Home Novel Cinta TUAH
Bab 24

Bab 24  CEPATLAH JAGA

Umpama gerai dengan Cafe Hipster.

Umpama tudung pasar malam dengan Fareeda

Umpama booth buku kaki lima dengan Kinokuniya.

Begitulah perbandingan perasaan yang aku rasa ketika bersila di hadapan para Nayaga. Aku dara muda trang tang tang yang santai mengenakan T-Shirt dan Jeans. Mereka pria-pria separuh abad yang berhias penuh istiadat pakaian Nayaga di-Raja lengkap perhiasan kepala dan tubuh. 

Memahami dari mana datangnya perbezaan ini, malah aku dah dengar gending Majapahit yang cukup lemak manis berkrim disukai ramai yang mereka mainkan di jamuan tadi, aku sendiri malu nak menyanyi apatah lagi untuk menabuh keromong. Situasi tadi lain. Masa itu hati dilanda taufan. Habis lupa dunia. Kini kewarasan aku jelas.

Kalau diikutkan rasa rendah diri, memang sampai subuh aku akan kaku dan kejung di ruang tertutup ini. Urusan tidak akan selesai. Aku diminta untuk mempersembahkan semula nyanyian di alun-alun tadi secara eksklusif.


Sejenak, aku lepaskan kacau-bilau dalam dada. Aku pasakkan keghairahan. Aku lupakan sahaja wajah-wajah sinis bapak Jawa sekalian. Tangan kembali beraksi mengetuk bonang tanpa suara. Selesai.

Tapi kan... Alang-alang mandi biar basah, tak ke gitu? Bila lagi aku nak guna kuasa. Berani bapak-bapak Jawa ini membantah cakap aku depan Raja mereka? 

Hahaha 


Maka sesuka hati aku suruh dan arah Nayaga. Aku beri tunjuk ajar not Timang Burung kepada penabuh bonang barung dan suruh dia berterusan mainkan notasi tersebut. Sambil itu aku mendekati perawit gambang, kenong, kempol, kempiang dan gendang dan tunjuk mereka bagaimana menyulamkan bunyi alat-alat muzik tersebut di dalam rentak penuntun bonang barung. 

Oleh kerana jiwa yang mampu duduk di dalam pasukan Nayaga hanyalah pakar, walaupun kelam-kabut, caca-merba, tanpa not-not angka, sekali dua sahaja aku ajar mereka dah faham. Aku tinggalkan perawit siter dan seruling. Pengendalian dua alat muzik kuno itu aku tak tahu sangat.


Sekali sahaja aku mengorkestrakan Nayaga sebagai latihan. Setelah itu aku mulakan persembahan.

Wow, memang best giler! 

Irama asas dan sempoi gamelan Timang Burung yang telah mendapat sentuhan klasik dan profesional telah mengangkat lagu tersebut menjadi luar biasa. Seluruh dengung, denting dan tabuh mengisi ruang dengan begitu harmoni. Itu adalah disebabkan lagu tersebut tidak lagi dimainkan versi aku tetapi diolah mengikut selera tempatan. Malah pemain siter dan seruling juga turut menambah keasyikan dengan not-not mereka tersendiri.


Di saat itu cengkerik dan riang-riang bagai terlupa bahawa mereka mempunyai suara.

Burung hantu dan unggas rimba memutuskan untuk menjadi bisu.

Semilir berhenti merusuh demi memberi laluan kepada irama nan indah.

Itulah yang aku sangka apabila alam menyambut lagu Timang Burung dengan hening. Dan aku juga tidak menyangka, keasyikan melekakan aku sehingga tidak sedar nyanyianku berkumandang mengiringi tangan yang rancak menabuh bonang penerus.


Tamat persembahan, aku lepaskan ketawa.

All out giler-giler!

Aku betul-betul girang. Aku tak rasa apa yang aku buat hanya demi sebuah permintaan. Sungguh, aku telah tumpahkan seluruh jiwa demi sebuah keasyikan.

Mujur waras aku masih berbaki. Kerana telinga hanya menangkap ketawa sendiri. Dalam lelah teruja, aku angkat muka. Wajah-wajah bapak Jawa sama teruja macam aku juga akan tetapi suara mereka terkunci di dalam mulut mereka yang terbuka. Kenapa aku seorang sahaja yang memberikan reaksi? 

Am I missing something?

Atau aku... syok sendiri?


Perlahan-lahan aku pusing kepala sambil melirik arah dua lelaki yang mana di tangan mereka terkandung kuasa. Jelas teruja merajai raut mereka. Bukaan mata dan mulut mereka sama luas.

Mata aku sempat terkebil-kebil beberapa saat sebelum ngangaan luas mulut Sultan Mansur Syah menghamburkan ketawa. Setelah baginda menepuk-nepuk tangannya barulah gamat seisi ruang dengan tepukan dan sorakan gembira dari Nayaga

Dalam keriuhan, aku urut dada bagi menghalau cemas.

Buat suspense aku aje bapak-bapak Jawa ni. 

Tak sengaja mata melirik arah Rangga. Manisnya senyuman Rangga bak teh ais bubble viral. Rasa enak itu menyinggah lama di dada sebelum termeluap dengan renungan mamat di sebelah dia. Tuah nampak tak terangsang langsung dengan persembahan tadi. Garis bibir Tuah mendatar seperti biasa. Cuma dah tak ada lagi anak panah yang meluncur dari mata Tuah. Renungan Tuah jatuh lembut ke wajah aku.

Fuuh! Lega.


Aku rapatkan kedua tangan ke dada dan tunduk hormat kepada Betara Majapahit, Sultan Mansur Syah dan para Nagaya. Ada suara kedengaran dari Nayaga yang bahasanya aku tidak fahami. Rangga pantas menterjemah maksud kata-kata mereka.

Aku pamer sengih dan jawab, "Sudah larut malam bapak-bapak sekalian. Kasihan sama isterinya, kesejukan di katil."

Sibuk suruh aku sambung persembahan. Tadi kemain keruh muka kena kerja over time. Dah seronok, tak puas pula.

Rangga terdiam sebelum menterjemah kata-kata aku. Pelik juga sebab ayat aku panjang, ayat Rangga pendek.


Aku balik ke penempatan orang-orang Melaka naik kereta lembu diiringi Rangga. Badan aku tak la penat sangat, tapi kantuk dah merentap-rentap kelopak mata. Oleh kerana aku seorang sahaja di dalam pedati, Rangga berada di luar bersama pemandu, aku lunjurkan kaki dan berbaring. 

Hurm... pengakhiran yang terbaik bagi hari yang memenatkan jiwa.


Memejamkan mata, sekilas peristiwa hari ini tertayang di layar minda. Gaduh dengan Tuah, kesedihan aku, penangan tuak, aksi puaka Tuah, respon gila-gila aku dan persembahan tadi. Walau keindahan irama gamelan tadi masih mengerumun perasaan, akal bawah sedar aku masih merindui sesuatu.

Katil queen dan tilam 11 inci aku! 

Belakang badan aku sakit melanyak kayu keras kat sini.

Pasrah, aku biarkan sahaja imaginasi menggantikan goyangan pedati kepada buaian walaupun hati kecil merintih,

Aku tak nak sambung mimpi ini daah!

Previous: Bab 23
Next: Bab 25

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.