Home Novel Cinta TUAH
Bab 31

Bagai dekan di bawah pangkal buluh.
Itu keadaan Tuah yang aku nampak. Ulat pemakan pokok buluh itu memang pandai bersembunyi, menyukarkan pencarian pemangsa ke atas jejak dirinya.

Luahan perasaan Tuah amat jelas dari awal. Marah dan bahagia terlukis dengan warna terang di kanvas wajah. Apa yang aku tak faham, bagaimana kesemua warna-warna ini tiba-tiba sahaja boleh diadukkan di bawah simbahan warna kelabu.

Apa yang kau bimbangkan Tuah?
Bahawa aku akan nampak siapa kau?
Tapi siapalah aku pada kau?
Reja makanan yang terlekat di gigi sahaja Tuah. Manusia yang hanya melintas dalam hidup kau.

Tapi aku tahu kau tak anggap aku begitu!
Kerana sinar mata Tuah kini mengacu tajam lagak seteru.

Lama pandangan kami berlaga sehinggalah bukaan pelupuk mata aku nyalang dan mata hitam meninggi ke atas.

Aku menjejaki objek yang Tuah lempar melintasi kepala lalu terdampar jauh di permukaan air.

Hanya air liur yang sempat ditelan sebelum mata terbelalak lagi apabila pendayung kedua turut melayang tinggi.

Perahu tanpa kemudi, apa motif Tuah buat macam tu? Nak kurung aku dengan dia dalam perahu ini? Nak takutkan aku?

Jika itu motif Tuah, aku akui dia berjaya. Semenjak muncul di daerah asing ini, di antara perasaan yang acapkali aku alami adalah gementar. Tubuh semakin sensitif dengan perasaan sebegitu. Sedikit sahaja hati menghebah resah, bulu roma aku terdahulu terpacak menyahut seruan. Diikuti dengan ritma jantung yang tak keruan. Mujur akal yang berulang kali diasak perkara yang sama semakin peka, tidak melatah.

Dalam gerak perlahan aku melirik arah kumpulan manusia, menimbang samada aksi aku akan difahami atau tidak. Kalau aku menjerit meminta pèrtolongan, akan percayakan mereka dengan keadaan aku yang genting?

Betapa apa yang sedang tergambar tak sama hakikat gambaran .

Andai keadaan aku sekarang dirakam dengab lensa dron, rakaman sudut paling lebar sebegitu pasti akan menyemarakkan ilusi, membuakkan jiwa romantik. Teruna dan dara berkongsi ruang dalam bongkah kayu nan sebatang yang hanyut menelusuri kuning sawah dan hijau ladang.
Ah, perangkap cinta yang dikhayalkan oleh Si Romeo buat Si Juliet.

Kalau dilihat pada skrin perakam video menggunakan teknik rakaman sudut lebar, maka akan tertunalah jiwa-jiwa cewek Jawa dek cemburu dan dengki menyaksikan keintiman aku dan Tuah. Kami bak pasangan kekasih yang ralik memintal renjana. Dara menggunakan perangkap kejelitaan penuh feminin untuk memaut hati teruna. Manakala teruna relakan diri memasuki jerat Dara. Di kala ini Tuah santai berlunjur silang kaki. Sikunya tersendal ke bibir perahu. Mata Tuah hanya memaku aku meskipun beratus mata sedang meningkah perhatiannya.

Hakikatnya, semua bacaan perasaan aku dan Tuah amat jelas andai dirincikan dalam rakaman jarak dekat. Kening tebal Tuah terjongket sebelah menjauhi mata garangnya yang statik membidik aku. Petanda bahawa dia tahu sekiranya aku berpura-pura tak tahu. Garis bibir mendatar Tuah pula memberitahu bahawa mulut berat itu tak akan terbuka untuk memulakan sesi soal-siasat melainkan aku yang membuat pengakuan dahulu. Malah ada tanda amaran pada rahang tirus yang diangkat sedikit tinggi. Mengaku atau dia akan berterusan menyiksa minda aku selama mana yang dia mahu.

Manakala raut aku sudah tentu menikus!
Kedua kening aku bersatu dengan dahi membentuk ombak cemas. Kelopak mata aku yang terbidik-bidik menghadam kenyataan demi kenyataan yang kelat. Ulas bibir aku terkulum ke dalam menahan resah. Muka aku sedikit menunduk melayan bebelan diri.

Di antara perasaan yang bercampur baur, kebencian yang paling ketara aku rasakan.
Benci mengenang diri yang mudah diperdaya.

Huaa! Aku dah tahu kau bukan nak nak ajak aku bersiar-siar tetapi kau nak perangkap aku di sini!

Bodoh!

Perkataan itu memang buat aku sakit hati. Realitinya itulah aku pada saat ini. Tambah aku sakit hati apabila hati kecil pandai pula menghasilkan ayat lengkap merumus bicara-bicara wajah Tuah.

Menyerah Hanna! Tiada jalan keluar buatmu. Berikan apa yang aku mahu. Dan kau tahu apa yang aku maksudkan!

Habis aku! Memang habis!

Apa agaknya yang aku fikirnya ketika kedegilan cuba membangkang akal.

"Kau... kau ni dah... ke...napa?"

Mulut aku jadi Pak Turut kedegilan. Percubaan untuk menyelamatkan diri paling mengecewakan kerana ketar suara memberitahu sebaliknya. Keraguan dengan kata-kata sendiri membuka rahsia kepada Tuah bahawa aku tahu apa yang dia ingin tahu. Jawapan kepada soalannya.

Tuah tidak menjawab pertanyaan aku sebaliknya dia putuskan tautan mata kami dan panjangkan lirikan matanya ke belakang aku.

Satu. Dua. Tiga.
Hanya sepanjang saat itu peluang untuk aku sedut nafas dalam-dalam sebelum mata Tuah mengunci aku semula.

Buk!

Bunyi bak nangka jatuh memang kuat sehingga aku berpaling ke sisi melihat apa yang berlaku. Gadis yang menyenandungkan guritan tadi pengsan.

Haila, baru kena stare dengan idola, kau dah tak sedarkan diri. Kalau kau kena hadap lontaran bebola api dari Sang Laksamana macam aku ni, hanya jahanam yang kau akan rasa.

Pasti aku tersalah mengira kadar toleransi Tuah. Sekadar dua tiga kali menghabiskan masa dalam suasana harmoni tidak membawa sebarang erti pada Tuah. Itu adalah kerana lelaki itu ketika ini terang-terangan menyerang aku secara berhadap. Keris yang senyap berdampingan di sisi tuannya dengan pantas dicabut dari sarung lalu dilempar tinggi ke udara.

Aku sempat mendongak seraya membuat kiraan matematik yang amat pantas untuk mendapatkan jawapan bila hujung tajam keris Tuah akan jatuh dan di mana.

Akal membunyikan siren amaran menurut kiraan naluri yang ternyata lebih laju.

Jaga-jaga Hanna!

Aku lepaskan jeritan serentak menarik kaki rapat ke tubuh.

Tag!

Keris Tuah bergoyang-goyang buat seketika ketika hujung bilahnya menikam lantai perahu. Manakala jantung aku masih berdentuman kuat reaksi kepada aksi kasar keris Tuah.

Mana taknya! Kalau aku lambat beberapa saat tadi, keris itu dah terpacak atas kaki aku!

Pada detik genting, aku paksa akal mencari lorong alternatif. Kalau aku memekik minta tolong, tak mustahil keris Tuah akan mendarat dekat perut aku pula. Duduk dalam perahu sah-sah aku tak boleh lari. Nak terjun tiruk dalam terusan? Air hijau yang menutupi segala isi hidupan di bawah permukaan tenangnya memungkinkan aku memilih ditelan hidup-hidup dek Tuah.

Satu-satunya benteng yang ada hanyalah payung kertas! Benteng paling rapuh tetapi memadai untuk menghilangkan Tuah dari pandangan. Cemas betul dibidik Tuah terus menerus. Aku rendahkan kedudukan payung perlahan-lahan dari kepala sehingga ke muka.

Mana-mana mata yang memandang akan menyangka aku sedang menggatal malu-malu dengan Tuah. Andai benar, maka mereka bakal menyaksikan malu aku bercempera dengan terbuntangnya mata apabila hujung keris Tuah menembusi dan mengoyak payung. Nyala panas anak mata Tuah membidik aku dari celahan koyakan kertas. Tangan aku yang menggeletar menggenggam batang buluh halus terus melepaskankan payung. Sejuk dari tangan aku menyerap ke kaki apabila aku peluk lutut dengan erat.

Lelaki itu memang tahu cara mendera aku. Sebelah kaki Tuah merapati tubuhnya. Mesti Tuah sengaja sadaikan tangan yang memegang keris di kepala lutut dengan mata keris terhunus ke arah aku.

Sekilas, roman Tuah dibayangi aura hitam yang selalu menyelubungi watak antagonis biarpun lontaran pandangannya lurus ke keris. Imaginasi aku yang melangit menampakkan imej angin yang galak membentuk taufan di sekeliling Tuah.

Ya, ya! Aku angkat bendera putih.

"Kau nak tahu pasal apa?"

Tuah menyimpan semula keris ke dalam sarung. Jemarinya berlari di permukaan kayu mahagoni licin.

"Itu keris kau?" aku menyambung pertanyaan. Tingkah laku Tuah mudah memesongkan perhatian aku.

"Hhm. Perkongsian besi sebahara yang diusil dengan sahabat-sahabatku. Keris panjang ini anugerah sulung dari istana. Apa yang tuan hamba tahu tentang keris itu?"

Sedari tadika aku dah diajar perkataan ini dan itu. Oleh itu aku tahu keris mana yang Tuah maksudkan. Tuah nak tahu tentang Keris Tamingsari! Adoi, macamana aku boleh terlepas cakap malam tu?

"Kenapa kau nak nak tahu?"

"Kerana masih tiada mulut yang membuka bicara perihal keris. Yang berlegar-legar hanyalah nama Si Pencabar. Sedangkan yang mengetahui akan hal cabaran ini hanyalah aku, Paduka Raja dan Tuanku Sultan."

Aku cuba menghadam butiran kata-kata Tuah. Jadi pertarungan Tuah dan Tamingsari masih belum berlangsung. Sambungan bicara Tuah pula buat aku ternganga.

"Manakala aku pula belum memutuskan untuk menerima cabaran itu atau tidak."

Telah ada gerak hati untuk membenamkan kepala sendiri dalam air. Apa aku dah buat?Terang-terang aku dah bocorkan rahsia dekat Tuah sedangkan subjek utama masih lagi dipertimbangkan. Memang patut Tuah sangsi dengan aku!

Haa... jawab, Hanna. Jawab!

Previous: Bab 30
Next: Bab 32

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.