Home Novel Cinta ~JODOHNYA~OH MY SWEET BURBERRY BRIT EDT
~JODOHNYA~OH MY SWEET BURBERRY BRIT EDT
usakoprincessz
15/5/2019 14:58:06
14,351
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 26

     "Semua bangun! Assalamualaikum cikgu!" jerit Zulkarnain selaku ketua kelas 1 Bestari setelah semua pelajar 1 Bestari memenuhi makmal sains pada petang itu. Kelihatan semua pelajar berdiri. Ikram tiada di tempatnya. Ke mana ya? Tadi, dia kelihatan ada bersama-sama di tapak perhimpunan. Lesap ke mana pula sekarang. Hari pertama ke sekolah pun dah buat aku naik angin. Belum lagi aku memastikan semua tugasan subjek Sains yang diberikan kepada mereka oleh guru yang menggantikan tempatku selama aku tiada tempoh hari dibuat ataupun tidak.

     "Waalaikumussalam. Semua boleh duduk. Zul, Ikram ke mana?" tanyaku spontan kepada ketua kelas. Kerap kali aku berpesan kepada semua pelajarku bahawa setiap pergerakan keluar dari kelas perlu mendapat keizinan guru yang mengajar ataupun kalau kes kecemasan perlu dilaporkan kepada ketua kelas kecuali pada waktu rehat. Zulkarnain memandang ke arahku. Wajahnya agak pucat dek melihat reaksiku yang agak tegas itu. Ya, aku memang seorang guru yang boleh diajak bergurau, namun di kala aku memberikan arahan semua pelajar perlu mengikut segala suruhanku dengan baik. Kalau tidak, pasti mereka akan dimarahi olehku. Bagiku, ketegasan itu adalah perkara yang penting dalam mendidik minda anak-anak.

     "Ikram tak sihat cikgu. Saya bawa dia ke meja berhadapan kaunter guru bertugas tadi. Saya rasa badan dia panas cikgu. Semalam pun, dia dah beritahu yang dia kurang sihat. Tapi, Cikgu Aya cakap cikgu akan datang ke sekolah hari ni. Dia datang juga nak jumpa cikgu," panjang lebar sekali jawapan Zulkarnain. Dia memang pelajar kepercayaanku. Pelajar tingkatan satu selalu tidak berbohong. Apa yang terungkap dari bibir mereka kebanyakannya adalah apa yang berada dalam hati mereka. Kemarahanku menjadi kendur semula. Naluri keibuanku tersentuh dengan ucapan dari pelajar itu. Terbayang wajah kecil Ikram. Orangnya kecil sahaja. Memang agak pemalas orangnya, namun memiliki otak yang cerdas. Dia adalah pelajar yang selalu mendapat markah tertinggi dalam matapelajaran Sains. Selalu pula datang ke meja guruku. Ringan tulang sekali dalam menolongku serta guru-guru lain. Cuma, sikapnya yang agak malas dalam menyiapkan tugasan dan latihan itu selalu menjadi kritikan oleh para guru lain. Hal inilah yang membuatkan aku geram memandangkan kelas 1 Bestari adalah kelas yang kedua yang diharapkan oleh sekolah untuk menempa kecemerlangan selepas 1 Arif.

     "Baiklah, saya nak semua buka modul Sains. Saya dimaklumkan cikgu yang menggantikan saya baru-baru ini ada memberikan tugasan kepada kamu semua. Sila buka sekarang," aku berpusing-pusing mengelilingi meja setiap pelajar. Ada beberapa orang pelajar yang kelihatan berwajah gelisah. Pasti mereka gagal menyiapkan tugasan yang diberikan itu.

     "Siapa yang belum siap, sila berdiri!" aku memberikan arahan kemudiannya. Kelihatan beberapa orang pelajar perempuan dan lelaki berdiri. Masing-masing tunduk dengan wajah yang bersalah. Aku masak benar dengan wajah begitu, kalau tidak melakukan apa-apa kesalahan pasti wajah mereka akan ceria seperti biasa.

     "Baiklah, saya berikan masa selama 15 minit untuk kamu siapkan. Kepada yang bermasalah untuk menyiapkannya, sila bertanya kepada saya mahupun kepada rakan-rakan yang berdekatan." ujarku lagi. Para pelajar memang kena dilatih begitu. Kalau guru tidak mengambil tindakan awal, mereka akan jadi sambalewa dalam melaksanakan apa-apa tugasan yang kita berikan kepada mereka.

     Setelah berpuas hati melihat hasil tugasan yang dilakukan oleh semua pelajar, aku meneruskan pengajaranku di dalam kelas itu seperti biasa. Rindu benar aku akan suasana begini. Mengajar dan mendidik adalah rutin harianku sebelum dihantar untuk menyertai Kursus Keusahawanan di Berhulu Camp, Jempol tempoh hari. Waktu selama 80 minit itu berlalu dengan pantas. Hari ini kelas aku tidak sebanyak hari ahad dan hari Isnin. Selain mengajar subjek Sains, aku turut ditugaskan untuk mengajar matapelajaran Bahasa Melayu di sekolah itu. Memang berlainan bidang, tetapi aku memang meminati subjek bahasa selain sains dan juga matematik.

     Aku menapak keluar dari makmal sains itu tatkala semua pelajar telah keluar dari bilik itu menuju ke kelas mereka di bangunan sebelah. Aku berhasrat untuk menjenguk Ikram. Apa benar apa yang diperkatakan oleh Zulkarnain, ketua kelas 1 Bestari tadi tentang Ikram.

     "Ikram, awak demamke? Kenapa tak berehat saja di rumah tadi?" tanyaku sebaik sahaja sampai ke meja bersegi empat di mana para pelajar yang mengalami masalah duduk sementara menantikan layanan guru yang bertugas mahupun ibu bapa yang datang menjemput. Ku lihat Ikram hanya tunduk. Mungkin tidak tahu apa yang harus diucapkan.

     "Mak boleh datang ambilke ni? Ke ayah yang yang akan datang jemput?" tanyaku lagi apabila melihat Ikram mendiamkan dirinya. Murid itu hanya menggeleng-gelengkan kepalanya. Apa maksudnya? Adakah ibu atau bapanya tidak dapat datang untuk mengambilnya? Memang prosedur sekolah ini, para guru tidak dibenarkan untuk menghantar para pelajar pulang ke rumah pada waktu bekerja. Selain, mengganggu sesi pembelajaran, hal-hal keselamatan juga dikhuatiri. Sekiranya berlaku perkara yang bukan-bukan pasti pihak guru mahupun pihak pengurusan sekolah yang akan dipersalahkan oleh para penjaga. Jadi, langkah terbaik ialah sekiranya ada pelajar yang mahu pulang, pihak keluarga pelajar itu sendirilah yang perlu menjemput seseorang pelajar itu.

      "Mak kerja cikgu. Ayah saya tak ada kat rumah," balas suara kecil itu. Dia menyatakan bahawa kepalanya hanya terasa pening sedikit dan hanya mahu berehat di situ sahaja. Aku merasa kasihan pada pelajar lelaki ini. Dia bukan pelajar yang tidak berkemampuan dalam prestasi akademik, malah memang merupakan seorang pelajar yang cerdas. Tapi, mungkin menghadapi masalah keluarga menyebabkan dia kurang fokus dalam pelajaran.

    "Esok pagi, sekolah ada majlis temu murni. Selain nak mewar-warkan keputusan akademik untuk Ujian Setara 2 yang lepas, kita ada penyampaian dana koperasi sekolah. Jadi, mak Ikram boleh datang tak?" tanyaku lagi. Itulah intipati mesyuarat semalam yang diberitahu oleh Aya kepadaku malam tadi. Penyampaian dana tersebut adalah hasil keuntungan koperasi sekolah dalam program dan juga aktiviti-aktiviti sepanjang tahun ini. Semua pelajar sekolah ini memang telah diwajibkan menjadi ahli dan pemegang saham dalam koperasi sekolah sejak tingkatan satu lagi.

     Ikram terdiam. Mungkin sedang memikirkan keadaan keluarganya. Kemudian, memandang ke arahku.

     "Mak mungkin tak dapat datang juga cikgu. Sebab mak saya kerja, tapi kakak saya ada di rumah," Ikram menjawab kemudiannya. Tak pernah lagi Ikram bercerita tentang keluarganya. Aku hanya mengetahui serba sedikit tentang diri Ikram hanya melalui Sistem Maklumat Murid yang memang dibawa dari sekolah rendahnya lagi. Semasa pendaftaran tingkatan satu dulu pun, Ikram hanya keseorangan sahaja datang ke sekolah untuk mendaftar. Dalam maklumat penjaganya, ibunya adalah seorang surirumah, tetapi lain pula seperti yang diberitahu oleh Ikram sekarang. Ibunya bekerja. Pelajar ini memang terlalu berahsia selama ini.

     "Oh, tak mengapa. Asalkan yang datang itu adalah orang yang dipercayai merupakan keluarga Ikram. Kakak Ikram umur berapa?" aku mula memancing pelajar itu untuk lebih lanjut bercerita tentang keluarganya.

     "Kakak yang mana cikgu?" tanya pelajar itu lagi. Aku menjungkit keningku. Hatiku mula terfikir, bukankah dalam sistem maklumat muridnya, dia hanya mempunyai seorang kakak sahaja.

     "Kakak yang ada kat rumah tu lah," ujarku lagi. Nampaknya anak itu makin selesa bercerita apabila ditanya tentang kakaknya.

     "29 tahun cikgu," balasnya lagi. Pendek pula jawapannya. Hmmm... Nak tanya apa lagi ya supaya dia bercakap dengan lebih banyak tentang keluarganya.

     "Kakak yang seorang lagi tu, berapa umurnya pula?" tanyaku lagi. Ikram kali ini tersenyum.

     "28 tahun cikgu. Seronok kalau kakak balik. Kakak saya akan bawa saya jalan-jalan. Kakak saya baik, cantik dan bergaya macam cikgu," sambung pelajar itu lagi. Aku cantik dan bergaya? Biar benar. Wajah tulus anak itu kutenung. Jadi, Ikram ada dua orang kakak? Kenapa dalam borang maklumat pelajar dulu dia hanya mengisi maklumat tentang seorang sahaja kakaknya. Aku pun ingat-ingat lupa akan maklumat keluarganya lantaran sudah lama mengemaskini maklumat diri pelajar itu pada awal tahun dahulu. Kenapa Ikram tak pernah bercerita tentang ayahnya ya?

     "Ada-ada aja awak ni Ikram. Kakak Ikramlah yang cantik dan bergaya. Cikgu biasa-biasa saja. Betulke awak tak nak pulang ke rumah ni? Kan ada kakak awak di rumah?" tanyaku lagi. Budak lelaki itu terdiam kemudiannya. Wajahya ditundukkan sambil menggeleng-gelengkan kepalanya. Tadi, kelihatan dia memuji-muji akan kebaikan kakaknya, tetapi kenapa apabila aku cadangkan begini, wajahnya menjadi sesugul itu.

     "Tak apalah Ikram. Nah, ambil duit Rm5 ni. Boleh beli makanan di kantin nanti. Semoga awak cepat baik dan boleh kembali belajar di dalam kelas seperti pelajar-pelajar lain selepas waktu rehat nanti ya," aku tersenyum memandang wajahnya. Kelihatan Ikram beriak ceria sambil menyambut duit yang kuhulurkan padanya. Tak putus di bibirnya ucapan terima kasih kepadaku. Aku tahu, Ikram pasti datang dari golongan keluarga yang susah. Baju seragam sekolahnya sentiasa comot apabila ke sekolah. Pernah juga aku tanyakan dia, adakah dia membasuh baju sekolahnya itu, namun tiada jawapan yang terungkap di bibirnya.

     Aku bergerak menuju ke bilik guru. Langkah ku ditahan oleh rakan baikku, Zel yang tersengih memandangku. Kami berpelukan seketika. Bagai setahun tak berjumpa. Rakan yang menjadi tempat luahan rasa dan teman bergosip ku sepanjang bekerja di sini.

     "Amboi, seronok sangat berehat kat Jempol sampai tak nampak aku yang berdiri kat sini," usik Zel sebaik sahaja meleraikan pelukan. Aku ketawa sahaja mendengar usikan Zel. Aku mengajak Zel ke ruang rehat guru merangkap bilik solat guru-guru di situ.

      "Macam mana? Dah jumpa idaman hati kat sana?" Zel bertanya lagi sebaik sahaja kami melangkah ke ruang rehat itu. Kelihatan tiada guru yang berada di situ. Mungkin masing-masing sibuk masuk ke kelas atau mungkin ada juga guru yang sedang menjamu selera di kantin sekolah. Aku berpaling seraya mengerut kening. Dah kenapa dengan budak Zel ni? Tanya idaman hati pula.'

      "Yalah, hari tu kau juga yang cakap nak cari balak kat situ kan? Kot-kotlah jumpa yang kaya –raya..hehe..." tambah Zel lagi sambil tersenyum membarisi giginya. Aku tergelak kecil. Baru aku teringat, memang aku ada berseloroh dengannya dulu tentang pencarian Mr. Right ini tatkala terlalu geram apabila namaku yang dipilih untuk berkursus di situ. Seorang diri pula. Ada juga aku cadangkan kepada puan pengetua supaya Zel turut dimasukkan sekali untuk menyertai kursus itu, tetapi permintaan ku ditolak, kerana sekolah hanya membenarkan seorang sahaha guru yang perlu ke sana. Aku menjuihkan bibirku tanda tiada siapa yang aku temui. Zel ketawa besar dengan tindakan spontanku.

     "Tulah, kurang aura tu. Jom mandi bunga nak? Dekat spa sebelah kedai nasi bubur yang selalu kita makan tu,"cadang Zel lagi. Aku membeliakkan mata. Mandi bunga? Takut pula aku mendengarkan istilah itu. Orang-orang tua zaman dahulu mempercayai bahawa mandi bunga ini boleh menaikkan seri wajah. Tak mahulah.

     "Siapa kata aku kurang aura? Hehe.. Zel.. aku ada satu cerita menarik. Hmm.. kau nak dengar?" balasku dengan pertanyaan memancing minat rakan baikku itu. Perempuan itu terlalu risau akan aku apabila mengingatkan aku yang masih bersatus 'single' begini sedangkan dia tak lama lagi akan berkahwin dengan pilihan hatinya. Zel mendekatkan dirinya padaku tanda benar-benar ingin tahu akan kelanjutan cerita yang ingin aku sampaikan itu. Aku tergelak dengan sikap Zel yang spontan itu.

     "Zel, aku macam jatuh hati dengan rakan chatting laa.." aku menyambung cerita kemudiannya sambil memandang reaksi Zel.

     "Rakan chatting? Mengarutlah kau ni. Apa dah tak ada lelaki lainke kat dunia ni? Eh, kau nak tak berkawan dengan lelaki ni, kawan kepada tunang aku. Kerja best, gaji besar. Muka boleh tahanlah. Nak tak?" kali ini dia pula yang memberi cadangan. Ah, itu saja yang selalu keluar dari mulut Zel. Entah kawan yang mana yang mahu dikenalkan kepadaku. Tunangnya itu berkerja di laut, pasti rakannya itu juga bekerja di laut juga sebagai tentera laut. Tak mahulah. Bukan aku memilih sangat, tetapi kalau sudah kerja di laut begitu, berapa hari saja aku boleh jumpa suami nanti.

     "Isy..kau ni. Aku tak habis cerita lagi ni. Rakan chatting aku tu lain dari yang lain. Kau nak dengar tak?" aku memotong percakapan Zel supaya dia melupakan cadangan yang selalu keluar dari bibirnya itu.

     "Wait... Rakan chatting, kau dah buang tebiat? Jatuh cinta dengan rakan chatting.. Eh aku taknak rakan aku jadi mangsa jenayah siber tau.." Zel pula bersuara. Aku tahu Zel memang tidak setuju aku berkawan dengan rakan chatting di alam maya itu. Katanya tidak nyata.

     "Dengarlah dulu. Ini lain tau," aku cuba memujuk Zel agar dia mahu mendengarkan perihal pertolongan dan kebaikan Lang Merah terhadapku sejak kebelakangan ini. Akhirnya Zel mengalah dan memilih untuk mendengar dahulu cerita tentang rakan chattingku itu.

     "Pinjamkan duit RM1800? Biar betul. Kau ni dah mabuk cerita Korea ni. Aku tak percayalah," Zel masih tidak percaya dengan apa yang telah kuceritakan padanya.

     "Betul Zel. Lepastu, masa aku nak balik ke rumah sewa aku pagi dalam pukul 12 malam tu, mak saudara dia yang duduk di Taman Bukit Dahlia yang jemput aku," aku meneruskan ceritaku bersungguh-sunnguh. Entah kenapa sejak semalam, aku merasa sesuatu yang aneh terbit dalam hatiku terhadap Lang Merah.

     "Oh, jadi kau dah kenal dialah? Keluarga dia pun semua kan. Aku ingat kau belum kenal siapa dia tadi," ujar Zel lagi. Aku menggeleng-gelengkan kepalaku tanda menafikan apa yang terucap di bibir Zel sebentar tadi.

     "Tak, aku tak kenal dia pun. Tapi, dia yang suruh mak saudara dia ambil aku sebab bimbang tinggal sorang-sorang kat situ.." jawabku kemudiannya. Zel mengerutkan dahinya kehairanan. Iya, memang cerita aku ini agak tidak masuk akal.

     "Pulak dah. Habis tu, kenapa dia prihatin sangat dengan keadaan kau. Lepastu, siap bagi pinjam duit banyak tu.. Apa kata kau set date, kau jumpa dia face to face. Aku temankan," Zel memberikan cadangan. Nak jumpa Lang Merah? Isyy..berani ke aku nak jumpa Lang Merah..

      Aku mengangkat kepala merenung wajah Zel yang putih kemerahan itu. Jumpa Lang Merah? Macam tak ada keyakinan diri lah pula.

     "Eh, Zel ke situ pula kau. Aku malu lah nak jumpa. Aku macam tak ada keyakinan diri ja Zel. Cuba kalau dah jumpa nanti, dia terus tak jadi nak kawan dengan aku lagi, mana aku nak cari duit RM1800 tu dalam waktu terdekat ni," aku cuba berdalih mencari alasan. Tapi, benar juga. Seandainya pertemuan itu berlaku, pasti Lang Merah dapat melihat wajahku dengan jelas. Pasti, dia akan tahu aku bukanlah tergolong dalam golongan wanita cantik seperti Neelofa mahupun Fasha Sandha. Pasti dia tidak lagi berminat untuk berkawan denganku lagi. Sedangkan hatiku seakan-akan terpaut dengan kebaikannya. Kalau di pihakku pula, aku pasti dapat menerima dia walaubagaimanapun rupanya, kerana sifatnya yang mulia itu adalah merupakan salah satu karakter lelaki idamanku. Hmmm.. Boleh frust pula nanti. Huhuhu..

     "Eh, kau ni. Habis tu, sampai bila kau nak berkawan dengan dia tanpa kenal batang hidung macamtu. Selamanya? Tak mungkinlah. Lagipun, tadi kau cakap mak saudara dia yang jemput kau. Sudah tentu mak saudara dia tu dah kenal kau kan?" ujar Zel lagi. Aku masih tidak berganjak dengan keputusanku.

    "Itu mak saudara dia, bukan dia. Nantilah, bila aku rasa masanya dah sesuai kita jumpa dia okay? Tunggulaa... kot-kot nanti muka aku berubah jadi macam Neelofa kan.. hehe... Buat masa ni, aku belum nak face to face lagi dengan dia. Aku minta picture dia ja lah dulu. Seganlah Zel," aku menyambung kata. Ya, memang aku agak pemalu sebenarnya dalam percintaan ini. Tambah pula, aku tidak mempunyai pengalaman dalam bidang ini.

     Zel kelihatan masih tidak berpuas hati. Cepat-cepat aku menarik lengannya untuk beredar menuju ke bilik guru untuk menyambung perbualan kami sambil menyelesaikan beberapa kerja yang tertangguh setelah 3 minggu aku tidak berada di sekolah.

     Suasana di dalam bilik guru petang itu ceria sekali. Sesekali aku menyapa dan mengusik rakan-rakan di sebelahku. Meja guru di dalam bilik guru yang berbentuk bahagian-bahagian itu cukup selesa bagi setiap guru menyimpan buku-buku mahupun latihan pelajar. Setiap bahagian memuatkan 4 buah meja guru. Aku memilih untuk duduk di sebelah Zel.

     "Ida, aku masih curious dengan teman chatting kau yang tadi tu. Siapa nama dia? Dah lama ya kau chatting dengan dia?" tanya Zel lagi sebaik sahaja melabuhkan punggung di kerusi yang terletak di sebelah meja guru kami berdua yang bersebelahan itu. Aku menoleh sambil mengukirkan senyuman. Memang aku selalu bercerita tentang hobiku yang suka berchatting menerusi Yahoo Messenger itu kepada Zel. Kononnya, mahu mencari jodoh melalui medium itu, tetapi selalu disangkal oleh Zel yang kurang bersetuju dengan cara tersebut.

     "Nama dia Lang Merah. Aku panggil Lang. Cool kan nama dia?" aku tersenyum sambil mengenyit mata. Serentak dengan itu, terburai ketawa kami berdua. Memang sampai sekarang aku masih belum mengetahui nama sebenar Lang Merah. Macam seganlah pula untuk bertanya lebih pada lelaki itu. Mak saudaranya pun tak pernah tersasul menyebut nama lelaki tersebut pula.

     "Mengarutlah kau ni Ida. Aku bukan tanya nama samaran dia ketika chatting dengan kau. Nama sebenar dia apa? Yusuf ke Soleh ke... nama orang bukan burung Langkawi tu," kata Zel lagi. Zel ini tak ubah seperti Das. Memang suka berseloroh. Sebab itulah, aku cepat rapat dengan Das ketika di Jempol dulu.

     "Iyalah. Nama dia lah tu. Aku sebenarnya tak tahu nama sebenar dia. Dia tak pernah pun cakap nama sebenar dia. Entah-entah nama dia Roslan tak? Ataupun Azlan ke, Mazlan ke.. Ada kemungkinan jugakkan.." Aku mula meneka-meneka.. tapi, katanya ID Yahoo Messenger itu bukan miliknya, tapi kepunyaan sepupunya pula.

      "Engkau ni berkawan macam mana... Nama pun tak tahu. Banyak lelucon ni.. Kenapa dia pinjamkan Rm1800 pada kau? Kau nak buat apa dengan duit yang banyak tu? Jangan cakap sebab kau nak beli beg Furla ke.. Kasut LV ke..." makin galak Zel bertanya. Aku hampir terlupa untuk menceritakan perihal Datin Anita kepada Zel. Zel kelihatan khusyuk dan begitu fokus dengan ceritaku. Makin banyak pula pertanyaannya. Daripada Datin Anita, beralih pula cerita tentang Encik Kacak serta Kak Erra. Tak lupa juga aku ceritakan padanya tentang Das yang merupakan teman baikku di sana. Perbualan kami makin bertambah rancak apabila jadual PDPC kami berdua banyak yang kosong hari ini kerana para pelajar tingkatan satu dan dua semua terlibat dengan Ujian SEGAK yang hanya melibatakan guru-guru Pendidikan Jasmani dan Kesihatan sahaja.

     "Isy, macam drama pula cerita kau ni. Hmm.. Jadi, duit ganti rugi tu dah langsailah. Cuma, kau kena bayar balik pada Lang Merah dan Das lah ya. Tak sangka sesuatu yang tragis berlaku pada kau kat sana. Kenapa kau tak call aku ja? Pinjam duit aku dulu pun tak apalah Ida," ujar Zel setelah aku selesai bercerita. Aku hanya memandang wajah Zel. Aku tahu sahabat aku baik hati orangya. Tapi, manalah tergamak hatiku untuk menelefonnya semata-mata untuk meminjam duit sebanyak itu. Dengan kakak aku saja aku tak sanggup, inikan pula dengannya.

     "Aku buntu masa tu Zel. Keluarga aku sendiripun aku bimbang nak beritahu. Entah kenapa aku macam tak boleh nak berfikir panjang masa tu. Mungkin desakan datin tu kot, aku jadi macamtu," aku menyambung kata. Kerepek pisang yang berada di atas meja guruku itu, kuhulurkan kepada Zel. Kerepek itu sempat ku beli di Pekan Jempol dulu bersama-sama Das. Murah pula jualan kerepek pisang di situ. Agaknya, pokok pisang banyak di tanam di sana.

     "Tapi, pasal lelaki yang bernama Encik Kacak tu macam mana? Kau rapat dengan dia tak?" tanya Zel tersenyum-senyum lagi mengorek cerita. Hmm, aku malas menceritakan perihal jaket hitam Adidas itu, nanti pasti lagi banyak pertanyaan dari mulut Zel. Ya, memang lelaki itu kacak, tetapi cerita yang berlaku antara aku dengan dia, Minah Ketak serta kalung kristal itu turut menyakitkan hatiku. Zel pasti ingin tahu lebih lanjut tentang lelaki itu sedangkan hubunganku dengan lelaki itu hanya berakhir di situ.

     "Cerita tentang lelaki tu? Dia anak Datin sombong tulah. Adik kepada Kak Erra, yang pernah ambil kelas Mandarin sama-sama dengan aku di Taman Bukit Dahlia dulu. Macam yang aku ceritakan tadi, aku dah rosakkan kalung kristal dia lepastu Kak Erra tu accident sebab nak hantar aku ke kem dari Balai Polis Sikamat Seremban tu. Masalah aku bertimpa-timpa melibatkan mak datin tu Zel.Tapi, syukurlah sekarang aku dah tak ada apa-apa lagi kes dengan dia. Dah selesai," jawabku. Zel mengangguk-angguk seperti anak murid yang baru memahami sesuatu konsep yang diajarkan oleh gurunya. Wajahnya kelihatan berpuas hati dengan jawapanku. Lega, dia tidak bertanya lagi tentang keluarga berada itu. Luputlah wajah-wajah itu dari ingatanku. Kami kembali fokus melakukan tugasan hakiki seorang guru iaitu merancang aktiviti pembelajaran keesokannya serta menanda buku-buku latihan pelajar yang menimbun di atas meja. 


Previous: Bab 25
Next: Bab 27

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh usakoprincessz