Home Novel Cinta ~JODOHNYA~OH MY SWEET BURBERRY BRIT EDT
~JODOHNYA~OH MY SWEET BURBERRY BRIT EDT
usakoprincessz
15/5/2019 14:58:06
12,730
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 20

     Selesai sahaja solat subuh pagi itu, aku terus mencapai telefon bimbit Nokia C3ku untuk bertanya padanya akan hal duit misteri itu.

     'Assalamualaikum.. Maaf ganggu. Dah solat subuh belum?' aku memulakan perbualan kali ini. Selalunya Lang Merah yang selalu pada awalnya menghantar pesanan kepadaku.

     'Waalaikumussalam.. tak ganggu. Alhamdulillah, saya dah selesai solat tadi. Thanks :) Akhirnya, awak ingat juga pada saya.' balasnya. Amboi! Perasan. Kalau bukan kerana duit yang masuk menimbun tu. Tak kuasa aku nak mulakan mesej dengannya.

     'Amboi, jangan nak perasan sangat ya. Saya ada hal nak tanya sikit dengan awak ni. Urgent!' kataku membalas pesanan ringkas darinya.

     'Urgent? Apa dia?' Lang Merah membalas pendek. Aku mula bertanya tentang duit tersebut. Duit yang masuk dari akaun yang berlainan. Kesemua duit itu memang berjumlah RM36 000 bersamaan duit yang perlu dijelaskan oleh Lang Merah sekiranya dia berminat untuk mendapatkan 400 unit perfumes itu.

     'Hehe.. Ya. Memang dari saya. Amaun yang banyak begitu, sukar untuk dipindahkan dari satu akaun. Jadi, saya guna beberapa akaun untuk buat pembayaran. Awak dah terima semuanya kan?' Lelaki itu mengaku akhirnya. Misteri betul lelaki ini. Apa pekerjaan dia sebenarnya? Apa benar dia hanya seorang technichian? Jangan-jangan lelaki ini jual dadah tak.. Astaghfirullah..

     'Ya Rabbi.. Awak tak main-mainkan? Banyak tu! Awak kerja apa sebenarnya? Apa betul awak hanya seorang technichian? Saya macam terkejut, awak ni betulke tak?' aku bertanya lagi. Mesej kali ini lebih panjang.

     'Kenapa? Seorang technichian biasa tak boleh membeli dengan amaun sebanyak tu? Apa terlalu rendah nilai seorang technichian seperti saya?' Pertanyaanku dijawab dengan pertanyaannya pula. Tidak, aku tidak bermaksud untuk meremehkannya, tapi jumlah yang dipindahkan ke dalam akaunku memang di luar logik akalku.

     'Bukan, saya tak maksudkan macamtu. Tapi, awak tak jual benda-benda haramkan?' terus aku bertanya soalan tersebut kepadanya tanpa berkias-kias. Inilah kelemahan orang sains dan matematik.

     'Astaghfirullah.. Awak ingat saya ni orang jahat sangatke sampai nak jual benda-benda haram untuk dapatkan duit tu. Saya simpan duit tu hasil kerja saya' lelaki itu membalas lagi. Rasa bersalah mula bersarang di hati. Tak patut juga aku menuduhnya yang bukan-bukan. Lelaki ini mungkin bercakap benar. Tapi, kalau dia bercakap bohong pun, aku tidak terlibat sama sekali dengan urusan perniagaannya. Aku hanya penjual perfumes kepada seorang pelanggan yang ingin membeli 400 unit perfumes dariku.

     'Baiklah. Pagi ni, insya Allah saya akan ke kilang untuk ambil stok 400 unit perfumes itu. Boleh awak drop alamat dan nama sebenar awak untuk tujuan penghantaran nanti?' aku mengalah. Duit telah berada di dalam akaun ku. Sekarang aku perlu dapatkan stok bagi menghantar pewangi-pewangi tersebut kepadanya. Hari Isnin, barulah kaunter bank akan dibuka semula lantaran hari ini adalah hari minggu. Pada waktu itu, barulah aku dapat memindahkan keseluruhan duit yang ada dalam akaun ku itu kepada Encik Shark. Dan hari itu juga barulah aku akan menerima komisen jualan dari Encik Shark. Kalau nak dihitung, jumlah unit perfumes yang terjual ialah 600 unit, bermakna RM3000 akan dikreditkan ke dalam akaun ku nanti.

     'Ok, saya bagi nanti bila awak dah ambil stok dari kilang tu' ujar lelaki itu lagi. Pulak dah! Kalau aku, memang akan terus meletakkan alamat dan nama kepada penjual setelah selesai membuat pembayaran. Boleh pula dia tunggu-tunggu. Dia tak takutkah memberikan amaun yang banyak itu kepadaku? Percaya sangat pula dia pada aku. Kalau aku saja nak main-mainkan dia macam mana? Tapi, tuhan mungkin temukan orang yang tepat kepadanya. Aku bukan perempuan yang berkelakuan buruk begitu. Perlahan-lahan, rasa hormat ku mula terbit dalam diriku terhadap lelaki ini. Dia mungkin bukan dalam kalangan golongan orang-orang yang jahat. Mungkin dia adalah salah seorang lelaki yang baik yang ada di atas muka bumi ini. Ikhlas dalam berjual-beli. Kalaulah lelaki baik seperti ini ditipu oleh seseorang, kasihankan? Kalau aku ceritakan perkara ini kepada orang lain, sudah tentu orang akan mengatakan aku gila dan mereka-reka cerita. Kerana apa yang dilakukan oleh lelaki ini adalah di luar dugaan manusia. Membeli dengan hanya seorang rakan chatting yang hanya mengenalkan diri sebagai Princessz serta menyembunyikan keseluruhan identiti diriku. Malah, dia dengan rasa percaya diri menyerahkan RM36 000 kepadaku hanya semata-mata tertarik dan percaya dengan kata-kataku yang menyifatkan bahawa wangian yang dijual ini berbau seperti 'Burberry Brit EDT for Man'. Bagaimana kalau ia tidak seindah apa yang aku khabarkan padanya? Tidakkan dia akan merasa rugi..

     Selesai mengenakan pakaian, aku mengajak Das untuk sama-sama keluar menuju ke kilang perfumes tersebut. 500 unit perfumes tersebut wajib diambil hari ini. Lagipun aku sudah tidak ada banyak masa lagi. Esok sudah hari Isnin iatu hari terakhir untuk aku berada di sini. Hari untuk aku menjelaskan wang ganti rugi kepada Datin Anita juga. Mudah mudahan komisen jualan ini dapat melangsaikan segalanya.

     "Ida, misteri betul rakan chatting kau tu ya?" Das kemudiannya bersuara ketika kereta Persona miliknya membelok simpang ke luar dari taman perumahannya itu. Aku berpaling ke arah wajahnya. Ya, aku pun berfikiran yang sama dengannya. Hanya orang kaya sahaja yang mahu membeli perfumes dengan harga begitu. Macam Kimi dengan Farhan. Memang orang yang ada bisnes sendiri.

     "Aku pun rasa macam tu. Mungkin dia seperti Kimi dan Farhan. Ada bisnes sendiri. Kalau tidak, tak mungkinlah dia memerlukan botol-botol perfumes dengan jumlah sebanyak itu. Untuk pakai sendiri, takkanlah sampai 400 unit," ujarku pula. Agaknya lelaki ini ada membuka kedai tak? Kalau dah buka kedai, buat apa dia kerja technichian kilang lagi? Teringat mesej pertamaku ketika mempromosikan perfumes tersebut kepadanya, seolah-olah dia langsung tak berminat untuk membelinya. Tetapi setelah aku katakan padanya tentang 'Magic Spray' yang seakan-akan bau 'Burberry Brit EDT for Man' itu, dia terus teruja. Ah, perfumes tu memang berhantu. Ingatanku terus terarah kepada Datin Anita yang turut memesan perfumes yang sama denganku dulu. Diriku sendiripun suka akan perfumes itu.

     Trafik pada pagi tu tidaklah sesibuk sewaktu musim perayaaan. Kurang daripada sejam, kami telah sampai ke tapak kilang. Gerimis yang turun membuatkan perkarangan kilang tersebut tidak berbahang seperti hari pertama aku sampai di sini. Das memarkirkan keretanya bersebelahan dengan kilang tersebut. Kelihatan ada kereta yang turut memarkir di kawasan itu. Kereta berjenama mewah. Mercedez Benz! Alamak! Siapa yang datang? Datuk pengarah syarikat ini lagi kah? Aku cuba mengingati model kereta yang turut terparkir dua hari lepas ketika kali pertama aku dan Das sampai ke sini. Namun, ingatanku hanya terhad pada wajah Datuk Pengarah itu sahaja. Jangan-jangan Datin Anita! Tidak mungkin, Datin Anita tidak menaiki kereta seperti ini seingatku.

     Das menapak keluar dari perut keretanya menuju ke kilang. Aku membuntutinya dari belakang. Batu-batan yang berada sekitar jalan menuju ke kilang tersebut membuatkan tumit kasut ku yang agak tinggi itu kelihatan terjungkit-jungkit ke atas apabila berjalan membuatkan langkahan menjadi agak perlahan dari langkahan Das. Das terlebih dahulu merapati pintu depan kilang tersebut lalu memasukinya. Aku mempercepatkan langkah sedaya yang boleh kerana syarat untuk mendapatkan stok tersebut adalah dengan menunjukkan borang tawaran cabaran jualan pewangi-pewangi tersebut kepada pekerja yang bertugas di kilang tersebut. Dan borang tersebut ada dalam simpananku. Dalam beberapa hasta jarakku dengan depan pintu kilang, kelihatan wajah Das terjengul di situ sambil memandang ke arahku. Kelihatan dia memberikan isyarat kepadaku. Tangannya diangkat dan kepalanya digeleng-gelengkan. Namun mulutnya hanya terkumat-kamit perlahan tidak bernada. Apa maksudnya? Berkali-kali isyarat itu ditunjukkan kepadaku. Apakah Das menginginkan borang tawaran tersebut daripadaku? Kerana setiap kali aku memajukan langkah ke depan tangannya diangkat seolah-olah ingin menyatakan sesuatu. Aku bingung dan tidak jadi meneruskan langkahku. Oleh sebab aku benar-benar tidak memahami isyaratnya, aku membuka mulut. 

     "Ada apa Das? Borang tawaran tu ada dengan aku ni haa.." kataku sedikit nyaring seraya mengangkat dan menunjukkan borang tersebut kepada Das. Sangkaku Das mahukan borang tersebut lantaran dia yang sampai dulu ke dalam kilang tersebut. Sudah tentu para pekerjanya bertanyakan tujuan dia datang ke mari dan semestinya pekerja tersebut meminta borang tersebut daripada Das. Belum sempat Das menjawab soalan tersebut, sebuah wajah terjengul keluar. Encik Kacak! Hisyy.. Kenapa pula lelaki ini ada di sini? Untuk apa dia ke sini? Apa kaitan Encik Kacak dengan kilang perfumes Syarikat Berjaya Megah Holdings ini? Hatiku bertubi-tubi menanyakan pelbagai persoalan. Aku tidak jadi melangkah. Berat pula rasa kaki ini untuk ku angkat dan bergerak ke arah sana. Tapi, 400 unit perfumes itu perlu kudapatkan segera hari ini untuk Lang Merah.

     Sesampai aku di sisi Das, masing-masing membisu. Das yang terkenal dengan sifat ramahnya pun kelihatan diam seribu bahasa. Encik Kacak yang berjaket hitam itu pula kelihatan hanya berpeluk tubuh memandang ke arah lain. Tidak sudi mungkin memandang wajahku dengan jarak yang dekat begini. Aku meraba-raba pipiku. Ya, semalam jerawat di pipi ini baru tumbuh. Makin memburukkan wajahku ini. Mungkin itu merupakan salah satu sebab mengapa Encik Kacak semakin tidak mahu memandang wajahku. Aku mengeluh kecil sambil menyiku Das seraya berbisik.

     "Das, mana pekerja kilang ni? Tak ada seorang pun kat depan ni?" Das berpaling ke arahku setelah mendengar bisikanku.

     "Ada kat dalam. Hmmmm.. Ida, aku rasa lebih baik kita balik dulu," Das membalas bisikanku. Aku sedikit terkejut dengan cadangan Das. Kenapa perlu balik? Sudah jauh-jauh memandu ke sini, tiba-tiba Das mengajak aku balik. Apakah kerana lelaki yang berada di hadapanku ini? Ya, mungkin juga Das pun tidak selesa. Perihal kalung tersebut memang ada kaitannya dengan Das. Sesekali aku memandang sekilas melalui ekor mataku ke arah Encik Kacak. Lagaknya masih seperti tadi. Berpeluk tubuh seakan-akan cuaca Malaysia dilanda musim salji sambil memandang ke arah dalam kilang seperti menunggu seseorang. Sesekali hidung mancung miliknya ditekan-tekan. Lagak seperti seseorang yang dilanda virus selesema. Mungkin kurang sihat gamaknya, tekaku di dalam hati. Kehadiran aku di sini langsung tidak diendahkan olehnya. Seratus-peratus berubah sikapnya, tidak lagi ramah dalam tutur katanya serta senyuman di wajahnya juga langsung tidak terukir di bibirnya.

     "Ayuhlah Das. Tapi, bila kita nak dapatkan perfumes tu lagi?" ujarku masih berbisik. Das memberi isyarat supaya kami berbincang kemudian sahaja tentang itu. Borang tawaran yang masih di tanganku aku lipat semula untuk aku masukkan semula ke dalam beg tanganku. Ketika sedang melipat borang tersebut, satu suara menyapa dari arah dalam kilang.

     "Hai, apa khabar?" Datuk Pengarah yang pernah aku temui dulu tercegat di hadapan kami. Aku dan Das saling berpandangan. Kami tidak jadi melangkah. Tidak sopan pula tidak menyambut sapaan ramah lelaki separuh umur itu.

     "Hai, datuk," aku menjawab sambil tersenyum. Lelaki tersebut membalas senyumanku.

     "Diey, inilah perempuan yang papa ceritakan tu. Diey kenal dia tak? Dia salah seorang peserta di Berhulu Camp yang menerima cabaran jualan 10 000 unit perfumes tu," ujar Datuk Pengarah itu lagi. Kali ini bercakap dengan Encik Kacak. Papa? Apa aku salah dengar ya? Oh jadi, memang benarlah Datuk Pengarah ini merupakan ayah Encik Kacak! Ini juga bererti lelaki ini merupakan suami Datin Anita. Patutlah senyuman itu seakan aku pernah lihat. Ya, manis sekali. Senyuman Encik Kacak sama seperti ayahnya. Memang keturunan orang lawa-lawa rupanya anak-beranak Encik Kacak ini. Ibunya pun cantik juga orangnya.

     Encik Kacak mengangkat wajahnya seraya menatapku. Aku melarikan anak mataku. Seperti biasa, memang aku alah dengan pandangan itu. Entah bila aku akan menang dalam pertandingan tatap-menatap ini dengannya.

     "Kenal Pa. Pernah nampak dia di kem dulu," balas Encik Kacak pendek. Heh...sombong betul kedengarannya. Pernah nampak saja? Bererti tidak pernah bersualah. Cesss...aku mula menyampah.

     "Ida dan Das nak ambil stok perfumes ke ni?" tanya Datuk Pengarah itu lagi. Tak sangka pertemuan pertama dulu, sudah cukup membuatkan namaku dan Das diingati olehnya. Tajam betul daya ingatannya. Tapi, spoil betul Datuk bertanya saat Encik Kacak berada di sisinya. Kantoi sudah aku menyahut cabaran jualan 10 000 unit perfumes.

     Aku mengangguk perlahan-lahan. Ya, taukeynya sudah bertanya. Tiada salahnya kalu aku mengiyakannya sahaja.

     "Saya nak ambil dalam 500 unit perfumes datuk," ujarku. Ya, 400 untuk Lang Merah. 100 lagi untuk aku buat jualan lain nanti. Kelihatan seorang pekerja kilang tersebut datang apabila diarahkan oleh Datuk Pengarah tersebut.

     "Ambilkan 500 unit perfumes untuk gadis ni," lelaki itu kemudiannya memberi arahan.

     "No need!" Tiba-tiba suatu suara keras menghalang pergerakan pekerja wanita tersebut. Perkeja wanita itu tidak jadi melangkah setelah badannya dihalang seorang wanita yang tercegat di hadapanku. Tidak! Datin Anita! Das menarik bahuku mengajak untuk pergi. Saat yang sangat tidak mahu aku lalui. Kenapa mesti wanita ini yang ada di sini?

     "Tunggu dulu! Oh, jadi awak yang menyahut cabaran untuk jual perfumes ni?" tanya wanita itu sinis. Aku tunduk. Aku takut untuk menatap wajahnya.

     "Kali ni, siapa pula akan jadi mangsa awak?" soalan sinis lagi bertubi-tubi keluar dari bibir wanita itu. Datuk Pengarah yang mungkin tidak tahu menahu itu pula yang bersuara kemudiannya.

     "Ita, ada apa ni? Gadis ni yang sanggup menyahut cabaran kita tu. Mangsa apa pula ni?" lelaki itu bertanya kehairanan. Encik Kacak yang berdiri di sebelah ibunya turut memandang ke arahku. Mungkin sedang mengejekku. Wajahnya yang tadi asyik dilemparkan ke arah lain, kali ini turut memandang ke arahku. Kali ini, aku pasti akan dipersalahkan. Encik Kacak sudah pasti berpihak pada ibunya lantaran hubungan tegangku dengannya sejak kebelakangan ini. Datuk Pengarah yang berada di hadapan ku ini pasti tidak mengetahui apa-apa.

     "Abang tak tahu situasi sebenar.Jadi, lebih baik jangan campur tangan," ujar wanita itu tegas. Matanya tidak berkelip merenung ke arahku. Aku makin menjadi serba salah. Patutlah Das beria-ria mengajakku pergi tadi. Mungkin dia sendiri telah melihat kelibat Datin Anita sewaktu sampai di depan pintu kilang sebentar tadi. Isyarat badan yang diberikan oleh Das tadi baru aku fahami sekarang. Tapi, nasi sudah menjadi bubur. Kehadiranku di sini telah pun diketahui oleh Datin Anita. Apalah nasib yang akan aku terima sekarang? Bagaimana dengan perfumes Lang Merah? Nanti lelaki itu pasti mengatakan aku seorang penipu sekiranya janjiku untuk mengepos semua perfumes yang diingini olehnya itu tidak ditunaikan. Macam mana ni?

     "Niat kami baik dan ikhlas datin untuk menjual dan menyahut cabaran jualan 10 000 unit perfumes itu. Kami cuma nak dapatkan 400 pewangi yang telah berjaya kami jual semalam," ujar Das memecah kebisuanku. Aku tunduk. Terima kasih Das. Ya, perkataan itulah juga yang mahu aku ungkapkan di hadapan mereka.

     Datin Anita tidak terus membalas ucapan Das sebentar tadi. Wajahnya dihalakan ke arah Das.

     "Waah.. banyaknya unit perfumes yang terjual. Pandai betul awak berdua menjual perfumes. Laris..." wanita itu akhirnya bersuara. Pujian yang begitu sinis hinggap dicuping telingaku.

     "Tapi, agak hairan ya. Jualan berlangsung begitu laris, tapi barangnya masih belum ada di tangan penjualnya," berderau darahku apabila mendengarkan ayat yang keluar dari wanita itu. Seperti menyindir akan kejadian yang pernah berlaku antara aku dengannya.

     "Setahu saya, syarat jualan ini, agen perlu mendapatkan dahulu pewangi-pewangi di kilang ini, kemudian barulah memulakan jualannya. Bukan menjual dahulu barang-barang tersebut, tanpa stok. Bagaimana awak tahu keadaan stok di kilang ini? Kalau pewangi-pewangi tersebut tiada, apa pula kata pembeli? Awak jangan pandai-pandai membuat undang-undang sendiri. Adakah Encik Shark tidak terangkan semua ini pada awak?" ujar Datin Anita lagi. Aku dan Das saling berpandangan. Benar juga kata-kata wanita ini. Tapi, ini kes yang berbeza. Aku cuma mempromosikan pewangi ini kepada Lang Merah dan aku sendiri langsung tidak menyangka yang dia akan memindahkan sejumlah wang yang besar itu terus kepadaku. Aku mengetap bibir. Apa pun yang terjadi, aku perlu juga mendapatkan 400 unit perfumes tersebut hari ini. Aku tidak mahu dibilang penipu oleh Lang Merah.

     "Saya tahu Datin. Tapi, pembeli ini berbeza. Saya cuma mempromosikan perfumes ini kepadanya. Saya hanya memberitahu akan harga setiap unit perfumes itu. Dan...dia berminat untuk membeli 400 unit perfumes itu. Seterusnya, dia mendesak saya untuk memberikan butir-butir akaun saya, lalu... malam tadi juga dia pindahkan wang tersebut kepada saya. Tolonglah datin, kalau saya tidak dapat mengotakan janji saya kepadanya, apa pula katanya nanti," aku bersuara setelah lama membisu. Kata-kataku tadi separuh merayu. Aku benar-benar mengharapkan persetujuan dari wanita itu. Datuk Pengarah yang turut mendengar ucapan tadi mengangguk-anggukkan kepalanya.

     "Betul tu, Ita. Lagipun, memang sebelum ini, Das dan Ida pernah datang ke sini untuk mengambil stok perfumes tersebut. Dan... perfumes tu pun masih banyak dan memang perlu kita pasarkan. Sudah ada pembeli yang berminat, kenapa pula kita perlu sekat jualan yang memberangsangkan ini," lembut sekali nada Datuk Pengarah itu bercakap dengan isterinya. Mungkin sedang cuba memujuk Datin Anita. Ku lihat wajah ketat wanita itu agak kendur seketika. Jelas sekali menampakkan riak kelembutan seorang ibu di wajah mulusnya. Tidak tegang seperti sebelumnya. Benarlah kata-kata orang tua-tua, pujukan seorang suami itu terlalu mujarab buat seorang wanita. Moga-moga wanita ini menjadi lembut hati terhadapku.

     "Mama, Diey pun setuju dengan papa. Mereka ni pun nampak betul-betul bersemangat untuk memasarkan perfumes ni. Hari minggu macamni pun masih mengadakan jualan. Padahal esok dah mula masuk kerja. Rugi besar syarikat kalau tolak pekerja rajin macamni. Tak salah kalau kita bagi peluang," Encik Kacak pula bersuara sambil memandang wajahku sekilas.

     Kata-kata pujian yang keluar dari bibir Encik Kacak itu dirasakan terlalu sinis buatku. Kata-katanya betul-betul membuat aku merasa tersindir. Seoalah-olah ada sebilah pisau tajam menghiris sekeping hati. Pandangannya juga seakan mengejekku tak ubah seperti wajah Asfarina yang sering mengejek aku budak kampung di kem dulu. Entah kenapa aku mula merasa sebak. Seolah-olah aku terhegeh-hegehkan simpati dari mereka sekeluarga pula. Bodoh betul aku rasakan. Demi mencari sedikit wang bagi melunaskan gantirugi wanita angkuh ini, martabat aku seperti direndah-rendahkan pula.

     "Ermm.. tapi, tak apalah Datin. Kalau datin keberatan, saya batalkanlah jualan tersebut. Saya akan pulangkan balik wang pembeli tersebut. Cuma RM2000 telah saya kreditkan ke akaun syarikat di bawah pengetahuan Encik Shark malam tadi," aku bersuara kemudiannya sambil menundukkan wajahku. Suasana menjadi hening. Hanya deruan enjin kereta dan motosikal yang lalu lalang sahaja yang kedengaran. Aku tak dapat menahan diri lagi. Kalau masih berlama-lama di situ, kolam mata ini pasti akan banjir. Jangan sampai air mata ini tumpah di hadapan insan-insan sombong ini. Aku menarik tangan Das dan berlalu dari situ. Bagaikan tiada apa-apa yang berlaku, dari ekor mataku aku melihat Datin Anita berlalu dan masuk ke dalam kilang. Datuk Pengarah tadi kelihatan kebingungan dan kelihatan mengejar isterinya ke dalam. Encik Kacak masih berdiri situ. Wajahnya kelihatan masih memandang ke arah kami. Puas mungkin. Dapat menyindir aku dan Das sebentar tadi. Aku sendiri tidak lagi berminat untuk menatap wajah kacak itu lagi. Malas melihat reaksi dan riak wajahnya lagi. Memang begitulah agaknya lagak orang kaya. Jauh di sudut hatiku mengatakan perwatakan lelaki itu rupanya tak jauh bezanya dengan bakal tunangannya itu.

     "Das, jomlah kita balik. Jualan tu berhenti sampai di sini saja. Nanti aku akan beritahu pada Lang Merah," kataku sebaik sahaja enjin kereta dihidupkan oleh Das. Das menganguk-anggukkan kepalanya tanda faham. Dia mungkin memahami akan perasaanku sekarang.

     Saat gear reverse ditekan, Das kelihatan membrek keretanya secara mengejut. Aku terkejut. Kenapa tiba-tiba Das membrekkan keretanya? Seingatku tiada kucing yang meliar di tempat parkir tadi. Seorang lelaki mengetuk-ngetuk cermin kereta di sebelahku. Encik Kacak yang berdiri di situ. Aku memandang ke arah Das. Perlukah aku turunkan cermin ini untuk lelaki angkuh ni?

     "Kenapa?" ujarku setelah cermin itu diturunkan separuh. Wajah Encik Kacak terlalu dekat denganku sekarang. Hidungnya tadi masih kemerahan. Dalam jarak yang dekat begini, aku dapat meneka bahawa mungkin Encik Kacak sedang dilanda demam selesema dek bahang panas yang meruap dari wajahnya. Dia kelihatan terdiam. Matanya dihalakan ke arah lain. Benci mungkin untuk menatap aku. Aku pun sama sebenarnya. Langsung tidak berminat untuk melihat wajahnya lagi. Kalau tidak mahu bercakap denganku untuk apa tercegat dan mengetuk-ngetuk cermin kereta Das ni? Mahu apa lagi? Mungkin mahu menyambung sindiran tadi gamaknya. Aku menjeling ke arah Das.

     "Ada apa ya?" aku bertanya lagi apabila tangan Encik Kacak masih memegang pintu kereta. Wajahnya masih dihadapkan ke arah lain dan mulutnya masih terdiam. Tiada senyuman di wajahnya. Tangannya menyisir rambutnya yang kadang-kadang menutupi dahinya. Aku mula hairan dengan lelaki ini. Sudah ditanya tidak pula dijawab. Tapi, berani pula menghalang pergerakan kereta kami.

     "Kalau tak ada apa, kami nak gerak ni. Minta tolong berundur encik," ujarku tak dapat menahan sabar. Ingat aku tunggul kayu nak menunggu dia di situ. Kalau setakat datang nak tayang rambut, baik tidak usahlah. Bukan shooting iklan syampu di sini. Tangan lelaki itu masih dipautkan pada pintu kereta itu. Masih tidak berganjak dari kedudukan tadi.

     "Ada apa sebenarnya ya? Saya dah batalkan jualan tu. Jangan risau, saya takkan malukan nama syarikat ni. Saya takkan ganggu syarikat ini lagi. Saya janji," ujarku memancing tujuan sebenar lelaki tersebut. Kali ini lelaki itu memalingkan wajahnya terhadapku. Wajahnya sukar aku tafsirkan. Apa yang ingin disampaikan sebenarnya. Lidahnya sukar sekali nampaknya untuk berkata-kata. Tadi, bukan main lancang mulutnya menyindirku.

     "Sorry untuk mama. Come... Kita bincang kat dalam," akhirnya dia bersuara. Bincang? Gilakah aku nak bincang setelah keputusan nekad dah dibuat. Nak bincang apa lagi dengan wanita itu? Nak suruh aku merayu-rayu supaya ibunya memberikan aku 400 unit perfumes itu padaku. Sudah menyindir aku sebentar tadi, sekarang nak suruh aku bincang dengan dia pula. Ah..tak payahlah.

     "Oh, tak payahlah. Rasanya lebih baik kami balik sajalah. Terima kasih," ujarku lagi. Tangannya masih tidak melepaskan pintu kereta milik Das. Das kelihatan memejamkan matanya seperti menahan kesabaran. Nasib baik stereng itu dikawal oleh Das. Kalaulah aku ditempatnya sekarang, sudah pasti takkan aku hiraukan lagi lelaki yang tercegat di pintu kereta ini. Pegangan lelaki itu sudah pasti tidak dapat mengahalang kuasa enjin kereta empat lejang ini.

     "Ida, boleh tak rendahkan ego awak tu sikit? Kita bincang balik kat dalam. Boleh tak?" Encik Kacak bersuara lagi. Ego? Siapa yang dituduh ego ya? Yang ego itu adalah dirinya dan ibunya, bukan diriku. Berani betul sifatkan aku sebagai seorang perempuan yang ego.

     "Tak faham. Saya perlu untuk rendahkan ego saya? Saya ni seorang yang ego maksud encik? Untuk apa saya ego? Sekarang, bukan masalah egoistik, tetapi Datin Anita yang tak membenarkan saya meneruskan jualan ini, jadi lebih baik saya hentikannya sekarang" aku sengaja memberi pertanyaan yang bertubi-tubi begitu padanya. Bukankah dia dan ibunya yang ego? Orang sudah meminta maaf, namun masih menyimpan amarah. Ah, manusia memang macamtu. Suka menuding jari ke arah orang lain. Aku lakukan semua ini pun gara-gara mahu melunaskan kehendak ibunya itulah. Makin berduit makin sombong.

     Encik Kacak memalingkan wajahnya kepadaku. Matanya dipejamkan sebelum membuka mulut untuk bersuara lagi.

     "Sebab tu, saya suruh bincang. Kalau terangkan baik-baik pada dia, saya yakin mama saya tu okay. Cuma, awak kena mengalahlah sikit. Cuba pujuk dia. I know her very much. She's too kind and a polite person. Minta maaf dengan dia banyak-banyak.." ujar Encik Kacak lagi. Minta maaf banyak-banyak katanya. Hmmm... Maksudnya, mahu aku berlutut dan menangis-nangis meminta simpati dari ibunya, macamtu? Ah, tak mahulah! Bukankah aku dah banyak kali meminta permohonan maaf dari ibunya, tetapi ibunya yang berkeras dan masih tidak mahu memaafkan kesalahanku.

     Aku menjeling ke arah Das. Das kelihatan hanya tunduk membantu diri. Tidak memberikan sebarang reaksi dengan ucapan yang baru disampaikan oleh Encik Kacak tadi. Encik Kacak masih berdiri di situ sambil memaut pintu kereta itu lagi. Aku berpaling ke arahnya.

     "Saya dah banyak kali minta maaf dengannya encik. Tak apalah. Memang salah saya. Saya dah buat dia rugi besar dulu. Tapi, saya janji saya akan bayar ganti ruginya," ujarku lagi menolak cadangan dari lelaki itu. Sudah tidak kuasa aku mahu berhadapan dengan wanita bernama Datin Anita itu lagi.

     "Lagi-lagi ganti rugi... Itu saja yang awak pandai sebutkan. Awak ingat dengan ganti rugi tu boleh baiki hubungan awak dengan mama saya? Awak kena berpijak pada bumi nyata, Ida. Kalau awak tak mampu nak bayar, kenapa awak mesti berbohong pada diri sendiri?" lelaki itu menyambung kata. Berdesing telinga ku mendengarnya. Kata-kata hinaan apakah ini? Kalung kristal pink yang hangus dibakar api pemanggang ayam milik lelaki itu terus terbayang di ruang mataku. Agaknya, dia sedang mengejek aku yang konon mahu membayar ganti rugi padanya. Miskin benar aku di mata dia. Seorang guru biasa yang nak dibandingkan dengannya seorang pengurus syarikat.

     "Ya, saya memang miskin dan tidak berduit untuk membayar ganti rugi yang mahal tersebut. Kerugian datin dengan pewangi-pewangi yang dibeli olehnya daripada saya, pewangi-pewangi yang pecah akibat terlanggar dengan saya serta kerosakan pada kalung kristal encik. Tapi, saya tetap akan berusaha dengan tulang empat kerat saya ini. Saya janji, saya akan pastikan semua kerugian tu terbayar. Terima kasih. Mohon beri laluan.." aku tak dapat menahan emosi lagi. Ini sudah berlebihan. Kata-kata tersebut bagaikan hinaan padaku. Aku cepat-cepat menyuruh Das mengundurkan keretanya tanpa menghiraukan Encik Kacak yang masih belum mahu berganjak dari situ. Das hanya menuruti perintahku. Mungkin dia turut merasakan hal yang sama denganku sebentar tadi.

     Pedal minyak yang ditekan oleh Das menyebabkan Encik Kacak yang berdegil tidak mahu berganjak daripada tempatnya itu terdorong ke depan. Kelihatan lelaki itu terjatuh rebah di atas jalan tempat parkir kami sebentar tadi. Aku hanya memandang dari cermin kereta. Kelihatan dia masih memanggil-manggilku. Terbit juga rasa kasihan dalam diriku kepada lelaki itu. Dia kelihatan kurang sihat hari ini, tiba-tiba terjelupuk di atas jalan raya pula. Ah, sudahlah! Aku benci untuk menatap wajah itu lagi. Hasrat untuk mendapatkan 400 unit perfumes kubatalkan begitu saja. Nampaknya, jualan ini hanya sampai di sini saja. Rasanya, usaha ini adalah sia-sia. Bagaimana pula dengan wang ganti rugi itu ya? RM2000 lagi yang belum tertunai. Duit Lang Merah juga perlu dipulangkan semula. Rasanya, aku tidak sanggup untuk menunggu hari esok lagi.

     "Das, aku dah buat keputusan untuk berhenti di sini saja. Rasanya, keputusanku dulu adalah salah," aku bersuara setelah kereta Das beberapa kilometer menjauhi tapak kilang. Das memandang ke arahku sekilas.

     "Yalah Ida. Aku pun rasa macamtu juga. Sebenarnya, masa mula-mula dulu pun aku dah tak sedap hati, sebab syarikat ini milik orang bongkak sekeluarga tu," balas Das lagi. Istilah 'orang bongkak' yang digunakan oleh Das itu, jelas menunjukkan rasa bencinya pada wanita itu.

     "Jadi, nanti kita singgah ke cyber cafĂ©. Aku nak emelkan pada Encik Shark tentang pembatalan itu. Lepas tu kita singgah ATM untuk transfer semua duit Kimi dan Farhan padanya," balasku lagi. Tamatkan saja di sini. Malam ini juga aku akan pulang ke Pasir Gudang. Tak sanggup lagi aku berlama-lama di bandar Seremban ini. Aku tak mahu terserempak lagi dengan mereka ini.


Previous: Bab 19
Next: Bab 21

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh usakoprincessz