku ceritakan kepada Zel tentang kejadian di Berhulu Camp dulu. Tentang Minah Ketak yang ada kaitannya dengan Encik Kacak. Dua makhluk yang menjengkelkan di situ.

     "Apa pasal perempuan tu marah-marah?" tanya Kak Sakinah yang merupakan guru tingkatan 1 Cemerlang yang duduk berbelahan dengan mejaku juga.

     "Entahlah, saya ceritakan perangai Ikram yang suka tidur dalam kelas dan sikap dia yang malas buat tugasan. Kemudian, dia menyalahkan cikgu pula. Katanya cikgu tak pandai mengatasi masalah pelajar. So, saya nak kata apa lagi. Saya diam ajalah," ujarku. Kak Sakinah merupakan guru matematik kelas Ikram. Memang sudah masak dengan perangai dan sikap IKram yang sukar diubah itu.

     "Macam mana nak bentuk sahsiah pelajar, kalau penjaga pun kurang ajar macamtu," Kak Sakinah pula mengomel. Zel pun turut sama mengulang ayat yang sama.

     "Zel, ada sesuatu sebenarnya yang berlaku," kataku separuh berbisik kepada Zel agar tiada cikgu yang mendengarkannya. Zel mengangkat kening. Aku mengemas semua fail yang berselerak seraya menyuruh beberapa orang pelajar di situ mengangkatnya ke meja guruku yang terletak di bilik guru. Aku menarik tangan Zel beriringan menuju ke bangku yang terletak berhampiran untuk bercerita tentang Minah Ketak. Zel kelihatan melopong mendengarkannya.

     "Laaa... macam tu ke? Kecil betul dunia ni kan. Jadi, marahnya belum habis lagi lah ni? Eh, kenapa pula dia nak marah kat kau? Apa kaitan kau dengan lelaki tu?" berkerut-kerut kening Zel memikirkan masalah ini. Gelagatnya menyebabkan aku tersenyum.

     "Itulah masalah dia. Aku pun tak tahulah Zel. Tapi, masa kat sana aku ni kerap kali tersadung tau. Masuk longkanglah. Terbaring atas jalan rayalah. Lepas tu, Encik Kacak tulah yang bantu aku. Tolong urutkan kaki aku ni. Kebetulan, Encik Kacak tu bakal tunang dia," ujarku lagi.

     "Oh, dia jealouslah ni. Jealous sebab urut kaki kau ke? Macam tak kukuh ja alasan nak jealous tu," sambung Zel lagi.

     "Itulah. Muka tak komersial macam aku pun dia nak jealous. Lelaki tu pun pelik juga, dah tahu kekasihnya cemburu, dia buat bodoh saja. Aku pula jadi mangsa. Sampai sekarang pun masih jadi mangsa," ujaku seraya menjuihkan bibirku.

     "Eh,tapi, semalam kau ceritakan kau kena bayar ganti rugi dekat datin sombong tu dengan Encik Kacakkan? Datin tu pasal jual beli perfume, Encik Kacak tu pasal kalung kristalkan? Kau pun jadi dropship kalung kristalke?" tanya Zel lagi. Sahabat aku yang seorang ini memang begini. Selagi dia tidak faham, selagi itulah dia akan bertanya. Aku menceritakan dari awal bagaimana kalung tersebut boleh hangus dalam pemanggang api tersebut serta bagaimana reaksi Encik Kacak .

     "Oh, macamtu. Patutlah dia jealous sangat dengan kau," Zel tersenyum-senyum. Dah kenapa pula dengan minah ni? Aku mengangkat bahu tanda tidak faham dengan senyumannnya itu.

     "Aku rasa, lelaki tu macam syok kat kau aja. Yalah, kalung kristal tu mungkin dia sengaja nak berikan pada kau. Lepastu, kau tak jaga elok-elok. Hangus depan dia pula tu. Yang perempuan tadi tu, jealosulah," kata Zel selamba. Encik Kacak syok kat aku? Hahahaha... lucu pula kedengarannya.

     "Mereka berdua tu nak bertunang dah. Apa pula syok-syok kat orang lain? Salah tanggapan kau tu. Tak betul," aku menyangkal tanggapan Zel yang tak masuk akal itu.

      "Ya ke? Tapi, cara kau cerita tu macam seolah-olah tiada hubungan special pun atara mereka berdua. Okay, misalnya aku dengan tunang aku. Aku ajak tunang aku makan sekali dengan aku, dan ada perempuan lain yang dia baru kenal juga mengajaknya makan bersama. Sudah tentulah dia memilih aku untuk makan bersama dengannya. Lepastu, cuba kau fikir logik, mana ada lelaki yang berikan kalung bentuk hati depan tunang atau kekasihnya kepada perempuan lain? Kalau benar dia anggap kekasih, takkanlah dia sanggup nak curang depan-depan macamtu? Kalau nak pasang dua sekali pun, dia takkanlah buat depan-depan macam orang tak bersalah macamtu.Tak logiklah Ida. Takkan itu pun kau tak boleh fikir," ujar Zel lagi. Aku memandang wajah Zel sejenak. Tak mungkinlah. Belum lagi aku ceritakan perihal lelaki itu memberikan jaket Adidas nya kepadaku pada malam itu.

     "Tak.. aku tak rasa macam tu. Lagipun, sebelum aku balik ke sini. Dia layan aku acuh tak acuh ja. Aku pergi minta maaf, dia buat dek ja. Tak mungkinlah. Tak ada pula dia cakap, dia suka kat aku ke.. I love you ke..." aku menyambung lagi sambil ketawa kecil. Zel menjeling ke arahku sambil mendengus geram. Fikiran aku dengannya selalu tidak sama.

      "Sudahlah. Kau bukan nak dengar apa orang cakap. Tapi, syok juga kalau kau betul-betul ada jodoh dengan dia. Businessman tu. Wooooww.. CEO lagi.. Macam drama pukul 7 la kau nanti. Hahahaaa..." Zel pula menyambung gelak. Aku turut tertawa.

     "Tapikan... Aku memang suka tengok muka dia. Hensem. Sebabtu aku panggil Encik Kacak. Tapi, sayang. Tak sempat nak selfie. Hahahhaa..." aku pula berseloroh.

     "Mana tau ada peluang lagi kan? Ada kursus siri dua ke nanti.. Boleh jumpa lagi," Zel mengusik. Aku membuntangkan mata. Kalau ada siri dua pun, pasti aku tidak mahu lagi menghadirinya. Cukuplah sekali itu sahaja.


Previous: Bab 27
Next: Bab 29

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh usakoprincessz