Home Novel Cinta ~JODOHNYA~OH MY SWEET BURBERRY BRIT EDT
~JODOHNYA~OH MY SWEET BURBERRY BRIT EDT
usakoprincessz
15/5/2019 14:58:06
11,181
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 23


     Azan subuh sayup berkumandang kedengaran dari surau Taman Mawar yang lokasinya tidak jauh dari rumah sewaku. Aku terjaga dari tidurku. Kelihatan lampu di bilik sebelah telah pun terang. Sudah tentu Aya sudah pulang. Setelah selesai menunaikan solat subuh, aku terus menuju ke dapur yang terletak di tingkat bawah untuk menyediakan minuman panas. Aya yang turut turun ke dapur mengukirkan senyuman kepadaku.

    "Ida, macam mana? Best tak kursus kat Negeri Sembilan tu?" tanya Aya sambil mecapai mag untuk mengisikan air panas ke dalamnya.

    "Bolehlah, Aya. Hehe.. Nak kata terlalu seronok tu pun tak juga," balasku sambil menghirup air milo panas yang baru dibancuh sebentar tadi.

    "Aik, bolehlah saja ke Ida? Hehe.. Tapi, students Ida semua rindukan Ida tau. Aya yang gantikan tempat Ida ni, selalu jadi tempat luahan dia orang," ujar Aya lagi. Ah, pelajar tingkatan satu memang macamtu. Comel saja gelagat mereka. Terbayang wajah pelajar-pelajar kelas 1 Bestari yang dimaksudkan oleh Aya sebentar tadi. Para pelajar kelas itu memang agak rapat denganku kerana aku merupakan guru kelas mereka. Jadi, aku selalu menjadi tempat mereka mengadu sekiranya mempunyai masalah. Tingkah laku mereka juga baik dan sopan. Sangat berbeza dengan tingkah laku pelajar-pelajar 1 Bestari pada tahun lepas. Walaupun mereka bukan pelajar-pelajar dari kelas pertama, namun mereka mempunyai kesungguhan yang tinggi untuk memahami setiap pelajaran yang diajarkan kepada mereka. Aku sebagai guru sains kelas mereka sangat suka dengan sikap dan kesungguhan yang dipamerkan oleh mereka.

     "Hehe.. Tulah, Ida pun rindukan dia orang. Lama benar tak jumpa. Hari ni, Ida dah mohon CRK dengan pengetua. Jadi, besok sajalah jumpa dengan mereka. Aya naik teksi ke dari stesen bas tadi?" tanyaku lagi kepada Aya mengingatkan perihal ketiadaan teksi ketika aku mahu pulang ke sini jam 12 tengah malam tadi. Daripada cerita yang disampaikan oleh Aya tadi, kedengaran teksi beroperasi seperti biasa sahaja pada waktu Aya mahu pulang dari stesen tadi. Nampaknya, aku sahaja yang bernasib malang.

    "Kenapa Ida? Ida sampai ke sini jam berapa?" tanya Aya pula. Aku menceritakan satu-persatu kepada Aya akan hal yang berlaku padaku malam tadi. Aya kelihatan melopong sejenak mendengarkan cerita yang aku sampaikan itu. Agak mengerikan betul. Nasib baik, masih ada insan yang berhati mulia untuk menolongku tadi.

     "Takut betul masa tu Aya. Lutut ni bergegar macam hampir nak tercabut tau. Muka lelaki tu memang mengerikan betul. Entah-entah hisap dadah kot," aku menyambung kata. Reaksi wajah Aya turut cemas apabila mendengarkan cerita tersebut. Mungkin terbayang-bayang kalau-kalau dia turut mengalami keadaan yang sama. Dia pun selalu menggunakan perkhidmatan bas di situ serta kerap kali sampai awal pagi di stesen tersebut.

    "Minta dijauhkan lah Ida dari perkara-perkara macamtu. Takut pulak Aya dibuatnya. Tapi, macam mana perempuan yang Ida ceritakan tadi boleh datang jemput tu? Ida kenal dia?" tanya Aya lagi. Mungkin hairan dengan kedatangan Cik Uprah tadi. Memang aku tiada saudara-mara di sini.

     "Panjang ceritanya Aya. Nama wanita itu ialah Cik Uprah. Ida memang tak kenal dia. Tapi, dia merupakan ibu saudara kepada kawan Ida. Nasib baiklah dia tolong telefonkan ibu saudara dia tu untuk jemput Ida. Syukur sangat masatu," ujarku bersungguh-sungguh menceritakan perihal ibu saudara Lang Merah tadi. Aya mengangguk-angguk memahami akan perkara yang telah diceritakan olehku itu.Aku tidak pula menceritakan perkenalanku dengan Lang Merah padanya. Malu besar aku kalau diceritakan tentang Lang Merah kepada Aya. Pasti Aya terkejut kalau Cik Uprah itu merupakan ibu saudara kepada salah seorang rakan chatting lelakiku.

    "Jadi, petang ni Ida tak masuk kerjalah kan? Hari ni sebenarnya ada mesyuarat berkenaan majlis temu murni dengan ibu bapa tingkatan satu jam 10 pagi. Kalau macamtu, nanti Aya tolong ambilkanlah senarai jawatankuasa kerja untuk Ida," Aya menyambung kata. Baru saja selesai berkursus, bermacam-macam kerja sudah melonggok. Majlis temu murni tingkatan satu akan diadakan. Ini bermakna aku terpaksa berhadapan dengan ibu bapa tingkatan satu lagi. Pasti bermacam-macam soalan yang ditanya. Teringat aku akan seorang murid tingkatan 1 kelas ku yang bernama Ikram itu. Agak malas orangnya. Tapi, bukan seorang pelajar yang biadap. Kerap kali juga dia tidak membawa buku-buku pelajaran pada sesi pengajaranku pada awal sesi persekolahan. Setelah dimarahi beberapa kali barulah dia menurut kata. Namun, setiap kali sesi temu murni dilakukan untuk Ujian setara 1 dan peperiksaan pertengahan tahun, ibu bapa mahupun penjaganya tidak pernah hadir ke sekolah. Kali ini majlis temu murni untuk Ujian Setara 2 pula diadakan. Pasti ibu bapanya tidak hadir lagi. Sibuk sangatke? Daripada data maklumatnya di dalam sistem Pangkalan Data Murid yang sentiasa aku akses itu, Ikram hanya memiliki dua orang adik-beradik. Dia mempunyai seorang kakak dan dia sendiri merupakan anak bongsu dalam keluarganya. Bapanya bekerja sebagai seorang pemandu, ibunya pula seorang suri rumah tangga. Takkanlah ibunya tidak mengambil berat akan keadaan anaknya itu. Ingin sekali aku bertemu dengan ibu bapanya. Aku ingin menceritakan perihal perangai Ikram ketika di sekolah kepada mereka. Pernah suatu ketika aku memanggil pelajar itu untuk bercakap dari hati ke hati supaya dia menceritakan masalah yang berlaku pada dirinya. Apabila bertanyakan hal ibu bapa dan keluarganya, dia akan tunduk dan membisu. Bimbang juga untuk aku memaksanya. Manalah tahu mungkin ada sesuatu yang tidak baik berlaku antara perhubungan dia dengan ibu bapanya itu. Walaupunbegitu, anak itu seorang yang sangat ringan tulang. Pantang disuruh, dia sendiri akan menawarkan bantuan. Sering juga dia datang ke meja guruku di bilik guru. Paling tidak memberikan ucapan salam dan tersenyum. Seolah-olah mahu mencuri sedikit perhatian daripadaku sebagai guru kelasnya.

     "Ok, Thanks Aya. Hehe.. Bila majlis tu ya?" aku bertanya lagi. Kalau semua guru sudah bermesyuarat hari isnin, pasti majlisnya dalam minggu ini juga. Cuma tarikhnya sahaja yang belum dapat dipastikan.

     "Kata penyelaras tingkatan satu tadi, hari khamis ini. Tapi, kita kena dengar keputusan mesyuaratlah esok," balas Aya lagi. Aku menganggukkan-angguk kepala tanda memahami akan tugasku yang bakal aku lakukan menjelang majlis temu murni tersebut. Kertas giliran nombor adalah antara perkara yang wajib aku lakukan. Kebanyakan daripada ibu bapa pelajar-pelajar kelasku pasti akan hadir. Memang sambutan daripada ibu bapa bagi kelas 1 Bestari ini patut dipuji. Segala aktiviti yang dianjurkan pihak sekolah disokong penuh oleh mereka kecuali orang tua Ikram. Ikram adalah seorang pelajar yang perahsia. Segala hal tentang keluarganya tidak pernah mahu diceritakan pada sesiapapun. Semoga pihak kaunselor dapat mengatasi masalah ini.

     Aku kembali ke bilikku di tingkat atas. Aya kelihatan sibuk menggosok bajunya yang akan dipakai ke sekolah nanti. Aku kembali terbaring di atas tilam memikirkan perkara yang harus aku lakukan selepas ini. Reminder di dalam telefon bimbitku kedengaran bebunyi kuat. Hari ini adalah hari Isnin. Aku baru teringat akan wang Lang Merah yang harus ku pulang kan semula kepadanya serta baki wang ganti rugi Datin Anita yang harus aku lunaskan padanya. Di manakah harus aku mencari duit sebanyak RM1800 itu lagi? Takkan mahu meminjam dengan Aya. Malu pula untuk menceritakan masalah ini pada dia. Apa yang penting duit Lang Merah harus dipulangkan. Aku mencapai telefon bimbit Nokia C3 yang kuletakkan di atas meja laptop yang terletak di sudut kanan bilikku itu. Belum sempat aku melayangkan mesej pertama kepadanya, ternyata lelaki itu terlebih dahulu telah menyampaikan pesanan ringkasnya padaku.

     'Salam, awak. Apa khabar? Dah siap-siap nak pergi kerja ke tu?'Hmm...perlukah aku ceritakan padanya bahawa hari ini aku mengambil cuti rehat khas ya? Tapi, kalau aku ceritakanpun apa salahnya. Bukan dia kenalpun siapa diriku.

    'Wassalam. Saya cuti hari ini. Penat berkursus. Awak boleh berikan nombor akaun bank awak tak? Saya nak pulangkan wang awak tempoh hari,' balasku terus merujuk tujuan asalku.

     'Samalah kita. Saya pun tak keluar bekerja hari ni. Kepala berat lagi. Ambil MC. Nombor akaun bank tak ingat lah awak. Nantilah' balas lelaki itu lagi. Nantilah? RM36 000 bukan suatu amaun yg sedikit. Tak takutkah dia. Aku kehairanan.

     'Awak ni, cepatlah bagi. Saya free hari ni. Esok saya dah mula kerja. Awak tak risau ke? Banyak duit awaktu' jawabku lagi. Memang hari esok pasti agak kelam kabut kalau terpaksa ke kompleks bank kerana aku akan mula bertugas seperti biasa esok.

    'Duit tu kan dalam akaun bank awak. Nak risau apa, lainlah simpan bawah bantal. Risau juga..' balas lelaki itu. Aku menggeleng-gelengkan kepala membacakan bait-bait tulisan dari lelaki itu. Memang nak kena ketuk kepala lelaki ni.

     'Memanglah. Tapi duit tu dalam akaun bank saya, bukan dalam akaun bank awak. Kalau saya buat tak baik, padan muka awak,' aku membalas geram. Ada juga manusia seperti dia.

     'Tak adalah. Takkan awak nak buat tak elok kat saya. Awak simpan duit tu elok-elok ya. Nanti senang bila kita nak kahwin nanti..hehe' gila lelaki ni. Memang buang tebiat ni.

     'Awak ni peliklah. Saya ni tergagau-gagau nak cari duit Rm1000 untuk bayar ganti rugi orang. Awak? Orang nak pulangkan duit pun tak nak,' ujarku lagi. Datin Anita tu lagi berkira. Bukan salah aku sepenuhnya perfumes yang dibelinya semua pecah, tapi aku juga yang perlu membayar ganti ruginya.

     'Lupa nak tanya, kenapa awak kena bayar ganti rugi tu?' Lang Merah masih mengorek rahsia. Aku tak segan untuk memberitahunya. Bukan dia mengenali aku pun.

     'Saya terlanggar dia tempoh hari. Perfumes yang dibelinya habis pecah. Sebelum tu, saya ada jual perfumes yang sama pada dia, tapi supplier saya pula yang bermasalah. Jadi, dia nak marah suruh saya ganti semua kepadanya,'aku bercerita dengan jujur.

     'Serious? How much did she asked you to pay it?' Lang Merah kemudiannya bertanya lagi. Kali ni speaking in English pula ya. Terror juga Lang Merah ni berbahasa Inggeris.

     'She? Pandai awak meneka. RM4000. Tapi, RM3000 saya dah bayar dah. Balancenya lagi RM1000. Hari ni last day untuk saya jelaskannya pada perempuan tu,' aku memberitahu tulus. Selain Das, lelaki ini sajalah yang tahu akan masalahku dengan Datin Anita. Pandai betul Si Lang Merah meneka akan siapa penununtut ganti rugi ini.

     'Uishh... banyak tu! Hmm.. Awak guna duit saya tu dulu untuk bayar ganti rugi tu pada dia. Keterlaluan betul dia minta sampai sebanyak itu,' lelaki itu pula yang terlebih emosi. Siap menawarkan duitnya pula sebagai wang pendahuluan bagi bayaran gantirugi tersebut.

     'Isyy...awak ni, ada pulak nak pinjamkan saya wang sebanyak itu.Tak masuk akal. Kita kenal pun tidak,' balas ku lagi. Memang di luar logik akalku akan cadangan yang tak munasabah dari lelaki itu.

     'Apa yang tak masuk akalnya? Just use my money to pay it. Hari ni hari terakhir kan awak perlu membayar wang kepada dia kan?' balas Lang Merah lagi. Takkanlah aku perlu pinjam duit lelaki ini. Kenal pun tidak. Logikke macam ni? Memang hari ini adalah hari terakhir untuk aku membayar duit lebihan ganti rugi itu. Kalau aku tidak menunaikannya, pasti aku dicop pendusta.

     'Awak jangan fikir banyak. Just use my money first to settle your problem,' lelaki itu menghantar pesanan lagi apabila aku diam tanpa balasan kepadanya. Serentak kemudian, irama 'Unmistakable' dari Nokia C3ku berbunyi menandakan ada panggilan masuk. Panggilan dari BB Addcited. Datin Anita! Panjang betul umurnya. Baru saja aku dan Lang merah mengumpat tentang dirinya, dia sudah membuat panggilan. Pasti menagih janji dariku. Apa yang patut aku lakukan ya? Aku menjawab pangggilan itu setelah mengambil masa selama beberapa minit untuk menyiapkan diri dengan mental dan fizikal bagi menjawab segala pertanyaan dari wanita itu nanti.

     'Hello, Assalamualaikum datin,' Aku memberi salam dengan sopan. Biarlah walaupun aku tahu wanita itu takkan berbaik sangka denganku lagi. Malah, mungkin akan selalu membenci diriku.

    'Waalaikumussalam. Hari ni, awak ada janji dengan sayakan? Saya cuma nak dapatkan kepastian sama ada janji itu akan tertunai atau tidak' tanya wanita itu sebaik sahaja aku menjawab panggilannya. Nadanya tegas seperti yang selalu singgah di cuping telingaku. Mana nak cari duit sebanyak itu ya? Kalau tak bayar pasti dia akan mengatakan aku hanya berdusta selama ini. Apakah aku terpaksa meminjam duit Lang Merah terlebih dahulu? Malu betul aku rasakan. Sudahlah belum kenal batang hidungnya, tetapi sudah pun meminjam sejumlah wang sebanyak itu daripadanya. Tapi, seperti aku tidak mempunyai cara yang lain lagi buat masa sekarang.

     'Akan saya tunaikan hari ini datin. Saya akan pindahkan wang tersebut ke akaun datin sekarang,' ujarku sambil membayangkan wang milik Lang Merah yang tersimpan dalam akaun bank milikku itu. Ya, aku tiada pilihan lain lagi. Sekurang-kurangnya urusan aku dengan datin ini telah selesai setelah aku membayar kesemua wang ganti rugi itu. Nanti, aku akan usahakan cara yang lain untuk membayar wang Lang Merah tersebut. Gagang telefon kedengaran diletakkan oleh Datin Anita tanpa mengucapkan sebarang kata. Kadang-kadang aku terfikir juga dengan kata-kata Ila dulu, kononnya Datin Anita ini lemah lembut dan pemurah orangnya. Tapi, kenapa aku melihat dirinya tidak seperti yang digambarkan. Bicaranya yang tegas denganku tanpa sekelumit tolak ansur yang dipamerkan apabila berhadapan denganku. Bukan Ila sahaja yang berkata begitu, malah anak-anaknya juga Encik Kacak dan Kak Erra pun menyifatkan perkara yang sama. Benci betul dia akan aku. Hanya kerana aku gagal dalam penjualan tersebut. Sampai hati betul Kedai Aira Comel itu, kenapa sampai sekarang perfumes-perfumes yang dibeli oleh Datin Anita tidak sampai ke tangannya? Aku yakin pasti ada sesuatu yang tak kena dengan stok atau penghantaran yang dibuat. Hampir 3 minggu aku menunggu jawapan dari penjual tersebut, namun masih belum aku terima sebarang kata putus dari pihaknya. Kalau semua itu berpunca darinya, seharusnya dia perlu membayar ganti rugi kepadaku agar dapat aku berikan kepada pembeliku.

     Setelah selesai aku melaksanakan transaksi pindahan wang tersebut ke dalam akaun wanita tersebut yang telah kudapatkan melalui pesanan ringkas tempoh hari, cepat-cepat aku menghantar pesanan kepada wanita itu supaya dia tahu bahwa janjiku padanya telah pun aku kotakan sebagaimana yang termaktub dahulu. Lega. Tapi, hal ini bukan berkahir di sini, aku perlu mencari jalan lain bagi membayar wang kepunyaan Lang Merah tersebut.

     Aku terus mencapai telefon untuk memberitahu tentang perkara itu kepada Lang Merah.

     'Awak, saya dah pinjam duit awak tadi. Sebab, datin tu dah call dan desak saya. Saya betul-betul tiada pilihan. Saya janji, saya akan tetap bayar semuanya pada awak nanti ya' butang 'send' terus ku tekan dengan harapan Lang Merah membacanya dan memaafkanku serta mahu menerima janjiku ini.

      'It's okay dear. Don't worry. Lagipun, duit tu memang duit simpanan saya. Saya tak nak awak tertekan lagi dengan masalah ni lagi, okay.. J' balas lelaki itu lagi. Ya Rabbi, baiknya lelaki ini. Aku makin mengagumi sifat lelaki ini. Ah, kalau aku ceritakan pada orang lain, pasti orang akan mengatakan aku hanya mereka-reka cerita. Tidak mungkin ada manusia sebaik dan setulus lelaki ini. Apakah lelaki ini benar-benar tulus untuk berkawan denganku? Pagi tadi, dia juga yang telah menolong aku, sekarang dia juga yang menyelamatkan aku dari buruan wanita sombong itu. Baiknya dia. Aku mula makin berminat untuk mendekatinya dengan lebih dekat

     'Saya terhutang budi buat kali yang kedua dengan awak. Awak memang baik. Saya tak pernah jumpa lelaki sebaik awak. Awak buat saya rasa terharu. Tak sangka masih wujud lelaki sebaik dan setulus orang seperti awak. Saya tak tahu bagaimana nak balas budi baik awak ini..,' aku membalas lagi. Aku jadi sebak. Entah kenapa naluri perempuanku benar-benar tersentuh dengan keprihatinan yang ditunjukkan oleh Lang Merah itu tadi. Abang-abang kandungku sendiripun belum tentu akan melakukan hal yang sama kepadaku sekiranya mereka turut mengetahui akan masalah yang aku hadapi ini.

     'Awak, saya ikhlas. Tak perlulah nak balas apa-apa. Saya cuma ingin selalu di sisi awak ketika senang mahupun susah. Awak sudi tak berkawan dengan saya?' tanya Lang Merah lagi. Aku yakin, lelaki ini memang lain dari yang lain. Seorang yang benar-benar ikhlas ingin mengenaliku.Biarpun hanya bekerja sebagai technichian kilang dan bukanlah lelaki yang berjawatan besar. Tak kisahlah dia gemuk atau kurus. Tinggi mahupun rendah. Aku pasti akan menerimanya seadanya. Aku tertawan degan pekertinya yang mulia.

     'Sudi.. J..' pendek sahaja balasan ku kali ini. Tapi, aku rasa sungguh gembira. Tak tahu bagaimana untuk aku ungkapkan. Aku jatuh hati pada budi pekertinya. Tak sia-sia kuota internet ku ketika ber 'chatting' dengan lelaki ini dahulu. Dah lama betul aku tidak membuka kotak mesej Yahoo Messenger ku sejak dipanggil berkursus di Berhulu Camp dahulu. Nantilah kalau ada masa akan ku ajak Lang Merah untk ber 'chatting' lagi di ruangan itu.


Previous: Bab 22
Next: Bab 24

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh usakoprincessz