Home Novel Cinta TUAH
Bab 18

Bab 18  KAN AKU DAH CAKAP...

Entah kenapa kawalan emosi aku di alam ini amat longgar. Sedikit sahaja picu perasaan ditarik, dengan mudahnya aku tenggelam sepenuhnya ke lembah kepiluan. Hati tak perlu sebab yang jelas untuk bersedih. Datanglah kesedihan bersandarkan apapun, kalbu akan terus tercampak ke ingatan lalu. Dan aku memilih untuk berada di dalam memori yang hanya ada aku dan Iqbal walaupun aku tahu aku sedang melukakan diriku sendiri.

Namun sepenat-penat aku, Tuah kelihatan lebih berganda penat. Walaupun mata pandanya telah hilang, kulit wajah Tuah masih berbayang lesu dan kusam. Buat kali kedua aku teragak-agak nak kejutkan Tuah. Pagi tadi perut aku dah memekik- mekik minta makanan. Kalau tidak aku biarkan aje Tuah tersadai di tiang kayu bulat tu sampai tumbuh janggut. Tak kuasa aku nak kejut.

Perang mulut kali pertama di antara aku dan Tuah masih segar dalam ingatan. Tuah dan buruk sangkanya. Ingatan itu yang membuat aku lama merenung susuk yang tidur atas rumput tapi lena yak amat macam tidur atas tilam Dreamland harga beribu.

Mana mungkin aku tak melenting mendengar serkap jarang Tuah. Wajah Tuah yang 24 jam serius memang nampak garang tapi tak la aku sangka dia sebegitu garang. Apabila suara dia meninggi dan keras, ingat aku nak sangat menyembam ketakutan dekat kaki dia? 

Eh! memang tak la. 

Kau sua pedang dekat tengkuk aku haritupun aku tak terpekik terlolong ye! 

Mendapati Tuah tertidur tidak jauh dari tempat aku melepaskan jeritan perasaan membuatkan aku tertanya-tanya. Lelaki ini mengekori aku lantaran tidak percayakan aku atau dia bermaksud mengawasi keselamatan aku?

Serta-merta sejuk kolam hati aku sewaktu memikirkan kemungkinan yang kedua. Mengendur rasa marah aku terhadap Tuah. Puas juga aku belek muka bujur Tuah. Sambil itu hati berbisik rayu memujuk. 

Lupakan sahaja apa yang berlaku tadi Hanna. Tuah tak tahu apa yang kau tahu.

Betul juga. Dah aku yang tak berterus terang, mana Tuah nak tahu. Tapi kalau aku berterus terang, percayakah Tuah? Mesti dia ingat aku merepek bercerita tentang perkara atas awan, dalam laut, atas angin. Cerita yang tidak berpijak di bumi yang nyata.

Sedang aku memikir akan tindakan aku yang terlepas kata, kelopak mata Tuah terbuka dan terpisat-pisat. Seperti pagi tadi, laju aje Tuah bangun dan duduk tertib bersila. Suka betul matanya menjamah muka aku dengan bayangan tanda tanya. Nak aje aku panjangkan tangan betulkan bengkang-bengkok kening Si Tuah ni...

Apala complicated naw ko ni, Tuah? Chill la sikit. Dunia tetap berputar pada paksinya walaupun kau cuba atur keadaan sana, kawal keadaan sini.

"Maaf sebab buatkan kau terjaga."

Pembuka ayat perdamaian aku. Maaf. 
Kau pandai-pandailah lencongkan maaf aku tu Tuah. 

Tuah mengangguk. Kali ini wajahnya berpaling ke sisi memerhati ufuk barat. Tona kelabu mulai mendominasi warna merah muda di langit. Senja bakal menjelang.

"Aku nak berbincang pasal semalam. Tentang pertaruhan kita."

"Katakan sahaja. Lekas."

Intonasi suara Tuah mendatar. Dia dah lupa ke marah dia dekat aku? Laju aje Tuah jawab. Raut muka dia kelihatan sedang memikirkan sesuatu walaupun mulutnya bagai meluncur kata tanpa fikir.

"Kau nak bagi apa kalau aku menang?"

Itu perkara pokok yang aku nak tahu. Penting, penting sangat bagi aku. Asas keselamatan aku di sini. Dah tentu aku sasarkan sesuatu.

"Kamarku. Aku akan benarkan kau tidur di situ sepanjang tempoh kita bertamu di sini."

Bidikan Tuah tepat ke sasaran. Itulah perkara yang aku mahukan. Sama seperti Rangga, Tuah juga mudah membaca fikiran aku. Akal dah menggedik-gedik ajak teruskan pertaruhan. Tertanya-tanya juga aku kenapa pemurahnya Tuah hanya di daratan, tidak di lautan? Semasa di Genta Segara, dia siap hantar Lekir menghalau aku keluar dari kabin. Aku cekalkan hati untuk berunding lagi.

"Kalau aku tak nak bertaruh hari ini, kau masih bagi bilik kau dekat aku? Kau jangan salah faham. Aku bukan takut kalah. Aku yakin giler aku mesti menang punya walaupun kita tangguhkan pertaruhan sehingga esok, lusa, tulat."

Lepas tulat aku dah tak ingat apa istilahnya. Kerana itu ayat aku berhenti setakat itu.

Mata Tuah meratah raut aku. Dia jumpa kot apa yang dia cari dekat muka aku sebab dia macam tahu-tahu aje apa yang aku nak cakap.

"Bergantung. Ujar segera apa yang kau inginkan." 

Semua ayat Tuah berbunyi menggesa. Apa yang dia nak kejar? Aku beri kerjasama tanpa berlengah. Pertanyaan aku 'direct to the point'.

"Bila Betara Majapahit akan adakan jamuan meraikan bakal menantunya?"

"Malam ini."

Ooo patutlah Tuah menggesa. Jamuan tersebut dijadualkan malam ini. Hurm... dekat dah nak malam. Aku pula yang rasa kesuntukan masa. Aku tarik nafas dalam-dalam. Betul atau tidak, akan berlaku atau tidak, hal itu aku letakkan di belakang kepala. Perkara utama sekarang adalah soal keselamatan Tuah. Tapi macamana nak buat dia percayakan aku?

Otak baru nak memikir-mikir akan cara yang paling sesuai dan berkesan, tangan  dah menangkap jemari Tuah. Genggaman aku erat.

Aaah, Hanna... Apa kau buat ni?

Aku sendiri terkejut dengan tindakan spontan aku tetapi... Ahhh! Lantaklah. Go ahead Hanna. Ikut aje gerak hati.

"Tuah, dengar sini baik-baik."

Anak mata Tuah jatuh dekat tangan aku atau err... dekat tangan dia juga sebenarnya.

"Tuah! Pandang sini!" Aku pekik kuat sikit bagi membawa perhatian dia sepenuhnya ke wajah aku yang aku agak dah merona merah sama macam wajah dia. 

Anak mata Tuah terangkat merenung aku. 
Tajam. 
Serius.

Aku biarkan sahaja jantung berdegup kencang. Aku tahan gigil tangan. Aku mana pernah sengaja pegang tangan lelaki. Aku dara dia teruna kot. Dan dia bukan teruna biasa-biasa. Dia adalah Hang Tuah.

Perdulikan semua itu. Aku fokus perihal yang aku nak cakap. Tentang jamuan. Ya, kejadian yang bakal berlaku di jamuan nanti. Plot cerita masih segar di ingatan sebab aku baru sahaja khatam bab tersebut. Perenggan yang berkisar kejadian semasa jamuan di dalam Hikayat Hang Tuah.

"Masa jamuan di istana nanti, akan ada pihak yang cuba buat kau mabuk. Mereka ada helah. Mungkin kau akan diminta menari. Semasa kau leka itulah akan ada orang yang akan ambil kesempatan untuk bunuh kau."

Ayat amaran aku keluar satu persatu dari peti suara. Harapan aku agar Tuah faham apa yang aku nak bagitahu walaupun dia tak percaya.

Di luar sangkaan aku, tangan Tuah berkalih arah. Jika sebelumnya tapak tangan aku terdampar atas tangan Tuah, kini tangan aku berada di dalam tangan Tuah. Dengan itu, mudah sahaja Tuah bangun sambil menarik tangan aku. Sebaik sahaja aku berdiri, dia tolak aku ke hadapan dengan tangan aku bengkok terlipat di belakang badan sendiri.

Keadaan sebegitu bukan sahaja tidak selesa malah menyakitkan. Tapi aku tahan dan diam sahaja. Baru berdamai takkan nak mulakan pergaduhan semula? Aku juga nak Tuah tahu apa yang aku ujar tadi ikhlas.

"Tidak perlu sibukkan hal aku. Jaga diri kau sendiri baik-baik. Nak bunuh aku?"

Ketawa Tuah bergema kuat sebelum dia rapatkan mulutnya di cuping telinga aku. Berderau darah aku mendengar desahan nafas Tuah sebelum dia berkata, "Silakan. Aku tak pernah gentar mahupun mengelak maut. Namun Kasturi, tahukah dikau bahawa maut tidak hanya mencari aku akan tetapi turut mencari kau."

Badan aku terus rasa seram sejuk. Kali ini bukan kerana perilaku Tuah, tetapi kerana kenyataan menakutkan yang dia ucapkan.

Biar betul Tuah ni? Siapa nak bunuh aku? Aku bukannya pernah menganiaya atau sakitkan hati sesiapa di sini. Melainkan Rangga dan Arya, tak seorangpun aku kenal.

Tuah tolak belakang badan aku menjauhinya setelah melepaskan tangan aku.

"Jalan cepat sikit. Kita kesuntukan masa."

Eh! Kita? 

"Nak ke mana?" 

"Ke istana Betara Majapahit. Kau tentu ingin menyaksikan apa yang kau katakan tadi dengan mata kepala kau sendiri, bukan?"

Dia nak ajak aku menyertai jamuan? 

Aku tahu kau anggap bicara aku bagai barang mainan. Tak apa Tuah. Malam ini mari kita lihat siapa yang kena. Ting! Ting!

Previous: Bab 17
Next: Bab 19

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.