Home Novel Cinta TUAH
Bab 26
Bab 26 KANTOI


Glam dan blink-blink.

Dua perkataan yang aku simpulkan sebaik sahaja melangkah masuk ke dalam dewan. Setiap hiasan diberi sentuhan anggun serakan perak. Sana sini bergantungan  kilauan kristal. Para tetamu bukan sahaja mengenakan pakaian yang menonjolkan imej korporat malah turut memakaikan wajah mereka dengan senyuman dan ketawa.

Usai bertegur sapa dan menjamah sedikit juadah, aku dah tak larat nak paksa diri melarik senyum. Lalu aku biarkan Nurin mewakili kami. Kemeriahan parti gagal mempengaruhi hati aku yang kini kian hanyut.

Aku sangka aku telah lepaskan mimpi itu.

Aku sangka aku telah menguburkannya.

Siapa sangka akar umbi mimpi tersebut menusuk terlalu jauh ke pangkal hati. Sekejap sahaja aku pangkas dahan dan batang mimpi, pantas benar tunasnya keluar menjalar semula. Berdiri menghadap sungai Melaka, aku boleh rasakan pucuk mimpi telah membelit jiwa.


Tak lama tubuh aku kesejukan dek terdedah angin laut Selat Melaka. Pelukan Nurin menghangatkan aku. Tangannya melingkari pinggangku.

"Masih teringatkan mimpi?"

Deras bunyi nafas yang aku lepaskan. Usaha aku untuk membebaskan desahan jiwa agar pergi bersama bayu malam gagal. 

"Mhm. Kau tahu Nurin, makin lama aku fikir, makin aku rasa mimpi itu tak datang pada aku. Aku rasa aku yang dijemput ke sana. Macam parti ini. Kehadiran kita ke sini atas sebab jemputan."


Nurin mengeratkan lagi pelukan. Aku alihkan tangan yang memeluk tubuh ke pinggang Nurin, membalas kasih Nurin dengan bahasa badan juga.

"Dan kau tahu Hanna, aku pula rasa mimpi itu tak datang mahupun menjemput kau. Kau yang mencipta mimpi itu. Jiwa kau mereka cipta mimpi buat kau."

"Maksud kau..."

"Maksud aku, sebelum ini jiwa kau membenarkan ilusi menguasai kau di bawah sedar. Apabila kau melawan, jiwa masih cuba menguasai kau secara separa sedar. Dengan memindahkan ilusi dalam bentuk mimpi. Menciptakan ruang escapism untuk kau. Hakikatnya hati kau masih..."

Aku dengar bunyi desahan nafas Nurin. Dia seakan-akan menahan sebak.

"Mengurung Iqbal."

Aku tidak bersedih sebenarnya. Hanya tertanya-tanya pengalaman baru yang aku gagal memahami puncanya. Akan tetapi setelah nama Iqbal meluncur dari mulut Nurin, spontan air mata mengiringi nama itu.


Damai malam memang mudah memancing memori. Melarutkan duka bersama kegelapan.

Tangan Nurin naik ke kepala aku, menarik rapat sehingga kepala bertemu dengan kepala.

"Kau tak akan mengalah lagi, kan Hanna? Janji dengan aku, kau akan tetap kuat."

Aku mengangguk. Dalam hamburan air mata, aku menabur janji.


Kami pulang awal ke hotel malam itu. Kamar serba putih dengan tilam queen menyaksikan keluh kesah aku. Entah berapa puluh kali aku berkalih tubuh barulah mata terlelap. 


Ketukan pintu bertalu-talu membuatkan aku terjaga. Bingkas aku bangun tetapi kembali terduduk. Aku pejamkan mata menghalau pinar. Kepala aku rasa berat dan sakit. Badan aku juga terasa amat lesu.

Kenapa dengan aku ni?

Lama baru aku mendapat jawapan. Kenapa dengan aku ada kaitannya dengan di mana!

"Hanna, tuan hamba ada di dalam?"

Kuat betul Lekir melaung. Macam aku duduk sepelaung. Padahal bilik ini kecil sahaja. Kedudukan aku pula hampir dengan pintu. 

Aku buka mulut nak menyahut tetapi rasa mual dan loya terus menerjah. Sudahnya aku kunci bibir dengan tangan. Aku biarkan sahaja pekikan Lekir. Lama juga barulah suara lelaki itu hilang. 


Agak reda sedikit pinar kepala, baru aku buka pintu. Rupa-rupanya Lekir masih setia menanti di situ. Wajahnya penuh kerisauan.

"Aduhai Hanna, Tuhan sahaja yang tahu betapa khuatirnya hamba."

"Kenapa?"

Terbit rasa kasihan tatkala mengenang Lekir. Dah lama ke dia tunggu kat luar ini? 

"Dua hari Hanna tidak keluar dari kamar. Adakah tuan hamba sakit?"

Jelas benar mata Lekir menjelajah ke serata muka aku. Lagaknya bagai mengamati sambil merumus maklumat.


Dua hari? Itu bermakna aku dah tidur selama dua hari! Sebab itu ke kepala aku sakit?

Aku nak angguk tetapi bimbang Lekir semakin risau. Hakikatnya memang badan rasa amat tak larat. Sudahnya aku gores sedikit senyuman. 

"Kurang dah. Rasa sihat sikit."


Aku paksa kaki melangkah. Tiada sesiapa di pendopo melainkan Lekir dan... 

Hhm... Hembusan nafas aku terlepas laju ketika mata singgah di susuk Tuah. Dia tak hiraukan akupun. Kepalanya menghala ke luar pendopo.

"Hanna, biar hamba bantu tuan hamba," mohon Lekir. 

Aku menolak permintaan Lekir dengan baik. Selagi aku larat bawa diri, selagi aku tak jatuh.


Malang memang tidak mengenal tempat. Malang aku hari ini pula tidak mengenal siapa. 

Tiba-tiba sahaja lutut rasa longlai. Betul-betul ketika aku melintasi Tuah. Mujur aku tak tertirap depan Tuah. Badan aku tertahan dari terjatuh. Kudrat Tuah menyokong tubuh aku. Kedua tangan Tuah kejap memegang bahu. 

Pandangan aku gelap sebentar. Meskipun  terasa dunia berpusing-pusing di sekeliling, aku masih sedar ketika tangan Tuah melurut ke pergelangan tangan. Dua jarinya merentang di detak nadi aku.

Tuah sandarkan aku ke tiang pendopo. Aku dengar dia memberi arahan kepada Lekir.


"Pergi ambilkan makanan. Lekas."

Suasana begitu hening buat seketika sehinggalah suara Lekir menyentak sedar.

"Hanna, buka mulut. Minum air ini sedikit."

Suruh buka mulut, maka mulut sahajalah yang aku buka. Nyaman segera menyinggah sebaik sahaja air dingin melalui tekak. Aku buka mulut kali kedua apabila terasa ada benda menyentuh bibir.

Apa yang Lekir suap, semua aku telan. Kalau Lekir bagi aku racun, maka racunlah yang aku makan. Tetapi Lekir tak bagi racunpun. Kerana mata aku masih mampu terbuka luas petang itu. 


Kepala dah ringan. Perut pula buat hal. Memekik-mekik lapar! Perlahan-lahan aku duduk dan melihat sekitar. Serta-merta mata dijamu dengan pandangan tidak enak. 

Susuk Tuah!

Lelaki itu sedang tidur. Dengan lengan menutup mata.

Mulut aku memang senyap tapi hati aku mulai memekak-mekak.

Bhai! Kau ni apehal? Kawasan sebegini luas boleh main futsal, dekat tepi aku juga kau nak tidur?

Walaupun jarak antara kami muat letak tilam bersaiz queen, aku masih tak nampak rasional perlakuan Tuah. Terlupa seketika jeritan perut sehinggalah aku nampak bekas leper yang besar dekat kepala Tuah.

Ada apa dalam bekas tembaga tu? Entah-entah ada makanan.

Badan sudah kuat tetapi malas lagi hebat. Beberapa kali aku memeriksa keadaan Tuah. Aku nak pastikan dia masih tidur sebelum aku...

...merangkak. 

Berbanding siput babi, tentulah aku lagi cepat. Malah aku amat cermat. Aku siap tiru gaya sloth gerakkan badan. Tapak tangan dan lutut aku jatuh terlekap amat lambat-lambat di papan lantai.  Hela dan hembus nafas aku juga perlahan agar tidak mengeluarkan bunyi. 

Aku dah bergerak separuh perjalanan ketika Tuah menegur, "Ada makanan dalam kenceng."

Kantoi! 

Seluruh badan terkaku, hanya mata meleret arah Tuah. Lelaki itu masih dengan aksi yang sama. Berbaring dengan memejam mata 


Kali ini deru nafas aku laju. Mengiringi rungutan hati.

Tak boleh ke kau biar anak dara ini simpan keayuannya? 

Tak boleh ke kau berpura-pura tidur? 

Tak boleh ke Tuah!

Apabila aku terus merangkak, mata Tuah terbuka luas.

Lantaklah! Dah tak boleh nak selamatkan ayu lagi. 

Aku tebalkan muka, biarkan Tuah tengok aku menonggeng. Janji aku kenyang.


Duduk di tepi kepala Tuah, aku buka selera seluasnya semasa menyuap makanan. Setakat ini semua makanan yang masuk dalam mulut aku di sini rasanya sedap. Alas daun pisang yang mereka guna menaikkan aroma makanan. 

Tuah menyusuli aku. Senyap duduk di sebelah dan makan. 

Mulut aku masih mengunyah makanan ketika Tuah tangkap tangan aku tanpa izin. Lekas-lekas aku rentap. Tenaga aku gagal mengatasi tenaga Tuah. Tangan aku terdorong ke hadapan merapati Tuah. Hanya setelah aku mengerti maksud perlakuan Tuah, barulah aku memberi kerjasama. Aku biarkan sahaja dia merasa nadi aku. Namun tatkala matanya mencecah wajah, aku elak pandangan kami daripada bertaut.

Malu siot! Kau pandang aku direct macam tu.

Tuah lepaskan pergelangan tangan aku sambil menyoal, "Mahu ikut aku bersiar-siar di kota?"

Previous: Bab 25
Next: Bab 27

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.