Home Novel Cinta TUAH
Bab 3

BAB 3   BAPAK BESAR.

Maunya mata tak terbuntang. Mesti goyangan kapal telah menjejaskan IQ aku kerana tanpa aku sedari minda mengukur saiz benda kepada ukuran usia. Entah kenapa daripada moyang ke cucu, lidah terangkat menyebut keturunan pertengahan, "Mak aii, Bapak besar!"

Bukannya aku tak pernah tengok kapal pedagang atau kapal persiaran yang lebih besar. Cuma imej kapal kayu yang terlekat di kepala hanya sebesar kapal penjajah yang berdiri megah di atas tanah yang diwarisi daripada Raja-Raja Melayu di Bandar Hilir, Melaka.

"Whuoo! Ini empat kali ganda Flor De La Mar..."

Atau lebih kurang dalam ukuran satu pertiga bagi bahtera yang sedang aku naiki ini.

Sebaik sahaja tiang agung bahtera memasuki ruang mata, batang kayu yang tegak menongkat langit itu mengingatkan aku akan tiang bendera di Dataran Merdeka. Cukup sekadar tegak berdiri  sambil mengibar Jalur Gemilang, tiang itu tak perlukan apa-apa lagi untuk menerbitkan perasaan gah dari setiap mata yang memandangnya. Tiang agung itu juga tampak megah dengan layar imbang yang merintang padanya. Kain layar megah bertebar dan memerangkap tiupan angin monsun. Gemuruh kain layar bagai mengumumkan ketibaan kuasa agung Melayu di selat biru.

"Itu ghali DiRaja. Mendam Berahi."

Peryataan lelaki itu pada mulanya masuk ke telinga kanan, keluar di telinga kiri. Pandangan aku tak putus ke sisi kapal. Dalam diam aku mula mengira deretan kayu pendayung.

Punya la banyak! 1,2,3...
Semasa kiraan bisu tiba di angka dua belas, kata nama dengan dua suku kata yang lelaki itu sebut tadi kembali terngiang di telinga.

Mendam Berahi.
Macam biasa dengar...

Kata nama itu bagai menarik aku ke ruang kedap bunyi. Seketika, semua bunyi di sekeliling aku telah dipengapkan melainkan nama itu sahaja yang masih bergema. Apabila perkataan Mendam Berahi ditemui dalam daftar kamus minda, perkataan itu membuatkan aku lebih terpegun daripada menyaksikan jisim Mendam Berahi itu sendiri.

Itu adalah kerana nama itu terkenal dengan beregu.
Ala... macam I am me dengan Datuk Seri Vida
Ting ting tang ting dengan Dato' Sri Siti Nurhaliza.
Mendam Berahi dengan...

Aku berpusing dan hadapkan wajah ke arah lelaki itu. Jelas mimik wajah kami amat bertentangan.

Dia dengan lerekan senyuman dan biasan bangga. Aku dengan lopongan mulut dan biasan kelu.

Wajah dia bertambah ceria. Air muka aku bertambah kelat.

Aku lepaskan satu nama yang kedengaran antara jelas tak jelas.

"... Hang Tuah?"

Anggukan lelaki itu membenarkan tekaan aku.
"Mendam Berahi adalah nama timangan ghali DiRaja yang Tuah berikan."

Kenyataan itu membuatkan aku sedut udara yang berbaur air masin dengan panjang dan lama. Banyak kali.

OMG! Aku di zaman Hang Tuah.
Ada Hang Tuah di sini!

Maknanya aku boleh tengok Laksamana Agung bangsa Melayu yang kisahnya dinukilkan di dalam hikayat, nama dan kewujudannya diperdebatkan daripada rakyat marhein hingga ke ahli intelektual.

Wow! Macam tak percaya je!

"Hang Tuah..."

Kali ini nama itu aku sebut sambil mata melirik dalam gerak perlahan dari tocang di kepala sehingga ke capal lelaki itu. Ya, aku sedang cuba membayangkan imej Hang Tuah.

Akal cepat menafi.
Nope! Cute sangat kalau rupa Hang Tuah macam ni. Bukan boleh menggerunkan musuh, menggoda musuh ye la. Tak ada rupa Melayu pun.

Lelaki satu lagi?
Sepantas kuasa turbo logik akal menolak pintasan hati.

Lagak ala Mafia.
Muka macam gelandangan. 
Itu Hang Tuah?
Tsk, tsk, jauh dari mustahil.

Kebenarannya, aku tak nampak sangat muka lelaki itu semalam. Rerambut yang menghurung wajahnya terlalu serabai. Rambut panjang lelaki itu telah menutupi dahi dan sebahagian muka. Lagi pula aku terlalu malas nak zoom in lensa mata di celahan ceracak panjang misai dan janggut yang tak diterapi.
Hishh! Semak!

"Mendam Berahi tu menuju ke mana?"

Aku nak tanya, kita ini nak pergi mana sebenarnya. Kalau dah satu rombongan Cik Kiah, tak mungkin detinasi berbeza-beza.

Lelaki itu menjawab, "Kita menuju ke Majapahit. Tuanku Sultan Mansur Syah berhasrat memperisterikan Tuan Puteri Galuh Cendera Kirana."

Nak pergi meminang? Sebegini grand? Bakal pengantin diiringi dua buah kapal laut bapak besar! Itu tak termasuk jong dan lancang yang bersaiz sederhana dan kecil. Dari atas dek, laut biru kelihatan bagai sedang dilanggar oleh ceracak ratusan tiang lancaran. Meriah giler ni. Kalah kemeriahan penyokong pasukan bolasepak yang masuk pusingan akhir Piala Dunia!

Okey, perumpamaan itu sah-sah bernada hiperbola, tapi sipi-sipi dah. Hahaha

"Sultan Melaka ada di atas kapal tadi?"

"Duli Yang DiPertuan ada di sini, bersama-sama kita."

"Kenapa Tuanku tak naik Mendam Berahi?"

Okey, kepala aku memang sedikit celaru. Aku sangkakan Mendam Berahi adalah kapal laut untuk kenaikan Sultan walaupun kapal ini tak kurang juga hebatnya.

"Adapun kenaikan Genta Segara ini dibangunkan khusus oleh Duli Yang DiPertuan untuk tujuan murni ini. Mana mungkin ghali ini dipersia-siakan tanpa tuannya."

Sedap betul gaya pertuturan lelaki depan aku ini. Teratur, baku dengan sebutan seketul-seketul terlontar keluar.

"Habis tu, ada siapa dalam Mendam Berahi?"

"Duli yang DiPertuan titahkan agar Tun Bija Sura dan segala biduanda, perawangan dan perdaraan yang mengiring Duli yang Di Pertuan dan Raja-Raja Melayu naik di situ."

Dari bicara lelaki itu aku boleh nampak taktik politik Sultan Melaka. Memang cerdik! Walaupun peminangan Puteri Majapahit bersifat peribadi tetapi Sultan Mansur Syah jadikan ia formal. Selain mempamerkan kebesaran kerajaan Melaka, ia juga menggambarkan kesatuan Raja-Raja Melayu di bawah panji Kerajaan Melaka.

Mengetahui Sultan Mansur Syah berada di kapal yang sama tak menerujakan mana. Aku lebih teruja nak jumpa Hang Tuah. Dalam diam, minda mencipa ilusi tentang Laksamana lagenda itu. Tentu hebat orang dan keperibadiannya. Jika tidak masakan nama itu masyhur sehingga dari India, Siam Majapahit sehingga ke Pulau Rukyu dan China. Walaupun jelas tiada nama Hang Tuah disebut, perkataan laksamana  menunjukkan manusia lagenda itu wujud dalam naskhah lama dalam lembaran manuskrip bahasa asing.

Semasa fikiran jauh menerawang menjejaki Hang Tuah, seorang lelaki muncul memanggil satu nama yang juga tak begitu asing pada aku

"Lekir."

"Ada apa Lekiu?"

Semasa kedua lelaki itu saling berbisikan, mata aku meliar, memerhati kedua lelaki itu semula. Atas, bawah, atas, bawah, sampai entah berapa kali.

Lekir, Lekiu... itu nama rakan-rakan Hang Tuah.

"Awak Lekir, awak Lekiu?"

Pertanyaan aku mengganggu perbincangan sulit kedua lelaki tadi. Kedua-duanya terdiam lantas mengangguk.

Aku ada rasa nak melompat kerana teruja sangat. Dah jumpa kawan-kawan Hang Tuah bermakna langkah aku untuk berjumpa Hang Tuah semakin dekat. Akan tetapi sekelumit keraguan merencatkan teruja aku. Kenapa tak ada rupa Melayu? Andaian awal aku, mungkin banyak nama yang sama digunapakai pada zaman ini. Sudahnya aku biarkan sahaja kedua lelaki itu menyudahkan bisik- berbisik mereka.

"Maafkan hamba kerana terpaksa meninggalkan tuan hamba di sini keseorangan. Ada perkara penting yang perlu hamba kerjakan. Usah tuan hamba khuatir, usai segalanya hamba akan segera kembali ke sini."

Dengan ayat itu, aku ditinggalkan sendirian
Dunia tiba-tiba sahaja terasa sunyi sepi, hanya ada aku dan alam. Padahal, mereka bukannya sesiapa bagi aku. Berkenalan secara rasmipun belum lagi akan tetapi jejak kaki lelaki-lelaki tadi berbekas di hati, meninggalkan kepiluan yang dimengertikan diri. Pedih terasa menjalar dari hulu hati mengalir laju merenjat hujung jemari. Perasaan yang sudah sebati dalam diri itu adakalanya diam. Malah telah lama membisu. Kini, aku dapat rasakan perasaan itu telah terjaga dan ingin hidup kembali.

Rasa berkobar-kobar ingin meninjau persekitaran baru terus terbantut. Akhirnya tubuh bersandar di dinding kamar yang menghadap buritan. Mata hanya menatap garis lurus di horizon biru. Langit dan lautan ketika ini seakan bersatu di dalam tema warna yang sama. Biru muda yang melarutkan aku dalam kenangan manakala biru kehijauan pekat menenggelamkan aku dalam kepiluan.

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.